Wednesday, June 30, 2010

Survival Qamar : hari Keenam, 30 Jun 2010

Bismillahirrahmanirrahim...



Temubual bersama ibu mulah Muhd Abdi yang meninggal dalam pertempuran di Kampung Slow, Narathiwat


Kak Tee, saya dan Kak Za dalam kereta Abe Samsul
Chu Ya dan Saadah, anak perempuan Imam Jaafar di rumah Imam Jaafar, Kampung Kuthor, Daerah Reaso,Narathiwat

makan tengahari di rumah mulah Imam jaafar

temubual bersama isteri mulah Imam Jaafar
ahli keluarga mulah Muhd Abdi
Sebelah pagi, saya menemubual saudara Aladi dan Ateef berhubung himpunan 10 000 orang di hadapan Masjid Jamek Patani selama seminggu pada tahun 2007 lalu.
"Habis macam mana sekarang, selamat tak bergerak ke sana ke mari?"
"Tak apa, Allah ada untuk menjaga," jawab saudara Aladi penuh keyakinan.
"Nak tahu berapa tahun sudah saya belajar (untuk degree)?" tanya saudara Aladi. Saya menngangguk pantas.
"Sepuluh tahun," jawabnya. saya tersenyum.
"Ateef ni enam tahun dah mengaji tapi tak habis-habis lagi," lanjut saudara Aladi lagi.
"Tak apa, mengajikan memang seumur hidup," balas saya.
Mungkin mereka tidak tahu saya juga lebih kurang mereka saja. Enam tahun lagi baru saya boleh memperolehi ijazah sarjana muda saya. Campur dengan pengajian saya yang tidak habis di UIAM sebelum ini kurang lebih sepuluh tahun juga. hmm... mengaji seumur hidup...
Usai temubual, saya, Kak Tee, Kak Za, Chu Ya dan Abe Samsul bergerak ke Kampung Kuthor, Daerah Reaso/ Jabat, Wilayah Narathiwat untuk menziarahi rumah mulah Imam Jaafar Kaseng yang meninggal dalam kem tentera kerana didera.
Kami menunaikan solat zohor terlebih dahulu sebelum makan dan menemubual isteri mulah.
Hampir seminggu berada di bumi Fathoni ini satu perkara yang saya harus akui adalah makanannya sangat kena dengan selera saya. Hmm... saya bukan orang yang terlalu cerewet tentang makanan dan jarang pula memuji mahupun mengeji sesuatu hidangan. Tapi ikhlasnya, makanan di sini memang sedap cuma terlalu manis.
"Mek akan terus lawan kes ini selagi terdaya," ulas isteri mulah Imam Jaafar.
"Harapnya, pihak daripada Malaysia dapat membantu sedikit sebanyak kami di sini," lanjutnya lagi.
Rata-rata keluarga yang kami ziarah pasti menggantungkan harapan yang tinggi kepada pihak AMANI. Sehingga kadang-kala timbul juga rasa gerun di hati ini andai tidak dapat melunaskan hajat-hajat mereka yang ditimpa musibah. Perasaan gerun keran itu jauh lebih besar daripada melihat para militeri dan senapangnya.
Ketika sedang rancak menjamu hidangan, Chu Ya menghampiri Kak Tee memaklumkan tentang kes seorang pelajar berusia 13 tahun terkena peluru sesat dan sedang di rawat di hospital.
Kami meneruskan perjalanan Kampung Slow, daerah Reaso/Jabat, Wilayah Narathiwat tepatnya ke rumah mulah Muhd Abdi yang terkorban di dalam pertempuran yang berlaku lebih kurang 40 hari lalu.
Sekali lagi saya dihadapkan dengan anak yatim yang terpaksa membesar tanpa kasih sayang seorang ayah.
Kebiasaannya, ibu bapa menyambut dengan hati berbunga-bunga kelahiran anak lelaki namun mungkin perasaan itu tidak dirasai sepenuhnya oleh mereka yang berada di wilayah bergolak berkenaan. Kelahiran anak lelaki disambut dengan perasaan gembira bercampur bimbang. sempatkah anak itu membesar dan kemudian menjadi seorang bapa pula?
Kami bertolak pulang sewaktu azan Asar berkumandang, kami bertolak pulang. Kami singgah sebentar di rumah bakal ibubapa mertua Chu Ya untuk menunaikan solat Asar sebelum langsung pulang ke Yala.






Survival Qamar : hari Kelima, 29 Jun 2010

Bismillahirrahmanirrahim...

Awal pagi saya bersiap-siap kerana hari ini saya akan masuk kuliah. Hihi. Sebenarnya hari ini saya akan mengikut Kak Tee ke Jamiat Islamiah Syeikh Daud al-Fathoni atau lebih dikenali sebagai JISDA.

Mendengar kepada nama jamiat ini, apa yang tergambar di dalam fikiran saya adalah sebuah kawasan pengajian yang kalau tidak sebesar Yala Rajabhat Universiti pun ,sekurang-kurangnya tidak lebih kecil daripada Institut Pengajian Islam Perlis (IPTIPs).

Saya membuntuti Kak Tee berjalan melintasi adik-adik Pondok Haji Harun yang sedang berbaris pagi.

Saya tiba di hadapan sebuah bangunan tiga tingkat yang tidak bercat. Telinga saya disapa bunyi bising mesin dan kelihatan beberapa pekerja berkeliaran di sekitar bangunan itu.

Kak Tee meluru berjalan di koridor bangunan berkenaan.

“Inilah jamiat Kak Tee,”maklum Kak Tee. Seolah-olah dapat menebak apa yang sedang bergulat dalam fikiran saya. Saya sedikit tersentak.

Melangkah masuk sahaja di dalam kelas, saya disambut dengan lirikan mata para pelajar. Saya mengambil tempat di sisi Kak Tee dan mengikut sesi pengajian seperti pelajar-pelajar lain.

