Tuesday, March 30, 2010

Nikmat Sibuk

Bismillahirrahmanirrahim..



Demi masa!
Sesungguhnya manusia dalam kerugian,
Kecuali orang-orang yang percaya, dan membuat kerja-kerja kebaikan,
dan saling berwasiat pada yang benar, dan saling berwasiat untuk bersabar.
(103:1-3)


“Masa kita tidak sama,” ujar saya pada Zaharah, rakan sebilik saya ketika dia mengeluh begitu cepat masa berlalu. Zaharah menjungkitkan kening. Entah mengapa saya rasa masa begitu lambat berjalan. Agaknya inilah yang dikata orang penantian itu satu penyiksaan. Saya benar-benar tersiksa. Namun banyak pula yang saya belajar dari detik-detik yang meyiksakan ini.

“Masa harganya setinggi nilai kehidupan. . Membuang masa sesaat ibarat membazir usia dan kehidupan ,” terngiang-ngiang pula kata-kata Ustazah Rokiah.



“Kita akan diminta untuk bertanggungjawab di hadapan Allah kelak atas setiap detik saat kehidupan kita,” sambung Ustazah. Saya termenung sambil mengigit ibu jari tangan. Memikirkan hari-hari dan detik-detik waktu yang telah saya sia-siakan terutamanya sejak memulakan hidup baru di t bumi Perlis. Saya terlalu memikirkan tentang Mesir dan tempat pengajian yang baru kelak sehingga melupakan untuk menghargai detik masa yang sedang saya lalu saat itu.

Terasa ruginya mengisi waktu dengan tidur dan sembang-sembang kosong semata-mata mahu masa cepat berlalu.

Antara Semalam dan Masa Depan

Ketika tangan lincah menekan papan kekunci komputer peribadi, pandangan saya singgah lama pada sebuah artikel “Antara Semalam dan Masa Hadapan” . Sejenak kita teliti kata-kata Imam Ibn Qayyim Al Jawziyyah.

Hidupmu di saat ini adalah diantara hari hari semalam dan masa hadapan. Jadi, segala yang telah berlalu boleh ditebus dengan Taubah (taubat), nadam (penyesalan) dan istighfar (meminta keampunan dari Allah). Dan ianya tidak akan memenatkan kamu, dan tidak memerlukan kamu berhempas pulas seperti halnya jika kamu seorang buruh kasar. Malah ianya adalah perbuatan hati. Oleh itu, untuk masa hadapan, (ia boleh di perbetulkan) dengan melindungi diri dari dosa. Melindungi diri ini hanyalah dengan meninggalkan (perbuatan dosa itu) dan berasa selesa tanpanya. Ini juga bukan perbuatan tubuhmu, yg memerlukan kamu berusaha dan berhempas pulas. Malah ia adalah keteguhan pendirian dan niat di hati. Jadi untuk segala yang telah berlalu, betulkanlah dengan taubat. Dan untuk masa hadapan, betulkanlah ia dengan meneguhkan pendirian dan niat. Kedua duanya tidak mengenakan sebarang kesusahan dan keletihan pada tubuh.

Tetapi perhatian kamu harus ditumpukan kepada masa kehidupan kamu di saat ini - masa diantara dua masa. Jika kamu membazirkannya, maka kamu telah melepaskan peluang untuk menjadi dikalangan mereka yang beruntung dan diselamatkan. Jika kamu menelitinya, setelah memerhatikan kedua dua masa tadi - masa yg sebelum dan selepas saat ini, seperti yang telah kita bicarakan - maka kamu akan menjadi seorang yang berjaya dan kamu akan mencapai kerehatan, kegembiraan dan nikmat yang kekal abadi. Tetapi, menjaganya lebih susah dari apa yang telah berlalu dari nya dan yg akan datang kemudian, kerana menjaganya memerlukan kamu meletakkan hidup kamu kepada perkara yang paling layak dan bermanfaat utk ruh kamu, dan itulah yang akan membawa kamu kepada kejayaan.

Lantaran itu, saya mengambil keputusan ini. Bumi perlis saya lepaskan dengan berat hati. Saya sayang hendak tinggalkan kelas Quran dan Tafsir, Usul Fiqh, Hadis dan mustolahah, Al-Quran dan Tajwid, balaghah, Arud dan Qafiah, Adab dan Nusus, Isya’ dan Mutola’ah, Nahu dan Sorof.

Walaupun hadirnya saya di Perlis hanyalah sebagai mustami’un(pendengar) dan tidak akan menduduki peperiksaan, saya benar-benar merasakan kenikmatan mempelajari ilmu agama ini.

Waktu yang benar-benar bermakna dan bermanfaat hanya sekitar masa kelas berjalan yakni 8 pagi sehingga 12.30 tengah hari. Juga apabila ada kuliah-kuliah di masjid dan pengisian di Teratak Rahmat yang kadang kala saya hadiri. Apabila kelas hampir tamat saya mula rungsing. Tidak keruan kerana saya tahu sekejap lagi saya akan mengkhianati masa itu.

Entah mengapa saya jadi beku. Hidup terasa sangat hambar. Penantian jadi begitu lama. Segala yang dibuat serba tidak kena. Momentum menulis tiba-tiba ranap.

Barangkali ini penangan masa lapang yang disia-sia. Saya tenggelam pula dalam masalah hati yang entah datang dari mana.

Mungkin inilah juga penangan penantian. Buat kata Kak Fatin, penantian tanpa melakukan apa adalah pembaziran. Saya melalui tempoh penantian dalam pembaziran itu. Akhirnya, saya sampai pada satu keputusan.

Tinggalkan bumi Perlis.



Kehidupan Baru

Hampir sebulan sudah saya bertugas di sebuah badan buka kerajaan (NGO), Sahabat Alam Malaysia. Pejabat SAM terletak di Pulau Pinang. Walau bagaimana pun pejabat agak jauh daripada rumah. Saya duduk menyewa sebuah rumah flat bersama-sama rakan sepejabat lain. Saya benar-benar menikmati kesibukan peluang bekerja buat pertama kali ini. Saya masuk ke pejabat pada pukul 9 pagi dan pulang pada pukul 5.15 petang. Bekerja dari hari Isnin sehingga Sabtu. Pada hujung minggu saya berkesempatan turun ke pelbagai program. Sedar tidak sedar, bulan Mac bakal berakhir.

Kesedihan kerana tidak lagi dapat menghadiri kelas – kelas seperti di Perlis terubat dengan pengisi hujung minggu yang pelbagai. Selepas ini, harapnya saya berkesempatan menghadiri kuliah akiqah bulanan oleh Ustaz Hafiz Nordin yang belum sempat saya jengah sepanjang ia berjalan. Menjadi harapan saya juga untuk menjejak kaki ke bumi Pattani dan sama-sama membantu sahabat-sahabat aktivis di sana.

Menyibukkan Diri

Kadang-kala aksara di menyibukkan diri ini dikaitkan dengan perkara yang tidak baik. Sehingga muncul beberapa peribahasa atau pepatah. Misalnya menjaga tepi kain orang.

Saya suka petik satu hadis Nabi s.a.w. yang mafhumnya bermaksud:

Daripada Abdullah ibn Abbas r.a. Nabi s.a.w. bersabda: " Dua nikmat yang ramai manusia sering dilupakan oleh manusia: Nikmat kesihatan dan masa lapang." (HR Bukhari)

Dalam sedar atau tidak, menyibukkan diri menjadi salah satu jalan yang dapat kita telusuri agar tidak tergolong dalam dua golongan yang disebut oleh baginda ini.
Menonton wayang dari pagi sampai ke petang.

Berjalan-jalan dan merayau-rayau di pusat membeli belah tanpa tujuan.

melayari internet tanpa memurnikan isinya.

Ini juga bentuk-bentuk menyibukkan diri. Namun bukan ini yang saya maksudkan. Sibuk yang saya maksudkan sudah tentu datang dengan syarat-syaratnya. Misalnya, sibukkan diri dengan amal islami.

"Masalh couple ini lumrah la! Tidak boleh dinafikan lagi. Sukar lagi untuk merawat barah yang satu ini," ujar seorang sahabiah.

“Apabila sudah sampai ke peringkat perlu merawat memanglah sedikit sukar. sebenarnya ada perkara yang boleh dilakukan untuk mengelak diri dari terjun dalam dunia yang penuh bergolak itu,” ujar saya dalam sesi perbincangan kecil bersama-sama beberapa rakan selepas solat Maghrib.

“Bagaimana?” tanya seorang sahabaiah penuh minat.

“Sibukkan diri dengan amal islami,” jawab saya. Menyibukkan diri dalam amal islami merupakan satu bentuk pencegahan. Bukankah mencegah itu lebih baik daripada merawat?

Dengan menyibukkan diri memikirkan bagaimana hendak menyelesaikan masalah ummah bukan sahaja membuatkan kita menjadi lebih matang bahkan mampu membentengi remaja-remaja dan belia yang sedang bergelodak jiwanya dari aktiviti-aktiviti tidak bermanfaat.

