Saturday, October 25, 2008

RFC vs KFC

Semalam saya bersama-sama keluarga berkunjung ke sungai petani semata-mata untuk menikmati salah satu lagi produk terbaru HPA iaitu RADIX FRIED CHICKEN(RFC). Jika dulu kita akan berkunjung ke KFC andai timbul rasa ingin menikmati ayam goreng berempah, kini kita ada pilihan lain yang lebih terjamin halalnya Insyaallah.


Kemunculan RFC ditengah-tengah kemelut kita memboikot barangan keluaran Yahudi memang dinanti-nantikan. Kini kita tidak perlu berputih mata. Andai ingin menjamu selera dengan ayam goreng berserta coslow dan wedges potato, dan dalam masa yang sama mahu hidangan yang lebih terjamin halal serta tidak 'menyakitkan' saudara-saudara kita di Palestin sana, RFC mungkin pilihan bijak. Kemunculan RFC menjadi bukti bahawa kita orang Melayu apatah lagi beragama Islam mampu menghasilkan produk barangan seperti mana bangsa-bangsa lain.


Seharusnya usaha ini disokong dan didokong agar lebih banyak produk halal yang sudah tentunya dihasilkan oleh orang Islam membanjiri pasaran negara dan dunia. Orang ramai yang memenuhi ruang restoran ketika saya berkunjung semalam menjadi bukti bahawa sememangnya umat Islam di negara ini dahagakan barangan dan produk halal. Usaha HPA ini harus dipuji.


Sebut tentang RFC ini teringat saya kepada Mecca Cola yang merupakan minuman ringan berkarbonasi rasa cola yang memang dibuat untuk menyaingi Pepsi Cola mahupun Coca Cola. Mecca Cola hadir setelah Dr. Yusuf Qaradhawi mengeluarkan fatwa boikot pembelian produk Israel dan AS yang jelas-jelas menyumbangkan sebagian keuntungannya untuk Zionis. Mungkin ini jugak tujuan asal RFC diwujudkan.


Mecca-Cola muncul di Perancis, November 2002. Produknya ini terinspirasi dari minuman ringan di Iran, Zam Zam Cola, yang menuai keuntungan yang cukup besar di Arab Saudi dan Bahrain. Menurut keterangan rasminya, Mecca Cola menyumbangkan keuntungannya sebanyak 10 peratus untuk Muslim Palestin dan 10 peratus lagi untuk negara yang menjadi tempat perusahaannya. Mecca Cola juga telah mendirikan Yayasan Sosial Mecca Cola yang telah membantu 3000 pelajar Palestin.

Mecca Cola ini merupakan hasil ciptaan Tawfiq Mathlouti.Mecca-Cola dijual dengan banyaknya di Timur Tengah dan beberapa kawasan di Eropah, Asia dan Afrika. Walaupun produknya berasal atau dicipta di Perancis, syarikatnya atau kilangnya beroperasi di Dubai.



Harapan saya, semoga lebih banyak cawangan RFC akan tumbuh selepas ini. begitu juga produk-produk halal yang lain. Telah tiba masanya kita umat Islam menjadi pengeluar bukan lagi pengguna semata.

Friday, October 24, 2008

Sesungguhnya berjayalah orang-orang beriman...

“Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. Iaitu orang yang khusyuk dalam solatnya.”

Seorang Junior saya membacakan dua ayat pertama dari Surah Al-mukminun pada suatu malam sebaik sahaja selesai solat maghrib berjemaah. Kemudian dihurai secara ringkas ayat ini. Sungguh saya terkesan dengan penjelasannya. Walaupun ringkas tetapi padat ibrahnya.

Daripada dua ayat ini terpapar sifat Allah Yang Maha Adil. Kalau kita perhati dalam Surah ini Allah menerangkan beberapa ciri orang yang berjaya dan beruntung. Saya amat jelas tentang itu. Selalu apabila ditolak sebagai imam sebelas ayat pertama itulah yang selalu saya ulang-ulang baca. Malah sejak dari sekolah menengah lagi saya sudah lancar menghafalnya.

Pada mulanya saya fikir junior saya ini akan menceritakan dari sudut sains mengapa Allah meletakkan khusyuk dalam solat sebagai ciri utama orang berjaya. Tetapi, sangkaan saya menyimpang. Bukan itu yang dia ketengahkan.