Temujanji saya bersama Mudir jamiat pada pukul 11.30 pagi. Sebelum saya keluar untuk bertemu dengan mudir, seorang pelajar lelaki bangun dan menahan saya. Dia meminta saya memperkenalkan diri sedikit sebanyak di hadapan kelas untuk berkongsi dengan sahabat-sahabat lain.

Sesi soal jawab juga dibuka.

“Apa pandangan saudari terhadap situasi yang berlaku di sini?” Tanya seorang pelajar lelaki. Saya terdiam seketika tidak tahu hendak menjawab apa.

Lalu saya membaca sepotong hadith Nabi yang bermaksud, “Barangsiapa tidur dan tidak mengambil peduli urusan muslim lain, maka dia bukan dari kalangan mereka,”

Saat itu, saya melihat senyuman indah terhias hampir di setiap wajah seisi kelas. Seolah-olah senyuman mengirim harapan buat pihak dari Malaysia.

Saya beransur naik ke atas. Namun, temujanji saya pada hari itu ditunda pada hari Khamis kerana mudir terpaksam menyelesaikan satu tugasan yang dating tiba-tiba.

Usai makan tengah hari dan solat Zuhur, saya, Kak tee, Chu Ya, Romzi dan Ismael bergerak ke Haji Qosim Mat Sum, guru qiraat yang ditembak di hadapan rumahnya di kampong Kolam.

Celoteh bayi yang baru mencecah usia 46 hari itu benar-benar menyentuh hati saya. Bayi itu lahir tanpa sempat diazankan oleh ayahnya. Tanpa mengenal siapa ayahnya.

Seterusnya, kami melawat seorang mangsa yang ditembak namun Allah masih mahu memanjangkan usianya.

“Jarang-jarang berlaku kes begini,” maklum Kak Tee.

Kami bertolak pulang lebih kurang pukul 5.15 petang waktu tempatan.

Monday, June 28, 2010

Survival Qamar: Hari Keempat, 28 Jun 2010

Bismillahirrahmanirrahim...

Survival saya seorang diri bersama-sama kumpulan daripada Selatan Thai bermula. Chu Ya minta kami berehat dahulu pada hari ini sebelum meneruskan ziarah untuk mengumpulkan data dan maklumat.

Saya dibawa oleh Kak Rasyidah mengelilingi Bandar Yala dan antaranya kami singgah di Yala Rajabhat University.

Melihat bangunan universiti yang tersergam indah serta para pelajarnya berkeliaran di sekitar kawasan kampus, hati ini jadi benar-benar rindu untuk masuk ke kuliah
semula. Tidak sabar rasanya hendak mengkelek buku ke perpustakaan selesai kuliah. Kemudian membuat ulangkaji pelajaran bersama sahabat-sahabat di sekitar kawasan universiti. Bumi anbiya’ itu kembali menggamit hati.

“Tua dah baru munirah berkerja kalau begitu,” ulas Nurhayati atau lebih mesra dengan panggilan Kak Tee ketika saya memaklumkan saya hanyakan tamat belajar setelah enam tahun bermula dari tahun ini. Saya sekadar membalas penyataan itu dengan senyuman. Kalau ikutkan hati, mahu sahaja saya belajar seumur hidup. Rasa cinta dengan dunia belajar yang penuh ditaburi taman-taman ilmu ini tiada tolok bandingnya. Melebihi dunia dan seisinya.

Mahasiswa dan mahasiswi di sini diwajibkan memakai uniform sewaktu masuk ke kuliah. Bagi mahasiswa mereka perlu mengenakan tudung putih, baju putih dan kain hitam sementara mahasiswanya mengenakan kemeja putih serta berseluar hitam. Tidak ubah seperti pelajar sekolah menengah di tanah air.

Kami makan tengahari di kafe universiti sebelum langsung solat Zohor di suraunya.

Usai solat, Kak Rasydah membawa saya melawat pusat kebudayaan yang terletak di dalam kawasan universiti. Pelbagai alat muzik, alat permainan tradisional serta pinggang mangkuk yang ditempatkan di dalam pusat kebudayaan ini tidak jauh bezanya dengan apa yang terdapat di Malaysia.

Di sini juga terdapat beberapa peninggalan keturunan baba nyonya yang membuatkan saya terfikir, barangkali ada hubungan sejarah antara Bandar Yala dan Melaka. Hmmm…. Siapa yang berminat untuk mengkajinya?

Sebelah petang pula, yakni selepas solat Asar, Kak dan Kak Za bawa saya ke pasar berhampiran stesen keretapi di Bandar Yala ini. Huh! Memang sudah namanya perempuan. Saya tidak dapat menahan diri daripada membeli kain corak batik sebagai kenangan untuk dibawa pulang ke rumah nanti.

Sebelah malam, saya mempersiapkan bahan-bahan untuk program pada keesokan harinya. Ketika saya melelapkan mata yakni sekitar pukul 11.30 malam waktu Malaysia, sahabat-sahabat lain masih tekun bertungkus lumus menyiapkan tugas masing-masing.

p/s : tak dapat muatkan gambar kerana gambar-gambar yang ditangkap terdelete...

Sunday, June 27, 2010

Travelog Qamar Ke Selatan Thai : Hari Ketiga, 27 Jun 2010

Bismillahirrahmanirrahim...



Pagi sebelum bertolak ke rumah arwah baba Abdul Rahman di Kepala Batas, Bendangsetar, Wilayah Yala,kami sempat menjenguk pasar pagi di hadapan Masjid Yala.

Perjalanan ke rumah baba Abdul Rahman juga sekali lagi dengan kereta podi milik Abe Mat.

Bangunan sekolah yang agak daif menyapa mata kami saat kami tiba di perkarangan Madrasah Al-Falah Al-Islamiah. Di dalam kawasan sekolah ini jugalah terletaknya rumah mullah baba Abdul Rahman.

