Tuesday, April 20, 2010

Manisnya Sebuah Paksaan

Bismillahirahmanirrahim...


“Saya tidak begitu bersetuju dengan cadangan membuat jadual mutaba’ah ini. Pada saya, semua ini bakal mengganggu keikhlasan kita dalam beramal ibadah,” ujar seorang sahabiah.

“Betul. Nanti, kita beramal semata-mata hendak memenuhkan ruang-ruang kotak dalam jadual mutaba’ah berkenaan,” sambut seorang lagi sahabat.

Saya mengangguk-anggukkan kepala. Kebenaran itu saya akui.

Dan saat itu, saya terkenang pengalaman selama lima tahun menuntut ilmu di SMKA Nibong Tebal.

“Semua wajib bangun solat sunat rawatib!” tegas seorang kakak pengawas.

“Semua pelajar wajib solat berjemaah liwa waktu di surau!” pesan ketua biro dakwah dan ibadah.

Dengan terpaksa saya bangun sedang dalam hati merungut-rungut. Dalam terpaksa, air kala subuh yang sejuk gedi saya simbahkan pada tubuh. Gelap tatkala fajar menyinsing diredah dengan hati memberontak menuju ke surau yang memakan masa lebih kurang 8 minit perjalanan dari asrama.

Kenangan di Darul Quran turut bergentayangan.

“Siapa yang belum habis 1000 kali berzikir hari ini!” jerit seorang urusetia. Kecut perut saya.

“Semua wajib solat dhuha!” tambah seorang lagi urusetia.

“Munirah pergilah program ini. Percayalah pada akak, Munirah akan dapat sesuatu yang Munirah tidak pernah jumpa sebelum ini,” pujuk seorang senior. Dalam terpaksa saya akur.

Demikian. Antara insiden-nisiden paksaan sepanjang sejarah hidup saya yang masih merekat kuat di ingatan.

Saat itu, rasa sakit yang teramat untuk menurut semua paksaan-paksaan ini. Terasa sia-sia segala yang dilakukan dek kerana kemarau ikhlas dalam amalan-amalan berkenaan.

Namun, apabila kalimah dewasa menjengah usia, saya kembali menjernihkan paksaan-paksaan yang pernah saya terima dalam hidup saya. Memyelak-nyelak hikmah yang tersembunyi di dalamnya.

Apabila berbicara tentang paksaan, akan hadir bersama dalam perbicangan itu persoalan keikhlasan.

Sukar bahkan payah untuk melahirkan keikhlasan dalam melakukan apa-apa sahaja tidak hanya tertumpu pada aspek ibadah. Walaupun begitu, satu perkara yang harus kita ingat, ikhlas ini tidak dapat bergolek. Tidak jatuh dari langit buta-buta sahaja . tidak dapat dikutip mudah-mudah di tepian pantai.

Perlu ada usaha yang dilakukan untuk mengecap nikmat ikhlas.

Andai hari ini kita tidak mengerjakan rawatib lantaran menanti ikhlas dicampakkan ke dalam hati kita, saya bimbang, sehingga saat malaikat maut menjemput, kita tidak menngerjakannya.

Pesan senior saya, untuk mendapat ikhlas, tidak dapat tidak, kamu perlu melalui proses paksaan.

Paksa diri untuk melazimi solat sunat Dhuha misalnya. Mula-mula memang menyiksakan. Namun, Allah Maha Mengetahui akan apa yang tersimpan dalam hati hamba-hambaNya. Selangkah kita cuba mendekatinya, seribu langkah Dia merapati kita. Kepada Dia kita datang berjalan, kepada kita Dia datang berlari.

Lama kelamaan, paksaan menunaikan solat sunat Dhuha itu akan menjadi manis. Sehingga meninggalkannya terasa seolah-olah berdosa pula. Tidak senang seharian itu dibuatnya.

Teringat sepotong hadith baginda:
“Latihlah anak-anak kamu bersolat ketika usianya 7 tahun , dan pukullah mereka (jika tidak mahu menunaikan solat) diwaktu telah berumur 10 tahun , dan pisahkanlah tempat tidur mereka (antara lelaki dan perempuan)”

(Hadis Abu Daud , dinilai HASAN SAHIH oleh Al-Albani dalam Sahih wa Dhoif Sunan Abu Daud : 495)

Anak-anak yang masih liat untuk mendirikan solat saat usianya sudah mencecah 10 tahun, boleh dipukul oleh ibu bapa dalam usaha mendidik. Namun, ada syarat-syarat memukul yang perlu dipatuhi oleh ibubapa.

Tidak keterlaluan untuk saya katakan, memukul di sini merupakan salah satu bentuk paksaan. Paksaan yang bermaksud mendidik.

Mungkin pada peringkat awal, anak-anak mendirikan solat kerana terpaksa. Insya-Allah, kita berharap kemanisan beribadah itu akan dikecapnya suatu hari nanti.

