Tuesday, December 29, 2009

Sekitar MPR 09

Bismillahirrahmanirrahim...

MINGGU PENULIS REMAJA 2009 (MPR 09)

tarikh
19-25 DISEMBER 2009

tempat
GOLDEN STRAITS VILLAS BEACH RESORT< PORT DICKSON< NEGERI SEMBILAN

anjuran
PUSAT PENYELIDIKAN DAN PENGEMBANGAN KESUSASTERAAN KANAK-KANAK DAN REMAJA (PURNAMA) DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA















Friday, December 18, 2009

Apabila Daie berehat

Bismillahirrahmanirrahim...

Apabila Daie berehat...

Tingkat empat dan lima Central Square Sungai Petani dibanjiri anak-anak muda mentah untuk mengisi kekosongan jiwa. Mereka cuba mencari makna hidup di sebalik budaya Punk, Skin Head,Black metal, Gothic dan Shuffle.Mereka mencari ketenangan dengan melalak dalam jamban karaoke, melanggah arak, main snooker, hidu gam dan bermadu kasih di sana.
Kata kita, "Ini kerja penguatkuasa!"

Apabila Daie berehat...

"Islam tak pa, tak Islam pun tak pa...," ujar seorang warga Kampung kuala Mu. masyarakat minoriti ini bukan sahaja jauh daripada pembangunan dan kemajuan teknologi maklumat. mereka bahkan jauh dengan Islam. Ada dalam kalangan mereka mengaku sebagai Islam namun dalam masa yang sama tangan cekat mengusap anjing.
Kata kita, "Alah, susahlah nak naik ke sana!"

Apabila Daie berehat...

Penduduk Mukim Singkir, Yan berperang dengan K.S Chin Minerals Sdn Bhd dan Kemelong Engineering & Sankojaya Construction Sdn Bhd. Isu pertelingkahan tentu sahaja tentang kuari Jerai. Keselamatan penduduk kampung berdekatan kuari terancam sejak kuari ini beroperasi. Antaranya, bendang penduduk kampung digenangi lumpur. Hasil kebun turut merosot akibat gegaran kuat dari kuari. Bukan itu sahaja, kuari ini sebenarnya beroperasi di kawasan hutan simpan, kawasan yang sepatutnya dipelihara rapi.
Kata kita, "Aik! isu kuari Jerai ini pun kerja daiekah?"

Apabila Daie berehat...

Penduduk Kampung Tanjung Tokong terkontang kanting dibiarkan tanpa pembelaan apabila tanah mereka sedikit demi sedikit direbut oleh pihak yang bertanggungjawab. Alasan yang diberikn oleh pihak ini tanah itu diambil untuk pembangunan. Namun pembangunan yang sepatutnya menjaga hak hakikatnya menodai hak.
Kata kita, " Ini bidang tugas orang politik!"

Apabila Daie berehat...
"Ubat ini halal atau tidak?"
"gelatin ini umat Islam boleh makankah?"
"kasut ini dibuat daripada kulit apa?"
Isu halal haram terus dibagkitkan dari hari ke hari.
Kata kita, "CAP dan PPIM kan ada!"

Apabila Daie berehat...

Chik Saaleh, 112 tahun terbongkok-bongkok menjiruskan air pada tubuh cucunya yang sudah berusia 52 tahun. Di gubuk yang sudah hampir roboh di tapak tanah rizab kerajaan Felda Bukit Tembaga Daerah kuala Nerang, Kedah, Chik Salleh dan cucunya yang lumpuh sejak lahir itu tinggal. Hidupnya yang kais pagi makan pagi kais petang makan petang tidak mendapat perhatian sewajarnya.
Kata kita,"Daie berdakwah bukan kerja bagi duit pada orang miskin!"

Apabila Daie berehat...

Kemusnahan hutan bakau di persisiran pantai semakin menjadi-jadi. Pengeksploitasian sumber biodiversiti yang tidak terkawal seperti penerokaan kawasan paya bakau untuk pembangunan,ternakan ikan dalam sangkar, ternakan udang, perindustrian, perbandaran dan pembuangan sisa kimia oleh kapal dan bot nelayan telah mengancam ekosistem paya bakau.
kata kita, " Sudahlah! Kerja Daiekah ini?"

Apabila Daie berehat...

"kami perlukan bantuan kamu," ujar seorang mujahidin dari Pattani kepada seorang mubaligh Kristian. Dalam terpaksa dia mohon bantuan dari mereka yang tidak seagama dengannya namun sudi turun membantu. Apa boleh buat tiada saudara seagama yang serius membantu.
Kata kita, " Iman tak cukup tinggi lagi hendak pergi berjuang di sana!"

Apabila Daie berehat...

Lambakan kes-kes di mahkamah syariah terutamanya yang melibatkan wanita tertangguh. Bukan sehari dua. Bukan sebulan dua. Tetapi setahun dua bahkan ada yang lebih lama. Muncul heroin yang menggelar diri mereka sebagai Sisters In Islam. Para Daie mula gelabah.
Kata kita, "Haramkan SIS!"

Apabila Daie berehat...

"Tiada unsur ketuhanan dalam matematik," ujar seorang pelajar matematik. Tuhan itu hanya terdapat dalam subjek agama. Subjek-subjek sains ini kosong dari mengingatkan kita kepada tuhan. Fahaman sekular ini menjangkiti bidang pendidikan.
Kata kita, "Ini semua Barat punya pasallah!"

