Thursday, September 25, 2008

Hamba Tuhan Yang Maha Pengasih...



Entah kenapa, saya begitu tertarik dengan tajuk Al-Ibadah ketika belajar tentang tajuk ini dalam kelas BTQ beberapa ketika dulu. Bahagian yang paling menarik saya rasakan ialah ciri-ciri ‘Ibadurrahman. Hati saya berbunga ketika ustazah mengupas maksud ayat 63 hingga 74 Surah Al-Furqan ini. Melalui surah ini juga, Allah ilhamkan saya untuk menamakan blog ini sebagai QAMAR MUNEERA. Malah saya suka frasa ini untuk dijadikan nama pena saya. Tapi bukan ini yang hendak saya perkatakan dalam entri kali ini. Tapi tentang ciri-ciri ’Ibadurahman tadi.

Adapun hamba-hamba tuhan Yang Pengasih itu adalah orang-orang yang berjalan di bumi dengan rendah hati dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka dengan kata-kata yang menghina, mereka mengucapkan salam.Dan orang-orang yang menghabiskan waktu malam untuk beribadah kepada tuhan mereka dengan bersujud dan berdiri. Dan orang-orang yang berkata “ Ya tuhan kami, jauhkanlah kami kerana sesungguhnya azabnya itu membuat kebinasaan yang kekal,”. Sesungguhnya Jahanam itu seburuk-buruk tempat menetap dan tempat kediaman. Dan (termasuk hamba-hamba tuhan Yang Maha Pengasih) orang-orang yang apabila menginfakkan harta, mereka tidak berlebihan, dan tidak pula kikir, di antara keduanya secara wajar. Dan orang-orang yang tidak mempersekutukan Allah dengan sembahan lain dan tidak membunuh orang yang diharamkan Allah kecuali dengan alasan yang benar, dan tidak berzina, dan barangsiapa melakukan deikian itu, nescaya dia mendapat hukuman yang berat. Yakni akan dilipatgandakan azab untuknya pada hari kiamat dan dia akan kekal dalam azab itu dalam keadaan terhina. Kecuali orang-orang yang bertaubat dan beriman dan mengerjakan kebajikan, maka kejahatan mereka digantikan dengan Allah dengan kebaikan. Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang. Dan barangsiapa yang bertaubat dan mengerjakan amal kebajikan, maka sesungguhnya dia bertaubat kepada Allah dengan taubat yang sebenart-benarnya. Dan orang yang tidak memberikan kesaksian palsu dan apabila mereka bertemu dengan orang-orang ynag mengerjakan perbuatan-perbuatan yang tidak berfaedah, mereka berlalu dengan menjaga kehormatan dirinya. Dan orang-orang yang apabila diberi peringatan dengan ayat-ayat tuhan mereka, mereka tidak bersikap \sebagai orang-orang yang tuli dan buta. Dan orang-orang yang berkata “ Ya tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati kami dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertaqwa”.

Daripada ayat di atas, terdapat sepuluh ciri-ciri hamba tuhan yang Maha Pengasih (‘Ibadurrahman). Ini membuktikan bertapa prihatinnya Allah terhadap hamba-hambanya.

Allah tidak meninggalkan manusia terkontang-kanting di atas muka bumi ini melainkan disertakannya garis panduan dan pedoman. Dalam ciri-ciri ‘Ibadurrahman yang dinyatakan, jelas seimbang antara hubungan kita dengan Allah (Hablumminallah) dan hubungan kita dengan sesama manusia (Hamlumminannas). Contohnya, Allah taala menganjurkan kita untuk membalas perkataan hina orang-orang jahil dengan ucapan salam atau dalam erti kata yang lain dengan perkataan yang baik bukan membalas kembali segala kejian yang telah dilemparkan. Di sini kita dapat membina perhubungan yang baik sesama manusia itu sendiri. Hal ini diaplikasikan oleh Rasulullah SAW sepenuhnya dalam kehidupan baginda. Kita dapat lihat bagaimana baginda SAW bersabar melayan kerenah seorang lelaki yahudi tua yang buta. Setiap hari Rasulullah SAW menyuapkan makanan kepada lelaki ini. Pada masa yang sama lelaki ini akan terus-terusan mengutuk Rasulullah SAW tanpa disedarinya yang menyuapkan makanan kepadanya setiap hari adalah insan mulia itu. Sehinggalah baginda Rasulullah SAW wafat dan Saidina Abu Bakar mengambil alih tugas Rasulullah SAW untuk menyuap makanan kepada lelaki ini. Seperti biasa sambil Abu Bakar menyuapkan makanan ke mulut lelaki itu, lelaki itu tidak berhenti-henti mengutuk Rasulullah. Dalam pada masa yang sama dia sedar orang yang sedang menyuapkan makanan kepadanya bukanlah orang yang biasa melakukan hal demikian sebelum ini kerana biasanya Rasulullah SAW akan menghaluskan makanan itu sebelum menyuapkan ke dalam mulutnya. Lalu Abu Bakar sambil menangis menyatakan orang yang selalu menyuap lelaki itu sebelum ini adalah Orang yang sedang dikutuknya dan ketika itu orang itu telah wafat. Maka Lelaki itu masuk Islam lantaran ketinggian peribadi Rasulullah SAW. Alangkah indahnya peribadi ‘Ibadurrahman ini!