Saya kira di luar sana banyak pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dan berfikrah Islam yang memerlukan tenaga penggerak yang tidak sedikit. Isu-isu seperti masalah sosial dalam kalangan remaja, serangan pemikiran, isu pergolakan di Selatan Thai, isu alam sekitar serta isu kepenggunaan adalah antara lapangan-lapangan yang mendambakan tenaga penggerak untuk membantu usaha-usaha yang telah dicetuskan.

Jika tidak selesa dengan idea-idea perjuangan yang ada, bawa dan kembangkanlah idea perjuangan sendiri. Misalnya, kalian rasa perlunya satu kumpulan yang bergerak untuk mengatasi masalah-masalah yang melanda kaum wanita contohnya tuntutan faskh yang tertunggak. Ibu-ibu tunggal tidak dapat pembelaan dibela. Sekurang-kurangnya tindakan kalian dapat menyekat keliberalan Sister In Islam yang banyak menggunakan isu-isu seperti ini untuk mengetengahkan idea-idea liberal mereka.

Masalah ummah ini banyak. Tinggal kita sahaja memilih untuk membantu menyelesaikannya atau sebaliknya.

Tidak keterlaluan untuk saya katakan, menyibukkan diri ini adalah salah satu tanda syukur kita pada Allah. Apabila kita sibuk, tiada ruang untuk kita membazir masa. Tidak sempat kita berbicara yang lagho-lagho. Tidak terlintas di fikiran kita untuk bermaksiat padaNya. Tidak sampai niat kita untuk kita mengumpat dan menzalimi sesiapa.

Namun sibuk itu mestilah yang bersyarat. Sibuk yang melorong kita menggapai redhaNya. Sibuk yang membawa kita menyentuh kasih sayangnya. Sibuk yang di dalamnya terisi penuh dengan program-program yang membuka hati kita betapa luas sifat pengampunanNya. Bukan sibuk yang tambah memlalai dan menjauhkan kita dariNya. Itu sudah semestinya.

Nikmat Sibuk

Buat masa ini, kesibukan yang sedang saya kecap benar-benar saya nikmati.

Kata bijak pandai,

“Hanya orang yang sibuk punya masa.”

Berilah kerja kepada orang yang sibuk, necaya dia akan mampu laksanakannya. Seseorang yang sibuk akan lebih peka terhadap masa. Terasa sia-sia menonton televisyen yang rancangannya hiburan semata-mata. Terasa rugi membiarkan lima belas minit masa untuk menunggu bas tidak diisi dengan aktiviti membaca atau berzikir sekurang-kurangnya. Terasa berdosa andai isi percakapannya yang lagho-lagho sahaja. Terasa menyesal andai menyambung tidur selepas Subuh. Menyusun kerja sudah tentu menjadi rutinnya agar setiap tugas yang dibebankan di pundakknya mampu diselesaikan dengan saksama.

Saya mahu menjadi orang sibuk seperti ini.



Nikmat sibuk ini kembali menggerakkan momentum menulis yang kemarau untuk beberapa ketika. Manuskrip ketiga yang terbengkalai kembali mendapat sentuhan. Bahkan saya sedang merencana jalan cerita pelajar universiti yang gila-gila tetapi Islamik seperti yang dipinta oleh Kak Mas dari PTS. (Namun, proposal Kasih Sehijau Bakau yang saya panjangkan pada Encik Zakaria di Galeri Ilmu masih belum berkembang. Perancangan baru akan disusun untuk kelak, Insya-Allah =)) Di samping menyiapkan artikel-artikel untuk dimuatkan dalam buku siri cerita rakyat SAM. Dalam kerancakan mengetip papan kekunci, timbul idea menulis buku motivasi. Kerjasama dengan sahabat baik. Insya-Allah, doakan idea dan usaha-usaha yang bertalu-talu ini tidak sekadar hangat-hangat tahi ayam.

Nikmat sibuk atau lebih tepat menyibukkan diri ini membuatkan masa berlalu tidak terasa. Alih-alih Bulan Mac 2010 bakal menutup tirainya. Penantian saya semakin bermakna. Lambaian pintu gerbang Universiti Al-Azhar kian tampak di mata.

Justeru, rungsinglah hati andai tidak berbuat apa-apa dengan nikmat masa lapang. Sebaliknya syukuri dan nikmatilah peluang sibuk yang Allah berikan buat kita. Andai tidak sibuk, menyibuklah anda dengan kesibukan bersyarat.

Tuesday, March 23, 2010

Panggillah Aku Dengan Namaku

Bismillahirrahmanirrahim...



“Munirah, nama apa yang sedap dan baik maknanya untuk digandingkan dengan nama Uwais? Munirah ada cadangan?”

Satu mesej pesanan ringkas saya terima beberapa malam lepas. Tatkala mendapat mesej tersebut, saya senyum sendiri. Teringat akan cerita Ustaz Rizaudin menamakan anak saudaranya. Disangka nama yang disebut oleh abangnya Soffina Aina yang membawa maksud kesucian mata kami. Rupa-rupanya abang beliau menyebut Sorfina Aina. Jadilah maksudnya perubahan mata kami. Ustaz tersalah dengar.

Kisah ustaz membuatkan saya lebih berhati-hati.

Tanpa membuang masa saya menghubungi beberapa sahabat untuk tanyakan pendapat. Ustaz Ihsan tidak terkecuali ‘menerima’ gangguan saya malam itu. Maafkan saya ustaz. Terganggu kelasnya malam itu. =)

Nasib saya sedikit malang kerana tiada yang dapat membantu. Sedang Kak Jamilah amat mengharap. Anak lelakinya bakal lahir tidak lama lagi. Saya minta tangguh daripada Kak Jamilah untuk beberapa ketika.

Keesokan hari, saya terburu-buru ke pejabat. Sebaik sahaja melabuhkan punggung terus laptop saya hidupkan. Walaupun ada beberapa tugas menanti. Saya tangguhkan tugas-tugas lain. Sepertinya Kak Jamilah sudah melahirkan bayinya itu pula. Hmmm.
Namun saya teruja untuk mencarikan nama yang baik dan indah buat seorang lagi saudara yang bakal lahir ke dunia.

Puas meneliti nama-nama indah dalam Islam akhirnya saya keluarkan beberapa senarai.

Uwais Asyraf- Pemberian yang mulia
Uwais Anwari- pemberian cahayaku
Uwais Rajaie- pemberian harapanku
Uwais Rifaie-pemberian tertinggiku
Uwais yusri- pemberian kesenanganku
Uwais syukri- pemberian kesyukuranku

Senarai ini saya berikan kepada Kak Jamilah. Alhamdulillah, Kak Jamilah sangat gembira.

“Sedap-sedap nama cadangan munirah ini. Nanti akak bincang lain dengan Abang Zaini (suaminya). Terima kasih,” balas Kak Jamilah.

Saya tersenyum puas. Nama –nama itu bakal melalui satu lagi peringkat saringan.
Cuba lihat, agak rumit proses memilih nama ini. Hari ini saya memilih nama untuk anak Kak Jamilah. Akan tiba satu hari saya akan sibuk memilih nama untuk anak sendiri. Insya-Allah.

Senario hari ini, kita gemar memendek-mendekkan nama sama ada nama sendiri mahupun nama orang lain. Sehingga kadang-kadang lari maksudnya bahkan membawa maksud yang tidak murni pula. Jika nama mereka agak -agak macam orang lama sedikit seperti Habsah, Khadijah dan Fatimah diubah-ubah nama itu misalnya menjadi Khatty dan sebagainya. Muhammad jadinya Mat saja. Saifuddin jadinya Udin saja.

Tidak adakah orang yang baik panggilannya tetapi buruk perangainya?

Bukan tidak ada, namun apabila ibu bapa memberi nama-nama yang baik pada anak-anak mereka, mereka menyandarkan satu harapan pada nama itu. Moga-moga anak-anak mereka berperwatakan seperti nama yang diberi.



Misalnya nama Uwais ini. Uwais al-Qarni memasuk Islam pada zaman Nabi, namun beliau tidak pernah berjumpa dengan baginda. Selepas kewafatan Nabi, beliau sempat berjumpa dengan Umar Al-Khattab dan Ali bin Abi Thalib.

Beliau merupakan seorang pengembala kambing. Di ceritakan ketika terjadi perang Uhud Rasulullah SAW mendapat cedera dan giginya patah karena dilempari batu oleh musuh-musuhnya. Khabar ini akhirnya sampai ke telinga Uwais. Ia segera memukul giginya dengan batu hingga patah. Hal tersebut dilakukan sebagai bukti kecintaannya kepada beliau SAW, sekalipun ia belum pernah melihatnya.

Beliau SAW bersabda : “Suatu ketika, apabila kalian (sayyidina Ali k.w. dan sayyidina Umar r.a.) bertemu dengan dia, mintalah do’a dan istighfarnya, dia adalah penghuni langit dan bukan penghuni bumi”.

Hebat bukan Uwais ini. Biar tidak terkenal di bumi, Uwais mahsyur di langit. Begitulah harapan Kak Jamilah tatkala memutuskan untuk menamakan anaknya yang bakal lahir dengan nama Uwais.