Malunya saya hendak mengakui diri sebagai daie sedang kerja dibuat bermusim. Ya Allah kuatkan diri ini di atas jalan yang telah daku pilih ini. Kerja kita masih banyak! Jangan berehat wahai daie!(pesanan buat diri sendiri)

Thursday, December 17, 2009

Panggilan Dari Pattani

Disediakan oleh:

Mohd Saiful Afindi Sulaiman,
Timbalan pengerusi (I),
Angkatan Pemuda-pemudi Islam (API),
Persatuan Ulama' Malaysia cawangan Pulau Pinang (PUMPP),
Pulau Pinang
.


 



pintu masuk MA'HAD AL-BI THAT AD-DINIAH(Pondok Haji Harun)


 

Ziarah ke pattani beberapa hari yang lepas telah mengetemukan kami dengan timbalan mudir sekolah MA'HAD AL-BI THAT AD-DINIAH ( Pondok Haji Harun) iaitu Tn. Haji Abdul Rahman. Sekolah ini terletah di wilayah Yala di bahagian Selatan Thailand.

Sekolah ini merupakan sekolah aliran agama yang juga menekankan akademik. Di mana, sesi paginya lebih menfokuskan kepada akademik dan sesi petangnya lebih kepada agama. Pondok Haji Harun merupakan antara sekolah yang mempunyai bilangan pelajar yang teramai di Selatan Thailand, malah bagi saya yang teramai di Asia iaitu lebih 5,500 orang pelajar bedaftar di sini. Malah, bilangan pelajar sekolah ini pernah mencapai sehingga 10,000 orang pelajar pada satu ketika dahulu.

Namun, akibat pergolakan dan krisis di Selatan Thailand jumlah pelajar di situ semakin berkurangan. terutama, apabila ramai guru-guru yang pernah mengajar di situ ditangkap, hilang tanpa dapat dikesan dan ditembak. Malah menurut kata timbalan mudir sekolah juga, kejadian seperti bom atau tembakan disekitar kawasan sekolah bagaikan suatu pekara biasa bagi guru-guru dan pelajar sekolah ini. Persekolahan tetap diteruskan seperti biasa walaupun kejadian pegeboman atau tembakan terjadi hanya berhampiran pagar sekolah. Namun, akibat daripada pelbagai peristiwa ini, sedikit sebanyak telah menjejaskan bilangan pelajar yang mendaftar di sekolah ini..


 




pelajar Pondok Haji Harun waktu perhimpunan pagi


Melihat kepada keadaan fizikal sekolahnya memang tidak logik untuk menempatkan pelajar seramai itu dan menurut guru yang mengajar juga memang bilangan bilik darjah sebenarnya tidak mencukupi untuk menampung jumlah pelajar yang ada, jadi mereka terpaksa menempatkan pelajar dalam kuantiti yang semaksimum mungkin dalam satu-satu kelas.

Dari pemerhatian saya juga, memang keadaan bangunan dan infrastrukturnya seperti bangunan sekolah dan kemudahan belajar agak daif. Malah masih ada bilik darjah yang hanyak berdindingkan jaring besi.



bangunan bilik darjah




 

Namun semangat dan kesungguhan serta keikhlasan yang ditunjukkan oleh guru-guru di sana dalam usaha mendidik anak bangsa supaya berilmu untuk membela nasib agama, bangsa dan negara dan ketidak adilan dalam masyarakat amat tinggi sekali. Ditambah lagi kesedaran ibu bapa dan anak-anak yang melihat pendidikan adalah salah satu elemen penting untuk mengubah corak hidup dan taraf hidup mereka pada masa hadapan.

Ini dijelaskan sendiri oleh guru yang mengajar di situ, ada pelajar yang tingga berpuluh-puluh batu dari sekolah berusaha untuk belajar di sini sehingga mereka terpaksa bertolak seawal sebelum subuh lagi ke sekolah. Malah ada pelajar di sekolah ini yang tidak mampu membayar yuran persekolahan juga masih diterima masuk. Ini termasuklah pelajar-pelajar yang ibu bapa mereka telah tiada( yatim piatu), ayah ditangkap, ayah ditembak, ayah hilang dan sebagainya menyebabkan sumber pendapatan keluarga tidak cukup untuk menampung keperluan persekolahan anak-anak. Kesungguhan dan keikhlasan pihak sekolah untuk memberikan pendidikan kepada anak bangsa mereka untuk terus maju dan kedepan amat jelas sekali.



rombongan kami bersama guru sekolah Pondok haji harun




Hasil perbincangan kami dengan Tn Haji Abdul Rahman telah menghasilkan beberapa cadangan untuk turut sama membantu pihak sekolah dalam menyediakan pendidikan kepada saudara muslim kita di Pattani. Antaranya:

- Bengkel Pengajaran untuk Para guru dan Pelajar di sekolah tersebut untuk subjek Bahasa Melayu(BM) dan Bahasa Inggeris(BI).

- sumbangan keperluan asas pelajar seperti pakaian sekolah, beg sekolah, alatan belajar dan buku-buku yang boleh dimanfaatkan (bahan yang terpakai juga blh disumbangkan).

- sumbangan kewangan untuk menyediakan dana untuk membina dan meningkatkan kemudahan asas sekolah seperti bilik darjah, perpustakaan, pejabat dan sebagainya.

Bengekel pengajaran

-Kita memerlukan 10 orang (5 lelaki,5 perempuan) sukarelawan untuk mengajar bahasa melayu dan bahasa inggeris kepada para guru-guru dan pelajar di sekolah tersebut. keutamaan diberikan kepada bakal-bakal guru khususnya dalam pengajaran bidang BM dan BI.

