Wednesday, January 13, 2010

Duduk Lama Depan Komputer Boleh Bawa Maut

Bismillahirrahmanirrahim...

Sejak akhir-akhir terdengar beberapa webmaster diserang dengan pelbagai jenis penyakit
sehingga ada diantaranya begitu kritikal sehingga terpaksa dimasukkan
ke wad hospital untuk pemantauan kesihatannya. Malah ada diantaranya
telah sampai ke tahap kritikal sehingga diserang penyakit angin ahmar.

Ramai yang masih tidak sedar bahawa duduk terlalu lama di depan komputer
atau bekerja selama berjam-jam secara pasif di atas kerusi akan membuat
otot - otot tubuh kita terasa kaku, keras dan mata menjadi pedih.
Malah selain keluhan ringan tersebut tersembunyi juga ancaman lain
yang berisiko bagi kesehatan. New Zealand Medic al Journal dalam edisi
terbaru, melaporkan kajian dari Institut Penyelidikan Perubatan New
Zealand menunjukkan bahawa pekerja pejabat yang menghabiskan
masa terlalu lama duduk di meja masing-masing berisiko tinggi
menghadapi masalah darah beku. Penyelidik mendapati, satu pertiga
daripada pesakit yang dimasukkan ke hospital kerana mengidap -trombosis
pembuluh darah vena (DVT) atau darah beku, adalah mereka yang
menghabiskan masa berjam-jam mengadap komputer.

Penyakit Deep Vein Thrombosis (DVT) ini adalah disebabkan darah
beku yang menyebabkan saluran pembuluh darah terutamanya di
bahagian paha dan betis tersumbat. Keadaan ini berlaku kerana aliran
darah yang tidak baik hasil dari aktiviti yang pasif dan rehat yang
berlebihan.

Hal ini akan diperburukkan apabila bilik yang diduduki berhawa dingin
di mana udara yang sejuk itu mempercepatkan kadar pembekuan
darah terutama di bahagian kaki.

Ketua penyelidik, Profesor Richard Beasley berkata sebahagian
pekerja pejabat yang mengidap masalah itu duduk di depan skrin
komputer selama lebih 10 jam sehari. Masalah ini biasanya dihadapi
oleh pekerja dalam industri teknologi maklumat dan pusat panggilan.

Sekitar 34 peratus dari 62 sampel yang mengalami gumpalan darah
adalah mereka yang dalam jangka waktu lama bekerja dengan duduk
di kerusi, sementara 21 peratus penderita lainnya adalah terdiri dari
mereka yang melakukan perjalanan jarak jauh menaiki kapalterbang,
seperti disiarkan oleh AFP.

Sunday, January 10, 2010

Mereka Yang Pergi Tatkala Jumaat Menjelang...

Bismillahirrahmanirrahim...


"Tidaklah seorang muslim yang wafat pada hari jum'at atau pada malam jum'at kecuali pastilah Allah menghindarkannya dari siksa kubur" (HR. Ahmad)


Inbox saya dibanjiri emel daripada sahabat-sahabat Darul Quran mengkhabarkan tentang suami Kak Akma (batch 2002 Darul Quran), Ustaz Fauzi Azizan kemalangan dan masih belum sedarkan diri. Khabarnya, Kak Akma mengadung tujuh bulan sekarang ini. kemudian, emel ucapan takziah pula pula menjengah. Ustaz Fauzi pulang menghadap Rabbul Izzati. Dan hari itu jatuh pada hari Jumaat.


Beberapa bulan lalu, pada suatu malam ketika mata hampir terlelap, satu mesej saya terima. Sahabat seperjuangan Nabil Marwan telah selamat pulang ke rahmatullah. Dan malam itu adalah malam jumaat.


Jalan-jalan saya di laman sesawang menemukan saya dengan blog Ustaz Syafiq Zulakifli. Sahabatnya, Nurul Zalikah Mat Zan pulang dijemput Ilahi tatkala para muslimin bergelut ke masijd menunaikan solat Jumaat.



Mereka adalah antara golongan yang bertuah kerana terpilih untuk mendapat husnul khatimah. Kita bagaimana?