Abul Laits Assamarqandi meriwayatkan dengan sanadnya daripada Abu Hurairah r.a. berkata Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Hak anak yang harus dilaksanakan oelh orang tua ada tiga iaitu:

Memilihkan nama yang baik ketika lahir

Mengajari kitab Allah s.w.t. (Memberi didikan agama)

Harus dikahwinkan jika telah dewasa (jangan sampai tergoda sehingga berlacur)


Terus terang saya katakan, saya sangat suka orang memanggil saya dengan nama penuh. Maksud saya sama ada Munirah atau Siti. Kalau mahu panggil saya Siti Munirah, itu jauh lebih saya sukai. Maknanya yang bersinar-sinar.

Sewaktu di sekolah menengah, guru Fizik saya Cikgu Yazee gemar sekali memanggil nama penuh kami anak-anak muridnya. Biarlah panjang mana sekalipun nama itu.

“Siti Munirah, kenapa keputusan kamu begini?”

Antara dialog-dialog Cikgu Yazee yang masih saya ingat.

Dulu, apabila ibu memanggil saya Mun, saya sangat marah.

“Tiada maksud nama itu!” rungut saya.

“Moon itu kan bulan. Cuba lihat bulan menjadi petunjuk kala pada waktu malam,” pujuk ibu. Dan sejak itu baru saya terima nama Mun itu.

Mungkin persoalan panggilan nama ini kita rasa remeh. Namun lupakah kita, nama itu merupakan satu doa.

Al-ismu addu ‘a. Nama adalah doa. Setiap kali seorang itu dipanggil dengan nama nya, maka setiap kali itu jugalah dia akan makin serasi dengan makna nama yang berada pada dirinya.

Mengenai pengaruh nama atas kepribadian anak, sebuah hadits yang diriwayatkan Imam Bukhari dari Sa'id ibnu al-Musayyab menyebut , bahawa ia berkata: Aku mendatangi Nabi Saw., lalu beliau bertanya, "Siapa namamu?"

"Hazan (keras)" jawabku.

Beliau bersabda, "Kamu adalah Sahal (mudah)."

Ia berkata, "Aku tidak akan merubah nama pemberian ayahku."

Ibnu al-Musayyab berkata, "Maka kekerasan selalu menimpa kami sesudah peristiwa itu."

Teringat pula saya akan kisah Umar tatkala seorang lelaki datang kepada Umar r.a. berkata: "Puteraku ini durhaka kepadaku."

Maka datang Umar r.a. berkata kepada anak lelaki itu: "Apakah kau tidak takut kepada Allah s.w.t? Engkau telah berbuat durhaka terhadap ayahmu, engkau tahu kewajipan anak untuk orang tuanya ......(begini dan begitu).

Lalu anak itu bertanya: "Ya Amirul mu'minin, apakah anak itu tidak berhak terhadap ayahnya?"

Jawab Umar: "Ada hak yakni harus memilihkan ibu yang bangsawan, jangan sampai tercela kerana ibunya, harus memberi nama yang baik, harus mengajari kitab Allah s.w.t."

Maka berkata anak itu: "Demi Allah, dia tidak memilihkan untukku ibuku, dia membeli budak wanita dengan harga 400 dirham dan itu ibuku, dia tidak memberi nama yang baik untukku, saya dinamai kelawar jantan dan saya tidak diajari kitab Allah s.w.t. walau satu ayat."

Maka Umar r.a. menoleh kepada ayahnya dan berkata: "Engkau telah durhaka kepada anakmu sebelum ia durhaka kepadamu. Pergilah engkau dari sini."


Itulah kuasa nama. Dalam tidak rela kita harus akuinya.

Justeru, hargailah nama yang telah diberikan oleh ibu bapa kita. Panggillah aku dengan namaku!

Sunday, March 21, 2010

Dapatkan PERINDU PELANGI di PBAKL 2010!

Bismillahirrahmanirrahim...

Dapatkan novel PERINDU PELANGI di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2010 di booth Galeri Ilmu Sdn Bhd yang berada di ruang legar PWTC dengan diskaun sebanyak 15%. Booth Galeri Ilmu bernombor B-01.



PERINDU PELANGI



ISBN: 978-983-097-246-6
PENULIS: Siti Munirah A. Rashid
TEBAL: 388 halaman
HARGA: RM19/ RM21*
KOD: GB0069

Usia Akil masih terlalu mentah untuk menanggung musibah sebegitu berat. Mujurlah ada tangan yang simpati, lalu dia dibawa pergi – meninggalkan sepi pusara bonda dan tanda tanya tentang siapa ayahnya.

Belasan tahun Akil menikmati warna-warna kehidupan yang ceria di Guangzhou, China. Namun segalanya berubah selepas perkenalannya dengan Isador, angkasawan misteri yang mencari kebenaran.

Konflik dengan Ho Man, kemelut hubungannya dengan Xiao Wei dan peristiwa tragik sewaktu kepulangan singkatnya ke Malaysia . . . semua itu seakan petanda Allah menarik balik satu demi satu nikmat daripadanya.

Apakah dia akan terus merindui pelangi? Atau mungkinkah ada anugerah tersimpan untuknya di ufuk nan kelam?

UNTUK BELI SECARA ONLINE, LAWAT galeriilmu.com.my

Monday, March 15, 2010

Guru Sukarelawan Diperlukan

Bismillahirahmanirrahim...




Assalamualaikum sahabat-sahabat yang dikasihi..

Kami memerlukan seramai 5 orang guru perempuan dan 5 orang guru lelaki untuk menjadi sukarelawan sebagai guru bahasa melayu dan inggeris.
tawaran ini terbuka kepada sesiapa sahaja yang berminat...


nama sekolah :
Ma'had Al-Bi'that Ad-Diniah (Sekolah Pondok Haji Harun)


tempat :
Selatan Thai (di Bandar Yala) @ wilayah Yala

masa :
1 April 2010 hingga 1Mei 2010

tempoh mengajar :
sebulan (4minggu)

gaji :
tiada~ ini fisabilillah.... ;)

kemudahan :
penginapan dan makan minum insyallah akan disediakan seadanya

tugasan anda :
mengajar bahasa melayu dan bahasa inggeris

bilangan guru yang diperlukan :
5 lelaki dan 5 perempuan

anda berminat?
sila hubungi saudari nur khalilah rasyidah (lillah)
kha_lillah@yahoo.com.sg
019-4737645

atau
saudara Mohd Saiful Afindi Sulaiman 019-4131472


sila beri
1) nama penuh anda,
2) nombor telefon,
3) latar belakang pendidikan
4) dan email anda.

semoga Allah mempermudahkan urusan kita dan memberi ruang untuk kita melibatkan diri dalam kerja-kerja amal...

*******************************************************************
sedikit catatan (MESTI BACA) :

sekolah pondok haji Harun ini merupakan sebuah sekolah aliran agama dan akademik.. sekolah ini terletak di Selatan Thai (di Bandar Yala) @ wilayah Yala.

sesi pagi fokus akademik manakala sesi petang fokus agama. terdapat empat kuliah iaitu kuliyah bahasa arab, syariah, tarbiyah dan usuluddin.

jumlah pelajar kuliah ini adalah lebih kurang 600 orang. di sini juga terdapat sekolah tingkatan 1 hingga tingkatan 6. sekolah ini mempunyai lebih 500 orang guru. sebelum ini sekolah ini pernah mempunyai lebih kurang 8000 orang pelajar. kini pelajarnya cuma 5500 berikutan pergolakan yang berlaku di selatan thai.

terdapat beberapa kes dimana beberapa orang guru ditembak menyebabkan ramai yang tidak berani untuk meneruskan pelajaran di sini.

*******************
Anda ingin menyumbang???

Untuk bantuan sumbangan kewangan boleh disalurkan boleh di salurkan atas nama Persatuan Ulama’ Malaysia Cawangan Pulau Pinang, No. Akaun Bank Islam : 7043011013136. Diharapkan Tuan dapat memaklumkan jumlah derma kepada pihak kami untuk tujuan rekod.

kami memerlukan dana untuk membantu menyediakan:

1)keperluan asas pelajar seperti pakaian sekolah, beg sekolah, alatan belajar dan buku-buku yang boleh dimanfaatkan

2)membina dan meningkatkan kemudahan asas sekolah seperti bilik darjah, perpustakaan, pejabat dan sebagainya.


catatan : kepada mereka yang mahukan iklan promosi melalui sms untuk disebarkan, sila hubungi saudari nur khalilah rasyidah di 019-4737645

moga Allah mengetuk pintu hati kita untuk sama-sama berjuang susah senang bersama.... amin..

Thursday, March 11, 2010

Izinkan Aku Menjadi Suaramu

Bismillahirrahmairrahim...