-tempoh bengkel 3-4 minggu( masih dalam perbincangan)

-tarikh dalam bulan 3 atau 4 tahun 2010 ( masih dalam perbincangan tarikh spesifik)

-penempatan dan makan minum insyallah akan di sediakan sepanjang bengkel

-gaji atau elaun masih dalam perbincangan( tapi kalau boleh yang bersedia untuk terima apa-apa gaji atau elaun)

-boleh bagi respon untuk menjadi sukarelawan bengkel ini selewat-lewatnya hujung bulan 11.

-perjumpaan pertama untuk membincangkan secara detail berkenaan bengkel ini akan diadakan pada bulan 12 ini. Tepatnya 24 sehingga 27 Disember 2009 ini.

Sesiapa yang berminat untuk menjadi sukarelawan untuk bengkel tersebut atau sumbangan keperluan sekolah boleh hubungi :

Mohd Saiful Afindi Sulaiman ( 0194131472/ saiful_pedang87@yahoo.com.my),

Nur Khalillah Rasyidah (0194737645/
kha_lillah@yahoo.com.sg)

Untuk bantuan sumbangan kewangan boleh disalurkan atas nama Persatuan Ulama' Malaysia Cawangan Pulau Pinang, No. Akaun Bank Islam : 7043011013136. Diharapkan Tuan dapat memaklumkan jumlah derma kepada pihak kami untuk tujuan rekod.

Wednesday, December 16, 2009

Air Mata Pattani

Bismillahirrahmanirrahim...

Malu
Satu pagi dinihari telefon saya dimasuki mesej daripada Akh Amir.

"Malam ini, disaat kita hampir terlelap, fikiran bangsaku terus dijajah, jiwanya mati, fizikalnya lemah, tanahnya dirampas, maruahnya dicabut. Maka mampukah lagi tidurmu lena?Jangan pernah berhenti berfikir, apa patut aku buat untuk masyarakat?Untuk Islam? Kerana tidak berbuat apa-apa itu adalah satu dosa. Daripada hidup bercerminkan bangkai, lebih baik mati berkalang tanah."

Saya tersentak. Rasa hendak tumpah air mata ini.


Entah mengapa fikiran saya melayang ke Pattani. Terkenang dua ahli keluarga Akademi Dakwah '09 dari Pattani yang turut serta. Ismaael dan Kak Roshidah. Arghh! Malunya saya pada mereka.

Ismaael di tengah pernah dibantai oleh tentera Siam sehingga tinggal nyawa-nyawa ikan. Tubuhnya pernah dicucuh api dan dihumban ke dalam peti sejuk tanpa seurat benang di tubuh. Namun, pada hari program, Ismaeel masih boleh tersenyum. Mati tidak pernah digeruni malah dinanti.


Saya bukan sahaja tidak berbuat apa-apa untuk membantu mereka, bahkan saya tidak pernah ikuti pun pergolakan di sana! Malunya aku!



Berita Yang Tidak Tersiar
Abdul Aziz Ahmad (29) merupakan seorang yang kurang upaya. Jari tangannya tidak ada sejak beliau kecil lagi. Pada hari itu, sebuah tadika yang terletak dibelakang Masjid Darul Takwa sedang mengadakan acara sukan tahunan yang diadakan secara bergilir-gilir dengan tadika-tadika yang lain. Tadika berkenaan penuh dengan orang ramai termasuk pelajar-pelajar, ibubapa, dan guru-guru.

Pada hari itu juga, tanpa alasan yang jelas pihak tentera telah mengepung seluruh kawasan masjid dan juga tadika. Guru-guru sekolah tadika dan sekolah pondok sering menjadi sasaran pihak tentera kerana dituduh sebagai mempengaruhi masyarakat untuk membenci kerajaan dan menganggotai kumpulan pengganas. Pihak tentera telah menyerbu kawasan tadika dan masjid menyebabkan orang ramai yang panik lari bertempiaran menyelamatkan diri.

Secara tidak sengaja, Abd Aziz yang juga sedang panik pada ketika itu lari ke arah belakang masjid. Sekumpulan tentera yang telah berada dibelakang masjid tersebut berjaya menangkap Abd Aziz. Satu das tembakan kedengaran dari belakang masjid. Abdul Aziz maut ditembak tentera. Ini salah satu peristiwa yang berlaku di Pattani.
Bahkan banyak lagi peristiwa-peristiwa yang sama berlaku saban hari di sana tanpa pernah kita di negara yang aman sentosa ini ketahui.



Buka MataTragedi Tak Bai tanggal 24 Oktober 2004 yakni pada bulan Ramadhan akhirnya membuka mata masyarakat dunia umumnya dan masyarakat Malaysia khususnya terhadap pergolakan di Selatan Thai. 85 orang telah terbunuh pada hari berkenaan akibat sesak nafas kerana ditindan beramai-ramai di dalam trak askar.

Sebelum itu, Tanggal 28 April 2004, lebih dari 100 anggota tentera dan juga polis Thailand menerobos masuk ke Kampung Krisek ( Kre Se ), Pattani. Atas tuduhan melakukan serangan ke atas pos-pos keamanan pihak keselamatan Thai menggunakan senjata tajam, sekitar 106 orang remaja dan pemuda Muslim menjadi sasaran bedilan peluru mereka. Sebahagian dari mereka sempat mencari perlindungan di Masjid Krisek iaitu sebuah masjid tua peninggalan abad ke-17 yang juga dikenal sebagai Masjid Mudzaffar Syah. Letaknya di Kampung Grisek (Krisek), Pattani. Ia adalah salah satu peninggalan Kesultanan Kerajaan Islam Pattani yang masih ada.