Teringat satu teka teki dalam buku Nota Hati Seorang Lelaki oleh Ustaz Pahrol Muhd Juoi. Benda apa yang orang yang membuatnya tidak mahu memakainya. Orang yang membeli pun tidak mahu memakainya. Manakala orang yang memakianya tidak sedar dia memakainya?

Jawapannya keranda. Pembuatnya tidak mhu memakainya. Pembelinya pun tidak mahu memakainya. Dan orang yang memakainya tidak sedar pun dia memakai keranda itu.

Manusia termasuk saya selalu ingat yang mati itu orang lain. Sedang firman Allah dalam Surah Ali Imran ayat 185 yang bermaksud, "Setiap yang hidup pasti merasai mati."

Mudah jari jemari ini mengetip papan kekunci membicarakan soal mati. Namun tidak semudah itu pula bait-bait ayat yang ditinta ini menusuk ke dalam hati. Ah, itulah manusia!

Berita-berita kematian ini yang menjadi tazkirah buat menyiram jiwa yang alpa.

Ya Allah ampunkan dosa-dosaku dan dosa-dosa mereka!

Mereka yang pergi tatkala Jumaat menjelang ini adalah juga mereka yang berdiri teguh di atas sof perjuangan dan hebat dipencak dakwah saat nyawa masih dikandung badan. Lalu mana mungkin jalan ini akan saya tinggalkan. Moga Allah thabatkan hati saya dan kamu di atas jalan ini.

Hsunul khatimah boleh dirancang kerana Allah buka ruang ikhtiar buat kita dalam hidup ini. Mereka merancang husnul khatimah mereka dengan menelusuri jalan perjuangan. Seperti Syeikh Ahmad Yassin, Ustaz Fathi Yakan dan ramai lagi tokoh mujahidin. Apa rancangan kita untuk mengejar husnul khatimah ini?

Moga menjadi renungan.

Al-fatihah buat mereka...

Thursday, January 07, 2010

Warkah Muhasabah Buat Pengirim dan Penerima

Bismillahirrahmanirrahim...
Entri ini saya tulis untuk blog MPR 09. Namun saya letakkan juga dalam blog ini buat pembaca@penulis yang singgah. Moga bermanfaat.



Hebat Bukan Penulis?
Kelahiran generasi Salahuddin al-Ayyubi merupakan kelangsungan tarbiyyah (pendidikan) awal daripada kitab Ihya’ Ulumuddin yang dikarang oleh Imam Ghazali. Antara ulama yang lahir setelah Imam Ghazali ialah Abdul Qadir Jailani yang secara langsung telah mengasakan generasi baru, iaitu generasi Salahuddin. Tidak keterlaluan untuk saya katakana Baitul Maqdis Berjaya dibebaskan oleh Salahuddin al-Ayyubi natijah daripada tulisan Imam Ghazali. Hari ini Baitul Maqdis kembali ditawan. Saya percaya akan bangkit satu lagi generasi Salahuddin al-Ayyubi kerana kitab Ihya’ Ulumuddin masih kekal hingga ke hari ini. Hebat bukan penulis?


Pernah dengar Qasidah Burdah yang dikarang oleh Imam Busiri? Puisi sebanyak 160 bait ini merupakan puisi menceritakan tentang perutusan Baginda SAW, kelahiran Baginda, ghazwah yang disertai Baginda hinggalah kepada keunggulan akhlak Baginda SAW serta kehebatan mukjizat yang dikurniakan kepada Baginda Rasulullah SAW. Jiwa-jiwa yang mati kembali hidup tatkala mendengar puisi Imam Busiri. Anak-anak orang Islam pada zaman silam diajarkan tentangnya dan menjadi nasyid harian. Bahkan ada di antara 'ulama seperti Ibnu Hajar Haithami yang menganggap harus untuk mempelajari puisi ini bagi penuntut-penuntutnya dalam usaha memupuk kecintaan terhadap baginda Rasulullah SAW. Bayangkan, insan seperti Imam Busiri telah mati lebih 800 tahun lampau, namun bait-bait puisinya masih meniti bibir umat manusia hari ini. SubhanaLLah!! Hebat bukan penulis?