Bertemu dengan janda beranak tujuh yang ditinggalkan oleh baba Abdul Rahman sekali lagi menyentuh hati nurani saya. Terfikir-fikir, mengapa Allah memilih saya dan empat sahabat lain yang semuanya muslimat untuk menyelami situasi itu?


Puan Noraini serta anak bongsu mulah baba Abdul Rahman, Nur Haliza


Pasti kebetulan ini juga adalah salah satu perencanaan takdir Ilahi. Tiada walau sehelai daunpun yang jatuh ke bumi tanpa Allah mengetahuinya. Inikan pula takdir sebesar itu.

Mendengar ulasan-ulasan beberapa pihak berkenaan peribadi mulah bab Abdul Rahman membuatkan saya rasa tidak puas dengan masa yang telah diluangkan di sana. Walaupun, saya perlu akur terhadap masa yang sangat mencemburui kami.

Dengan kadar segera mungkin kami menjamah hidangan makanan tengahari yang maha sedap disediakan oleh pihak madrasah.

Kami langsung ke Nahdatul Tarbiyyah Ad- Diniah al- Islamiah, bendangsetar, Wilayah Yala.
Bangunan madrasah ini sedikit mewah berbanding madrasah sebelumnya. Tidak jauh daripada kawasan Nahdatul Tarbiyyah Islamiah ini juga jasad mulah baba Abdul Rahman dikuburkan.


di Nahdatul Tarbiyyah ad-Diniah al-Diniyyah, Bendangsetar Yala

Selepas sesi taaruf bersama dengan mudir sekolah, kami langung pulang ke pejabat HAP kerana empat sahabat yang akan langsung pulang ke Malaysia.

Usai solat Asar, kereta podi sekali lagi dikerah untuk mengangkut sahabat-sahabat pulang ke Malaysia. Saya turut tidak ketinggalan untuk menghantar sahabat-sahabat ke sempadan yakni di Dannok.

Oleh sebab hari sudah gelap ketika kami sampai di sempadan, Ustaz Kamaruddin menyarankan empat sahabat tadi untuk bermalam sahaja di Dannok dan pulang esok hari.

Sementara saya dan sahabat-sahabat daripada Selatan Thai lain langsung ke Hat Yai untuk menjemput Ismael Teh yang baru usai daripada program dialog.

Kemudian kami langsung makan di Kedai Warisan, sebuah kedai yang diusahakan oleh para pelajar. Akhirnya saya sampai ke tempat di mana enam orang pelajar serta seorang tukang masak di tahan beberapa bulan lalu yang akhirnya membawa kepada demonstrasi kecil di Yala.

Melihat kepada majunya kedai makanan tersebut, saya langsung teringat kepada mahasiswa di Malaysia. Antara sebab kedai Warisan diusahakan adalah untuk membantu memberi dana kepada badan-badan NGO yang membela nasib rakyat di tiga Selatan Thai. Begitu kuat sekali jaringan yang wujud antara mereka. Barangkali ini impak daripada konflik yang mereka hadapi. Terfikir-fikir, mungkin mahasiswa kita di Malaysia menanti adanya konflik yang besar berlaku baru mereka akan sedar dari buaian hedonisme dan ketidakpedulisme?

Lewat malam baru kami tiba di pejabat HAP. Saya mula batuk-batuk dan tidak sedap badan. Pada mulanya saya fikir saya akan demam. Rupa-rupanya bukan saya yang dipilih Allah untuk sakit tetapi rupa-rupanya orang lain. Rasa bersalah menyelubungi diri. Hmm…

Saturday, June 26, 2010

Travelog Qamar ke Selatan Thai : Hari Kedua, 26 Jun 2010

Bismillahirahmanirrahim....




Sekali lagi dengan menaiki kereta podi, krew kami dengan bilangan yang lebih banyak daripada hari sebelumnya, bergerak menuju ke rumah arwah Sulaiman Nasea di Kampung Hutan Machang, Daerah Saiburi, Wilayah Patani.

Kedatangan krew kami disambut oleh keluarga arwah di samping jiran tetangga lain. Berbeza dengan keluarga Mohd Yusof, bagi keluarga Sulaiman, ibubapanya terpaksa menerima hakikat bahawa anak yang kepadanya mereka bergantung harap di hari tua, pergi meninggalkan mereka. Di sebalik senyuman si ibu dalam menjawab soalan demi soalan yang diajukan, serta tawa si ayah dalam selang seli bicara, tiada sesiapa dapat membaca luka yang membekas di hati mereka.

Apa tidaknya, permata hati pertama yang hadir menyerikan rumahtangga pergi dulu meninggalkan mereka.

Usai mengambil maklumat dan data, kami dijamu makan tengahari di rumah arwah Sulaiman.

Kami meneruskan perjalanan ke sebuah masjid di Tebing, Mukim Ta’bin, Daerah Saiburi Wilayah Patani. Sebiji bom pernah dilemparkan kea rah masjid ini namun tidak jatuh ke dalam kawasan masjid sebaliknya tersasar di luar pagarnya. Akibatnya, dua orang kanak-kanak lelaki dan seorang wanita cedera.

Kami meneruskan perjalanan ke rumah arwah Imam Abdul Karim Haji Muda di Kampung Keranji, Mukim Ta’luban, Daerah Saiburi, Wilayah Patani.


Imam Abdul karim ditembak mati ketika sedang memanjat tangga untuk menunaikan solat Jumaat.

Untuk ziarah mangsa ketiga ini, buat ke sekian kalinya, saya bertemu muka dengan seorang lagi janda yang kuat dan cekal seperti Puan Safiyah.
Kami menunaikan solat zohor di rumah arwah.

Perjalanan di teruskan ke rumah mangsa konflik terakhir yakni arwah Abdul Aziz di Kampung Banggol Kabu.