“ mengapa agaknya Allah meletakkan khusyuk dalam solat sebagai salah satu syarat untuk menjadi orang berjaya dan beruntung? Mengapa tidak jihad? Mengapa tidak orang berharta, berpangkat ? mengapa tidak orang yang dapat 4.0 flat setiap kali peperiksaan?” Fatimah, junior saya penuh yakin melontar pertanyaan pada para jemaah yang hanya berapa kerat itu. Pandangan saya jatuh tepat pada wajah Fatimah. Sebetulnya saya tidak sabar menanti jawapan meluncur dari mulutnya.

Suasana hening. Cuma bunyi kipas berputar menmenuhi ruang. Tiada sesiapa yang kellihatan mahu mengemukakan atau sekurang-kurangnya cuba menjawab.

“ kerana adilnya Allah, Dia meletakkan khusyuk dalam solat sebagai kayu ukur kejayaan orang-orang beriman,” Fatimah tidak mengambil masa yang lama untuk menjawab sendiri pertanyaan yang dia sendiri lontarkan. Mungkin juga setelah diamati tiada yang berminat untuk bermain teka-teki dengannya.

“Andai Allah meletakkan orang yang turun berjihad sebagai syarat untuk tergolong dalam kelompok berjaya, maka malanglah orang-orang tua, wanita-wanita yang lemah serta kanak-kanak yang tidak berdaya kerana golongan ini tiada upaya untuk turun ke medan jihad. Allah tidak mensyaratkan harta dan pangkat untuk menjadi orang berjaya. Kalau begitulah keadaannya, bagaimana pula dengan golongan yang tidak berharta mahupun berpangkat?"

“Sebaliknya Allah mengiktiraf seseorang yang khusyuk dalam solat sebagai orang yang beruntung kerana Dia tahu semua orang mampu melaksanakan solat tidak kira orang tua atau orang muda, kaya atau miskin, lemah atau kuat. Malah perlaksanaan solat itu sendiri fleksibel. Seseorang boleh menunaikan kewajipan solat secara duduk atau berbaring seandainya dia tidak mampu melaksanakannya dalam keadaan berdiri. Begitu juga seseorang yang musafir. Dia diberi rukshah untuk menghimpunkan antara dua solat. Cumanya untuk mencapai makam khusyuk dalam solat itu memerlukan kepada latihan berterusan dan kesungguhan untuk menikmatinya,” jelas Fatimah.

Saya benar-benar tertarik dengan penerangannya. Tidak pernah terlintas tentang perkara ini dalam fikiran saya. Justeru saya ringankan tangan untuk menulisnya dalam entri ini untuk berkongsi bersama-sama mereka yang mahu membaca.

Dua pengajaran atau ibrah yang saya dapat kutip dari tazkirah ini. Pertama, Allah itu Maha Adil dan penuh dengan sifat kasih sayang. Rahmat Allah melebihi kemurkaan-Nya. Justeru, masih tegarkah kita untuk mengabaikan segala perintah-Nya dan melakukan maksiat di atas bumi-Nya yang kita tumpangi ini?

Kedua, dalam melakukan apa-apa sekalipun, kita mesti lakukan yang terbaik untuk memperoleh hasil yang berkualiti dan bermutu. Lihat sahaja pada ayat kedua Surah Al-Mukminun ini. Allah meletakkan orang yang khusyuk dalam solat sebagai orang yang berjaya. Allah tidak hanya meletakkan orang yang bersolat tetapi mesti disertai khusyuk dalam mengerjakannya. Seperti yang kita sedia maklum, persolan khusyuk ini bukan suatu perkara remeh. tidak sedikit usaha yang dituntut untuk memperoleh khusyuk. Justeru, dapat disimpulkan bahawa dalam ayat ini Allah mengajar agar tidak melakukan sesuatu secara acuh tidak acuh saja sebaliknya perlu diringi kesungguhan dan ketekunan dan Insyaallah hasilnya pasti tidak mengecewakan. Sesungguhnya Allah menyukai sesuatu amalan yang dilakukan oleh hambanya dengan tekun.

Thursday, October 23, 2008

Kedai Buku WM

Kertas peperiksaan terakhir saya jatuh pada 16 haribulan. Begitu juga seorang teman saya. Lalu bersama-sama kami merencana untuk pergi ke MPH di Mid Valley setelah habis peperiksaan nanti.