Takutnya!
Saya sedang asyik mengulit novel Imam, karya SN Abdullah Hussain. Saya tersentak tatkala membaca satu dialog dalam novel berkenaan. Dialog itu tidak lain tidak bukan adalah ayat ketiga dari Surah As-Saff. Besar kemurkaan Allah ke atas mereka yang BERKATA tetapi tidak melaksanakannya. Pada mulanya, saya fikir perkataan ‘taqulu’ ataupun berkata dalam ayat ini hanya merujuk kepada orang yang berkata-katanya. Namun, hakikatnya, menulis juga adalah berkata-kata cuma mediumnya berbeza. Menulis adalah kata-kata yang kita luahkan di atas kertas. Jadi, menulis juga adalah berkata-kata.

Tiba-tiba saya jadi gerun. Bukankah setiap amal perbuatan kita di dunia akan disoal oleh Allah di akhirat nanti. Maksudnya, setiap patah bahkan setiap huruf yang kita tulis dan taip akan disoal?

Bukan itu sahaja. Apabila kita menulis sesuatu yang baik dan diteladani pula oleh masyarakat, ganjarannya turut mengalir buat kita. Sebaliknya, jika kita menulis sesuatu yang buruk dan dicontohi pula oleh khalayak, tempias dosanya turut kita rasa kelak.

Takutnya!

Kembali Kepada Niat
Setiap perbuatan mesti dimulakan dengan niat.

“Setiap amal itu disertai niat, setiap orang apa yang diniatkan olehnya, barangsiapa yang berhijrah ke arah Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya akan kepada Allah dan Rasul-Nya. Barangsiapa yang berhijrah kerana dunia, untuk mendapatkan habuannya, atau kerana perempuan untuk menikahinya, maka dia akan berhijrah ke arah apa yang dia hijrahkan kepadanya” Riwayat Bukhari dan Muslim.

Saya sependapat dengan Saudara Hilal Asyraf dalam soal niat ini. Menurutnya, perjalanan seorang penulis yang baik, dan mampu memberikan kesan kepada manusia adalah dengan niat. Jika benar kita adalah seorang penulis yang mempunyai keterikatan dengan Allah SWT, maka kita akan memerhatikan niat kita sebelum memulakan perjalanan dalam alam penulisan.

Niat inilah yang akan menentukan sama ada kesan daripada tulisan kita bisa menjadi sehebat tulisan Imam Ghazali dan puisi Imam Busiri. Niat inilah yang akan membantu kita menjawab soalan Allah di padang Mahsyar nanti.

Tanggungjawab
Teringat kata-kata Faisal Tehrani dalam WEHDAH 09 di USIM beberapa bulan lepas(saya tidak pergi namun khabar ini disampaikan oleh seorang sahabat). Perlunya penglibatan pendakwah dalam bidang seni.

Jika kita lihat, Geert Wilders, ahli parlimen jalur kanan Belanda yang telah membuat filem pendek bertajuk ‘Fitna’sendiri menggunakan medium seni untuk mengetengahkan ideanya. Pada tahun 2005, dunia Islam dikejutkan dengan karikatur menghina nabi yang dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab dari Denmark. Mereka ini juga menggunakan ruang seni untuk mengekspresi ketidakpuasan hati mereka terhadap Islam.

Justeru, marilah kita yang telah dicampakkan oleh Allah minat dalam bidang penulisan ini memainkan peranan kita untuk menjawab balik segala salahfaham yang berlaku hari ini. Kita mesti lakukan sesuatu. Itulah tanggungjawab kita jika kita mahu memikulnya sebagai satu tanggungjawab.

Sekali Menulis Terus Menulis
Saya kongsikan di sini wasiat Syed Qutb kepada adiknya, Aminah Qutb. “Apabila kita hidup hanya untuk, maka kehidupan kita ini amatlah singkat. Bermula dengan lahirnya kita dan berakhir apabila tamat riwayat kita di dunia ini. Namun, apabila kita hidup atas dasar perjuangan yang murni, maka kehidupan kita lebih panjang dan bermakna. Bermula dengan bermulanya manusia dan hanya akan berakhir apabila tiada lagi manusia di atas muka bumi ini.”

Sahabat pejuang di Pattani tidak akan behenti berjuang selagi mana apa yang diperjuangkannya tidak diperolehi.