Sewaktu kecil dahulu, ketika ibu menyuruh saya bersolat, saya akan memberontak. Apabila hendak turun sujud, saya akan hentak lutut kuat-kuat agar berdentam dentum bunyi papan rumah. Sebagai tanda protes. Tersenyum sendiri saat mengimbas kembali zaman kanak-kanak.


Saat pertama kali mengenal tarbiyyah, hati saya juga memberontak. Saya sukar menerima kehadiran elemen baru berkenaan dalam hidup. Segala-galanya saya turuti dalam terpaksa. Dek kerana hidup dalam tarbiyyah yang saya paksa-paksa pada diri, saya mula mengambil sedikit ruang memahamkan diri akan tarbiyyah itu. Perjalanan yang agak panjang saya lalui untuk sampai kepada titik faham. Faham makna disebalik keterpaksaan itu. Kini, apabila berjauhan dengan kumpulan tarbiyyah, satu jadi sunyi. Tidak tentu hala dan rasa hari-hari yang dilalui kosong. Menitis air mata saat kenangan ditarbiyyah meniti kembali indera fikir.

Hikmah sebuah paksaan.

Paksaan itu saya lihat lebih kepada maksud mendidik. Salah satu bentuk melembutkan jiwa. Namun, paksaan ini harus datang dengan penjelasan-penjelasan yang sewajarnya. Agar tidaklah diturut membuta tuli dan menjadi amalan ritual semata-mata. Bertaklid tanpa ilmu, kosong maknanya.

Ikhlasnya, andai dahulu saya tidak dipaksa oleh ibu untuk bersolat, tentu saat ini kewajipan lima waktu itu masih lompang-lompang kerana tidak dikerjakan.

Andai dahulu, saya tidak dipaksa oleh kakak-kakak pengawas untuk solat berjemaah dan solat rawatib, mungkin hari ini saya bukan sahaja tidak melaksanakannya, bahkan mungkin tidak pernah tahu pun akan adanya solat sunat berkenaan.

Andai dahulu, senior saya tidak memaksa saya untuk mengikuti program-program tarbiyyah, mungkin hari ini saya dapat menikmati indahnya hidup berjemaah.

Demikian. Antara kemanisan-kemanisan yang saya kecap kini. Hasil dari sebuah paksaan. Justeru, apa yang dapat saya simpulkan, disebalik paksaan itu, terselit kemanisan. Cuba kemanisan itu perlu dicari dan disuluh dengan penjelasan serta ilmu.

Nikmatilah kemanisan sebuah paksaan…

Sunday, April 18, 2010

Penggerak & Sukarelawan AMANI Diperlukan

Bismillahirrahmanirrahim....

Rata-rata umat Islam hari ini melihat perjuangan di Selatan Thai lebih kepada menyelamatkan bangsa Melayu Pattani atas tiket nasionalisme. Oleh sebab itu, hilang rasa kebersamaan untuk berjuang membebaskan Pattani bersama-sama para mujahidin di sana. Lalu mereka mengambil sikap seperti enau dalam belukar, masing-masing melepaskan pucuk sendiri. Sedarlah umat Islam sekalian! Pergolakan di Selatan Thai adalah isu umat. Saudara kita di sana sedang berjuang menentang golongan yang mahu menukar agama mereka. Barangsiapa yang tidur dan tidak mengambil peduli urusan kaum muslimin, maka dia bukan dari golongan mereka. Tidakkah kita gerun mengenangkan sepotong hadis baginda ini?


Aman Pattani (AMANI) terdiri daripada sukarelawan yang bergerak untuk membantu saudara-saudara kita yang tertindas di Selatan Thailand.

Bantuan yang dihulurkan termasuklah sumbangan dana, ilmu dan maklumat semasa.

Fact Finder AMANI sentiasa akan turun lapangan di Selatan Thailand untuk mendapatkan maklumat semasa yang sahih memandangkan kebanyakkan maklumat berkenaan kezaliman yang berlaku di Selatan Thailand disekat dari dibawa keluar dari sana.


Kami terdiri daripada pelbagai lapisan sukarelawan daripada kalangan pelajar hinggalah mereka yang sudah bekerja. AMANI memerlukan bantuan anda untuk terus memainkan peranannya dalam membantu saudara-saudara kita di sana.

Kepada mereka yang tinggal di sekitar Pulau Pinang, anda diperlukan untuk menjadi PENGGERAK AMANI. Anda akan dipanggil untuk menghadiri mesyuarat AMANI bagi membincangkan segala gerak kerja perancangan AMANI dan perlaksanaan perancangan tersebut dari semasa ke semasa. Mesyuarat ini akan dibimbing oleh koordinator AMANI, saudara Saiful.


Kepada mereka yang tinggal di luar kawasan Pulau Pinang, anda diperlukan untuk menjadi Sukarelawan AMANI yang memainkan peranan dalam menghebahkan info-info yang diterima daripada AMANI termasuklah untuk terlibat dalam roadshow dan mengumpulkan dana untuk program-program AMANI.