Kes terbaru, 11 orang jemaah yang sedang solat Isyak di Masjid Al-Furqan, Narathiwat dibunuh secara kejam pada 1 Jun 2009.

Setelah beberapa bulan berlalu, berita-berita dari Selatan Thai kembali sepi ditelan waktu. Bukan disebabkan pergolakan di sana kian reda tetapi kurangnya pihak-pihak yang mahu tampil membantu menangani isu ini secara serius. Air mata umat Islam di lima wilayah ini tidak pernah kering. Setiap hari, ada sahaja umat Islam yang terkorban baik yang dibunuh secara berhadapan, dibunuh secara diam-diam, hilang diculik dari rumah dan tidak pulang-pulang.


Mengapa Mereka Berjuang?

  • Pertama, Bahasa Melayu tidak dibenarkan menjadi bahasa pengantar disekolah-sekolah sehinggakan nama-nama tempat pun diubah. Contohnya, Menara menjadi Narathiwat, Tebing menjadi Taling Can dan langgar menjadi ruk. Selatan Thailand terdiri dari 5 buah negeri yang besar iaitu Pattani, Yala, Narathiwat, Songkhla dan Setun. Majoriti penduduk di wilayah ini adalah berbangsa Melayu yang beragama Islam. Secara etnik atau budaya, warga dikelima-lima buah negeri ini lebih dekat kepada Melayu daripada Siam ( Thailand ). Oleh sebab itu mereka lebih selesa berbahasa melayu.
  • Kedua, Mata pelajaran Sejarah Pattani dan Muslim Pattani tidak dibenarkan diajar disekolah-sekolah kebangsaan milik pemerintah, bahkan juga sekolah-sekolah swasta. Ia bertujuan agar anak-anak ini tidak tahu sejarah sebenar Pattani. Bagi pemerintah, Pattani bukan negeri Melayu, tetapi sebahagian daripada Thailand.
  • Ketiga, Umat Islam dipaksa berbicara bahasa Siam. mereka tidak dibenarkan menggunakan bahasa Melayu.
  • Keempat, nama mereka terpaksa ditukar menjadi nama Siam jika ingin bekerja di pejabat-pejabat kerajaan termasuk di Selatan Thailand sendiri. Nama seperti Ahmad, Yusuf, Abdul Kadir dan yang berunsur Islam dilarang jika ingin bekerja dengan kerajaan.
  • Kelima yakni yang terakhir, Siam bukan sahaja menjajah, tetapi mereka juga berusaha mem'Buddha'kan orang-orang Melayu di Pattani. Di sinilah letaknya titik temu perjuangan masyarakat Pattani dengan umat Islam seluruh dunia.

Virus Tidakpedulisme

Rata-rata umat Islam hari ini melihat perjuangan di Selatan Thai lebih kepada menyelamatkan bangsa Melayu Pattani atas tiket nasionalisme. Oleh sebab itu, hilang rasa kebersamaan untuk berjuang membebaskan Pattani bersama-sama para mujahidin di sana. Lalu mereka mengambil sikap seperti enau dalam belukar, masing-masing melepaskan pucuk sendiri. Sedarlah umat Islam sekalian! Pergolakan di Selatan Thai adalah isu umat. Saudara kita di sana sedang berjuang menentang golongan yang mahu menukar agama mereka. Barangsiapa yang tidur dan tidak mengambil peduli urusan kaum muslimin, maka dia bukan dari golongan mereka. Tidakkah kita gerun mengenangkan sepotong hadis baginda ini?

Usaha Kita
Ayuh kita bantu saudara kita.


  • Pertama,sedarkan masyarakat dengan lidah kita. Jadikan pergolakan di Seltan Thai sebagai topik perbincangan. Lebih baik berbincang tentang isu saudara kita ini daripada berbual kosong tidak tentu hala.
  • Kedua, gunakan ketajaman mata pena untuk sebarkan pada masyarakat pergolakan sebenar yang berlaku di Selatan Thai.Misalnya tulis risalah dan edarkan di kampus. Tulis dalam blog untuk tatapan umum. Hakikatnya, hari ini manipulasi media massa membuatkan kita tidak memperolehi kisah sebenar yang berlaku di sana.
  • Ketiga, salurkan sumbangan anda.Untuk sumbangan dana bantuan saudara Islam Selatan Thai sila salurkan atas nama Persatuan Ulama' Malaysia Cawangan Pulau Pinang (PUMPP) , nombor akaun Bank Islam : 7043011013136.
  • Keempat, buat ceramah dan jemput saudara-saudara kita daripada Pattani untuk berkongsi derita.Untuk pertanyaan lanjut berhubung isu ini serta jemputan ceramah, anda boleh berbuat demikan dengan menghubungi Sekretariat Konflik Selatan Thai, Persatuan Ulama' Malaysia Cawangan Pulau Pinang, Serambi Dakwah, Taman Inderawasih, Perai, Pulau Pinang. Atau hubungi 04 – 3980527.
  • Kelima, berdoa dan solat hajat. Sebagaimana kita berdoa buat saudara-saudara kita di Palestin, begitulah juga kita doakan saudara kita di Pattani.