Awal pagi pada 17 haribulan kami menaiki bas ke sana. Berbunga hati saya. Lama sudah rasanya saya tidak berkunjung premis buku itu.


Susah sebenarnya mencari sahabat yang sanggup menemani saya berjam-jam membelek dan meniliti satu demi satu buku seperti yang saya suka lakukan. Sebab itu, sebelum ini saya lebih gemar berkunjung ke sana seorang diri walaupun agak bimbang jugak sebenarnya akan keselamatan diri.


Mujur saya ketemu Salihah. Kami berkongsi minat yang sama. Malah, kami turut meminati penulis buku yang sama. Apabila bertemu, rancak kami berbual tentang novel-novel mahupun bahan- bahan bacaan lain yang menarik perhatian kami untuk kongsi bersama.


Rupa-rupanya, salihah tidak pernah datang premis buku di Mid Valley ini. Pertama kali berkunjung katanya. Dia jatuh cinta dan mengajak saya untuk berkunjung lagi nanti. Alhamdulillah, selepas ini saya tidak perlu gusar lagi andai saya mahu membeli buku di sini.
“Eh, Cik Mun. tentu kedai buku ini bukan milik orang melayukan?” pertanyaan Salihah menyebabkan saya sedikit tersentak. Saya merenung Salihah. Saya akui kebenaran kata-kata Salihah walaupun saya sendiri tidak pasti siapa pemiliknya.


“ Nak tak, nanti kita sama-sama buka toko buku seperti ini? Wah, seronoknya Cik Mun kalau kita boleh buka sebuah kedai buku sebesar ni,” pada wajahnya terpancar kesungguhan walaupun suaranya bersahaja. Saya seolah-olah dapat menyelami kegembiraan yang dirasai oleh Salihah apabila berdiri ditengah-tengah lautan buku.


“ Boleh. Apa kita nak namakan kedai kita nanti?” saya terus menghangatkan impian Salihah yang juga merupakan impian saya sejak pertama kali berkunjung ke MPH dulu.


“ Ha, apakata kita letak nama WM. W untuk Wan Salihah dan M untuk Munirah,” Salihah mencadangkan penuh semangat. pecah tawa kami berdua. nasib baik tidak begitu ramai orang di tempat kami duduk.


Dalam diam, jauh di sudut hati saya, saya benar-benar berharap impian itu menjadi nyata. Saya berharap untuk memiliki kedai buku sendiri dan menghabiskan masa dengan membaca ( walaupun cita-cita sebenar saya ialah untuk menjadi pensyarah matematik, apa salahnya sambil menyelam minum air!). Oh, alangkah indahnya hidup dalam keadaan itu!


Salihah membeli sebuah novel dan dua buah buku motivasi manakala saya hanya membeli sebuah novel. Kami berlalu dan berharap untuk datang lagi nanti, Insyaallah!

Thursday, October 09, 2008

NAK PUASA ENAM DULU ATAU PUASA GANTI DULU ?

Persoalan ini pasti bermain-main dalam fikiran setiap kali menjelang syawal.Tawaran lumayan yang diberikan Allah untuk berpuasa enam hari dalam bulan syawal hendak direbut. Dalam masa yang sama ada hutang yang wajib dibayar. tak tahu yang mana harus didahulukan. Apabila ditanya kepada sahabat-sahabat, pelbagai jawapan saya terima. Pening jugak dibuatnya. Kebetulan hari ini masa baca suratkhabar di perpustakaan, terbaca artikel ini. tergerak hati untuk kongsi bersama-sama sahabat-sahabat yang mungkin menghadapi masalah yang sama. Apapun selamat menjalankan ibadah puasa enam. Moga masih istiqomah dengan amalan-amalan yang telah dilakukan dalam bulan Ramadhan lalu.