Tertarik dengan satu kiriman emel yang saya terima. Moga ada manfaatnya bersama =)




Malam itu, sungai Nil menjadi saksi cinta Farhan dan Balqis. Perasaan cinta Farhan tak dapat dibendung lagi. Esok mereka akan pulang ke tanah air masing-masing sebagai graduan Universiti Al-Azhar dan Farhan tak mahu kehilangan peluang keemasan itu. Dia menyatakan hasratnya untuk masuk meminang Balqis sejurus selepas balik dari bumi mesir ini. Senyuman Balqis cukup untuk Farhan sebagai jawapan dan mahar kepada tepak sirih yang bakal dihantar pihak lelaki nanti. Bagi Balqis, dia juga tidak mahu jika satu hari nanti dia dijodohkan dengan orang yang tidak sefikrah dengannya. Perjuangan dalam jemaah Islam disana tampak hebat sebagai pembantu utama Farhan selaku Amir.

Entah mengapa malam itu terasa singkat sekali, fajar sidiq mula menampakkan diri dan selesai solat subuh, mereka berangkat pulang. Kelihatan beberapa mahasiswa dan mahasiwi merenung keluar dari kapal terbang bagi melihat kali terakhir bumi yang banyak mengajar mereka menyintai Allah.



*** *** ***

Kenapa perlu ada pertemuan jika perlu ada perpisahan. Kerana perpisahan mengajar kita erti rindu, mengajar kita untuk menghargai seseorang dan perpisahan menambahkan lagi rasa sayang sesame manusia. Sudah hampir sembilan bulan mereka diikat dengan tali pertunangan. Farhan mengambil keputusan untuk menyambung pelajarannya
keperingkat master di Jordan. Manakala Balqis pula sedang berusaha menyiapkan diploma perguruannya di UPSI. Kerinduan yang melanda sejak lima bulan berlalu hanya terubat dengan surat yang diterima saban bulan. Dalam surat yang saban bulan dikirimkan mereka, tak putus-putus mereka menyatakan rasa cinta mereka dan rasa rindu yang sering menyelimuti malam hari. Mereka juga saling memperingatkan bahawa tiada yang lebih layak dicintai selain Allah dan RasulNya..


Bulan November menyaksikan bulan yang paling dramatis buat mereka. Balqis diserang demam panas yangmelampau. Hampir seminggu dia telantar dihospital. Akibat dari demam panas yang berlarutan, dia diuji dengan kehilangan nikmat bercakap. Balqis disahkan bisu.. Air matanya sering mengalir mengenangkan nasibnya dan nasib cintanya. Atas rasa tanggungjawab, balqis menyuruh kedua orang tuanya memutuskan tali pertunangannya dengan Farhan. Memang berat untuk dia merelakan teman sehebat Farhan dalam hidupnya, namun dia terpaksa demi kebaikan Farhan. Balqis malu, dan dia akhirnya membawa diri ke daerah luar Bandar. Setelah hampir setahun belajar bahasa isyarat, dia memulakan kehidupan barunya sebagai guru kafa bagi kanak- kanak bisu dan pekak. Baginya ilmu agama ini perlu disampaikan walau dengan apa cara sekalipun. Lama-kelamaan di merasa bahawa mungkin inilah hikmahnya dia dicabut nikmat untuk bertutur.


Farhan pula hampir tidak percaya dengan apa yang diperkatakan oleh ibunya melalui telefon, namun setelah menerima warkah terakhir dari Balqis dia akhirnya akur. Tak sempat dia menjelaskan segala-galanya pada Balqis apabila dia gagal untuk menjejaki kedudukan Balqis sekarang.



*** *** ***

Kehidupan Balqis bertambah baik saban bulan. Namun dia gagal menyembunyikan rasa rindunya terhadap insan yang selalu ada didalam hatinya. Di setiap solat, dia berdoa agar dia akhirnya dapat mengatasi masaalah itu. Dia tahu dirinya tidak layak lagi untuk dicintai. Hari ini sudah genap dua tahun dari sejak keberangkatan Farhan ke Jordan. Mungkin Farhan sudah bergelar pensyarah di salah sebuah IPTA sekitar Malaysia ini. Gumam hati Balqis. Itulah cita-cita Farhan selama ini dan menjadi harapan Balqis seketika dahulu. Dia baru saja selesai solat dhuha, kawan serumahnya yang juga kawannya semasa di mesir lagi bergegas masuk kedalam rumah. Dia membawa sampul surat bewarna merah. Wangi baunya. Seakan-akan kad jemputan kahwin.



“Dari Farhan.” Mata Balqis membulat dan mula menakung air.



Hatinya dipujuk agar menerima takdir tuhan. Dia pasrah dengan keputusan Farhan. Dia juga merelakan perkahwinan itu. Dia tahu, Farhan layak untuk menyintai dan dicintai. Perlahan dia membuka sampul surat itu. Hatinya sekali lagi terasa ditampar apabila dia terlihat tulisan “Farhan & Balqis” pada pangkal kad jemputan kahwin tersebut. Belum sempat dia melakukan apa-apa, dedaun pintu rumahnya dikuak. Buat kali pertama dalam dua tahun ini Balqis dapat menatap wajah tampan Farhan. Dalam bahasa isyarat Farhan berkata. “Kita tidak perlu seseorang yang sempurna untuk menjadi teman hidup, tapi kita perlu seorang teman yang buat yang membuatkan kita rasa sempurna apabila kita bersamanya. Hampir setahun lamanya saya belajar bahasa ini hanya untuk menyatakan, izinkan aku menjadi suaramu.” Airmata Balqis masih mengalir namun bibirnya sudah mula mengukir senyuman dan hatinya sedar akan cinta yang Allah cipta untuk hambanya terlalu agung.



Hargai setiap apa yang kita miliki agar kita tidak menangisi atas kehilangannya

Tuesday, March 09, 2010

Antara Dua Jalan

Bismillahirrahmanirrahim...




“Bukan saya tidak pernah cuba untuk berubah! Namun semuanya sia-sia saja, kak!’ adu seorang junior. Saya menepuk-nepuk baunya dalam usaha mendamaikan ketidak keruan hatinya.

“Apabila saya hendak berubah, ada sja yang menyindir. Misalnya tempoh hari saya pakai tudung yang sedikit labuh dan tidak jarang seperti biasa. Sahabat-sahabat menyindir. Kata mereka sejak bila pula jadi alim ini!” lanjutnya lagi.

“Manusia itu beribu banyaknya, dik. Tiada perbuatan yan lebih sia-sia daripada memenuhi keinginan setiap manusia. Pedulikan apa manusia hendak kata. Yang penting apa yang kita lakukan tidak bertentangan dengan perintah-Nya,” pujuk saya.

“Saya tak boleh, kak! Lagipun saya datang daripada keluarga yang biasa-biasa saja. Mak kadang-kadang bertudung. Kadang-kadang tidak. Ayah pula kadang-kadang solat, kadang-kadang tidak. Mana mungkin saya boleh menjadi baik!” tokok junior saya tadi.

“Kamu silap, dik. Cuba kita teliti semula sejarah nabi-nabi dan rasul-rasul terdahulu. Tatkala Nabi Nuh AS rancak menyampaikan seruan daripada Yang Esa, adakah anak dan isterinya beriman dengannya? Saat Nabi Ibrahim menyatakan bahawa berhala yang disembah kaumnya itu bukan tuhan, adakah Azaar, ayahnya menerimanya? Kesimpulannya,dik iman itu tidak diwarisi. Allah juga telah bersumpah mengenainya,”

“Allah juga telah bersumpah mengenainya? Maksud akak?” Saya lihat dahi junior saya berkerut. Lama pandangan kami bertaut.

“Demi jiwa dan penyempurnaannya. Allah telah mengilhamkan kepada sukma kefasikan dan ketaqwaan. Beruntunglah yang menyucikan. Merugilah yang mengotorinya. Ini petikan dari Surah As-Sham ayat 7 sehingga 10. Dalam setipa jiwa hamba yang Allah ciptakan, diilhamkanNya dua jalan. Pertama, jalan kefasikan. Kedua, jalan ketaqwaan. Dalam setiap jiwa. Termasuk jiwa akak, jiwa mak kamu, jiwa ayah kamu dan jiwa kamu,” jelas saya sambil menundingkan jari telunjuk tepat ke dadanya.

“Setiap daripada kita adalah pemimpin kepada diri masing-masing. Dalam tangan kita terletak dua pilihan ini. Kita boleh memilih jalan kefasikan dan hidup dalam kemurkaan-Nya. Namun, dalam masa yang sama kita juga boleh memilih jalan taqwa dan menelusuri hidup ini dalam limpahan redha-Nya,” sambung saya. Dia saya lihat tertunduk.

“Kesimpulannya, kak, saya jadi begini kerana saya yang memilih untuk hidup dalam kefasikan. Begitu?” dia mengangkat wajahnya setelah berberapa detik. Saya menepuk-nepuk kura tangannya.

“Kita bukan malaikat yang seluruh hidupnya sarat dengan kebaikan, namun kita juga bukan iblis yang seluruh hidup penuh dengan keburukan. Dalam diri kita ada nafsu yang sering mendesak dan mengarahkan seluruh tubuh melakukan kemungkaran. Bahkan Nabi Yusuf AS sendiri menrintih tentang hal ini sebagaimana yang ditintakan oleh Allah “Dan aku tidak menganggap bahwa diriku terbebas dari kesalahan, karena sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan…” (Yusuf: 53). Namun ada sesuatu yang kita mampu lakukan untuk membendung nafsu kita,”

“Apa dia akak?” tanya junior saya tidak sabar.