Kesimpulan

"Sesungguhnya, orang mukmin itu bersaudara,". Di akhirat nanti, kita bakal ditanya apa yang telah kita lakukan untuk membantu saudara kita di Pattani? Ambillah teladan daripada burung kecil yang mahu membantu memadamkan api tatkala Nabi Ibrahim dibakar Namrud. Ingatlah, tidak berbuat apa-apa itu satu dosa apatah lagi mereka di Pattani adalah saudara kita.























Tuesday, December 15, 2009

Kembara Aktivis Umat ( AKADEMI DAKWAH ' 09)

Bismillahirrahmanirrahim...
Hampir dua minggu perjalanan Madrasah Aktivis Dakwah (Mad’u) atau Akademi Dakwah 2009 anjuran sayap pemuda Persatuan Ulama’ Malaysia Pulau Pinang (PUMPP) iaitu Angkatan Pemuda Pemudi Islam (API) merencanakan pelbagai permasalahan umat yang meruncing belakangan ini. Program yang bermula di Sg. Dua, Pulau Pinang dan berakhir di Kg. Teluk Mat Acheh, Yan disusun dengan lapangan aktivisme yang pelbagai sebagai contoh serangan pemikiran, pendidikan, konflik umat Islam global, sosio ekonomi umat Islam, dakwah kelompok minoriti, alam sekitar dan kepenggunaan, permasalahan sosial dan penulisan.


Pengenalan dan Sesi Ta’aruf – 30 Nov. 2009

Sesi ta’aruf bermula jam 4.00 petang dengan kehadiran lebih 20 orang peserta. Para peserta memperkenalkan diri serta tujuan mereka menyertai Akademi Dakwah ini. Seterusnya para peserta dibekalkan dengan buku ‘monolog’, fail, pen, tentatif dan dokumen-dokumen yang berkaitan untuk memudahkan perjalanan AD selama 2 minggu ini. Akh Nizam Mahshar dijemput untuk mengisi slot pengenalan dengan tajuk Tasawwur Islami, yang diolah dengan begitu menarik ditambah pula dengan pengisian Ustaz Hafiz Nordin yang betajuk Pengantar Gerakan Islam.


Ghazwul fikr (serangan pemikiran) – (1 Dis. 2009) Sg. Dua, Pulau Pinang
Tajuk ; Pemikiran Islam, Sejarah dan Cabaran : Monoreligio Global, Perkembangan dan Cabaran pada dunia Islam yang disampaikan oleh Akh Nizam Mashar sebagai pengantar kepada pemikiran-pemikiran yang muncul menjadikan para peserta tersentak dengan istilah-istilah serta kalimah-kalimah falsafah yang agak memeningkan . Pemikiran sekularisme yang meracuni negara moden kini menjadi asbab kepada kefasadan yang berlaku kini turut dibentangkan. Petangnya, Akhi Izzat pula mengetengahkan tentang Pemikiran Islam yang agak berat tambahan pula pada waktu petang yang agak mendung, menambahkan lagi ‘aura’ mengantuk sementara Ustaz Hafiz Nordin pula membentangkan tentang Islam Liberal yang berkembang pesat ke seluruh dunia dan sejarahnya sehingga fahaman sesat ini semakin berkembang. Pada malamnya pula, Dr. Muhammad Ali dari SOLACE menyampaikan ceramah tentang Wacana Pemikiran Islam Baru sebagai penyelesaian serangan pemikiran yang telah dibentangkan sebelumnya. Beliau turut menyeru agar para peserta AD mengkaji dan mengambil iktibar tentang pemikiran-pemikiran ini serta melakukan sesuatu untuk membetulkannya semula.


Sistem Pendidikan Islam – (2 Dis. 2009) Sg. Dua, Pulau Pinang

Dr. Fadhullah Jamil dari Pusat Pendidikan Jarak Jauh USM yang juga seorang pakar sejarah Tamadun Islam pula membentangkan kertas kerja mengenai Falsafah Pendidikan Islam. Beliau begitu serius dalam membicarakan topik ini, dengan lantang dan nada yang agak keras tetapi mempunyai mesej yang jelas. Definisi Pendidikan Islam dihuraikan satu persatu memudahkan peserta memahami apa yang hendak disampaikan. Kritikan-kritikan ‘pedas’ yang dilemparkan menghilangkan rasa mengantuk peserta-peserta AD. Pengisian seterusnya mengenai Isu Pendidikan di Malaysia secara ringkas diberikan oleh Cikgu Sakinah membuatkan peserta merasai realiti sebenar tentang permasalahan yang berlaku dan sedikit pendekatan yang diberikan untuk bakal-bakal guru. Banyak soalan yang dikemukakan oleh para peserta menandakan mereka begitu peka tentang pendidikan di negara kita ini. Pada malamnya, peserta (secara berkumpulan) dikehendaki menganalisa satu permasalahan pendidikan di Malaysia meliputi faktor, kesan dan tindakan antaranya Kualiti Guru, Gejala Sosial, Kebanjiran pusat pengajian tinggi, masalah displin dan lain-lain.