Afdal qada hutang' Ramadan sebelum mulakan puasa enam Syawal
Oleh Dr Abdul Basit Abd Rahman

HUKUM puasa sunat enam Syawal adalah sunat. Puasa sunat enam Syawal paling awal dimulakan pada 2 Syawal kerana 1 Syawal adalah Aidilfitri dan dilarang berpuasa pada hari itu. Abu Hurairah berkata yang bermaksud: "Nabi SAW melarang puasa pada hari Aidilfitri dan Aidiladha." (Hadis sahih al-Bukhari) Syarat dan adab bagi puasa sunat enam Syawal adalah sama seperti puasa wajib Ramadan.
Namun sering kali menjadi perbincangan kalangan ulama bagaimana sewajarnya puasa itu dilaksanakan sama ada secara berturut-turut atau terputus. Pandangan lebih tepat adalah ia boleh dilakukan secara terputus (tidak berturut-turut) asalkan jumlah enam hari dicukupkan sebelum berakhirnya bulan Syawal. Ini kerana apabila Rasulullah SAW menganjurkan puasa sunat enam hari ini, Baginda menyebut bulan Syawal secara umum tanpa memberi ketentuan hari-harinya.
Maka puasa enam boleh dilaksanakan pada mana-mana hari dalam bulan Syawal asalkan bukan pada 1 Syawal dan bukan sesudah berakhir bulan Syawal. Adalah lebih afdal disegerakan pelaksanaan puasa enam Syawal berdasarkan firman Allah yang bermaksud: "Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (ke arah mendapatkan) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang bertakwa." (Surah Ali-Imran, ayat 133)
Selain cara melaksanakannya, timbul juga perbincangan apakah dibolehkan berpuasa sunat enam Syawal jika mempunyai hutang puasa Ramadan yang belum diqada. Ada dua pendapat ulama dalam masalah ini. Pendapat pertama, boleh melakukannya berdasarkan dalil bahawa Aisyah pernah mengakhirkan hutang puasa Ramadan yang perlu diqada hingga ke bulan Syaaban akan datang. Aisyah berkata: "Aku memiliki hutang puasa bulan Ramadan. Aku tidak mampu mengqadanya kecuali pada bulan Syaaban kerana sibuk (melayani) Rasulullah SAW." (Sahih Muslim)
Ulama yang mengemukakan pendapat pertama berhujah, sudah tentu tidak mungkin isteri Rasulullah SAW, Aisyah tidak melaksanakan puasa sunat enam Syawal. Pasti beliau melaksanakannya dan tindakan beliau mengqada puasa Ramadan pada bulan Syaaban menunjukkan dibolehkan berpuasa sunat enam Syawal sekali pun seseorang itu memiliki hutang puasa Ramadan.
Pendapat kedua, tidak boleh melakukannya berdasarkan hadis yang menganjurkan puasa sunat enam Syawal itu sendiri yang dikemukakan di awal risalah ini. Hadis itu berbunyi: "Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun." Rasulullah SAW mensyaratkan berpuasa Ramadan terlebih dulu, kemudian barulah mengiringinya dengan enam hari dalam bulan Syawal. Ini menunjukkan puasa sunat enam Syawal hanya dilaksanakan sesudah seseorang itu menggenapkan puasa Ramadan. Jika ada puasa Ramadan ditinggalkan, ia perlu diqada terlebih dulu barulah diiringi dengan puasa sunat enam Syawal.
Jika diperhatikan secara teliti, pendapat yang kedua lebih rajih (kuat) kerana menepati dalil puasa sunat enam Syawal itu sendiri. Selain itu, membayar hutang yang wajib hendaklah didahulukan daripada memberi sedekah yang sunat.
Namun, jika seorang itu tidak berkesempatan (disebabkan keuzuran) untuk melakukan qada kemudian berpuasa enam dan dia berkeyakinan akan sempat mengqadakan sebelum Ramadan tahun berikutnya, maka pendapat pertama boleh diterima berdasarkan apa yang dilakukan Aisyah. Menurut Imam An-Nawawi, Mazhab Malik, Abu Hanifah, Asy-Syafie, Ahmad dan jumhur salaf dan khalaf mengatakan: "Qada puasa Ramadan bagi mereka yang berbuka kerana uzur seperti kedatangan haid dan musafir, maka kewajipan mengqada adalah secara bertangguh, tidak disyaratkan qada terus apabila boleh melakukannya."
Menurut Al-Khatib Asy-Syarbini: "Sesiapa yang tertinggal puasa Ramadan, sunat dia mengqadakannya secara berturut-turut dan makruh bagi orang yang ada qada Ramadan melakukan puasa sunat."
Sementara pendapat menggabungkan puasa qada dan puasa enam dan akan diberi ganjaran kedua-dua pahala dengan puasa yang satu, berlaku khilaf di kalangan ulama, sebahagiannya berpendapat tidak boleh mencampurkan niat puasa sunat dengan puasa fardu lain atau dengan puasa sunat lain. Jika dilakukan maka puasanya itu tidak sah, tidak bagi yang fardu dan sunat. Ada kalangan ulama Syafi'iyyah berpendapat bahawa ganjaran puasa enam tetap akan diperoleh apabila seseorang berpuasa qada sekalipun ia tidak berniat menggabungkan kedua-duanya, namun pahala yang diperoleh kurang daripada seorang yang berpuasa kedua-duanya secara berasingan.
Selepas dikaji, pandangan ulama yang membolehkan puasa dua dalam satu ini, tidak bersandarkan mana-mana dalil al-Quran dan al-Sunnah. Oleh itu, lakukanlah dua ibadat puasa ini (fardu dan sunat) secara berasingan, kerana sebagai hamba yang tunduk kepada Allah, memperbanyakkan amalan taqarrub dengan memisahkan di antara yang wajib dengan sunat lebih menunjukkan kesungguhan diri mencari keredaan Tuhannya. Amalan sunat adalah sebagai penampal kepada kekurangan dalam amalan fardu. Sempurnakan dulu qada beberapa hari yang tertinggal, kerana kita tidak tahu apakah hayat dan kesihatan yang ada akan berterusan sehingga kita dapat menunaikannya di masa depan.
Bagi orang yang tidak sempat melakukan puasa sunat kerana sibuk dengan puasa wajib, diharapkan Allah akan memberi ganjaran berdasarkan niat dan azamnya. Sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Apabila seorang hamba Allah sakit atau musafir (beliau tidak dapat melakukan amalan yang biasa dilakukannya) maka dituliskan baginya pahala seperti amalan yang biasa dilakukannya sewaktu tidak bermusafir dan sewaktu sihat." (Sahih Al-Bukhari)
ambilan dari BERITA HARIAN 9 0KTOBER 2008