Jika berminat, sila hubungi :

Azila (USM, P.Pinang) 0195236057
apple_biru17@yahoo.com

atau

Lillah (Selangor) 0194737645
amanpattani@yahoo.com

AMANI juga boleh dirujuk di laman sosial facebook .

Semoga Allah memilih kita untuk termasuk dalam golongan hambaNya yang mukhlis.. amin.

Tuesday, April 13, 2010

Bagaimana Saya Boleh Berehat?

Bismilllahirrahmanirrahim....

Saat tangan rancak mengetip papan kekunci laptop, saya sedang diserang virus JEMU. beberapa hari ini saya asyik mengadap laptop menyiapkan beberapa artikel tentang Selatan Thai, mengedit laporan Selatan Thai yang telah siap diterjemah, mengedit semula manuskrip QUK seperti yang diminta oleh pihak PTS dan sekarang mahu mula menulis artikel perikanan dan bakau yang diminta Abang Nizam beberapa minggu lalu( lama sudah tangguh artikel ini). Naik berbinar-binar mata. Hmmm.... Cara nenghilangkan jemu menulis adalah dengan MENULIS!

Sejak pulang dari Selatan Thai tempoh hari, setiap hari saya wajib membuka laman blog http://amanpattani.blogspot.com

Mahu mengikut perkembangan sahabat-sahabat aktivis di sana yang di follow up oleh pihak AMANI.

Terus terang saya katakan, melihat perjuangan sahabat-sahabat di sana semacam satu suntikan semangat untuk saya terus bangun dan tidak lena.

Ketika saya ingin berlengah-lengah dalam bekerja, gambar-gambar ini kembali menyuntik semangat untuk terus bangkit. Keselesaan bergelar mahasiswa di Malaysia mungkin membuatkan kita banyak berehat.

Teringat perbualan ringkas dalam unser tempoh hari, sewaktu dalam perjalanan balik dari Kampung Kucing Lepas,Mukim Chalem, Daerah Ranget, Wilayah Narathiwat, Selatan Thailand.

"Saya pernah menghadiri satu konvesyen yang menghimpunkan pimpinan mahasiswa Malaysia . Apa yang saya lihat, isu-isu yang mereka bincangkan hanya seputar masalah-masalah dalam kampus. Kurang bahkan tiada isu masyarakat yang diangkat dalam perbincangan mereka. Mengapa ya?" ujar Atif, seorang aktivis di sana. Jika tidak silap saya saudara Atif adalah pimpinan tertinggi dalam Student Federation of Thailand dan juga Student Youth Network for Supporting People.

Dalam keadaan letih, saya terkesima mendengarnya. walaupun sekarang saya 'bersara' seketika dari belajar, saya pernah bergelar mahasiswa.

"Mahasiswa di Malaysia ini berada dalam keadaan aman dan selesa. Belum ada kejutan-kejutan tertentu untuk membuatkan mereka bangkit seperti kamu dan mahasiswa di sini," jawab salah seorang dari krew kami.

Chu Ya, seorang lagi aktivis dari Selatan Thai saya lihat tersengguk-sengguk dalam unser yang kami naiki. Dari awal-awal perjalanan kami lagi. Rupa-rupanya dia tidak tidur semalaman.

SEPUTAR DEMONSTRASI DI HADAPAN IBU PEJABAT POLIS YALA MEMBANTAH PENAHANAN RAKAN-RAKAN MAHASISWA DENGAN TUDUHAN TANPA BUKTI TERLIBAT DALAM PENGEBOMAN PADA 6 APRIL 2010 LALU


Saudara Atif ( yang memegang pembesar suara) bersama-sama rakan-rakannya meminta sahabat-sahabat mereka dilepaskan...



















Mereka benar-benar menjadi juru bicara masyakarat(istilah yang sering saya dengar sebelum ini). Akhirnya ,atas desakan demi desakan, pihak tentera melepaskan rakan-rakan mereka yang telah ditahan tanggal 8 APRIL 2010

Pertemuan dengan beberapa sahabat di Selatan Thailand, memutikkan rasa kagum yang tidak terhingga di hati saya.

Darani, 23 tahun ketika ini sedang mengandung empat bulan anak sulungnya, lincah bergerak mengikut romobngan kecil kami ke Kampung Berangan dan Kampung Kucing Lepas. Ketika mata saya semakin berat dalam perjalanan pulang ke Yala, saya dia masih segar mengulit buku Cinta Di Rumah Hasan Al-Banna dengan suluhan cahay lampu jalan.

"Berani ke nak balik naik motor malam-malam begini?" tanya Kak Wahed kepada Darani saat kami sampai di pekan Yala.

"Boleh. Sudah biasa," jawabnya penuh yakin.

"Perempuan-perempuan di Pattani kuat semangat. Jangan risau," tokok Atif.

Saya mengangguk membenarkan kata-kata itu dalam kepenatan yang tidak terkata lagi.

Pulang saja ke bilik saya terus rebahkan tubuh sampai ke pagi selepas usai menunaikan solat jamak takhir. Walhal ada satu lagi slot malam itu.