Abdul Aziz, 29 tahun ,seorang guru tadika yang cacat tangannya ditembak mati ketika sedang sibuk membuat persiapan program tadika pada hari berikutnya.

Bagi sahabat-sahabat yang tidak membuat jamak qasar, mereka beransur pergi mengerjakan solat Asar sementara saya dan Kak Lillah meneruskan tugas kami menemubual keluarga mangsa dan mendapatkan data serta maklumat secukupnya untuk simpanan pihak kami.

Kami tidak dapat meluangkan masa lebih lama di rumah arwah Abdul Aziz kerana kesuntukan masa.

Kami bertolak pulang. Fikiran saya melayang jauh, memikirkan tarbiyyah Allah di sebalik kembara pada hari ini.

Friday, June 25, 2010

Travelog Qamar ke Selatan Thai : Hari Pertama, 25 Jun 2010

Bismillahirrahmanirrahim...

Krew kami bertolak dari Pulau Pinang dengan van tiket ke Hat Yai sekitar pukul 9 pagi ddan hanya tiba di Hat Yai pada pukul 11.45 pagi. Untuk kali ini, tiada wakil daripada muslimin yang dapat turut serta.

Untuk ke bandar Yala, krew kami berpecah. tiga muslimat pergi dengan Ustaz Kamaruddin. Manakala saya dan Kak Lillah pergi menaiki van tiket.

Usai solat Asar, krew kami bersama-sama wakil daripada pihak HAP dan Deep Peace bergerak menaiki kereta podi ke rumah Nur Hayati yang juga merupakan salah seorang anggota HAP.



Abang Nurhayati telah mati ditembak oleh orang yang tidak dikenali pada petang 1 Jun 2010. Arwah bernama Mohd Yusuf, 38 tahun merupakan seorang penoreh getah. Kejadian berlaku pada pukul 6 petang ketika arwah sedang menaiki motor di Kg Tasik, Mukim Yukpo, Daerah Muang, Yala.



Arwah meninggalkan dua orang isteri serta 8 orang anak.

Ketibaan kami disambut baik oleh ibu, isteri pertama, anak-anak serta ahli keluarga mangsa lain. Saya sedikit diam dan tidak banyak mengambil data. Entah mengapa, saya lebih suka memerhati dan menghayati suasana sebuah keluarga di Selatan Thai ini menghadapi kematian ahli keluarga.

Satu perkara yang membuatkan saya kagum, mereka masih boleh tersenyum dan melayan mesra pihak kami serta menjawab dengan tenang setiap soalan yang diajukan walaupun mulah Mohd Yusof belum pun sebulan pergi meninggalkan mereka. Mungkinkah keran mereka sudah terlalu sering berhadapan dengan kematian seperti ini?



Setelah usai mengambil maklumat dan data, krew kami dijamu dengan nasi putih dan lauk pauk yang pelbagai.

Krew kami bertolak pulang sejenak sebelum azan Maghrib berkumandang.


Sebelah malam, kami mengadakan sedikit perbincangan untuk perjalanan program keesokan hari sebelum beberapa sahabat dari Malaysia keluar untuk melihat suasana bandar YAla pada waktu malam.

Wednesday, June 23, 2010

Hidup Ini Terlalu Singkat Untuk Menjadi Orang Biasa

Bismillahirrahmanirrahim....



“Ibu ambil cuti hari Jumaat ini,” maklum ibu kepada saya sebaik sahaja saya menjengah dapur. Saya menjungkit kening.

“Errr…, kenapa ibu ambil cuti?” soal saya sambil menggaru-garu kepala yang tidak gatal sambil otak ligat menyusun kata-kata. Saya mahu ke Patani Jumaat ini. Lebih kurang seminggu saya akan berada di sana sebelum langsung ke Shah Alam untuk program Bicara Buku di Pesta Buku Selangor, Kompleks PKNS Shah Alam.

“Ibu nak ajak kakak pergi tengok tudung di Parit Buntar. Cantik-cantik. Lepas itu, boleh langsung tengok kain untuk buat jubah kakak,” jelas ibu. Saya menggigit jari.

“Ibu sebenarnya, kakak nak pergi Patani. Seminggu di sana kutip maklumat untuk buku kakak yang akan datang,” saya memberanikan diri berterus terang.

“Oh,” jawab ibu sepatah.

“Balik dari Patani, 3 haribulan, kakak langsung nak pergi Shah Alam. Ada program bicara buku di sana,” lanjut saya.

“Pergi naik apa ke Shah Alam?”

“Errr…, naik bas rasanya,” jawab saya. Cekatan saya menyambung tugas ibu menggoreng bihun( tolong kacau saja pun bihun dalam kuali tu. hihi).

“Hari apa program itu?” soal ibu lagi.

“Hari Ahad pukul 11 pagi,”

“Balik awal sikit dari Patani. Boleh ibu hantar ke Shah Alam. Kalau tidak sempat balik hari Ahad lagi, ibu ambil cuti hari Isnin.

“Errr…, tak payahlah ibu. Kakak pergi sendiri,” tolak saya. Sebenarnya saya tidak mahu menyusahkan ibu.

Ibu diam. Saya turut diam.

“Lepas habis semua program itu, kakak duduk di rumahlah? Ada program lagi tidak?” duga ibu meemcah keheningan yang tercetus.

“Errr…., tak tahulah, ibu,” saya berselindung. Kalau ikutkan banyak lagi program sepulangnya saya dari Shah Alam.

Sebelum 21 September 2010 menjelang yakni tarikh berlepas ke bumi Anbiya' saya tidak bercadang untuk membiarkan ruang waktu itu kosong dan duduk goyang kaki di rumah. Sengaja saya menawarkan diri untuk memberi khidmat di samping tawaran-tawaran yang datang. Walau terkadang rasa sesak juga nafas ini.