Konflik Umat Islam Global – (3 Dis. 2009) Sg. Dua, Pulau Pinang

Kertas kerja Hj. Mohideen dari Citizens International (CI) mengenai Isu Global Umat Islam (State of The Muslim World) mendedahkan tentang cabaran dan masalah berlakunya konflik ini dan beberapa penyelesaian isu ini secara worldview. Lapangan ini menfokuskan Isu Selatan Thailand sebagai rujukan dengan menjemput Saudara Fawaz Abdul Aziz, bekas wartawan malaysiakini yang sekarang bertugas di CI dan merupakan seorang yang mahir tentang isu di Selatan Thailand. Beliau membicarakan tentang sejarah Selatan Thai dan sebab berlakunya ketegangan di sana dengan Kedatangan 2 orang wakil aktivis dari Selatan Thailand iaitu dari HAP (sebuah organisasi Hak Asasi Manusia) menceritakan sejarah dan pengalaman ditangkap membuatkan sebahagian peserta berasa sedih dan terharu. Pemuda-pemuda di sana yang ditangkap oleh dadu(baca:tentera) dipaksa mengaku melakukan jenayah walaupun bukan mereka yang melakukuannya. Pelbagai bentuk penderaan dikenakan untuk membuatkan mereka mengaku bersalah dan menyelesaikan kes-kes serangan bom. Pada malamnya, kami dipersembahkan tentang gambar-gambar dan video-video yang menayangkan perjuangan sahabat di Patani, Yala dan Narathiwat terhadap kerajaan Thailand yang menekan kehidupan mereka. Kemudian, Akh Saiful Affindi turut memperkenalkan sekteriat khusus untuk membantu menyelesaikan beberapa permasalahan di sana dengan kerjasama beberapa NGO-NGO Selatan Thailand.


Sosio Ekonomi Umat Islam – (4 Dis. 2009) Tanjung Tokong dan Kg. Makam, Pulau Pinang
Kali ini kami menuju ke Pejabat Persatuan Penduduk Kg. Tanjung Tokong bersama dengan Pengerusi Persatuan Anak Jati Melayu Pulau Pinang (PAJIM) yang mesra dengan panggilan Pak Usop. Turut sama hadir ialah Pengerusi Persatuan Penduduk Kg. Tg. Tokong iaitu Cikgu Saleh. Kami didedahkan tentang sejarah kampung dan realiti yang berlaku antara pihak UDA Holdings dan penduduk kampung. Cikgu Saleh turut mengemukakan bukti-bukti tentang kewujudan masyarakat Melayu sebelum Pulau Pinang diserahkan kepada Francis Light lagi. Ternyata penduduk Kg. Tanjung Tokong ini peka dengan strategi pihak pemaju yang dilihat ingin mengaut keuntungan semata-mata. Selepas solat Jumaat di Masjid Tg. Tokong, kami bergerak ke Masjid Kg. Makam yang turut sama menjadi mangsa akibat kerakusan pihak yang menghidapi penyakit “wahanisme”. Kepentingan peribadi lebih diutamakan berbanding dengan kepentingan rakyat, lebih malang lagi aduan serta desakan yang dibuat kepada pihak yang bertanggungjawab tidak pernah diendahkan. Penerangan beberapa penduduk kampung bersama Angkatan Bertindak Rakyat Tertindas mengenai tanah wakaf di situ menimbulkan kehairanan bagaimana pihak yang bertanggungjawab lalai menunaikan amanah dan cuai dalam menjaga tanah wakaf di sekitar Pulau Pinang.


Dakwah kelompok minoriti (Orang Asli) – (5-6 Dis. 2009) Sg. Siput, Perak
Peserta-peserta AD bertolak ke Sg. Siput, Perak dari Butterworth dengan menaiki kenderaan pacuan 4 roda Team 4x4 (Utara Offroad Club) sebanyak 11 buah. Kira-kira jam 5 pagi, kami tiba di Masjid Lasah dan berehat sebelum bertolak ke kaki bukit. Seawal 7 pagi, semua kenderaan pacuan 4 roda bertolak ke kaki bukit menuju ke Kampung Orang Asli Pos Kuala Mu. Kira-kira jam 12 tengah hari, kami tiba di sana dengan selamat walaupun pelbagai rintangan dihadapi. Antara program yang diaturkan ialah gotong-royong memasak untuk jamuan makan kepada masyarakat orang Asli (Pos Kuala Mu) ; cak raya, menziarahi Tok Batin, mengedarkan beras, dan beramah mesra dengan penduduk, menyaksikan tarian sewang dan lain-lain. Solat berjemaah dan tazkirah turut dijalankan walaupun suasana begitu sejuk pada sebelah paginya. Masyarakat orang Asli di sana kebanyakkannya masih belum mampu untuk menunaikan perkara-perkara asas Islam. Kami berasa belum puas walaupun kebanyakkan golongan kanak-kanak orang Asli mampu melafazkan kalimah-kalimah syahadah dengan baik. Kami tinggalkan bumi Kuala Mu dengan seribu kenangan pahit dan manis sambil menghayati bagaimana dakwah RasuluLlah yang begitu ‘berat’ berbanding apa yang telah kami alami.