Di samping itu Allah taala menyarankan kita berbelanja dengan besederhana yakni tidak lokek dalam memberi namun tidak pula sampai berlebihan bersedekah sehingga kita sendiri pula terpaksa mengemis selepas itu.


Untuk meningkatkan tahap hubungan kita dengan Allah, kita disarankan bangun di sebahagian malam untuk bertahajjud kepada Allah.

Alangkah cantik dan moleknya ciri-ciri ‘Ibadurrahman ini. Andai orang Islam mampu mempraktikkan semua sikap yang dianjurkan ini, maka makmurlah dunia, bahagialah kehidupan kita sehari-hari.


Tetapi hal itu tidak berlaku walhal majoriti umat Islam membaca Al-Quran setiap hari. Mungkin ada sebahagian daripada kita menghafal lumat ayat-ayat suci ini. Namun di sana tiadanya nilai penghayatan yang akan membawa kepada kepada pengamalan. Saya tidak perlu melihat jauh. Diri ini sudah cukup untuk menjadi contoh. Masih banyak ilmu-ilmu berkaitan al-Quran yang masih saya tidak tahu apatah lagi tafsir-tafsir tersirat disebalik ayat-ayat Allah ini. Syukur kepada Allah kerana membuka mata hati saya untuk menyedari hal ini setelah sekian lama lena dan sedap berada di zon selesa.


Moga ini menjadi titik permulaan pencarian saya terhadap al-Quran yang semakin hilang ditelan kesibukan diri mengejar cita-cita dan impian!

Saturday, September 06, 2008

KUN RABBANIYYAN WALA TAKUN RAMADHANIYYAN

Alhamdulillah setinggi-tinggi kesyukuran kita lafazkan buat Ilahi kerana dengan ramat dan kasih sayang-Nya hingga saat dan detik ini kita masih diberikan peluang untuk bernafas dan yang lebih bermakna lagi kita diberikan kesempatan berada dalam bulan mulia ini yakni Ramadhan. Seharus dan sewajibnya Ramadhan ini dimanfaatkan, dihargai dan dihayati kerna kita tidak pasti Ramadhan akan datang akan mampu kita jejaki atau sebaliknya. Ajal sentiasa mengintai kita biar di mana pun kita berada.

Alhamdulillah, dengan izin-Nya saya diberi peluang oleh Allah untuk menghadiri ceramah atau tazkirah yang diberikan oleh Ustaz Muhadir beberapa hari lepas. Cantik sekali tajuknya. " Kun Rabaniyyan wala takun Ramadhaniyyan".

Tajuk ini kena pada batang hidung saya sendiri dan ( maaf sebut) mungkin kebanyakan umat Islam di luar sana.




Bulan ramadhan dikatakan sebagai bulan pesta beribadah. Ramadhan juga dkatakan sebagai madrasah untuk membentuk peribadi muslim sejati. Dalam bulan ini masjid-masjid dan surau-surau pada malam hari penuh dan meriah dengan pelbagai lapisan masyarakat terutamanya awal-awal ramadhan ini. Tidak cukup dengan berpuasa pada siang hari, kita tambah dengan qiamullail di sepertiga malam. Berjuzuk-juzuk Al-Quran kita baca dalam sehari-hari. Sadaqah tidak henti-henti dihulurkan. Zikir sentiasa basah dibibir.