Begitu juga seorang penulis. Jika dia memperjuangkan sesuatu melalui penulisannya , dia tidak akan pernah berhenti menulis sehingga maksud perjuangannya tercapai. Andai malaikat maut datang menjemputnya sebelum perjuangannya selesai, akan lahir mata rantai-mata rantai selepasnya yang akan meneruskan perjuangannya tadi. Walaupun Hasan al-banna telah seratus tahun meninggalkan dunia, perjuangannya masih hidup bahkan bukunya dirujuk oleh ahli mahupun bukan ahli Ikhwanul Muslimin dari serata jihat dunia.

Inilah rahsia untuk kekal menulis. Namun, jika dasar kalian menulis adalah sebagai satu strategi dakwah dan suatu hari kalian temui jalan yang lebih baik daripada menulis untuk berdakwah, pada saya bukan satu dosa untuk meninggalkan bidang ini.

Jadi apa yang kita perjuangkan dalam bidang ini?

Kesimpulan
Entri ini bukanlah apa-apa melainkan teguran dan peringatan buat diri saya sendiri Lalu, tergerak hati ini untuk berkongsi pula dengan keluarga MPR 09 di samping menyambut seruan Nabi tercinta, “Sampaikahlah dariku walau satu ayat”. Moga ada manfaatnya untuk kita bersama. Tidak pernah rugi orang yang saling memperingati antara satu sama lain kerana memberi peringatan itu bermanfaat buat orang mukmin( Az-zariaat,55). Saling kita menguatkan. Insya-Allah.
Wallahu’alam.

Saturday, January 02, 2010

Bukan Lagi Rahsia

Bismillahirrahmanirrahim...

Rindu Masuk Kuliah
Sebulan lebih tidak masuk kuliah. Rasa rindu untuk kembali masuk kuliah. Surat tawaran untuk sambung STAM dari Perlis sudah sampai. Saya mahu ambil STAM di Melaka. Surat itu saya abaikan. Surat tawaran dari Melaka belum sampai. Bimbang pula yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Alamat menganggurlah saya sementara menanti bulan Oktober ini jika surat tawaran dari Kolej Teknologi Islam Melaka (KTIM) sampai sudah tidak sampai-sampai.

Tidak Mahu Berahsia Lagi
Rasanya, saya tidak mahu berahsia lagi. Pada sesetengah rakan saya maklumkan saya hendak mengambil STAM sahaja. Pada sesetengah yang lain saya beritahu saya mahu ke Mesir mengambil perubatan. Sebahagian kecilnya tahu keseluruhan cerita.

Setelah lama fikir( sebenarnya dari matrik beberapa percubaan untuk menukar kos telah saya lakukan termasuk di universiti lain. Namun yang berjayanya hanya pertukaran dari asasi kejuruteraan ke asasi sains fizikal di UIA) saya bertekad untuk ambil keputusan ini. Sayangnya, semasa keputusan diambil, sudah terlewat. Saya terlepas untuk terbang ke Mesir bagi mengambil perubatan bersama-sama beberapa orang sahabat. Setelah berbincang dengan pihak yayasan serta dengan ibu dan ayah, keputusan yang diambil, saya akan pergi tahun depan. Jika ada rezeki pergi dengan adik, Shidqullah. Doakan keputusan peperiksaannya baik.

Habis kenapa keluar dari UIA? Kenapa tidak tunggu sampai bulan Oktober sahaja di UIA?
Sukar saya hendak cakap. Kemuncak keputusan saya ini adalah apabila saya mula mengakui kebenaran kata-kata beberapa sahabat. “Matematik ini tidak tercapai dek pemikiran,” “Susah hendak mengaitkan antara matematik dan kehidupan terutamanya tentang ketuhanan,”.

Saya mula rasa ruginya masa belajar sesuatu yang tidak tercapai dek pemikiran. Lalu saya mengambil keputusan tukar bidang. Mungkin juga ada sedikit sebanyak desakan daripada ibu bapa yang sejak dulu mahu saya mengambil bidang perubatan. Namun ini hanyalah sebahagian sebab dan masih ada sebab-sebab lain yang sulit untuk saya nyatakan di sini.

Setahun Allah tahan saya di sini lagi mungkin untuk saya nilai semula tentang keputusan mengambil bidang perubatan ini. Mungkin, masa buat keptusan tempoh hari saya terlalu mengikut emosi. Namun, sehingga saat saya menulis entri ini, saya masih tetap dengan keputusan saya dan tidak akan berganjak lagi. Insya-Allah.