“Kalau kakak ada di rumah boleh tolong tengokkan si Saiful. Tolong ajar dia matematik, sains, Bahasa Melayu, bahasa Inggeris. Peperiksaan UPSR dah tak lama lagi tapi dia asyik main game. Langsung tak mahu belajar,” luah ibu.

Saya menggetap bibir sambil mengutuk diri. Adakah saya telah mengabaikan tanggungjawab saya sebagai seorang anak, kakak dan salah seorang daripada ahli keluarga itu?

Sebetulnya saya tidak boleh menahan diri daripada terlibat dengan pelbagai aktiviti. Bermusafir ke sana ke mari sehingga kadang kala saya terlupa saya adalah seorang perempuan.

Teringat perbualan ringkas dengan seorang sahabat.

“Mak saya tidak begitu berkenan saya bergerak aktif. Apa lagi bermusafir ke sana ke mari tanpa mahram.”

“Oh yakah?” respon saya.

“Menurut mak, wanita-wanita di zaman Rasulullah SAW dulu tidak keluar berjuang melainkan ditemani oleh ayah, anak-anak lelaki atau suami mereka,” lanjutnya lagi.

Saya tersentak. Rasa seperti terkena pada batang hidung sendiri. Termenung panjang saya.

Mungkin saya terlalu taksub dengan prinsip diri, mahu melakukan sesuatu yang manfaatnya melimpah buat ummah seluruhnya. Apatah lagi apabila mengingatkan saya masih muda dan belum berkeluarga. Atau mungkin semangat Zainab al-Ghazali yang saya kagumi turut tempias dalam diri. Entahlah.

Zainab al-Ghazali sangat meyakini tanggungjawab agama dan social apabila berkahwin. Pada perkahwinan beliau yang pertama, suami beliau tidak bersetuju untuk membenarkan beliau bergiat aktif dalam perjuangan Islam. Dengan sebab itu, beliau telah meminta cerai daripada suaminya kerana pra-syarat yang diletakkan oleh beliau sebelum berkahwin adalah membenarkan beliau memperjuangkan Islam.

Suami beliau yang kedua memahami semangat dan gagasan perjuangan beliau dan melibatkan diri dalam penulisan untuk menyokong beliau dan sama sekali tidak menghalang beliau dari perjuangan.

Di dalam buku ‘Hari-hari dalam Hidupku’ (Ayyam min Hayati) beliau mengisahkan bagaimana suami beliau walaupun sangat bimbang akan diri beliau tetapi terus menerus menyokong perjuangan suci beliau. Zainab al-Ghazali juga menekankan beliau tidak akan mengabaikan tanggungjawab kepada suami dan keluarga beliau walaupun beliau Amirah sayap wanita Ikhwan Muslimin. Tanggungjawab beliau yang berat itu menyebabkan beliau perlu bekerja pada waktu yang panjang di pejabat beliau dan aktiviti bersama Ikhwan Muslimin.

Setelah kematian suaminya yang kedua, beliau masih di dalam penjara. Beliau merasakan tanggungjawabnya terhadap perkahwinan telah selesai dan beliau bebas untuk mengorbankan seluruh masanya untuk perjuangan Islam.


Mungkin saya tidak mampu menjadi sehebat beliau namun saya tidak menjadi wanita yang biasa-biasa. Walaupun saya tahu akan risikonya.

“Muslimat-muslimat yang aktif dan terkehadapan ini lambat jodohnya. Apatah lagi kalau tiada rupa,” lirih seorang sahabat. Saya sekadar tesenyum. Mengiya tidak. Membantah pun bukan.

Sebetulnya, bimbang juga saya. hihi...=)

Namun kata-kata Pak Ridwan Mukri, ESQ trainer dalam satu siri program yang saya hadiri jauh mengatasi kebimbangan itu. Bahkan menjadi penguat semangat saat rasa diri hampir rebah dalam meniti perjalanan yang panjang.

“ Hidup ini terlalu singkat untuk menjadi orang biasa.”

Ah! Kata-kata ringkas yang penuh azimat!

Ibu saya mungkin tidak jauh bezanya dengan Emak kepada Ustaz Riduan Mohamad Nor seperti yang tercatat dalam bukunya Cinta Di Langit Gaza. Seorang ibu yang mengimpikan anak gadisnya ini hidup normal seperti gadis-gadis lain. Bertungkus lumus belajar kemudian berkerjaya dan berkeluarga. Hidup tenang di rumah tanpa perlu ke sana ke mari berprogram.
Tidak perlu berpenat lelah mengejar waktu sehingga kadang kala balik ke rumah hanya sekdar untuk menukar beg pakaian.

Tarbiyyah yang pernah saya membuatkan saya tidak betah duduk diam saat tenaga, kudrat dan khidmat saya diperlukan.

Saya tahu dalam izin ibu berat melepaskan.

Apa yang mampu saya lakukan adalah berdoa andai kerjabuat saya ini berpahala, ganjaran itu turut mengalir kepada orang tua saya.

Terfikir-fikir, mungkin perlu saya fahamkan ibu tentang falsafah ini.

Hidup ini terlalu singkat untuk menjadi orang biasa.




Program Bicara Buku

Bismillahirrahmanirrahim...


PERKARA : Bicara Buku "PERINDU PELANGI" di Pesta Buku Selangor


TEMPAT : Kompleks PKNS, Shah Alam


TARIKH : 4 Julai 2010 (Ahad)


MASA : 11 pagi hingga 12 tengah hari


ACARA : Dr. Kamariah Kamaruddin akan memperkatakan novel ini dalam
program yang akan dipengerusikan oleh Puan Aliyah Sijari.


SEMUA DIJEMPUT HADIR....=)

Tuesday, June 22, 2010

Ulasan Novel Perindu Pelangi

Bismillahirrahmanirrahim...