Mereka-mereka yang jarang-jarang solat fardhu sehari-hari pun turut berkunjung ke masjid untuk bertaraweh. Alhamdulillah.
Namun apabila berlalunya ramadhan, amalan -amalan ini turut berlalu. Seolah-olah ibadah ini hanya valid dalam bulan Ramadhan.



Menjelang satu syawal kita kembali seperti sediakala. Kita kembali kepada tabiat sebelum tiba Ramadhan. Yang jarang-jarang solat fardhu, kembali jarang-jarang bersolat. Al-Quran diletakkan kembali di tempat paling tinggi misalnya di atas almari dan tidak disentuh-sentuh lagi. Jadilah al-Quran itu suci dalam debu. Masjid-masjid dan surau kemblai lengang.




Mengapa hal ini berlaku? Adakah sebulan itu tidak cukup untuk kita membentuk tabiat baru dan mengikis terus peribadi mazmumah?Di manakah silapnya?



Jawapannya ada pada diri kita masing-masing. Andai kita jadi hamba pada Ramadhan maka inilah natijah yang kita akan perolah usainya Ramadhan. Tetapi, jika kita menjadi hamba Allah, biar di bulan apa sekalipun kita berada, kita akan tetap istiqamah dengan amalan-amalan kita.

Saya petik, kata-kata Ustaz Muhadir, " Jika kamu menyembah atau menjadi hamba kepada bulan Ramdhan, ingatlah Ramadhan itu datang dan pergi, tetapi andai kamu menjadi hamba Allah, Allah itu tetap ada dan terus ada walau di mana kita berada,"

Friday, August 08, 2008

Lambaian Kaabah



Telah lama rasanya tidak menulis. Sibuk sikit sejak akhir-akhir ini. Walaupun contact hour sikit, tetap sibuk. Entah lah sibuk dengan apa. Ketika ini saya sedang cuti mid break. Jadi ada sedikit ruang yang dapat diluangkan untuk menulis dalam entri ini.


Beberapa hari lepas saya ada mendengar siaran radio IKIM. Kalau tidak silap pagi Selasa lepas. Topik perbualan atau perbincangan hari itu benar-benar menarik minat saya. Tentang menerjakan haji dalam usia muda. Sejak belakangan ini pun saya selalu berbincang tentang perkara ini bersama-sama sahabat-sahabat dan keluarga.


Ibadah haji menunutut kudrat yang tidak sedikit. Kita menggunakan banyak tenaga ketika mahu melaksanakannya. Jika diteliti, majoriti rakyat Malaysia pergi menunaikan haji ketika usia sudah lanjut. Hal ini mungkin didorong oleh faktor kewangan yang tidak mencukupi ketika usia muda.
Justeru, ada satu skim pinjaman duit kepada mereka yang berminat mengerjakan haji tetapi tidak berduit dalam usaha menggalakkan rakyat Malaysia mengerjakan haji dalam usia muda. Ada beberapa pemanggil yang memberikan pendapat. Salah seorangnya ( saya tidak ingat namanya) menabung sejak kali pertama dia bekerja iaitu ketika dia berusia 18 tahun. Akhirnya pada usia 52 tahun dia berjaya pergi menunaikan haji. Alangkah bersungguh-sungguhnya insan ini!

Amalan menabung ini telah diterapkan dalam masyarakat kita sejak kecil . Teringat pesan ibu ketika saya kecil
“ kakak kena simpan duit, nanti nak sambung belajar tinggi-tinggi senang. Kalau susah-susah nanti boleh pakai duit tu.”

Malah kerap kali ditayangkan iklan-iklan menggalakkan anak-anak kecil menabung waktu saya kecil dulu. Ini memang budaya yang cantik dan perlu terus disuburkan.
Mungkin kini kita boleh menambah dalam dialog-dialog kita bersama-sama adik-adik atau pada anak-anak di rumah pentingnya menabung ketika kecil agar kelak dapat kita pergi menunaikan haji dalam usia muda.

Justeru, saya menyeru diri saya sendiri serta sahabat-sahabat yang membaca entri ini, marilah sama-sama kita menabung bermula saat ini bagi mereka yang masih belum mula menabung. Jadikan ibadah menunuaikan haji antara cita-cita terbesar kita di samping cita-cita kita yang lain seperti mahu menjadi doktor, jurutera, pensyarah, ahli farmasi dan sebagainya.