“Mujahadah. “Dan orang-orang yang berjihad untuk mencari keridhaan-Ku, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik.” (Al-Ankabut: 69). Memilih jalan taqwa bermakna kita memilih untuk bermujahadah. Dan memilih jalan ini kamu kamu mendedahkan diri kamu pada satu hakikat,” jelas saya.

“Hakikat apa, kak?”

“kamu tidak akan menemui kesenangan sepanjang mengharungi jalannya kerana nikmatnya Allah simpan buatmu di syurga kelak dan nikmat kemenangan mu di dunia adalah ketenangan hati yang Allah campakkan ke dalam jiwa kerana Dialah yang telah menurunkan ketenangan ke dalam hati orang-orang mukmin supaya keimanan mereka bertambah disamping keimanan mereka yang sedia ada (al-fath:4). Itulah hakikat mujahadah yang perlu sedar akannya, dik,”

“kamu beruntung. Dalam kemelut keluarga yang goyang pegangan agama, kamu dipili oleh Allah untuk mendalami dinnya. Itu satu peluang yang mungkin kamu terlepas pandang. Hargailah ia mulai saat ini. Allah sedang membimbingmu menuju jalan taqwa,’ lanjut saya.

“Antara dua jalan ini, akak dan kamu harus memilih. Jadi pilihlah yang terbaik,” saya mengahkiri perbualan kami. Angin petang bertiup sepoi-sepoi bahasa. Matahari bakal menghilangkan diri. Sebaliknya kamu, saya dan mereka akan terus dihadapkan dengan dua jalan. Di situ satu pilih harus dibuat. Jalan taqwa? Atau jalan kefasikan?

Sunday, March 07, 2010

Ikatan Terlarang

Bismillahirrahmanirrahim...

Perkahwinan terlarang

Oleh HAFIZAHRIL HAMID




ORANG ramai yang membantah mengadakan tunjuk perasaan di Mexico City.


KHAMIS lepas sejarah tercipta di Mexico City. Igauan ngeri kebanyakan penduduk di negara itu menjadi realiti. Namun bagi segelintir rakyatnya mereka menyambutnya dengan penuh kegembiraan sebagai tanda perjuangan mereka selama ini diterima.

Pada hari itu golongan homoseksual dibenarkan untuk mendaftar lesen perkahwinan mereka. Mexico City merupakan bandar pertama di Mexico dan juga di Amerika Latin yang membenarkan perkahwinan sejenis dilangsungkan.

Dalam tempoh sekurang-kurangnya tujuh hari lagi, dunia akan menyaksikan upacara perkahwinan pertama melibatkan kumpulan tersebut di Mexico City.

Golongan gay dan lesbian dilihat beratur di bangunan kerajaan tempatan untuk menghantar dokumen perkahwinan mereka bersama dengan pasangan normal yang lain.

Pihak berkuasa Mexico City telah meluluskan undang-undang membenarkan perkahwinan sejenis yang setaraf dengan perkahwinan biasa membabitkan lelaki dan wanita pada Disember lalu. Undang-undang itu juga membenarkan pasangan sejenis mengambil anak angkat, berkongsi membuat permohonan pinjaman bank, mewarisi harta pusaka serta kebenaran untuk memasukkan pasangan mereka dalam polisi insurans. Semua hak itu telah dinafikan sejak sekian lama kerana mereka tidak diiktiraf sebagai pasangan normal.

Hakikatnya pengiktirafan perkahwinan sejenis hanya direkodkan sebagai bersejarah bagi segelintir manusia yang keliru dengan kecenderungan seksual mereka. Lebih tepat lagi hari tersebut akan lebih diingati sebagai hari musibah untuk kita semua.

Golongan gay dan lesbian menyifatkan keputusan tersebut amat menggembirakan. Yang pasti mereka akan terus memperjuangkan supaya semua 31 bandar di Mexico membenarkan perkahwinan sejenis.

Namun hakikatnya ramai yang membantah pelaksanaan undang-undang yang dilihat bakal merendahkan martabat dan kedudukan penduduk di situ yang merupakan penganut kuat Kristian Roman Katholik.

Pihak konservatif sedaya upaya memperjuangkan pembaharuan perlembagaan supaya negeri-negeri lain tidak akan mengikut langkah tersebut.

Sebelum Mexico City, pasangan gay dari Argentina pernah melangsungkan perkahwinan pada Disember lepas. Namun sehingga kini perkahwinan mereka masih belum mendapat pengesahan kerana perbezaan pemahaman sama ada undang-undang perkahwinan sejenis dibenarkan atau tidak. Perlembagaan Argentina masih belum jelas tentang isu perkahwinan sejenis kerana peraturan sebelum ini hanya tertakluk kepada perkahwinan antara lelaki dan wanita. Undang-undang mengenai perkahwinan sejenis pernah diusul pada Oktober tahun lepas namun masih tertangguh sehingga kini. Semua mata kini tertumpu kepada Mahkamah Agung Argentina yang bakal membuat keputusan mengenainya.

Bantahan

Walaupun golongan sejenis kini melonjak kegembiraan dengan keputusan ini namun penentangan keras masih lagi berterusan. Undang-undang yang dilaksanakan di Mexico City itu kini dicabar oleh kerajaan pusat melalui Mahkamah Agung berasaskan kedudukan perlembagaan. Namun ia masih tertangguh sehinggalah rayuan untuk perbicaraan tersebut didengar.

Kumpulan yang menyokong perkahwinan sejenis yakin Mahkamah Agung akan membenarkan perkahwinan sejenis. Bagi mereka ia telah menjadi trend yang diterima oleh banyak negara lain. Bagaimanapun pihak yang paling lantang menentang perkahwinan sejenis adalah pihak gereja Roman Katholik. Bagi mereka pelaksanaan undang-undang itu adalah memalukan dan bertentangan dengan kehendak serta perintah agama.

Sebagai manusia normal kehidupan kita telah dicipta berlandaskan kehendak dan perintah yang telah dianjurkan oleh Tuhan. Adalah jelas perkahwinan sejenis yang semakin diterima di kebanyakan negara salah dan bertentangan dengan hukum alam. Tindakan ini juga seolah-olah dilihat cuba untuk menafikan perintah dan larangan Tuhan dalam apa-apa agama sekalipun.

Apakah hanya kerana kemodenan semua perkara yang sebelum ini sangat bertentangan dengan lumrah kehidupan dibenarkan. Tidakkah dengan melaksanakan perkara seperti itu juga dilihat seperti mencabuli hak asasi manusia biasa yang mahu hidup seperti manusia normal. Sudah tentu ia dilihat mencabul kerana lumrahnya manusia dilahirkan untuk hidup berpasangan antara lelaki dan wanita.

Lebih malang lagi kanak-kanak yang masih terlalu kecil dalam mengenal erti hidup menjadi mangsa. Ini kerana mereka dibenarkan hidup bersama pasangan homoseksual yang jelas keliru dengan identiti sebenar mereka.

Namun pastinya kegilaan kumpulan songsang itu tidak akan terhenti. Mereka akan terus cuba untuk mengelirukan orang ramai untuk menghalalkan budaya tersebut. Hanya pegangan agama yang kuat serta pemikiran yang matangmampu menafikan seseorang itu dari terjerumus ke lembah hina.

Friday, March 05, 2010

Ringkasan Laporan Situasi Penularan Video Lucah Tempatan Di Internet Dan Telefon Bimbit

Bismillahirrahmanirrahim...

Premis

Kegiatan seks bebas dikalangan muda – mudi di Malaysia bukanlah satu isu yang baru. Sejak sekian lama isu ini dibincangkan dari semasa ke semasa oleh pelbagai pihak namun nampaknya tidak ada penambahbaikan yang benar-benar berlaku terhadap masyarakat melainkan kegiatan ini semakin bertambah dan salah laku seks dikalangan masyarakat kita terutama remaja semakin menjadi-jadi. Jika dua puluh tahun dahulu, salah laku seks dilakukan secara tersembunyi di rumah-rumah sunyi, di dalam hutan dan semak-semak agar tidak diketahui orang. Namun, sekarang ia telah menjadi satu barah yang sangat kritikal. Para pemuda kita pada hari ini seolah-olah tidak lagi malu untuk melakukan seks di mana-mana tempat yang mereka suka. Bahkan mereka seolah-olah berbangga melakukan seks bebas apabila mereka merakam perbuatan seks mereka sendiri. Kegiatan jenayah seks seperti cabul, rogol, sumbang mahram, dan gangguan seksual kini semakin tidak terkawal. Peningkatan jumlah kes salah laku seks dewasa ini sangat berkait rapat dengan penularan video lucah yang tidak terkawal didalam masyarakat. Kemudahan untuk mengakses bahan ini sama ada melalui internet, kedai cd dan dvd malah melalui telefon bimbit telah menjadikan aktiviti seks bebas semakin diamalkan oleh belia-belia kita. Video-video lucah luar negara dengan pelbagai aksi seks yang baru kepada masyarakat timur telah menjadi bahan rujukan oleh remaja-ramaja kita untuk meniru dan seterusnya merakam aksi seks sendiri versi Malaysia. Sekarang, dengan begitu mudah video-video lucah lakonan anak tempatan ini dapat diakses sama ada melalui internet atau telefon bimbit.