Jalan –jalan saya di laman sesawang menemukan saya dengan satu komen daripada pembaca PERINDU PELANGI. Sekadar mahu berkongsi dengan pengunjung blog. Semoga bermanfaat.

Beberapa Sabtu yang lalu, saya mengikuti Bengkel Penulisan Novel Islami. Wah wah, mahu jadi novelis ya? Ah tidak. Buat masa ini, menulis novel tiada dalam perancangan. Otak saya tak sekreatif itu untuk memikirkan jalan cerita, plot, sub plot, hero, heroin, watak sampingan, konflik, penyelesaian bagi konflik dan macam-macam lagilah. Bikin pusing kepala aku aja, neng!
Saya pergi sekadar ingin belajar cara menulis secara formal. Disamping itu, dapat berkenalan dengan kawan baru. [Salah seorangnya, kakak seorang pengurus besar di syarikat saya!]
Ketika itulah saya mula tertarik dengan Perindu Pelangi.
Menurut Pak Ya iaitu fasilitator bengkel, cerita berlatarbelakang negara Cina tapi penulisnya tak pernah pun jejak kaki ke China. Haa menarik bukan?
Balik dari bengkel, mulalah bersemangat untuk membaca lebih banyak buku dan novel yang bagus-bagus sebagai kajian. Tapi buntu, buku apa yang bagus dibaca?
Jadi saya pun tanyalah pakarnya, iaitu Puan Mynie kita :-)
Rupa-rupanya Mynie juga menyarankan Perindu Pelangi.
Nampaknya, ada jodoh jadi saya pun membelinya.
Sampai rumah, cik abang mulalah tarik muncung panjang. "Tengok tu, Mama dah kena dadah!" katanya kepada Ameer dan Fatimah sambil mendukung Maryam.
Hehehehe.Oh saya suka, suka, sukaaaaa sangat. Bak kata orang-orang muda zaman sekarang ini, memang feel habis! Atau pun, terbaeekk!
Ketika membaca, terasa macam diri berada di Cina.
Paling saya suka, watak hero watak yang menonjol tetapi tidaklah digambarkan terlampau sempurna sampai kita tertanya, eh ada lelaki sesempurna ini dalam kehidupan sebenar? Bagi saya, watak terlalu hebat tidak lojik.
Seperti soalan saya kepada Pak Ya,"Realitinya, manusia sempurna itu tiada bukan?"
Cuma, rasanya ada fakta-fakta Islami di dalam novel ini yang perlu dipastikan kebenaran.
Terkadang ada bahagian yang buat kita keliru, "Eh, betulkah?" Bagi peminat novel, bacalah novel ini. Ralit nanti. Bagai hisap dadah. Eh macam tau pula hisap dadah itu bagaimana hehehe
Nota kaki: Jauhi diri dari dadah merbahaya.
sumber : www.feedage.com/feeds/8976259/tinidewi-the-chaotic-mother - Cached

Tuesday, June 15, 2010

Utrujjah

Sanggar Kreatif: Utrujjah
Oleh Siti Munirah A Rashid
Berita Minggu 2010/06/13

Kenangan
SEEKOR burung merpati putih melayah rendah sebelum hinggap di dahan pohon getah yang tumbuh paling hampir dengan beranda rumahku. Kepalanya sedikit terdongak. Barangkali mahu mengintai langit lazuardi dari celah-celah rimbunan dedaun pohon getah. Kurenung telatah si merpati itu sambil tangan ligat memicit batang tengkuk. Lenguh. Rasa penat kerana tidur lewat semalam masih bersisa.

“Istisyhad!” Aku segera menoleh saat namaku diseru ibu. Al-Quran yang kuulit sejak usai solat Dhuha tadi kututup rapi sebelum kulekap rapat ke dada. Sempat kukucup kitab yang besarnya lebih sedikit daripada telapak tanganku itu sebelum indera hiduku disapa bau harum semerbak. Segera pandangan kularikkan pada wajah wanita yang kian dimamah usia itu.

“Nah!” Ibu menghulurkan sebiji buah sebesar penumbuk sambil melabuhkan punggung di sisiku. Dari celah-celah jari ibu kuintai buah dengan kulit warna kuning pucat. Titisan jernih sisa air basuhan bergeluyutan jatuh dari buah tersebut umpama embun yang menitis dari hujung dedaun kala Subuh menjelang. Lama kuelus buah dalam tangan ibu sehingga terbit lurah-lurah kecil kehairanan di hujung mata ibu.

“Ambillah,” pinta ibu dengan dahi berkerut. Lambat-lambat aku mencapai buah yang dihulurkan oleh ibu. Kulekap rapat di indera hidu dengan mata terpejam. Bau harum dari buah itu menjalar ke seluruh urat nadiku. Bau harum itu membawaku kembali memutar pita ingatan pada kenangan malam itu. Saat itu, air dari tubir mataku yang sedia bergenang jatuh menimpa alur pipi. Bersatu dengan air basuhan yang masih tersisa pada buah berkulit tebal dalam genggamanku dan tidak semena-mena menitik di atas al-Quran di ribaku.

Menghitung Hari
“IBU, mana ayah? Kenapa ayah belum pulang? Ayah janji hendak belikan Isytihad buah utrujjah. Lagipun sudah lama ayah tidak mengajar Istisyhad mengaji,” rungutku. Aku berdiri di lawang pintu sejak waktu Zohor tadi. Usai solat Asar, aku berdiri lagi di situ. Sesekali kepalaku terlentuk ke kiri dan ke kanan. Namun, kuusahakan agar tidak lelap terus. Bimbang ketika ayah sampai di rumah, bukan aku orang pertama yang menyambutnya.