Kenapa ambil STAM?
Saya ambil STAM sebab setelah mengambil keputusan untuk tukar bidang pengajian tempoh hari, saya sudah tidak boleh berhadapan lagi dengan matematik. Saya masuk ke kelas tanpa membawa hati. Jadi, saya ambil keputusan ini. Tak baiknya ambil STAM sebagai transit sahaja! Namun, saya sudah letak beberapa matlamat sepanjang pengajian STAM nanti. Terutamanya, dari segi Al-Quran saya sendiri sebab salah satu subjek STAM adalah hifz Quran. STAM adalah peluang terbaik buat saya mencari ruh Al-Quran yang telah hilang daripada diri di samping mendalami Bahasa Arab dan ilmu-ilmu agama lain.

Ruginya Umur!
Ramai yang komen demikian ketika saya ceritakan hal yang sebenar. Saya tidak rasa begitu. Sepanjang mengaji kejuruteraan, matematik dan akan datang STAM dan perubatan, saya sentiasa bergelumang dengan ilmu. Lalu di titik mana saya rugi ? Walaupun ketika belajar matematik perasaan itu timbul, namun matematik tetap ilmu. Itu terpaksa saya akui bahkan perlu akui. Saya akan cuba cari ruang dan peluang untuk mengkaji dan mencari hubung kait matematik dan ketuhanan. Kalau ada sahabat-sahabat dapat membantu, saya alu-alukan.

Kenapa tidak ambil perubatan awal-awal dulu?
Keputusan untuk ambil kejuruteraan( mula-mula dulu sebelum tukar ke sains fizikal) saya buat sewaktu di Darul Quran. Sebabnya? Biarlah saya sahaja yang tahu. Namun, apa yang boleh saya katakan keputusan itu dibuat mengikut emosi tanpa istikarah dan perbincangan dengan sesiapa pun. Jadikan ini pengajaran.

Kurangkan Beban
Untuk mengurangkan beban ibu dan ayah, saya cuba untuk mencari pendapatan sendiri. Alhamdulillah, Allah berikan ruang dan peluang untuk saya pergi jauh dalam bidang penulisan. Ruang ini bukan sahaja menjadi medan dakwah bahkan turut memberikan pulangan buat saya. Moga Ibu dan ayah tidak terbeban lagi menanggung anak mereka yang seorang ini.

Kesimpulan
Akhirnya, semoga rentetan cerita yang sebenar jelas buat sahabat-sahabat semua. Saya tulis entri ini untuk elak salahfaham berlaku dek versi-versi cerita yang berbeza. Maaf, bukan niat hendak rahsiakan cuma ketika itu tidak yakin untuk nyatakan. Bimbang nanti apa pula orang kata. Kini saya tidak kisah lagi apa orang hendak kata. Sedikit sebanyak saya sudah nampak kesan dari keputusan saya. Sehingga saat ini, kesannnya masih positif. Semoga kesan baik mengatasi kesan negatif.
Kita merancang, Allah juga merancang. Namun, Allah jualah sebaik –baik perancang. Semoga perancangan saya ini selari dengan perancangan Dia. Ameen.


Friday, January 01, 2010

Ole-Ole dari MPR : Sebelum Berkalang Tanah

Bismillahirahmaniraahim...

Setelah dihentam, dibasuh dan ditonyoh oleh Kak Del dalam sesi penilaian, MPR lalu, saya edit semula cerpen ini. Alhamdulillah, walaupun mungkin tidak sebaik karya Marwan (Penerima anugerah terbaik cerpen MPR 09 lalu), saya berharap cerpen ini mampu menyedarkan kita yang tidak sedar tentang apa yang berlaku di Pattani. Segala input tentang Patani yang saya peroleh dalam program AD 09 sebelum ini membantu saya menyiapkan cerpen ini. Insya-Allah, jika ada rezeki saya mahu panjangkan cerpen ini menjadi sebuah novel. Semoga bermanfaat buat semua. Pattani memanggil kita!