Keratan Akhbar

'Qardhul Hasan' untuk golongan muda tunai haji

KUALA LUMPUR 17 Julai - Seorang anggota Dewan Negara hari ini menyarankan Lembaga Tabung Haji (TH) dan institusi kewangan Islam memberi pinjaman tanpa faedah mengikut kaedah "Qardhul Hasan" untuk golongan muda menunaikan fardu haji.
Senator Mumtaz Md. Nawi berkata, pinjaman itu wajar diberi kepada umat Islam yang layak sebagai usaha menggalakkan mereka menunaikan haji atau umrah pada usia masih muda.
"Sekiranya mereka dibenarkan untuk meminjam 40 peratus daripada pendapatan untuk membiayai kos melancong ke luar negara, membiayai rumah dan kereta mewah, jadi amat wajar pihak institusi kewangan Islam dan swasta membiayai sebahagian atau sepenuhnya kos umrah atau haji ini," katanya.
Qardhul Hasan ialah satu kaedah yang mensyaratkan peminjam hanya perlu membayar balik wang dipinjam tanpa sebarang faedah atau riba.
Beliau mengemukakan cadangan itu ketika membahaskan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) hari ini.
"Masalahnya, rakyat kita akan menabung dan mendaftar haji di TH setelah berusia lanjut.
"Ini akan memberi kesan ketika menunaikan haji kerana ibadah itu memerlukan stamina yang kuat dan akan menyukarkan mereka yang usia lanjut berbanding jika menunaikan haji semasa muda," kata Mumtaz.
Selain itu, katanya bagi pendeposit dan pendaftaran haji pada tahun ini, mereka hanya layak menunaikan haji pada 2021.
Senator itu juga mencadangkan diwujudkan program bagi memastikan semua kakitangan awam dan swasta menjunjung tinggi suruhan agama dengan mengutamakan solat lima waktu.
"Ini ialah serampang tiga mata kepada negara kerana ia dapat mendisiplinkan individu, melahirkan kakitangan yang komited serta amanah kepada kerja dan Tuhan," kata Mumtaz.
Persidangan bersambung Isnin depan.
- Bernama ( Utusan Malaysia )


Tabung Haji disaran beri pinjaman mengikut kaedah "Qardhul Hassan" kepada golongan muda tunai haji

17/07/2008 9:38pm

KUALA LUMPUR 17 Julai — Seorang senator hari ini menyaran Lembaga Tabung Haji (TH) dan insitusi-institusi kewangan Islam memberikan pinjaman tanpa faedah mengikut kaedah “Qardhul Hasan” kepada golongan muda untuk menunaikan fardhu haji ke tanah suci.
Senator Mumtaz Md Nawi berkata, pinjaman itu wajar diberikan kepada umat Islam yang layak sebagai usaha menggalakkan mereka menunaikan haji atau umrah semasa usia masih muda.
“Sekiranya mereka dibenarkan untuk meminjam 40 peratus daripada pendapatan mereka untuk membiayai kos melancong ke luar negara, membiayai rumah dan kereta mewah, jadi amat wajar agar pihak institusi kewangan Islam dan pihak swasta membiayai sebahagian atau sepenuhnya kos umrah atau haji ini,” katanya.
Kaedah Qardhul Hasan merupakan satu kaedah di mana peminjam hanya perlu membayar balik wang dipinjamnya tanpa sebarang faedah atau riba.
Beliau mengemukakan cadangan itu ketika membahaskan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) pada persidangan Dewan Negara di sini.
“Masalahnya rakyat kita akan menabung dan mendaftar haji di TH setelah berusia lanjut.
“Ini akan memberikan kesan ketika menunaikan haji kerana ibadah itu memerlukan stamina yang kuat dan akan menyukarkan mereka yang telah berusia berbanding jika menunaikan haji semasa muda,” kata Mumtaz.
Selain itu, katanya bagi pendeposit dan pendaftaran haji pada tahun ini, mereka hanya layak menunaikan haji pada 2021. - Bernama ( Utusan Malaysia )

Monday, June 30, 2008

Sirah Ini Ibrah

Jika Zaid bin Harithah gugur

Jaafar bin Abi Thalib galang gantinya

Andai Jaafar tumbang

Mara ke hadapan Abdullah bin Rawahah

Berganti-gantilah kalian memimpin angkatan perang

Sabda baginda junjungan

Dalam gegak gempita Ghazwah Mu’tah.