Video Lucah Tempatan

Majoriti video lucah tempatan dirakam dengan menggunakan telefon bimbit. Selain itu, videocam dan juga kamera litar tertutup turut digunakan untuk merakam aksi-aksi lucah. Video-video ini boleh dibahagikan kepada beberapa kategori berdasarkan cara rakaman, jenis aksi, identiti individu di dalam video, lokasi seks dan jenis institusi (sekolah, syarikat, IPT) yang dikaitkan dengan individu didalam video. Jenis-jenis video lucah ini membolehkan beberapa ‘keyword’ atau ‘tag’ dicipta untuk setiap video supaya video yang dimaksudkan mudah untuk dicari di internet.

Kaedah penyebaran video lucah tempatan

Perkara dasar kepada permasalahan video lucah ini adalah kehilangan nilai moral masyarakat terutamanya muda-mudi yang meniru gaya hidup seks bebas barat, malah merakam pula aksi seks terbabit dengan alasan untuk dijadikan bahan kenang-kenangan. Apa yang lebih membimbangkan adalah budaya rogol yang semakin menjadi-jadi. Budaya ini menjadi semakin terkenal dengan wujudnya telefon bimbit berkamera. Idea untuk merakam aksi seks sebagai kenangan juga datang daripada barat dan video-video versi barat ini mudah untuk ditonton di internet. Video-video lucah aksi peribadi versi tempatan pula boleh didapati secara mudah diinternet dengan munculnya laman-laman web yang menawarkan perkhidmatan penyimpanan dan perkongsian ‘file’ peribadi secara percuma diinternet. Perkhidmatan ini disebut sebagai ‘file hosting’. Video-video lucah tempatan ini tersebar sama ada dengan sengaja atau tidak sengaja. Video ini akan disebarkan dengan sengaja biasanya apabila si lelaki ingin membalas dendam dengan memalukan si perempuan apabila mereka memutuskan perhubungan. Begitu juga dengan video lucah versi rogol dan skodeng termasuk video lucah yang dirakam bersama pelacur. Menjadi kebiasaan juga video-video lucah rakaman sendiri ini tersebar apabila telefon bimbit atau laptop yang mengandungi aksi ini dicuri atau hilang. Pencuri terbabit biasanya akan menyebarkan video ini di internet. Selain daripada video yang didapati daripada laman ‘file hosting’, video lucah tempatan juga biasanya mudah ditonton daripada laman yang menyediakan ‘video streaming’ (penyiaran video) dengan aplikasi sosial.

Perniagaan dan Promosi Video Lucah Tempatan Di Premis Niaga

Lambakan video lucah boleh didapati dipremis – premis kedai video cetak rompak, pasar-pasar malam, dan juga dijual terbuka ditepi-tepi jalan pada waktu-waktu tertentu. Namun, kebiasaannya video-video lucah yang dijual melalui vcd atau dvd ini merupakan video lakonan luar negara. Video lucah tempatan seperti ini jarang-jarang dijual melalui vcd atau dvd. Jika ada pun jumlahnya sangat sedikit dan sukar didapati. Ia tidak praktikal kerana lazimnya video-video lucah tempatan ini adalah video rakaman sendiri menggunakan kamera telefon bimbit dan kualiti rakamannya tidak sesuai untuk ditonton melalui vcd. Video-video lucah ini biasanya ditonton melalui internet atau telefon bimbit. Oleh itu, selain video-video yang diedarkan melalui internet wujud pula perkhidmatan menjual video-video ini secara ‘softcopy’ dikedai-kedai telefon bimbit dan kedai-kedai yang menawarkan ‘ringtones’, muzik dan permainan untuk telefon bimbit. Bawa sahaja telefon yang mempunyai aplikasi video beserta dengan memori kad, dengan RM30, momori kad (1 atau 2 Gigabite) akan diisi penuh dengan video-video lucah. Pilihan boleh dibuat antara video lucah asing dan video lucah tempatan. Dengan adanya telefon bimbit canggih juga, seseorang boleh berkongsi video lucah melalui MMS dan Bluetooth. Budaya bertukar-tukar video telefon bimbit ini telah menjadi satu norma kepada belia apabila mereka melepak atau berhimpun bersama-sama. Mereka yang mempunyai video lucah terbaik dan terbaru akan berbangga untuk berkongsi dengan rakan-rakan yang lain. Jika video terbabit adalah video rakaman diri sendiri, kebanggaan mereka akan lebih terserlah. Tiada rasa malu. Walaupun video lucah asing lebih melampau aksi kelucahannya, namun video aksi anak tempatan lebih diminati mungkin kerana wajah-wajah dalam video berkenaan lebih dekat pada hati mereka.

Telefon Bimbit Tiruan China Mobile

Penyebaran video lucah melalui telefon bimbit telah lama berlaku dalam masyarakat, namun ada fenomena baru yang dicipta oleh telefon-telefon yang disebut sebagai China Mobile yang merupakan telefon import yang dihasilkan di China dengan meniru beberapa ciri yang ada pada telefon bimbit jenama yang terkenal. Bentuk dan lambang yang digunakan pada telefon ini jelas menunjukkan percubaan syarikat dari China ini untuk mengelirukan pengguna, antara jemana yang ditiru adalah Sony, Nokia dan Apple. Model tiruan yang dihasilkan tidak meniru seratus peratus ciri yang ada pada jenama sebenar, terdapat beberapa ciri yang khas yang disertakan pada telefon China Mobile ini seperti aplikasi TV dan dual simkad. Melalui penyiasatan yang dilakukan, telefon ini dibawa masuk kedalam negara ini melalui pengedar tunggal. Ini dapat dilihat apabila terdapat kawalan harga paling rendah terhadap telefon jenis ini. Sebagai contoh, telefon China Mobile model A968 yang terdapat lambang Sony Vaio padanya dijual dengan harga paling rendah rm300 selepas tawar-menawar dimana-mana kedai pun. Harga yang dipamerkan dikedai-kedai untuk telefon jenis ini adalah diantara rm400 hingga rm450. Tiada satu kedai pun yang dibenarkan menjual dengan harga kurang daripada rm300 walaupun mereka mampu untuk menjual dengan harga itu.

Promosi Video Lucah

Oleh kerana telefon jenis ini dijual dihampir kesemua kedai telefon bimbit dan harga tawar-menawarnya dikawal, maka para peniaga mesti memikirkan bagaimana untuk menarik minat orang ramai supaya membeli China Mobile daripada kedai mereka. Kerana hanya memikirkan keuntungan, para peniaga ini sanggup mengambil kesempatan diatas keruntuhan moral para belia kita. Video-video lucah tempatan Melayu, Cina, India dan lain-lain bangsa di Malaysia dijadikan bahan promosi untuk melariskan jualan telefon bimbit mereka. Caranya, setiap telefon ini akan ditawarkan secara pakej dengan video lucah percuma beserta memori kad 1 atau 2 Gb. Mereka hanya akan menawarkan promosi ini kepada pelanggan yang dilihat ‘berpotensi’ sahaja. Jika mereka melihat pelanggan tidak berminat pada video lucah, mereka akan menawarkan lagu-lagu dan ringtone sebagai ganti. Namun, melalui tinjauan yang dilaksanakan, kebanyakkan pembeli telefon bimbit ini akan teruja dan mahu membeli telefon berkenaan daripada peniaga yang menawarkan video paling banyak, paling mengujakan dan paling terbaru. Para peniaga ini juga tidak segan-silu menjemput pembeli untuk membeli video-video yang baru setelah video percuma yang diberikan itu puas ditonton. Jika video yang ditawarkan oleh peniaga sudah ada dalam koleksi pembeli, maka pembeli terbabit boleh menukarkannya kepada video yang lain.
Kegilaan membeli video lucah dikedai telefon bimbit ini dilihat sudah mancapai satu tahap yang serius. Boleh dikatakan ia telah menjadi satu industry kecil. Para peniaga akan mengumpulkan seberapa banyak video lucah tempatan dari internet dan mereka juga sanggup membeli video lucah buatan sendiri atau ‘skodeng’ yang terbaru daripada pelanggan untuk dijadikan koleksi berharga yang boleh dijual kembali. Melalui pemerhatian yang dijalankan, kebanyakkan pembeli video lucah ini adalah terdiri daripada remaja sekolah dan individu dewasa yang mungkin mempunyai keupayaan terbatas untuk memuat turun video ini daripada internet.