TATKALA menyapa bumi yang sudah berdekad-dekad berantakan itu, satu papan tanda dengan tulisan jawi menerjah kornea mata Munsyirah. Spontan,gadis berjilbab merah hati itu tersenyum. Susah bahkan mungkin tiada papan tanda dengan tulisan seperti itu di bandar raya tempat maharaja Thailand bersemayam kini. Trak kecil yang ditumpanginya meluncur lancar di atas jalan berlekak-lekuk itu. Sesekali kepalanya terhantuk di bumbung pacuan empat roda berkenaan.

“Pemeriksaan lagi!” rungut Munsyirah. Baru lima belas minit lepas dari pos kawalan pertama, dia kembali dicerlung tajam oleh sebilangan askar di sebalik jeriji besi kecil di tengah jalan. Beberapa kenderaan tentera tersusun di pinggir kanan jalan tidak jauh daripada pos kawalan terbabit. Trak kembali meluncur di atas jalan sebaik sahaja soal siasat ringkas selesai. Dada Munsyirah sebu. Bumi yang sedang dipijaknya ini tidak ubah seperti di tanah berdirinya Al-Aqsa kini.

“Daripada hidup dalam kehinaan, lebih baik pergi meniggalkan dunia. Murid-murid, inilah maksud peribahasa tadi. Sekarang cikgu mahu kamu semua salin peribahasa ini di dalam buku masing-masing,” jelas Munsyirah. Daripada bercerminkan bangkai, lebih baik mati berkalang tanah. Itu peribahasa yang tertera di papan hijau. Berdindingkan jaringan besi, kelas di bangunan setingkat itu sesak dengan puluhan pelajar hawa. Tiga pelajar berkongsi sebuah meja.

Dia kemudiannya melemparkan pandangan lewat jaring besi yang dijalin untuk membentuk dinding bilik darjah. Tepat bertentangan dengan bangunan di tempat dia berdiri, sebuah bangunan tiga tingkat menerjah indera lihat. Catnya sudah nanar. Mengelupas di sana sini. Matanya bergulir pula ke sebelah kiri. Satu-satunya bangunan kayu dua tingkat di kawasan Maahad Al-Bi That Ad-Diniah itu menarik perhatinya.

“Bagaimana agaknya tujuh ribu pelajar dapat ditampung dengan hanya tiga bangunan using ini?” Dahinya berkerut. Dia melarikan pula pandangan ke dataran di tengah-tengah madrasah. Sebilangan pelajar berkejar-kejaran mengelilingi dataran. Sebilangan lagi duduk-duduk di atas rumput dan sekitar kawasan itu sambil tangan cekat menyelak lembaran buku. Ada juga yang tekun menulis. Seingat Munsyirah sebelum masuk ke kelas tadi dia sudah melihat kumpulan anak-anak itu di situ. Mereka masih tetap di situ setelah setengah jam berlalu. Munsyirah sudah dapat mengagak sebabnya.

“Khaulah,” jawab kanak-kanak itu ringkas. Munsyirah menjungkitkan kedua-dua belah kening. Terbayang-bayang dibenaknya seorang wanita berpakaian serba hitam. Hebat menunggang kuda dan menghayung pedang di medan juang.

“Kamu mahu jadi seperti Khaulah Al-Azwar di zaman Rasulullah?” tanya Munsyirah. Pantas Khaulah mengangguk. Matanya bersinar galak.

“Khaulah mahu belajar ilmu peperangan. Kemudian, Khaulah akan ajar pula kawan-kawan dan penduduk kampung Khaulah cara mengangkat senapang. Kelak kami tidak perlu lagi takut berhadapan dengan askar Siam. Khaulah akan membalas dendam atas pemergian orang kampung yang tidak terbela,” tegas Khaulah. Ternganga Munsyirah mendengar bait-bait yang meluncur dari tubir bibir anak didiknya itu. Jujurnya, perkara itu tidak pelik. Khaulah membesar di daerah terjajah. Saat dia celik mata, dia sudah mengenal hanyirnya darah.

Munsyirah tahu Khaulah sahaja bercita-cita seperti itu. Anak-anak gadis lain pasti berkongsi semangat yang bersama. Kaum hawa ini paling ramai mendiami kampung itu saat ini. Jarang-jarang dia berselisih dengan kaum Adam sejak hari pertama sampai ke kampong itu. Baik tua. Baik Muda. Mereka diburu sehingga ke lubang biawak. Suatu hari, tidak mustahil si ibu terpaksa menghanyutkan anak lelaki mereka di sungai bahkan laut demi menyelamatkan keturunan mereka. Laksana ibu Nabi Musa tatkala zaman prahara pemerintahan Firaun.