Lemahnya rasa diri!

Teringat satu sedutan dalam vidoe The Arrival yang pernah saya tonton beberapa ketika dulu.

Perbualan seorang lelaki dengan seorang wanita mengenai seorang lelaki bernama Marley. Marley ini sudah mati dalam filem berkenaan. (saya tidak pasti ini filem apa)

Suatu hari, ketika Marley dijadualkan untuk membuat persembahan dalam satu perarakan keamanan, seorang lelaki telah datang ke rumah dan menembak lelaki yang bernama Marley ini. Namun dua hari kemudian, dia tetap datang perarakan aman itu dan membuat persembahan.

Ada yang bertanya "mengapa?"

Jawab lelaki yang bernama Marley ini, "Orang yang ingin merosakkan keamanan dunia ini, tidak pernah berehat walau sehari. Bagaimana saya boleh berehat?"

Bagaimana saya boleh berehat?

Aksara ini terus bermain-main dalam fikiran sehingga saat ini.

Monday, April 05, 2010

Travelog Qamar : Selatan Thai Menanti Merpati Terbang Tinggi

Bismillahirahmanirrahim...

Tidak saya sangka-sangka awal April 2010 membuka ruang untuk saya menjejakkan kaki ke Selatan Thai. Bagaikan mimpi sehari sebelum bertolak, Kak Wahid meminta izin Abang Nizamuntuk bawa saya bersama. Mudah-mudah Abang Nizam mengizinkan. Saya muatkan catatan ringkas perjalan. Walaupun berkampung hanya selama tiga hari di sana, pelbgai ibrah dpat saya kutip. Sebahagiannya saya curahkan dalam entri ini. manakala sebahagian lagi akan saya perpanjangkan dalam entri akan datang, insya-Allah.

1 hb April 2010
Bertolak dari Georgetown bersama-sama Kak Wahid dan Akh Zakaria. Kami mengambil Abang Nizam dan Kak Nisa’ di Kepala Batas dan mengambil Ustaz Kamarudin di Sungai Petani sebelum meneruskan perjalanan ke Changlun. Kami memasuki kawasan Selatan Thai melalui imegresen Sadao. Perasaan saya saat itu bercampur baur. Teruja. Dalam pada masa yag sama berdebar-debar. Selepas berhenti makan dan solat kami meneruskan perjalanan ke Yala.

“Di sini ada tol atau tidak?” tanya saya.

“Ada tapi tol tidak berbayar,” balas Ustaz kamarudin. Saya menjungkit kening.
Tidak lama selepas itu baru saya faham. Sepanjang perjalanan kami menuju Yala kami perlu melalui pos-pos kawalan tentera.

“Di kawasan red zon, pos kawalan tentera akan lebih banyak. Biasanya dalam 100 meter jarak antara posnya,” jelas Ustaz Kamarudin.

Ketibaan kami di Yala disambut oleh sahabat-sahabat dari Deep Peace dan HAP.

“Berapa dana yang diperlukan untuk program anak-anak yatim ini?” tanya Abang Nizam kepada Huda, Pengerusi Deep Peace yang kepenatan pulang dari kerja. Mata saya meliar pada tulisan-tulisan Siam yang saya tidak fahami pada papan putih. Rupa-rupanya itu adalah tentative program yang bakal berlangsung pada 16 hb April sehingga 26 hb April akan datang.

“Dalam 100,000 baht (RM10,000),” jawab Huda.

“Dah cukup ka duit?” tanya Abang Nizam lagi. Huda tersengih sambil memandang pada rakannya, Jamilah.

“Belum lagi. Sedang diusahakan. Kalau tak ada juga, gadailah apa yang ada,” balas Huda sambil melirih motorsikal miliknya.

“Ish, takkan nak gadai motor kot,” ujar Ustaz Kamarudin.

“Kalau tak gadai motor pun ambil duit mas kahwin ke, tengoklah macam mana nanti,” ulas Huda lagi. Saat itu, saya terkesima sambil hati berbisik ‘Sampai begitu sekali!Subhanallah!’

Kami bermalam di sebuah rumah tumpangan. Malam itu, Abang Nizam menyelesaikan alih bahasa laporan bersama Huda di pejabat Deep Peace. Saya pulang awal keran tidak ada apa-apa yang dapat saya bantu. Tidur dalam keadaan terharu mengenakan kata-kata Huda petang itu.

2 hb April 2010
Berada di bumi bergolak itu, segala-galanya tidak dapat diduga. Pepatah bak telur di hujung tanduk barangkali tidak begitu tepat untuk mengambarkan suasana di tidak dapat ditebak itu lantaran hakikatnya jauh lebih runcing. Pada malam itu, kira-kira pukul 10.15 malam waktu Thailand, Kampung Berangin, Mukim Lubuk Sawa, Daerah Bacho, Wilayah Narathiwat gegak gempita dengan das-das tembakan yang menggegarkan jiwa. Keesokannya, tiga nyawa dilapor terkorban manakala 18 lagi cedera. Sebilangan mereka berada dalam keadaan parah dan dirawat di Hospital Narathiwat. Penduduk Kampung Berangin gawat menghadapi kejadian yang julung-julung kali menimpa kampung mereka.