Panji bertukar tangan

Saat Zaid hampir terkorban

‘Al-Tayyar’ menyambut gagah

Dipangkas tangan kanan

Tangan kiri menyambar

Biar putus keduanya

Dalam pelukkan panji dipaut.



Abdullah pantas menggapai

Panji bendera amanah

Dalam atma hanya dua

Menang atau syahid

Gugur ibn Rawahah dipilih ‘Saifullah’

Saff diatur strategi disusun

Berundur musuh dihinggap gerun.



Ini sirah anak muda lampau

Berjuang tidak kenal lelah

Megah mereka merebut Jannah

Berjihad demi kelangsungan dakwah

Biar gugur dan bertumpah darah.



Sirah ini ibrah

sebagai tazkirah

Buat kita

Anak muda abad ini.

Saturday, June 28, 2008

Teladan Dari Burung


Ketika api sedang marak menyala untuk membakar tubuh suci Nabi Ibrahim A.S, kelihatan seekor burung kecil tekun berulang-alik antara nyalaan api menggunung itu dan satu tempat lain. Burung kecil itu sibuk amat. Tidak terpancar rasa putus asa walau sedikit. Letih pun tidak. Apa yang dilakukan oleh burung kecil ini?

Rupa-rupanya burung itu sedang mengangkut air dengan paruhnya yang kecil. Tetapi untuk apa?

Untuk memadamkan api yang sedang menggila menjilat batang tubuh nabi Allah Ibrahim. Hasilnya pasti sia-sia tidak berlaba. Mana mungkin air yang dibawa menggunakan paruh burung kecil ini mampu menundukkan marak api itu.

“Sungguh sia-sia uasahamu wahai burung kecil. Kau tidak akan dapat memadamkan api itu. Tidak sama sekali,”

Burung kecil itu tidak peduli. Dengan tenang dia menjawab.

“ Aku tahu aku tidak mampu memadamkan api ini, tetapi sekurang-kurangnya aku punya hujah apabila berhadapan dengan Allah kelak jika ditanya apa usahaku untuk membantu Nabi Allah Ibrahim yang berada dalam kesusahan,”

Begitulah, bertapa burung kecil itu sedar akan tanggungjawabnya. Bertapa burung kecil itu takut akan bicara di padang mahsyar oleh hakim paling agung.

Apatah lagi kita yang telah melafazkan dua kalimah syahadah ini. Bukan sahaja dikurniakan dengan dua nikmat terbesar yakni iman dan Islam, bahkan kita dikurniakan dengan nikmat akal untuk berfikir. Kita makhluk istimewa antara ciptaan-ciptaan Yang Esa.

Kita dihidupkan oleh Allah dengan tujuan dan matlamat tertentu yakni untuk beribadah kepada-Nya. Sepertimana firman-Nya dalam surah Az-Zariyat ayat ke lima puluh enam yang bermaksud “ Tidak Aku ciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku”. Allah menyatakan bahawa manusia diciptakan sebagai khalifah dalam surah A-Baqarah ayat ke tiga puluh yang bermaksud “ Dan ingatlah ketika tuhanmu berfirman kepada para malaikat, Aku hendak menjadikan khalifah di muka bumi…”. Oleh itu, harus diingati, kita tidak dijadikan untuk perkara yang sia-sia melainkan terpikul satu beban dan amanah dibahu masing-masing.

Solat, puasa, zakat dan menunaikan haji merupakan sebahagian taklifat yang telah dipertanggungjawabkan kepada setiap individu yang nengucapkan kalimah syahadah. Namun, adakah itu sahaja tanggungjawab kita?
Tentu sekali tidak. Allah menjadikan manusia terdiri daripada pelbagai kerenah dan keadaan. Ada yang baik. Ada yang jahat. Justeru, usaha islah dan dakwah perlu dimainkan. Bagi mereka yang dicampakkan hidayah dan diberi kelebihan ilmu oleh Allah, mereka perlu membimbing manusia-manusia lain yang masih samar jalan menuju keredaan Ilahi. Tidak patut mereka hanya berdiam diri, beruzlah mengasingkan diri sedang banyak lagi manusia menagih bimbingan golongan ini.