Lenguh berdiri, aku melabuhkan punggung di atas anak tangga. Sambil menongkat dagu, mataku tidak lepas-lepas mengintai celah-celah pohon getah, bergulir menanti batang tubuh ayah. Namun, ayah tetap tidak muncul-muncul. Bukan sehari. Bukan seminggu. Bahkan sudah berbulan-bulan aku tenggelam membidak hari dan menghitung detik waktu berlalu. Namun, aku tidak dihinggap jemu. Bahkan saban hari kau bertambah yakin, ayah pasti pulang.

“Mana ayah, ibu?” soalku lagi. Aku tarik hujung baju ibu, meruntun tangan pejal perempuan lewat dua puluhan itu dengan pandangan sayu. Ibu melabuhkan punggung di sisiku. Sama-sama kami merenung sinar teja yang kian sirna dari kaki langit. “Sabar, Istisyhad. Nanti lagi ayah sampailah. Kalau tidak hari ini, mungkin esok pagi ayahmu pulang. Sabar ya, sayang,” pujuk ibuku. Kata-kata itu juga acap kali kudengar sejak ayah melangkah keluar dari lawang pintu rumah kami. Ibu membelai-belai kepalaku. Aku mengangguk-angguk lemah. Menggetap bibir menahan kepala yang kian memberat menanggung rindu.

Beberapa bulan ayah tidak pulang ke rumah. Dan selama tempoh itu juga rumah kami sunyi daripada bacaan suci al-Quran anak-anak penduduk kampung. Tentu mereka rindukan suara ayah, rotan ayah, belaian lembut ayah tatkala mereka sukar membaca huruf-huruf di dalam kalam agung Allah serta mutiara-mutiara nasihat yang terbit daripada dua ulas bibirnya.

Ah, mereka sudah sedemikian rindu, apatah lagi aku. Sosok tubuh guru qiraat itu adalah ayahku. Yang daripada tulang sulbinya, Allah titipkan aku ke dunia. Walau langit hidupku tidak seindah anak-anak Siam yang kulihat menari girang di kaca televisyen jiran sebelah. Ikhlasnya, aku tidak pernah berjumpa dengan orang yang banyak membaca al-Quran seperti ayah. ke mana sahaja dia pergi, naskhah al-Quran yang sebesar telapak tangannya itu akan tidak pernah ditinggalkan. Saat menanti aku memakai kasut pun, ayah sempat lagi menyelak surah Ar-Rahman.

“Ibu, mengapa ayah selalu meninggalkan kita? Ayah tidak sayangkan kitakah, ibu?” soalku. Sekadar mengisi senggang penantian yang aku sendiri tidak pasti bila hujung pangkalnya. Kupintal-pintal hujung jilbab warna hijau lumut dengan hujung jari. Kebetulan, seekor burung merpati melayah rendah lalu mendarat di atas tanah di halaman rumah kami.

“Cuba lihat burung merpati itu,” bisik ibu ke telingaku. Cekatan mataku bergulir memerhati tingkah si burung. Ekornya tertonggek-tonggek saat ia asyik mematuk tanah mencari-cari kalau ada cacing sesat buat mengalas perut sebelum kemudian terbang pergi.

“Kenapa dengan burung itu, ibu?” tanyaku tidak mengerti.

“Ayahmu bercita-cita untuk bebaskan tanah air kita seperti burung yang terbang bebas di dada langit. Justeru, ayahmu perlu keluar berjuang, sayang. Keluar berjihad. Agar suatu hari nanti, ibu, kamu dan mereka yang menghuni bumi Pattani ini kembali mengecap nikmat merdeka laksana apa yang pernah dinikmati nenek moyang kita 224 tahun lalu. Dan kamu tahu, sebab itu juga dia namakan kamu Isytihad,” lanjut ibu.

Aku menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Ah, seawal usia lima tahun, ibuku sudah berbicara tentang perjuangan denganku. Perjuangan? Jihad? Terus-terang kukatakan, jiwa kecilku saat itu payah untuk mengerti aksara yang meluncur keluar mulut ibu. Justeru, apa yang terdaya kulakukan hanyalah menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Menggaru sehingga senget jilbabku.

“Nanti, apabila ayah pulang, tanyakan pada ayah mengapa dia namakan kamu Istisyhad ya!” Segera kuangkat wajah. Mataku berpampasan dengan mata jeli ibu. Di hujung bicaranya, ibu seakan-akan menitipkan harapan ayahku pulang petang itu. Aku tahu, ibu juga rindukan ayah. Ibu menepuk-nepuk bahu sebelum bingkas bangun dan berlalu ke dalam rumah. Meninggalkan aku sendirian di tangga kayu itu menanti ayah.

Ketika remang-remang senja mula menyapa bumi dan bulan hampir tercarak di kanvas langit, aku lihat sosok tubuh ayah muncul dari celah-celah pohon getah. Berkali-kali aku menggosok biji mata. Kucubit pipi sendiri sehingga merona merah.

"Ayah! Ibu, ayah sudah pulang! Ayah sudah pulang!” jeritku sambil terloncat-loncat girang. Aku tidak berilusi. Sosok di hadapanku ini memang ayah! Terasa lambat untuk meniti satu persatu anak tangga, aku terus melompat turun. Dengan kaki tidak beralas, aku berlari sekuat hati sambil mendepangkan tangan seluas-luasnya. Kupeluk tubuh ayah. Erat. Ayah tidak lokek membalas pelukanku. Bahkan didukungnya aku dan dicium pipi serta dahiku. Senaskhah al-Quran kecil erat digenggam dalam tangan kanannya. Manakala di jari-jemari tangan kirinya tersangkut sebuah beg palstik. Kuintai isinya. Ayah menyungging senyum.

Entah mengapa malam itu aku seperti melihat sosok tubuh ayah yang baru. Biarpun ayahku gelap kulitnya, sinar wajahnya seperti matahari kala waktu pagi. Berseri-seri. Kutenung wajah ayah lama. Sejak ayah pulang sampai kami usai solat Maghrib berjemaah, aku enggan berenggang dengan ayah.