Alam Sekitar dan Kepenggunaan – (7-9 Dis. 2009) Singkir, Kedah

Saudara Ridzuan bin Muhammad wakil Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyampaikan slot beliau mengenai Kepenggunaan meliputi hak-hak pengguna, isu-isu kepenggunaan dan lain-lain. Para peserta begitu tertarik dengan perkara-perkara yang dibincangkan kerana kebanyakkannya berkisar tentang kehidupan mereka contohnya masalah urusan jual beli dan sebagainya. Isu halal dan haram yang dikemukakan kepada penceramah menyebabkan para peserta makin tertarik dengan isu kepenggunaan ini. Kemudian para peserta dikehendaki mem’bedah’ buku-buku kepenggunaan antaranya Masyarakat yang Sakit, Kesan Televisyen terhadap Anak-anak, Awasi Garam Tersembunyi dalam Makanan dan Merungkai Perangkap Budaya Pengguna. Peserta kemudiannya dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan seterusnya membentangkan perkara-perkara pokok dalam buku tersebut. Keesokkan harinya, Saudari Fatin Safiah Kamaruddin dari Sahabat Alam Malaysia (SAM) pula menyampaikan ceramah tentang Alam Sekitar dan beberapa isu alam sekitar di Malaysia. Para peserta kemudiannya diminta mem’bedah’ buku Islam dan Ekologi yang menjadi bahan bacaan wajib bagi aktivis alam sekitar SAM. Pada petangnya, Saudara Shamsul Ery Shamsuddin wakil Sahabat Alam Malaysia memberi penerangan tentang isu kuari Jerai yang mencetuskan konflik yang begitu hebat. Turut dimuatkan tentang isu SULIHH (Sungai Limau Hydro Carbon Hub) yang diperkenalkan oleh kerajaan Kedah di Pulau Bunting Yan. Para peserta dibawa ke Pulau Bunting untuk melihat sendiri isu ini serta membuat sedikit temu ramah dengan penduduk di sana. Malamnya, Akh Nizam Mashar dijemput menyampaikan ceramah tentang Alam Sekitar, Pembangunan dan Masyarakat yang menyentuh tentang punca-punca isu alam sekitar dan kaitannya dengan pemikiran, pembangunan secara Islam dan masyarakat.


Permasalahan Sosial – (10-11 Dis. 2009) Sg. Petani, Kedah
Kami kemudiannya menginap di Masjid Sultan Muzaffar Shah selama 2 hari untuk mengikuti LANDAS (Latihan Aktivis Dakwah Dalam Isu Sosial) bersama dengan Ustaz Kamaruddin Kassim (Koordinator LANDAS). Menyelami permasalahan sosial remaja hari ini yang begitu meruncing, para peserta dibawa ke lapangan untuk melatih diri ber’hemoi’ dengan mad’u masing-masing. Bukan sekadar teori, malahan praktikal dakwah turut didedahkan kepada para peserta Akademi Dakwah. Pelbagai strategi mendekati golongan muda-mudi yang terjebak dengan gejala sosial contohnya gejala menghidu gam, menghisap dadah, couple, meminum arak dan lain-lain lagi. Para peserta turut disajikan dengan video mengenai Sihir Muzik yang mendedahkan tentang perancangan musuh-musuh Islam serta peranan artis-artis Barat dalam menjatuhkan umat Islam. Kemudiannya, para peserta dikehendaki merangka teknik-teknik pencegahan yang boleh dilakukan dalam isu-isu gejala sosial contohnya gejala ponteng, pergaulan bebas, permainan video dan lain-lain. Antara pengalaman pahit yang dilalui oleh para peserta AD ialah ketika mendekati mad’u di Central Square(CS), diugut akan ditikam sekiranya tidak meninggalkan kawasan CS dengan segera.


Kronologi Peristiwa Ugutan di lapangan LANDAS

Pada sebelah petang hari kedua, kami menuju ke Tingkat 4&5 Central Square (CS) untuk meninjau suasana dan mendekati mad’u. Kawasan ini merupakan port bagi muda mudi berkumpul untuk berhibur, berkaraoke, bermain permainan video dan lain-lain. Kami dikejutkan dengan kehadiran segelintir remaja yang sedang mabuk ‘menyerang’ kumpulan kami. Mereka begitu agresif sehingga bertindak memecahkan botol arak yang sedang diminum berhampiran food court. Mereka kelihatan begitu paranoid memandangkan mereka ternampak salah seorang daripada peserta AD membawa kamera dan mengambil gambar di port mereka. Kesilapan ini mencetuskan kemarahan salah seorang remaja yang sedang mabuk dan bertindak mengugut untuk menikam kami sekiranya tidak beredar dengan segera. Sebenarnya mereka sudah mengesan kehadiran kami melalui ‘mata-mata’ yang berada di sekeliling bangunan CS. Ugutan demikian dibuat memandangkan mereka menganggap kami adalah merupakan penguatkuasa Majlis Agama Islam. Seorang daripada remaja yang mabuk datang menemui kumpulan kami dan menunjukkan rasa tidak puas hati dengan kesilapan peserta AD tadi yang mengambil gambar port mereka. Memikirkan akan keselamatan, kami mengambil langkah drastik dengan beredar dari CS beransur-ansur bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku. Dari pemerhatian kami, remaja-remaja ini dilindungi oleh pihak yang berkepentingan bagi melindungi kegiatan mereka; sebagai strategi perniagaan arak yang begitu lumayan di situ.


Dakwah dalam Penulisan – (12 Dis. 2009) : Yan, Kedah

Hari terakhir AD dimuatkan dengan ceramah mengenai penulisan oleh Saudari Siti Mariani Ali Imran, seorang Research Officer di USM. Pendedahan mengenai Public Relation(PR) dan teknik-teknik penulisan menarik minat para peserta. Pada sebelah petangnya, peserta dikehendaki merangka pelan penulisan akan datang sebagai langkah memperkukuhkan penulisan khususnya dalam lapangan dakwah masing-masing. Slot terakhir lapangan penulisan diisi oleh Ustaz Azizi Abdullah, seorang penulis yang tidak asing lagi. Beliau menfokuskan mengenai penulisan artikel bagi memudahkan peserta menyiapkan tugasan artikel yang diberi sebelum berakhirnya AD. Beliau turut berharap agar perjalanan AD 2009 ini dijadikan diari sebagai platform untuk mendedahkan kepada masyarakat tentang lapangan aktivisme ini disamping boleh dijadikan bahan komersial kepada pihak-pihak yang berminat.