Saturday, September 27, 2008

zwani.com myspace graphic comments
Islam Graphic Comments

Ramadhan bakal pergi meniggalkan kita tidak berapa lama lagi. Rasa begitu sekejap bulan mulia ini bertandang. pada hari-hari terakhir Ramadhan yang masih berbaki ini, marilah kita sama-sama bermuhasabah, apakah kita telah memanfaatkan sepenuhnya Ramadhan kali untuk untuk mentarbiyyahan dan membentuk peribadi yang lebih baik. Atau Ramadhan kali ini sama saja seperti yang lepas-lepas. Datang tidak disambut, pergi tidak ditangisi!

SALAM AIDILFITRI BUAT SEMUA!

Thursday, September 25, 2008

Hamba Tuhan Yang Maha Pengasih...



Entah kenapa, saya begitu tertarik dengan tajuk Al-Ibadah ketika belajar tentang tajuk ini dalam kelas BTQ beberapa ketika dulu. Bahagian yang paling menarik saya rasakan ialah ciri-ciri ‘Ibadurrahman. Hati saya berbunga ketika ustazah mengupas maksud ayat 63 hingga 74 Surah Al-Furqan ini. Melalui surah ini juga, Allah ilhamkan saya untuk menamakan blog ini sebagai QAMAR MUNEERA. Malah saya suka frasa ini untuk dijadikan nama pena saya. Tapi bukan ini yang hendak saya perkatakan dalam entri kali ini. Tapi tentang ciri-ciri ’Ibadurahman tadi.