“Cikgu bangga dengan Khaulah. Namun pedang dan senapang bukannya satu-satu jalan penyelesaian yang ada.” Munsyirah terdiam sejeda. Wajah bening Khaulah diseluruhi. “Ada benda yang jauh lebih tajam daripada pedang dan lebih hebat daripada letupan bom. Memiliknya bererti menguasai segala-galanya. Dia akan menatang kita apabila kita menghargai dan menggalinya. Tiada musuh yang tidak dapat ditangani melainkan dengan kuasa Ilahi. Benda itu adalah ilmu, Khaulah.” Penuh hikmah Munsyirah berbicara. Giliran Khaulah pula ternganga.

“Kau tentu tahu bukan, Pattani adalah sebahagian daripada Kerajaan Melayu Islam. Negeri ini pernah berada di bawah pengaruh kerajaan Mogul melalui Ayutthaya sebelum tahun 1767. Akibat putar belit British, Siam menakluki Pattani. Bermula tahun 1909, derita dan sengketa mewarna hidup Muslim Pattani.” Munsyirah memeluk tubuh. Masih terbayang mata buntang Wajdi tadi tatkala dia mohon mereka tangguh majlis pertunangan mereka cuti sekolah yang bakal menjelang nanti. Dia mahu turut serta sebagai cikgu sukerala mengajar Bahasa Melayu di Pattani. Tepatnya di sebuah madrasah tua. Mendesah-desah nafas Wajdi saat itu.

“Mereka cuma dihalang berbicara dalam Bahasa Melayu dan ditegah mendalami sejarah Pattani di sana. Padaku, adat menumpang memang begitu. Mereka harus tunduk pada tuan yang member tumpang.” Wajdi tidak mahu kalah menganjur hujah. Munsyirah menjengilkan mata.

“Sedangkal itu fikiranmu, Wajdi! Kamu lupa barangkali, aku, kamu dan sebahagian besar daripada mereka sujud pada Tuhan yang satu dan bersuluh syariat yang diajar oleh nabi yang sama! Kulitnya, Siam kelihatan cuba meruntuhkan satu budaya, namun inti hakikatnya, mereka cuba menanggalkan Islam dari jiwa seluruh Muslim di sana, Wajdi!” Suara Munsyirah sedikit tinggi. Nafasnya berbunyi.

“Seribu satu macam lagi bentuk bantuan yang dapat kauhulurkan buat mereka. Untuk membatalkan majlis pertunangan kita kukira adalah keputusanmu yang keterlaluan.” Wajdi kelihatan mahu mengubah haluan bicara. Terlajak perahu boleh diundur. Barangkali dia terpukul dengan bicara buah hati pengarang jantungnya.
“Memang sejuta satu cara terbentang buat kita membantu mereka di sana. Namun dalam puluhan juta itu aku memilih jalan ini untuk membantu mereka.” Pemuda berjanggut pandak dan berkulit cerah itu dia lihat menggetap bibir. Tanpa bicara, dia langsung melangkah pergi. Sempat Munsyirah menjeling wajah cuka.

“Sebelum berkalang tanah, Khaulah mahu melihat negeri ini bebas mengecap nikmat merdeka. Khaulah mahu menjadi wira pada agama dan bangsa. Akan khaulah tuntut ilmu walau ke negeri China. Kemudian Khaulah pulang ke tanah air dan berjuang seperti Salahuddin Al-Ayyubi. Apa cita-cita Cikgu sebelum berkalang tanah?. ” Tanya Khaulah sambil tangan kanan menujal tanah mengukir aksara ‘Wira’. Kepalanya ditoleh ke arah Munsyirah. Guru muda itu menjungkitkan kening.