Usaha islah dan dakwah bukan suatu perkara yang mudah. Kepada mereka tidak dibentangkan permaidani merah mahupun hamparan baldu. Sebaliknya jalan-jalan yang dilalui penuh kaca dan paku serta berliku. Kalau tersalah langkah boleh membawa padah pada diri sendiri. Kesan atau hasil usaha dakwah yang dilaksanakan kadang-kadang mengecewakan dan tidak seperti yang diharapkan.Kerja-kerja yang dilakukan di jalan ini juga tidak dibayar, kita yang perlu membayar malah!
Kesampingkan semua itu. Paling penting, kita mengorak langkah melaksanakan usaha dakwah dan islah walaupun kecil dan sedikit. Biar sekadar sebaris ayat mahupun sepatah kata. Usaha yang kita rasa kecil Dia lihat besar. Usaha yang kita rasa besar, tetapi Dia lihat kecil. Penilaian tuhan, siapa tahu. Jadikan usaha burung kecil itu sebagai teladan. Biar kecil tapi berjiwa besar. Jangan besar tapi berjiwa kecil!

Tuesday, June 10, 2008

Apabila Memiliki Terkadang Tidak Kita Hargai

Pada awal bulan Mei saya dikejutkan dengan berita pemergian tok su. Tidak disangka-sangka pada pengakhiran bulan itu, kakak arwah tok su yakni nenek saya dijemput Ilahi. Saya rasa terkilan amat. Pagi Jumaat 30 Mei nenek membebel seperti biasa kerana saya tidak bersiap lagi sedangkan saya akan naik bas 9.30 pagi. Ayah yang pergi menghantar ibu bekerja juga tidak pulang lagi sedangkan jam menghampiri pukul 8.45 pagi. Perjalanan dari rumah saya ke stesen bus mengambil masa dalam setengah jam. Sebelum bertolak, saya bersalam dan mencium pipi nenek seperti kebiasaannya apabila saya mahu pulang ke kampus. Tidak saya sangka pada pagi esoknya saya akan mencium pipi nenek yang tidak lagi bernyawa. Setepatnya saya pulang bukan kerana semester baru sudah bermula tetapi saya dipanggil untuk menjadi committee Taaruf Week. Sebaik saja saya selesai menunaikan solat asar di bilik ( masa itu saya sudah sampai di Kampus), adik saya telefon memaklumkan pemergian nenek. Saya meraung sekuat hati. Petang itu juga saya pulang semula ke rumah. Sepanjang cuti semester ini saya berada bersamanya. Saya tinggal dengan nenek sejak saya lahir. Saya rasa terkilan sebab saya banyak menyakitkan hatinya. Rasanya hari-hari terakhir nenek bersama saya, dia tidak gembira dan kesunyian. Kenangan bersamanya berputar dalam kotak memori. Apabila terpandang tempat tidurnya saya terkenangkan dia. Saya rasa bersalah. Petang Khamis sebelum saya pulang nenek kelihatan sedih apabila saya beritahu mahu pulang awal ke kampus. Selalu nenek minta temankan dia kerana dia sunyi lantaran saya gemar berada dalam bilik. Ucapan itu diulang acapkali dan setiap kali itu pasti saya merungut kerana merasakan nenek menganggu kerja saya. Maafkan segala kekasaran dan tingkah biadap saya nenek. Saya rasa kehilangan kini. Terasa sekali kehilangan. Setelah nenek pergi saya selalu rindukannya tetapi sewaktu dia masih hidup jarang-jarang saya temankan dia berbicara. Begitulah lumrah manusia. Apabila memiliki jarang kita menghargai. Apabila hilang baru kita menyesal dan mencari. Selepas ini tiada lagi kedengaran nenek memanggil saya. Tiada lagi petua-petua kesihatan menerjah ruang pendengaran. Tiada lagi dendangan syair berkumandang. Saya pasti merindukan semua itu. Moga nenek bahagia di sana. Saya coretkan tentang perkara ini dalam entri kali ini kerana saya sangat rindukan nenek sehingga ke saat ini. Maafkan saya nenek andai saya tidak dapat menceriakan dan membahagiakan hari-hari tuamu sebagaimana nenek cuba membahagiakan hari-hari kecil saya….