“Ayah, mengapa ayah letak nama saya Istisyhad?” soalku sepertimana yang dipinta ibu. Aku melabuhkan punggung di atas riba ayah. Dia mengucup kepalaku.

“Agar kamu memburu syahid. Istisyhad itu maksudnya memburu mati syahid,” balas ayah sambil membantuku menyusup masuk rambut yang berjuntai di dahi ke dalam telekung yang kukenakan untuk solat tadi. Syahid? Aksara itu berbinar-binar di indera fikirku. Buat kesekian kali aku bingung lagi.

“Bukankah Istisyhad itu nama untuk orang lelaki?” soalku lagi.

“Mengapa? Orang perempuan tidak layakkah untuk memburu syahid?” Pandanganku bersatu dengan pandangan ayah. kucuba menghalusi kalimah yang terbit daripada mulut ayah dengan mata terkebil-kebil.

“Pergi ambil al-Quran. Ayah mahu ajar kamu mengaji,” suruh ayah. Aku bingkas bangun memanjat bangku. Dengan sedikit menginjat kaki, al-Quran di atas almari yang sudah lekang pintunya itu kucapai. Segera kudapatkan ayah. keperdengarkan bacaan al-Quranku yang masih teraba-raba. Apabila aku membaca dengan baik dia memujiku sambil mencubit pipi munggilku. Apabila aku tersalah dia betulkan tanpa sedikit pun meninggikan suara.

Usai mengaji, ayah menarikku tubuhku duduk di atas ribanya. Dia merapatkan mulutnya ke telingaku dan berbisik. Aku tersenyum.

“Benarkah, ayah?” soalku dengan mata bersinar galak. Lengan ayah kugenggam erat. Wajah ayahku elus menagih jawapan.

“Benar, sayang,” balas ayah. Sekali lagi dia merapatkan mulutnya ke telingaku dan berbisik. Rasa geli saat kumisnya tersentuh cuping telinga biarpun sudah beralas jilbab. Kali mulutku sedikit terlopong. Air mataku bergenang.

“Be … benarkah, ayah?” tanyaku dengan mata mula merah. Ayah sekadar menyungging senyum.

“Pergi ambil buah yang ayah bawa pulang tadi,” pinta ayah sambil menepuk belakang tubuhku. Aku mengangguk kecil dan bingkas bangun. Ayah juga bangun berjalan ke lawang pintu.

“Istisyhad!” panggil ayah. Aku menoleh.

“Ayah tunggu Istisyhad di sana,” maklum ayah. Aku sekadar melarikkan senyuman, menampak barisan gigi yang belum tumbuh teratur di dalam mulut. Aku berlari-lari ke dapur . Tidak mahu banyak masa terbuang tanpa ayah di sisi. Dua biji buah utrujjah kegenggam rapat ke dada. Cepat-cepat aku berjalan menuju ke ruang tamu. Berderap derup bunyi lantai papan kupijak. Sempat lagi kucium buah yang kekuningan masak dalam pelukanku. Bau semerbak utrujjah sejenak melupakan aku kepada bisikan-bisikan ayah tadi.

Bang! Bang! Bang!

Aku terpempan. Aku baru menjejak kaki di muka pintu saat itu. Buah utrujjah yang kugenggam terlepas. Jatuh melantun di anak tangga kayu rumah. Bergolek dan berhenti betul-betul di sisi ayah yang rebah longlai mencium tanah. Darah bersimbah menebarkan bau hanyir ke segenap ruang singgah di indera hidungku menenggelamkan harumnya buah utrujjah. Dari rekahan bibir yang pucat, kedengaran kalimah syahadah sebelum mata bening itu tertutup. Buat selama-lamanya.

“Ayahhh!”

Saat ini, ke mana sahaja kupergi, al-Quran yang pernah menjadi milik ayah itu menjadi peneman paling setia. Walau aku hanya sempat menikmati kasih sayang ayah tidak lebih daripada setengah dekad, namun tarbiyyah ayah itu ternyata membekas di hatiku.

“Mahu ke mana, Istisyhad?” tanya ibuku. Aku menyarung selipar dengan telekung masih melekat di tubuh.

“Mahu ke pusara ayah sekejap, ibu,” jawabku dengan bibir bergetar. Ibu sekadar mengangguk. Aku berjalan lambat-lambat. Matahari kian meninggi menebarkan bahang yang menggigit kulit tubuh. Waktu Dhuha yang beransur lupa gagal membawa pergi ingatanku kepada ayah.

“Malam ini, Istisyhad, ayah akan pergi dan tidak akan pulang lagi. Istisyhad tak perlu tunggu ayah lagi ya, sayang.” Bait-bait bisikan itu acapkali meraih air mataku.

“Ayah tunggu Istisyhad di sana!” Kalimah terakhir sebelum ayah menutup mata itu terus bersimpongan membuat bahuku terhinggut-hinggut menahan sebak di dada. Kakiku kian menginjak tanah tempat ayah disemadikan. Di sisi pusaranya, kulihat ayah seolah-olah berdiri menggamitku mampir kepadanya. Bagai tidak sabar untuk sama-sama menjamah buah utrujjah yang kubawa. Air mata yang masih bersisa kusapu dengan hujung kain telekung.

“Perumpamaan orang mukmin yang membaca al-Quran adalah seperti al-utrujjah, rasanya enak, baunya harum. Manakala perumpamaan orang mukmin yang tidak membaca al-Quran seperti buah kurma. Meskipun rasanya enak,tetapi tiada baunya. Hadis ini riwayatkan oleh Imam Bukhari. Dan kamu tahu Istisyhad, kamu bakal menjadi seperti utrujjah ini. Ayah percaya.”

Aku menambah kelajuan langkah dengan naskhah al-Quran dan buah utrujjah erat kulekap di dada dengan kedua-dua belah tanganku. Bersama-sama dengan kepercayaan ayah.