Kami mebidak catur kembali rencana perjalanan. Pacuan empat roda yang sepatutnya menghala ke kampung Kucing lepas, kami bawa singgah di Kampung Berangin untuk bersua muka dengan kelaurga-keluarga mangsa.

Sebelum kejadian itu, kira-kira pukul 6.00 petang, sekumpulan pemburu haiwan yang terdiri daripada enam orang berbangsa Siam telah dijumpai terbunuh dipercayai ditembak di kaki Bukit Budo , daerah Bacho, Wilayah Narathiwat. Pihak polis menemui sebuah trak pikap yang berlubang akibat ditembusi peluru di tepi jalan bukit berkenaan. Sebutir bom meletup ketika pihak polis bergegas ke tempat kejadian dan menyebabkan beberapa anggota polis cedera.

Rentetan daripada peristiwa petang itu, Hakwea Thakir Ari, Harun Thakir Ari dan Nik Yeak Tuan Wok meninggal dunia pada sebelah malamnya. Manakala mereka yang cedera parah adalah Semah Muna (pemilik kedai kopi), Wea Nu Sien Watek, Halim Yasad Matmea, Ismail Tatmara, Semea Umara, Matraa Saleh, Shaari Awea Salekmea, Ismail Dahea dan mangsa yang paling muda, Aswa yang berusia kira-kira 18 tahun. 5 lagi mangsa hanya mengalami cedera ringan dan menerima rawatan pesakit luar.

“Mak cik tengah baring dan bersedia untuk tidur ketika deretan bunyi tembakan kedengaran. Serentak dengan itu kedengaran bunyi jeritan. Penuh rumah mak cik dimasuki oleh orang ramai untuk menyelamatkan diri,” ulas Mek Muye. Rumah wanita berkenaan terletak betul-betul di belakang kedai kopi yakni tempat kejadian. Mak Muye kelihatan tidak bermaya kerana tidak menjamah sedikit makanan pun sejak anak perempuannya yang juga mangsa, Rohimah dimasukkan ke hospital. Mujur kecederaan wanita lewat empat puluhan itu tidak begitu serius. Hanya cedera sedikir di bahagian kepala.

Menurut saksi kejadian, sebuah kereta bewarna hitam telah memperlahankan kenderaannya dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah orang kampung yang sedang minum kopi, bermain karom dan menonton televisyen. Beberapa meter kehadapan, kenderaan tadi sekali lagi melepaskan beberapa das tembakan. Dua orang mangsa meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi mangsa meninggal di hospital.

“Biasanya, lepas isyak lagi kedai kopi itu sudah tutup. Namun, pada malam itu kedai kopi berkenaan dibuka lebih lama memandangkan orang ramai masih berpusu-pusu bertandang di kedai berkenaan kerana ada kenduri di salah sebuah rumah penduduk kampung,” tambah Mak Muye lagi. Suaranya antara dengar dan tidak. Mendengar cerita mak Muye, sukar untuk pihak kami akui bahawa pihak yang telah memlepaskan tembakan telah menjalankan siasatan secara terpenrinci. Tidak dapat tidak, kesimpulan yang boleh dibuat, tembakan itu adalah tembakan secara rawak yang sasarannya adalah mereka yang lemah dan tidak berdosa.

Ketika krew kami tiba, kesan tembakan masih berbekas di meja makanan. Bahkan kesan tersebut turut kelihatan pada papan karom, kerusi plastic, pokok dan dinding rumah. Kesan-kesan darah yang mula mengering turut terpalit di beberapa tempat dengan bau hanyir tidak lagi singgah di indera hidu. Barangkali sudah diterbangkan angin.

“Ini peluru yang digunakan oleh mereka untuk membedil orang-orang kampung semalam,” ujar Sudin sambil menunjukkan peluru yang sudah bertukar rupa menjadi bulat kepada krew kami. dan bukti peluru yang masih disimpan oleh keluarga mangsa, senjata yang digunakan oleh kumpulan yang tidak dikenali tersebut adalah M16.

“Mereka yang meninggal dan cedera tersebut tidak mungkin terlibat dengan sebarang bentuk keganasan,” ujar salah seorang keluarga mangsa. Kami di pihak AMANI amat bersimpati dengan nasib yang menimpa mangsa-mangsa ini. Isteri menjadi balu. Anak-anak menjadi yatim piatu. Itulah bahana prasangka yang mereka terpaksa bayar dengan nyawa.

Menjelang jam 12. 30 tengah hari, azan Jumaat dikumandangkan oleh mu’azzin. Majoriti penduduk lelaki Kampung Berangin menuju ke Masjid Darul Iman. Saat para jemaah meraut wajah usai imam membaca doa, mereka tidak segera bangun lantaran perintah untuk mereka tunggu sejenak bagi mendengar ucapan yang akan disampaikan oleh Timbalan Gabenor Narathiwat yang lebih dikenali sebagai Be Hok (mungkin nama Melayunya Ishak) kedengaran.

