Monday, June 04, 2012

Kehamilan dan Peperiksaan


Bismillahirrahmanirrahim...

Alhamdulillah..saat dan ketika ini saya baru selesai peperiksaan untuk dua subjek Physiology dan Biochemistry.

Hanya Allah yang tahu macam mana perasaan ini. Rasa lega sangat. Menempuh trimester ketiga kehamilan tambah-tambah akhir-akhir kehamilan ini dalam pada masa  yang sama mengambil peepriksaan, bukan satu perkara yang mudah.

Alhamdulillah Allah telah permudahkan segalanya.

Tiga subjek lagi saya akan ambil selepas bersalin sekitar bulan Ogos nanti.

Jadi, sekarang dapatlah saya buat persiapan mental dan fizikal untuk menjadi seorang ibu yang saya rasa  terabai sepanjang fatrah imtihan ini.

"Jangan tertekan sangat. Kesian kat baby," selalu suami pesan begini.

Suami banyak berkorban. Padahal dia exam selang sehari. Namun segala kerja rumah dia yang laksanakan. Dari memasak, basuh baju, kemas rumah. Buat itu dan ini.

Kemudian kena luangkan masa untuk pujuk saya yang selalu saja tertekan.

Terasa tanggungjawab sebagai seorang isteri sedikit terabai sepanjang musim imtihan ini. Sedangkan, apabila telah berumahtangga, suami itu letaknya di tempat pertama.

Teringat kata-kata kisah Prof Muhaya yang juga berkahwin ketika belajar. Apabila suami memanggilnya untuk sesuatu urasan misalnya buatkan air, walaupun sedang khusyuk dan asyik belajar, Prof Muhaya akan segera menyahut panggilan suaminya.

"Apabila bernikah, maka suami itu ditempat pertama. Pelajaran di tempat kedua," ujar Prof Muhaya.

Subhanallah.

Saya tahu bukan mudah itu melakukan itu tatkala diri sendiri mengalami situasi yang sama.

Peperiksaan kali ini saya rasa amat mencabar. Bukan sahaja dari segi soalan-soalan yang ditanya oleh doktor, tapi dari segi persiapan saya sendiri untuk menghadapi peperiksaan kali ini.

Pernah sekali, pulang dari peperiksaan saya menangis. Bukan kerana tidak dapat  menjawab peepriksaan tetapi disebabkan saya rasa saya tidak melakukan yang terbaik sedangkan saya mampu untuk berusaha dengan lebih baik.

Tahun sebelumnya, saya mengganggap peperiksaan itu sebagai pesakit yang sedang saya rawat. Saya perlu lakukan yang terbaik  kerana pesakit itu mempercayakan saya dengan nyawanya.

Setiapk kali selepas peperiksaan saya akan rasa puas hati yang tidak terhingga walaupun ada sesetengahnya saya tidak dapat jawab dengan baik. Namun disebabkan saya telah usahakan yang terbaik, maka saya puas hati.

Keletihan dan segala kesulitan yang dialami sepanjang kehamilan seharusnya tidak menjadi alasan untuk saya membuat persediaan terbaik untuk menghadapi imtihan. Pesan seorang sahabat, andai kita menjadikan anak-anak itu sebagai alasan untuk tidak boleh berbuat itu dan ini, maka selamanya kita akan ditakuk yang sama. Tidak akan berjaya.

harap-harap belum terlambat untuk saya kembali bangun. Ada tiga subjek lagi menanti cuma bezanya ketika itu saya sudah punya anak, Insya-Allah.

Saya telah memilih jalan ini yakni mengambil bidang perubatan dalam pada masa yang saya mendirikan rumahtangga. Maka saya harus meneruskannya.. Semoga rumahtangga dan kehamilan saya ini tidak menjadi fitnah kepada pelajaran saya...mohon doa kalian.