Adapun hamba-hamba tuhan Yang Pengasih itu adalah orang-orang yang berjalan di bumi dengan rendah hati dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka dengan kata-kata yang menghina, mereka mengucapkan salam.Dan orang-orang yang menghabiskan waktu malam untuk beribadah kepada tuhan mereka dengan bersujud dan berdiri. Dan orang-orang yang berkata “ Ya tuhan kami, jauhkanlah kami kerana sesungguhnya azabnya itu membuat kebinasaan yang kekal,”. Sesungguhnya Jahanam itu seburuk-buruk tempat menetap dan tempat kediaman. Dan (termasuk hamba-hamba tuhan Yang Maha Pengasih) orang-orang yang apabila menginfakkan harta, mereka tidak berlebihan, dan tidak pula kikir, di antara keduanya secara wajar. Dan orang-orang yang tidak mempersekutukan Allah dengan sembahan lain dan tidak membunuh orang yang diharamkan Allah kecuali dengan alasan yang benar, dan tidak berzina, dan barangsiapa melakukan deikian itu, nescaya dia mendapat hukuman yang berat. Yakni akan dilipatgandakan azab untuknya pada hari kiamat dan dia akan kekal dalam azab itu dalam keadaan terhina. Kecuali orang-orang yang bertaubat dan beriman dan mengerjakan kebajikan, maka kejahatan mereka digantikan dengan Allah dengan kebaikan. Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang. Dan barangsiapa yang bertaubat dan mengerjakan amal kebajikan, maka sesungguhnya dia bertaubat kepada Allah dengan taubat yang sebenart-benarnya. Dan orang yang tidak memberikan kesaksian palsu dan apabila mereka bertemu dengan orang-orang ynag mengerjakan perbuatan-perbuatan yang tidak berfaedah, mereka berlalu dengan menjaga kehormatan dirinya. Dan orang-orang yang apabila diberi peringatan dengan ayat-ayat tuhan mereka, mereka tidak bersikap \sebagai orang-orang yang tuli dan buta. Dan orang-orang yang berkata “ Ya tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati kami dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertaqwa”.

Daripada ayat di atas, terdapat sepuluh ciri-ciri hamba tuhan yang Maha Pengasih (‘Ibadurrahman). Ini membuktikan bertapa prihatinnya Allah terhadap hamba-hambanya.

Allah tidak meninggalkan manusia terkontang-kanting di atas muka bumi ini melainkan disertakannya garis panduan dan pedoman. Dalam ciri-ciri ‘Ibadurrahman yang dinyatakan, jelas seimbang antara hubungan kita dengan Allah (Hablumminallah) dan hubungan kita dengan sesama manusia (Hamlumminannas). Contohnya, Allah taala menganjurkan kita untuk membalas perkataan hina orang-orang jahil dengan ucapan salam atau dalam erti kata yang lain dengan perkataan yang baik bukan membalas kembali segala kejian yang telah dilemparkan. Di sini kita dapat membina perhubungan yang baik sesama manusia itu sendiri. Hal ini diaplikasikan oleh Rasulullah SAW sepenuhnya dalam kehidupan baginda. Kita dapat lihat bagaimana baginda SAW bersabar melayan kerenah seorang lelaki yahudi tua yang buta. Setiap hari Rasulullah SAW menyuapkan makanan kepada lelaki ini. Pada masa yang sama lelaki ini akan terus-terusan mengutuk Rasulullah SAW tanpa disedarinya yang menyuapkan makanan kepadanya setiap hari adalah insan mulia itu. Sehinggalah baginda Rasulullah SAW wafat dan Saidina Abu Bakar mengambil alih tugas Rasulullah SAW untuk menyuap makanan kepada lelaki ini. Seperti biasa sambil Abu Bakar menyuapkan makanan ke mulut lelaki itu, lelaki itu tidak berhenti-henti mengutuk Rasulullah. Dalam pada masa yang sama dia sedar orang yang sedang menyuapkan makanan kepadanya bukanlah orang yang biasa melakukan hal demikian sebelum ini kerana biasanya Rasulullah SAW akan menghaluskan makanan itu sebelum menyuapkan ke dalam mulutnya. Lalu Abu Bakar sambil menangis menyatakan orang yang selalu menyuap lelaki itu sebelum ini adalah Orang yang sedang dikutuknya dan ketika itu orang itu telah wafat. Maka Lelaki itu masuk Islam lantaran ketinggian peribadi Rasulullah SAW. Alangkah indahnya peribadi ‘Ibadurrahman ini!

Di samping itu Allah taala menyarankan kita berbelanja dengan besederhana yakni tidak lokek dalam memberi namun tidak pula sampai berlebihan bersedekah sehingga kita sendiri pula terpaksa mengemis selepas itu.


Untuk meningkatkan tahap hubungan kita dengan Allah, kita disarankan bangun di sebahagian malam untuk bertahajjud kepada Allah.

Alangkah cantik dan moleknya ciri-ciri ‘Ibadurrahman ini. Andai orang Islam mampu mempraktikkan semua sikap yang dianjurkan ini, maka makmurlah dunia, bahagialah kehidupan kita sehari-hari.