Menurut pemerhatian krew kami, hampir keseluruhan penduduk Kampung Berangan tidak berpuas hati dengan kedatangan Be Hok. Be Hok rupa-rupanya dihantar oleh pemerintah Thailand untuk memurnikan perspektif penduduk Kampung Berangin akan kejadian yang telah berlaku.

Be Hok menyeru kepada penduduk kampung agar tidak meletakkan para tentera sdi kandang pesalah bahkan mereka perlu dilihat sebagai malaikat penjaga kehidupan. Be Hok juga meminta penduduk kampung agar bersabar terhadap ujian yang menimpa mereka. Mujur, ucapan yang disampaikan oleh Be Hok tidak mencetuskan sebarang kekecohan walaupun hakikatnya terlalu sedikit bahkan mungkin tiada dalam kalangan jemaah yang sehaluan dengannya.

Usai Solat Jumaat, seorang Mejar tentera laut yang bertugas ketika itu,
mengajak kami ke bandar Narathiwat. Pegawainya berpangkat Timbalan Ketua Pemerintah kawasan wilayah Narathiwat hendak berjumpa kami bagi menerangkan duduk perkara situasi sebenar konflik. Pada mereka tidak adil andai krew kami hanya mendengar pendapat dari sebelah pihak sahaja sedangkan sebelum kejadian di Kampung Berangin, enam orang dari bangsa Siam menjadi mangsa bedilan peluru yang entah datang dari mana.

Pihak kami tidak menolak pelawaan daripada Mejar berkenaan memandangkan kami
mungkin memperoleh beberapa manfaat dari diskusi tidak rasmi itu. Kami bersama-sama dengan kenderaan mejar berkenaan menuju ke bandar utama Narathiwat yang telah kira-kira 30 KM dari Bacho. Tiba di sebuah restoran, kami disambut dan dilayan mesra oleh Timbalan Pegawai Pemerintah Tentera Wilayah Narathiwat.

Sepanjang diskusi itu, kami tidak sekadar membatu mendengar cerita yang baik-baik belaka yang dilakukan oleh tentera Thailand seperti yang disampaikan oleh pegawai tersebut. Sebaliknya pihak kami turut menghujani mereka dengan pelbagai soalan di samping menyelitkan beberapa pandangan sebagai NGO di peringkat global. Sekali lagi pihak tentera tidak rasa senang sebab kami belum lagi makan tengahari. Kami dibawanya ke sebuah restoran Islam untuk menjamah selera makan tengahari.

Jam menunjukkan pukul 4.00 petang. Matahari semakin berat di sudut barat. Untuk meneruskan perjalanan ke kawasan yang dilabelkan sebagai kawasan merah (red zon) oleh tentera Thailand bukan satu pilihan bijak. Namun, kesungguhan yang ditunjukkan oleh keluarga al-marhumah membuatkan kami tidak sampai hati untuk tidak memenuhi undangan mereka. Berkali-kali pihak kami dihubungi.

Kedatangan krew kami disambut hangat oleh keluarga al-marhumah. Hati kami dijentik sayu saat memandang wajah bening Hikam, anak sulung Baldatee yang baru mencecah usia tiga tahun. Saat dunia dan perm
ainannya masih belum lumat dihadam, Ikang terpaksa menggalas beban sebagai anak yatim piatu. Hati semakin terusik saat melihat anak bongsu Baldatee, Ilham yang baru berusia 14 bulan lena dalam pangkuan neneknya.

Pihak kami menyampaikan sedikit sumbangan kepada keluarga Baldatee sebelum berangkat pulang. Kampung Kucing Lepas berbalam-balam kami tinggalkan dengan
perasaan yang bercampur baur. Sinar teja yang indah dikaki langit tidak bisa menghiburkan hati kami. Sungguh kami larut dalam keresahan jiwa yang tidak terungkap. Mungkinkah suatu hari kami akan kembali ke sini untuk mendengar satu lagi peristiwa pedih dari sebuah keluarga penoreh getah dan pesawah padi? Na’zubillah. Moga-moga perlindungan Allah selalu bersama mereka.

3 hb April 2010
Kami bersiap sedia untuk pulang. Ustaz Kamarudin sempat membawa kami melawat Masjid Kri Se di Pattani. Hampir tiga hari berada di bumi berantakan itu, saya jadi mangli dengan pos-pos tentera yang perlu kami lintasi. Terutama pada hari sebelumnya yakni dalam perjalan ke Kampung Kucing Lepas. Kami terpaksa melayan wajah sinis dan kemarau senyum para tentera berkenaan.

Akhirnya kami tiba di masjid Kri Se. Masjid yang binaan asasnya batu bata merah ini masih utuh berdiri biarpun kesan-kesan bedilan peluru jelas kelihatan menghiasi dindingnya. Biasanya akan ada anggota tentera berkawal di situ. Namun, saat kami singgah di situ, tiada tentera yang menjaganya.