Catatan kembara ini diambil dari blog Angkatan Pemuda Pemudi Islam(API). Inilah peristiwa-peristiwa yang saya lalui dalam tempoh dua minggu lalu. Sejak pulang dari AD '09 lalu, hati ini selalu rindu untuk kembali berkumpul dan beraktiviti lagi. Sebenarnya banyak lagi yang mahu saya kongsi. Insya-Allah dari semasa ke semasa saya akan update gambar dan laporan. Sebenarnya tengah tunggu urusetia pos gambar-gambar sepanjang program. Moga bermanfaat buat semua...

Monday, December 14, 2009

Misteri Kubur

Bismillahirrahmanirrahim...

300 Bantah Pindah Kubur Hindu

Jalan-jalan di laman sesawang telah menemukan saya dengan satu berita bertajuk "300 Bantah Pindah Kubur Hindu". Saya tertarik dengan berita ini.

Lebih 300 penduduk termasuk waris kepada ahli keluarga mereka yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Hindu di Ladang Batu Pekaka, Kuala ketil dekat Sungai Petani membantah rancangan kerajaan negeri yang mahu memindahkan tanah perkuburan itu di tempat baru. Kerajaan negeri bercadang untuk membina Kolej universiti Insaniah di atas tanah perkuburan itu.

Begitu bersemangat kaum ini mempertahankan tanah perkuburan mereka.

Kenapa ya pentingnya tanah perkuburan ini dipertahankan?

Misteri Kubur

berbelas tahun lalu, di Jalan Datuk Keramat, Kampung Makam Tuan Guru Haji Kassim, bersemadi aman lebih kurang empat puluh ahli kubur di atas tanah wakaf itu. Namun, kini sebuah bangunan Kelab UMNO berdiri gah pula di sana.

Kemana perginya kubur-kubur itu?

Tidakkah ini satu misteri?

Sebenarnya ini bukan misteri. Penduduk Kampung Makam tahu ke mana perginya kubur-kubur ini.

pada 25 Februari 2003, beberapa anggota UMNO cawangan, pemberita TV3, beberapa anggota polis tidak beruniform,pemberita utusan malaysia dan kontraktor cina datang ke Kampung Makam memaklumkan penduduk mereka mahu membina sebuah tadika. Hakikatnya, kini berdiri agam bangunan UMNO dia atas tanah perkuburan di tanah wakaf itu! Lebih kurang 40 buah kubur keluarga Tuan Guru Haji Kassim telah dilanyak penuh rakus tanpa pembelaan melainkan oleh sebilangan penduduk yang tiada kuasa sebesar Majlis Agama!

Saya terfikir, adakah kita orang melayu dan beragama Islam ini terlalu lemah dan tidak berdaya sehingga hendak mempertahankan kawasan perkuburan saudara kita pun kita tidak mampu?

Alhamdulillah. Allah takdirkan saya menjadi sebahagian dari keluarga Akademi Dakwah '09. Baru saya tahu, di negeri tumpahnya darah saya ini, saudara seagama dan sebangsa saya sedang dilanyak dan dianiaya. Bukan sahaja oleh bangsa lain tetapi oleh mereka yang seagama dan sebangsa dengan saya juga.

Misteri ini terjawab ketika saya melawat Kampung ini.

Amat menyedihkan sekali. Di Jalan Zainol Abidin di Pulau Pinang, perkuburan Yahudi terjaga rapi.

Mungkin ramai yang merasakan apa perlunya dibangkitkan isu remeh menjaga kawasan perkuburan ini.

Hakikatnya, kubur merupakan salah satu monumen sejarah yang penting. Bukan itu saja,kita sebagai umat Islam diminta menghormati jiwa-jiwa lain walaupun seseorang itu sudah meninggal dunia. Rasulullah SAW mengajar kita memberi salam bukan sahaja kepada yang hidup tetapi juga kepada yang telah meninggal dunia.


Memang jalan penyelesaian untuk masalah ini belum dapat dikenalpasti namun sekurang-kurangnya, pengalaman turun sendiri ke Kampung Makam telah membuka mata saya. Lambakan masalah umat di luar kampus memerlukan aktivis muda dan ahli gerakan untuk turun kelapangan. Saat menjejak kaki ke sana, baru saya tahu, bertapa selama ini sempitnya skop dakwah yang saya fahami.

Ayuh sahabat-sahabatku, kerja kita bukan sekadar mengkader ahli-ahli baru, turun bertempur di medan demonstrasi ataupun membantu parti yang kita dokong menang pilihanraya. Bukan maksud saya menyuruh kalian berhenti gerakkerja jemaah dan pergi menjadi penjaga kubur. Isu kubur ini hanya sebahagian kecil daripada lambakan masalah umat di luar kampus.

Isu Kubur ini juga menjadi penanda aras bahawa lemahnya kita mempertahankan hak kita di negara kita sendiri. Mungkin ini hari ini, kita hilang kawasan kubur. Esok kita hilang negara. Banyak lagi isu lain yang memerlukan perhatian kita. Sama-sama kita buka mata, buka minda!

Sungguh kerja kita masih banyak!