Kesan terhadap masyarakat

Kesan penyebaran dan kegilaan video lucah lebih-lebih lagi video yang mempamerkan wajah-wajah tempatan adalah sangat buruk. Tidak dapat dinafikan, kehadiran telefon bimbit berkamera dan boleh memainkan video telah membawa kepada peningkatan jumlah video lucah buatan sendiri. Jika dahulu, untuk menonton video lucah, remaja dan belia perlu berhimpun dirumah-rumah bujang yang mempunyai pemain video, kini dengan telefon bimbit, nafsu mereka boleh dirangsang dimana-mana pun. Di dalam sekolah, di bilik tidur, di tandas, di pejabat, di dalam bas, di stesyen bas, di dalam pasaraya, di tepi jalan malahan di dalam kawasan surau dan masjid pun boleh ditonton tanpa sesiapa mengetahui. Cuba bayangkan apa perasaan yang akan timbul didalam diri lelaki, tidak terkecuali perempuan setelah video ini ditonton. Kebetulan setelah menontonnya di dalam bas yang kurang penumpang, naik seorang wanita cantik duduk disebelah. Macam-macam boleh berlaku selepas itu. Kehadiran lambakan video-video lucah ini juga menggalakkan pasangan-pasangan yang bercinta seawal usia 11 tahun untuk melakukan seks dan selepas itu timbul pula kes-kes buang anak dan peningkatan jumlah anak luar nikah. Kejadian rogol dan zina yang dirakam didalam kawasan sekolah yang heboh diperkatakan juga adalah berpunca daripada penyebaran video-video ini melalui telefon bimbit yang dibawa ke sekolah. Jelas sekali kesan sosial yang sangat buruk yang dibawa oleh video-video seperti ini.

Selain kesannya kepada masyarakat dalam bentuk salahlaku seks, imej negara dan bangsa juga akan tercalar dimata masyarakat dunia. Cuba kita taibkan perkataan ‘melayu’ atau ‘malaysia’ pada ‘search engine’ untuk video, maka yang akan keluar dahulu adalah beratus-ratus video-video lucah tempatan. Ini adalah satu perkara yang amat memalukan. Tinjauan yang dilakukan mendapati, video-video lucah tempatan ini ada yang sudah dipamerkan oleh laman-laman web lucah perdana antarabangsa dengan tajuk dan komen yang mempersendakan imej negara seperti ‘Malaysian just pretend to be conservative’ dan ‘Cute veiled malay get wild’.

Cadangan

Berikutan dengan pendedahan ini, pihak kerajaan diharapkan dapat memainkan peranan yang sewajarnya untuk mengawal perkara ini supaya ia tidak menjadi lebih buruk. Dalam kes penjualan dan penyebaran bahan lucah, sudah ada undang-undang yang melarang perkara ini daripada berlaku. Namun, penguatkuasaan akta ini dilihat tidak berlaku dengan menyeluruh. Kekerapan serbuan pihak-pihak berwajib terhadap sendiket penghasilan dan penjualan video lucah dilihat masih tidak mencukupi. Penguatkuasaan akta ini juga belum lagi dilaksanakan terhadap peniaga-peniaga telefon bimbit yang menjual video lucah secara muat turun sama ada ke telefon bimbit daripada computer atau ke komputer daripada internet. Walaupun hak untuk kebebasan media perlu ditegakkan, namun dinegara ini, ia perlu dilihat daripada kaca mata masyarakat timur. Kebebasan secara total seperti yang dibawa oleh dunia barat sebenarnya hanya akan membinasakan sistem sosial masyarakat yang teratur. Perkara ini telah berlaku di barat. Tiada ertinya sesuatu kemajuan itu jika maruah dan jati diri masyarakat tergadai. Oleh itu, kawalan terhadap penyebaran bahan lucah tempatan dan luar negara sepatutnya dilaksanakan. Sistem seperti tapisan ‘Green Dam’ yang dilaksakan di China dan sebahagian negara-negara lain perlu dicontohi dengan sedikit pengubahsuaian. Kerajaan perlu ikhlas dan bertanggjawab dalam melaksanakan tugas ini, hanya bahan-bahan yang merosakkan moral perlu dikawal, bukan bahan-bahan lain yang bersifat ada kepentingan tersembunyi pihak-pihak tertentu.
Pihak berkuasa yang berkenaan sudah tentu lebih arif bagaimana untuk mengawal kegiatan ini daripada terus membinasakan jati diri masyarakat. Pihak kerajaan perlu tegas dan tidak tunduk kepada mana-mana pihak yang jelas sudah terpengaruh dengan dokma barat yang menolak polisi moral. Apa yang jelas, majoriti rakyat pasti akan bersetuju agar sekatan terhadap bahan-bahan lucah internet dilaksanakan jika mereka mengetahui situasi yang sebenar. Oleh itu, situasi penularan video lucah dan kesannya kepada masyarakat perlu didedahkan secara agresif di media-media semasa agar masyarakat faham.

Penutup

Nilai-nilai moral masyarakat timur sedikit demi sedikit telah luntur di dalam masyarakat Malaysia tidak kira bangsa mana pun. Perkara ini perlu dipandang serius oleh kerajaan dan pihak-pihak berwajib kerana keruntuhan nilai moral masyarakat akan membawa kepada malapetaka yang besar dimasa hadapan. Diharapkan, laporan ini dapat memberi sedikit maklumat kepada organisasi-organisasi masyarakat seterusnya membolehkan mereka bergerak dengan kaedah-kaedah yang sesuai dalam komuniti masing-masing untuk membanteras budaya yang terus membarah dalam masyarakat ini.

UNGGAS Pulau Pinang

Monday, March 01, 2010

Lesbian dan Gay Halal?

Bismillahirrahmanirrahim...

Oleh : Zulkarnain Zakaria


Dr Musdah Yang Menghalalkan Gay dan Lesbian Diiktiraf Musuh Islam

Barat nampaknya terus-menerus memberikan pengiktirafan tinggi kepada individu-individu yang memalukan Islam. Kalau sebelum ini mereka menjadikan Salman Rushdie (novelis The Satanic Verses), Aayan Hirsi Ali, wanita Islam Somalia yang telah murtad dan kini berlindung di Belanda serta Talisma Nasrin, penulis Bangladesh yang sedang bermastautin di Amerika Syarikat sebagai wira, kini mereka memberikan pengiktirafan pula kepada seorang lagi individu serupa.

Wirawati baru mereka itu ialah Profesor Dr. Siti Musdah Mulia, seorang pendukung liberal femenisme yang menyokong lesbian, gay serta homoseksual.
Pengiktirafan itu diterima oleh Dr. Siti Musdah pada 26 November lalu dari II Premio Internazionale La Donna Dell' Anno Year 2009 (Anugerah Antarabangsa Wanita 2009), yang diadakan di Saint Vincent, Itali.


Dr. Siti Musdah menewaskan dua orang finalis lain, iaitu Aicha Ech Channa dari Maghribi dan Mary Akrami, Afghanistan. Majlis penganugerahan tersebut dihadiri oleh 200 orang tetamu dan wartawan, manakala pihak Kedutaan Besar Indonesia di Rom diwakili oleh Wakil Presiden, Yuwono Agus Putranto.

Untuk rekod, Anugerah Antarabangsa Wanita 2009 itu dibentuk pada 1998 oleh Majlis Serantau Aosta Valley dengan kerjasama Kementerian Luar Itali, Aosta Valley dan Soroptimist International Club Valle d'Aosta. Penghargaan itu turut mendapat pengiktirafan Presiden Itali.

Ketiga-tiga finalis pula dipilih melalui saringan yang ketat daripada 36 orang calon dari 27 buah negara. Semua mereka adalah wanita dan dianggap telah memberikan sumbangan besar kepada wanita di negara masing-masing.

Aicha Ech Channa adalah pengasas Solidarite Femanine (SF) yang ditubuhkan pada 2002 untuk membantu ibu-ibu tunggal di Maghribi. Mary Akrami pula menjalankan pelbagai kegiatan amal untuk mewujudkan pusat-pusat perlindungan membantu wanita Afghanistan mendapatkan pelajaran, kemahiran serta kebolehan membuat keputusan.


Jadi, mengapa Dr. Siti Musdah, 51, dipilih sebagai pemenang, bukannya Aicha atau Mary? Inilah persoalannya. Secara ringkasnya, Dr. Siti Musdah merupakan seorang kaunselor dan penulis keagamaan yang terkenal di Indonesia. Beliau juga merupakan Ketua Lembaga Agama dan Gender serta pernah menjadi Ahli Peneliti Utama Syarahan Keagamaan, Badan Penelitian dan Pengembangan Agama, Indonesia.

Selain itu, Dr. Siti Musdah adalah pensyarah Pemikiran Politik Islam di School of Graduates Studies, Universiti Islam Syarif Hidayatullah, Jakarta, juga Profesor Penyelidik di Institut Kajian Sains Indonesia sejak 2003.

Seperti yang dinyatakan di atas tadi, faktor utama yang sering kali diberikan perhatian oleh Barat untuk memilih pemenang adalah keberanian seseorang itu menentang aliran pemikiran umum serta tradisi. Tetapi, dalam konteks ini, apa yang dipertikaikan ialah, perkara yang ditentang oleh Dr. Siti Musdah adalah juga, antaranya sudah termaktub di dalam al-Quran dan hadis serta disepakati oleh jumhur ulama.