Tetapi hal itu tidak berlaku walhal majoriti umat Islam membaca Al-Quran setiap hari. Mungkin ada sebahagian daripada kita menghafal lumat ayat-ayat suci ini. Namun di sana tiadanya nilai penghayatan yang akan membawa kepada kepada pengamalan. Saya tidak perlu melihat jauh. Diri ini sudah cukup untuk menjadi contoh. Masih banyak ilmu-ilmu berkaitan al-Quran yang masih saya tidak tahu apatah lagi tafsir-tafsir tersirat disebalik ayat-ayat Allah ini. Syukur kepada Allah kerana membuka mata hati saya untuk menyedari hal ini setelah sekian lama lena dan sedap berada di zon selesa.


Moga ini menjadi titik permulaan pencarian saya terhadap al-Quran yang semakin hilang ditelan kesibukan diri mengejar cita-cita dan impian!

Saturday, September 06, 2008

KUN RABBANIYYAN WALA TAKUN RAMADHANIYYAN

Alhamdulillah setinggi-tinggi kesyukuran kita lafazkan buat Ilahi kerana dengan ramat dan kasih sayang-Nya hingga saat dan detik ini kita masih diberikan peluang untuk bernafas dan yang lebih bermakna lagi kita diberikan kesempatan berada dalam bulan mulia ini yakni Ramadhan. Seharus dan sewajibnya Ramadhan ini dimanfaatkan, dihargai dan dihayati kerna kita tidak pasti Ramadhan akan datang akan mampu kita jejaki atau sebaliknya. Ajal sentiasa mengintai kita biar di mana pun kita berada.

Alhamdulillah, dengan izin-Nya saya diberi peluang oleh Allah untuk menghadiri ceramah atau tazkirah yang diberikan oleh Ustaz Muhadir beberapa hari lepas. Cantik sekali tajuknya. " Kun Rabaniyyan wala takun Ramadhaniyyan".

Tajuk ini kena pada batang hidung saya sendiri dan ( maaf sebut) mungkin kebanyakan umat Islam di luar sana.




Bulan ramadhan dikatakan sebagai bulan pesta beribadah. Ramadhan juga dkatakan sebagai madrasah untuk membentuk peribadi muslim sejati. Dalam bulan ini masjid-masjid dan surau-surau pada malam hari penuh dan meriah dengan pelbagai lapisan masyarakat terutamanya awal-awal ramadhan ini. Tidak cukup dengan berpuasa pada siang hari, kita tambah dengan qiamullail di sepertiga malam. Berjuzuk-juzuk Al-Quran kita baca dalam sehari-hari. Sadaqah tidak henti-henti dihulurkan. Zikir sentiasa basah dibibir.




Mereka-mereka yang jarang-jarang solat fardhu sehari-hari pun turut berkunjung ke masjid untuk bertaraweh. Alhamdulillah.
Namun apabila berlalunya ramadhan, amalan -amalan ini turut berlalu. Seolah-olah ibadah ini hanya valid dalam bulan Ramadhan.



Menjelang satu syawal kita kembali seperti sediakala. Kita kembali kepada tabiat sebelum tiba Ramadhan. Yang jarang-jarang solat fardhu, kembali jarang-jarang bersolat. Al-Quran diletakkan kembali di tempat paling tinggi misalnya di atas almari dan tidak disentuh-sentuh lagi. Jadilah al-Quran itu suci dalam debu. Masjid-masjid dan surau kemblai lengang.




Mengapa hal ini berlaku? Adakah sebulan itu tidak cukup untuk kita membentuk tabiat baru dan mengikis terus peribadi mazmumah?Di manakah silapnya?



Jawapannya ada pada diri kita masing-masing. Andai kita jadi hamba pada Ramadhan maka inilah natijah yang kita akan perolah usainya Ramadhan. Tetapi, jika kita menjadi hamba Allah, biar di bulan apa sekalipun kita berada, kita akan tetap istiqamah dengan amalan-amalan kita.

Saya petik, kata-kata Ustaz Muhadir, " Jika kamu menyembah atau menjadi hamba kepada bulan Ramdhan, ingatlah Ramadhan itu datang dan pergi, tetapi andai kamu menjadi hamba Allah, Allah itu tetap ada dan terus ada walau di mana kita berada,"