“Cikgu bangga dengan cita-citamu, Khaulah,” puji Munsyirah. Wajah polos khaulah diseluruhi dengan pandangan sayu. “Cikgu mahu buat sebaik-baik amal sebelum berkalang tanah. Moga apa yang sedang Cikgu buat kini dikira Allah sebagai sebaik-baik amal Cikgu. Jom kita pulang,” ajak Munsyirah. Khaulah akur. Petang merangkak senja. Di kanvas langit , tiada riuh camar. Daun pepohon ketapang melambai malas. Munsyirah memimpin tangan Khaulah. Kejap digenggam tangan si kecil itu. Esok dia akan pulang ke tanah airnya. Seminggu sudah dia di daerah bergolak itu. Hari Isnin nanti persekolahan berjalan seperti biasa. Rasa baru semalam dia sampai. Namun, dia akui, cuti itu paling bermakna buatnya.

“Esok, Cikgu akan pulang ke Malaysia.” Langkah Khaulah terhenti tiba-tiba. Munsyirah terlajak ke hadapan. Dia terpaku di situ. Genggaman tangan terlerai. Musyirah menoleh. Khaulah dilihat menarik muka cemberut. Munsyirah menekur tanah sambil kepala ligat berkerja mencari bait-bait indah buat memujuk jiwa si kecil itu. Tidak sangka Khaulah tersinggung dengan berita itu. Suasana Khali.

Bang! Bang! Bang!

“Cikgu!” Jeritan itu semakin perlahan kemudian tenggelam bersama hilangnya sinar teja di kaki langit.

Pagi mendaki Dhuha. Dataran Masjid Jamek Pattani melimpah dengan lautan mahasiswa Islam seluruh Thailand. Tidak kalah juga golongan orang tua dan kanak-kanak. Mereka yang berdiri di dalam kawasan dataran terpaksa berhimpit-himpit. Sudah masuk hari ketiga, kenderaan tidak dapat lalu di kawasan masjid itu. Setiap lorong bahkan setiap inci ruang yang ada dipenuhi manusia. Sepanduk bersepah-sepah digantung dan dijulang. Menanti Perdana Menteri Thailand yang khabarnya mahu bersua muka.
Jika dahulu, setiap kali demonstrasi diadakan, mereka mengenakan penutup muka. Namun sepanjang tiga hari ini, tiada seorang pun yang mengenakan penutup wajah. Bilangan mereka bak ikan di lautan. Tidak terkira. Tidak tercam oleh pihak tentera. Serasa, itu perhimpunan paling besar dalam sejarah Pattani. Bilangan yang hadir jauh mengatasi demonstrasi bulan Jun 2007 lalu.

“Kami mahu kamu tarik semula pasukan tentera bersenjata di setiap kampung dan daerah!” jerkah mereka sebelum sempat Perdana Menteri Thailand mula berbicara. Beliau terpaksa turun sendiri ke lapangan. Apatah lagi, peristiwa itu turut melibatkan seorang gadis dari Malaysia. Hubungan dengan Negara serantau perlu dijaga. Pihak tentera sendiri tidak berjaya meleraikan perhimpunan itu. Selagi tiada pembelaan sewajarnya.

“Baiklah. Saya berjanji akan menarik semula pasukan tentera dari kampung kalian,” Janji Abisit setelah beberapa waktu terbungkam. Kedengaran takbir bergema bak halilintar menggegarkan bumi. Awan waktu Dhuha bersimpul –simpul membentuk rupa bening Khaulah. Angin berpuput manja mengirim khabar gembira itu buat Khaulah.

“Alhamdulillah!” kalimah suci itu mercup bertubi-tubi dari tubir bibir Munsyirah. Saat itu juga dia sujud. Kelopak matanya bergenang. “Akhirnya Cikgu berjaya menuntut bela atas pemergianmu, Khaulah,” bisik hati Munsyirah. Dia mengesat air mata dengan kura jubah hitamnya. “Allah lebih menyayangimu. Cikgu berjanji, Khaulah, selagi tubuh belum berkalang tanah, Cikgu akan cuba menyempurnakan hajatmu. Cikgu akan terus menetap di negerimu ini. Cikgu akan didik anak bumi ini, sehingga mereka mampu menjadi seperti Al-Ayubbi,” rintih Munsyirah.
“Aku akan bersama-samamu mendidik mereka!” Saat itu, Munsyirah mendongakkan kepala. Imej pemuda berkulit cerah dan berjanggut pandak menerjah indera lihatnya. Peluh kelihatan berjujuhan di dahinya. Dadanya sedikit berombak. Munsyirah terkesima dalam bahagia.