Kami singgah solat di Masjid Jamek Pattani. Di masjid ini beberapa tahun dahulu bergegar langitnya dengan suara dan semangat 14 000 mahasiswa seluruh Thailand menuntut nasib di tiga wilayah bergolak itu dibela. Saya rasa bertuah kerana dibuka kesempatan oleh Allah untuk menjejakkan kaki ke sana. Walaupun peristiwa itu telah berlalau bebrapa tahun lalu, namun saya masih dapat merasakan sisa-sisa semangat golongan mahasiwa itu yang masih terpatri abadi di masjid berkenaan.

Jika di Malaysia, pemandangan sawah padi menyapa indera lihat kita di mana-mana, di Pattani, kita berkesempatan melihat bendang yang sama. Cuma di dada-dada bendang ini, bukan padi yang ditanam tetapi garam yang ditaburkan. Pertama kali dalam hidup saya melihat bagaimana garam diproses. Pemandangannya tidak ubah sperti sawah padi.

“Rasalah garam ni. Di sini saja kamu berpeluang merasa garam yang manis,” seloroh Ustaz kamarudin. Peluang merasa garam sebelum ia ‘diplastikkab’ tidak saya lepaskan.
Beberapa ketika menikmati pemandangan di bendang garam, kami bersiap-siap untuk pulang.
Bumi Selatan Thai saya tinggalkan untuk sementara kerana saya akan kembali lagi ke sana untuk sama-sama membantu mereka yang saya iktiraf sebagai saudara kerana bergantung pada tali akidah yang sama.

Tidak terlalu banyak gambar-gambar yang dapat dimuatkan memandangkan saya masih belum memiliki kamera sendiri. Insya-Allah akan diusahakan dalam masa terdekat ini untuk memiliki sebuah kamera, insya-Allah =).

Sunday, April 04, 2010

Bantu Kami Mencari RM 15K untuk Projek Anak Yatim Selatan Thai

Bismillahirrahmanirrahim....

Projek :

Program Pengupayaan Anak-Anak Yatim Selatan Thai Ke Arah Keamanan

Anjuran :
Deep Peace iaitu sebuah badan bukan kerajaan atau NGO berdaftar di Thailand yang beribu pejabat di Yala, Thailand ditubuhkan khusus untuk membantu ibu tunggal dan anak yatim yang menjadi mangsa konflik di Selatan Thai.

Tarikh :
16-26 April 2010

Tempat :
Darunsat Witya Islamic High School, Taluban, daerah Saiburi ,wilayah Patani, Thailand

Tujuan :
megembalikan semangat anak-anak yatim untuk meneruskan pengajian setelah kehilangan ibu atau bapa.

Dana :

Projek ini memerlukan RM15,000.00.


catatan : Untuk mengumpul dana projek ini, terdapat sukarelawan yang mengorbankan barang kemas mereka dan mas kahwin mereka. Bagaimana pula dengan kita? Apa yang sudah kita korbankan untuk perjuangan ini?


Untuk Menyumbang :


1) Untuk bantuan sumbangan kewangan boleh disalurkan boleh di salurkan atas nama Persatuan Ulama’ Malaysia Cawangan Pulau Pinang, No. Akaun Bank Islam : 7043011013136. Diharapkan Tuan dapat memaklumkan jumlah derma kepada pihak kami untuk tujuan rekod.

2) Untuk bantuan sumbangan berbentuk buku, alat tulis dan lain-lain boleh disalurkan melalui En. Muhammad Irfan Bin Abdullah (861212-33-5633) nombor telefon 013-2229652 atau emel irfan.abad@yahoo.com



Pengisian Program :


Aktiviti 1: Latihan Ibadah Khusus Secara Teori & Praktikal
Bengkel latihan ibadah khusus ilmu-ilmu fardhu ‘ain secara teori dan amali sperti Solat, Doa, Thoharah, Najis dan sebagainya.

Aktiviti 2: Akademik & Sains
Aktiviti praktikal dalam bidang akademik dan sains supaya kanak-kanak dapat memahami ilmu-ilmu ini secara lebih meluas dan sepadu.

Aktiviti 3: Kecerdasan Minda
Memberi kesempatan kepada kanak-kanak untuk mencungkil bakat tampil memeberikan pendapat dan berhujah semasa aktiviti syarahan, sajak, pidato dan sebagainya.

Aktiviti 4: Kesihatan
Beriadah setiap pagi sepanjang kem motivasi berjalan supaya kanak-kanak sangat prihatin dengan kepentingan beriadah demi untuk kesihatan diri. Aktiviti yang menggalakkan kanak-kanak untuk menjaga kebersihan dengan dimulai dari kawasan kem, supaya dapat melatih kanak-kanak lebih prihatin tentang kebersihan diri. Aktiviti menanamkan dalam jiwa semangat berkorban semasa program gotong royong.