Antaranya, pada 2004 Dr. Musdah telah mengetuai perbincangan Tim Penulis Pembaruan Hukum Islam yang kemudiannya mengeluarkan Counter Legal Draf - Kompilasi Hukum Islam (CLD-KHI) dengan membuat resolusi bahawa:

* Poligami tidak sah dan mesti dinyatakan batal secara undang-undang.

* Perkahwinan yang berbeza agama, termasuk antara Muslimah dan bukan Islam mesti dikira sah.

* Masa 'iddah bukan hanya untuk wanita sahaja, tapi juga untuk laki-laki. Masa 'iddah laki-laki adalah 130 hari.

* Isteri juga boleh menjatuhkan talak.

* Bahagian warisan anak laki-laki dan anak perempuan adalah sama.

Ekoran itu Majlis Ulama Indonesia (MUI) dengan tegas menyelar draf ini sebagai bidaah (penyimpangan) dan taghyir (perubahan) dari hukum Islam. MUI juga menganggap CLD-KHI sebagai tindakan memanipulasi nas-nas al-Quran.

Tindakan Dr. Musdah dan gagasan CLD-KHI itu juga membuatkan Menteri Agama Indonesia ketika itu, Prof. Dr. H. Said Agiel Al Munawar mengecam Tim Penulis Pembaruan Hukum Islam itu agar tidak lagi mengadakan seminar atau kegiatan serupa atas nama Tim Departemen Agama. Beliau juga mengarahkan semua draf CLD-KHI diserahkan kepada Menteri Agama RI.

Tidak habis di situ, Menteri Agama Republik Indonesia yang baru, Maftuh Basyuni kemudiannya segara membatalkan CLD-KHI pada 14 Februari 2005. Dr. Siti Musdah pula sebagai Ketua Tim Penyusun CLD-KHI dilarang menyebarluaskan idea tersebut.


Berhentikah Dr. Musdah? Tentu saja tidak. Beliau bersama kawan-kawannya dengan dibantu oleh The Asia Foundation, sebuah dana tajaan Amerika Syarikat (AS) yang sering mendukung gagasan liberalisme, terus menghebahkan idea liberalnya itu. Malah, Dr. musdah kemudian muncul bersama para penulis buku Fiqh Lintas Agama yang membawa idea bercanggah dengan kesepakatan jumhur ulama.

Pada September 2009, Dr. Siti Musdah muncul lagi sebagai salah seorang tokoh di Indonesia yang menyatakan sokongan supaya pelakon filem lucah Jepun, Maria Ozawa diberikan kebenaran masuk ke Indonesia bagi menjalani penggambaran sebuah filem berjudulMenculik Miyabi.

Bagaimanapun, klimaks kepada pendirian liberal Dr. Musdah ialah apabila beliau mahu dihalalkan sesuatu yang sudah terang dan jelas diharamkan oleh Islam, iaitu homoseksual serta aktiviti lesbian dan gay.

Keberanian Dr. Siti Musdah ini antara lainnya telah beliau nyatakan dalam sebuah perbincangan dengan aktivis-aktivis Islam Liberal Indonesia pada 31 Mac yang lalu di Jakarta. selesai perbincangan itu, Dr. Musdah sebagai ketuanya tampil dengan resolusi yang sangat mengejutkan iaitu: "Homoseksual adalah perkara semula jadi dan ia diciptakan oleh Tuhan, oleh itu ia dibolehkan dalam agama."


Pengharaman homoseksualiti, dakwa Dr. Musdah, sebenarnya dilakukan oleh ulama-ulama yang berfikiran sempit. Sedangkan, tegas beliau, tiada perbezaan antara lesbian dan bukan lesbian kerana orang yang dipandang mulia oleh Allah adalah yang bertakwa.

"Bercakap tentang takwa, hanya Allah yang layak menghakiminya. Intipati ajaran Islam ialah memanusiakan manusia, hormat menghormati dan menjaga maruah mereka," tegas beliau.

Pandangan Dr. Musdah ini disokong oleh Pengarang Urusan majalah Mata Air, Soffa Ihsan. Soffa turut bersetuju homoseks, gay dan lesbian boleh diamalkan dengan alasan kepelbagaian dan kesamarataan, termasuk dalam soal seks. Untuk itu, kata Soffa, ijtihad baru mesti dilakukan supaya masyarakat tidak beku dalam pemikiran lapuk.

Anehnya, seorang wakil dari Nahdatul Ulama (NU), Nurofiah yang turut menyertai perbincangan itu juga menyatakan sokongannya kepada Dr. Musdah dan homoseksual. Ahli NU itu berhujah, homoseksual diharamkan hanya kerana ia dibantah oleh majoriti anggota masyarakat, bukannya oleh agama.

Seorang lagi peserta perbincangan tersebut pula mengatakan, atas dasar kepelbagaian itu tadi, Indonesia sendiri sebenarnya menerima homoseksualiti. Sebagai contoh, masyarakat Bissu di Makassar bukan setakat menerima homoseksual, malah meletakkan orang itu di tempat yang tinggi. Masyarakat Penorogo juga dikatakannya mengamalkan homoseksual.

Bagaimanapun, pandangan Dr. Musdah dan sahabat-sahabat liberalnya ini disanggah keras oleh golongan agama di Indonesia, terutamanya Majlis Ulama Indonesia (MUI) dan Hizbut Tahrir Indonesia. Pengerusi MUI, Amir Syarifuddin mengecam dengan berkata, "Ia berdosa. Kami bukan kata orang yang mengamalkan homoseks itu musuh, tetapi kami mahu mereka tahu apa yang mereka buat itu salah di sisi agama."

Pengerusi HIT, Rokhmat pula menggesa mereka yang mengamalkan homoseksual dan yang menyokong perlakuan itu supaya segera bertaubat dan kembali ke jalan yang lurus.

Nahdatul Ulama Indonesia (NU), sebuah pertubuhan yang dianggotai Dr. Musdah turut menjauhkan diri daripada tokoh femenisme berfikiran liberal itu. Pemimpinnya, Abdullah Syamsul Ariffin menempelak dengan berkata, memang Dr. Musdah ahli NU, namun ideanya itu tidak sejalan dan tidak dipersetujui oleh NU. "Soal pemikiran memang hak setiap orang. Jadi dia memiliki pemikiran seperti itu merupakan hak dia," kata Abdullah.

Melihat kepada kelantangan Dr. Siti Musdah itu, Ketua Dewan Dakwah Islamiyah Indonesia, Dr. Adian Husaini pula tanpa ragu-ragu mengatakan wanita itu memang 'berani'. "Dr. Musdah memang sangat berani dalam menyuarakan pendapatnya, meskipun sangat kontroversi dan mengejutkan banyak pihak."

'Berani' yang dimaksudkan oleh Adian bukanlah berani menyatakan kebenaran untuk menghancurkan kebatilan atau kezaliman, tetapi berani mengubah-ubah hukum Islam sambil menganggap dirinya sebagai mujtahid.

Oleh sebab itu, tidak hairanlah pelbagai penghargaan telah diraih oleh Dr. Musdah atas besarnya 'sumbangan serta keberanian melawan pemikiran tradisi.'


Untuk pengetahuan anda, sebelum penghargaan dari Itali ini, Dr. Musdah pernah menerima Anugerah Wanita Gigih Antarabangsa pada 7 Mac 2007, dari kerajaan Amerika Syarikat. Majlis penganugerahan itu dilakukan sendiri oleh Menteri Luar AS ketika itu, Condolezza Rice di pejabat Kementerian Luar AS, Washington DC.

Apa yang menarik, Dr. Musdah memberitahu, dia hanya mempunyai satu hari sahaja untuk menguruskan visa dan terbang ke negara berkenaan, dan semuanya dapat dibereskan dengan mudah.

Dr. Musdah sememangnya seorang yang berani. Jika tidak berani, tidak mungkin sejurus selepas menerima anugerah II Premio Internazionale La Donna dell 'Anno Year 2009, beliau memberitahu sebuah akhbar Itali bahawa, "Aku tidak takut orang-orang yang menghalangi pekerjaan aku."

Sedikit lagi fakta ringkas Dr. Siti Musdah Mulia

Lahir di Bone, Sulawesi Selatan pada 3 Mac 1958. Beliau adalah Pengerusi Persidangan Agama Untuk Keamanan Indonesia sejak 2007, iaitu sebuah NGO yang mempromosi dialog antara agama, pluralisme dan demokrasi bagi tujuan keamanan.

Dr. Musdah juga merupakan Penasihat Kanan kepada Menteri Hal Ehwal Agama (1999-2007) dan melalui institusi itu, serta atas kapasitinya sebagai Kordinator Pasukan Pemerdanaan Gender, pada 2004 beliau melancarkan The Counter Legal Draf-Kompilasi Hukum Islam (CLD-KHI) yang mencetuskan kontroversi itu.

Selain itu, Dr. Musdah adalah Ketua Bahagian Penyelidik Majlis Ulama Indonesia (MUI) mulai 2000-2005 serta fellow pelawat kepada pelbagai universiti. Sehingga kini beliau telah menulis pelbagai buku, antaranya Muslimah Reformis, Islam Mengkritik Poligami sertaIslam dan Inspirasi Kesamaan Gender.

sumber Al Islam, Februari 2010