Aktiviti 5: Ziarah
Ziarah tempat-tempat bersejarah dan mengenali budaya melayu-Islam ratusan tahun di Pattani seperti Masjid Keresek, asal Makam Jaomae Limkoniew, tempat Meriam Besar zaman dahulu, Makam Penghulu daerah lama, kawasan bersejarah Yarang, Pondok Dala, Pondok Trokhak, Masjid Talokmanok dan sebagainya.

Aktiviti 6: Sukaneka
Permaianan sukaneka desa untuk membina hubungan silaturrahim di antara mereka dan bersama pekerja sukarelawan.

Aktiviti 7: Pementasan
Mencungkil bakat dalam pelbagai aktiviti lapangan dan menanamkan sifat berani tampil dalam majlis, seperti persembahan syarahan, puisi, sajak, dialog, nasyid dan lain-lain aktiviti yang berfaedah untuk golongan kanak-kanak.

Aktiviti 8: Perpisahan
Majlis perpisahan dengan menampilkan persembahan di antara kanak-kanak dan petugas sukarelawan Deep Peace dan pesanan terakhir buat semua.


Orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad di jalan Allah dengan harta benda dan diri mereka, adalah lebih tinggi darjatnya di sisi Allah, dan itulah orang-orang yang mendapat kemenangan. Mereka digembirakan oleh Tuhan mereka dengan pemberian rahmat daripadanya dan keredhaan serta Syurga, mereka beroleh di dalam Syurga itu nikmat kesenangan yang kekal. Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Sesungguhnya Allah, menyediakan di sisiNya pahala yang besar

(at-Taubah: 20-22)




catatan : kepada mereka yang ingin melihat kertas kerja lengkap, boleh request daripada Lillah di kha_lillah@yahoo.com.sg atau di amanpattani@yahoo.com

Tuesday, March 30, 2010

Nikmat Sibuk

Bismillahirrahmanirrahim..



Demi masa!
Sesungguhnya manusia dalam kerugian,
Kecuali orang-orang yang percaya, dan membuat kerja-kerja kebaikan,
dan saling berwasiat pada yang benar, dan saling berwasiat untuk bersabar.
(103:1-3)


“Masa kita tidak sama,” ujar saya pada Zaharah, rakan sebilik saya ketika dia mengeluh begitu cepat masa berlalu. Zaharah menjungkitkan kening. Entah mengapa saya rasa masa begitu lambat berjalan. Agaknya inilah yang dikata orang penantian itu satu penyiksaan. Saya benar-benar tersiksa. Namun banyak pula yang saya belajar dari detik-detik yang meyiksakan ini.

“Masa harganya setinggi nilai kehidupan. . Membuang masa sesaat ibarat membazir usia dan kehidupan ,” terngiang-ngiang pula kata-kata Ustazah Rokiah.



“Kita akan diminta untuk bertanggungjawab di hadapan Allah kelak atas setiap detik saat kehidupan kita,” sambung Ustazah. Saya termenung sambil mengigit ibu jari tangan. Memikirkan hari-hari dan detik-detik waktu yang telah saya sia-siakan terutamanya sejak memulakan hidup baru di t bumi Perlis. Saya terlalu memikirkan tentang Mesir dan tempat pengajian yang baru kelak sehingga melupakan untuk menghargai detik masa yang sedang saya lalu saat itu.

Terasa ruginya mengisi waktu dengan tidur dan sembang-sembang kosong semata-mata mahu masa cepat berlalu.

Antara Semalam dan Masa Depan

Ketika tangan lincah menekan papan kekunci komputer peribadi, pandangan saya singgah lama pada sebuah artikel “Antara Semalam dan Masa Hadapan” . Sejenak kita teliti kata-kata Imam Ibn Qayyim Al Jawziyyah.

Hidupmu di saat ini adalah diantara hari hari semalam dan masa hadapan. Jadi, segala yang telah berlalu boleh ditebus dengan Taubah (taubat), nadam (penyesalan) dan istighfar (meminta keampunan dari Allah). Dan ianya tidak akan memenatkan kamu, dan tidak memerlukan kamu berhempas pulas seperti halnya jika kamu seorang buruh kasar. Malah ianya adalah perbuatan hati. Oleh itu, untuk masa hadapan, (ia boleh di perbetulkan) dengan melindungi diri dari dosa. Melindungi diri ini hanyalah dengan meninggalkan (perbuatan dosa itu) dan berasa selesa tanpanya. Ini juga bukan perbuatan tubuhmu, yg memerlukan kamu berusaha dan berhempas pulas. Malah ia adalah keteguhan pendirian dan niat di hati. Jadi untuk segala yang telah berlalu, betulkanlah dengan taubat. Dan untuk masa hadapan, betulkanlah ia dengan meneguhkan pendirian dan niat. Kedua duanya tidak mengenakan sebarang kesusahan dan keletihan pada tubuh.

Tetapi perhatian kamu harus ditumpukan kepada masa kehidupan kamu di saat ini - masa diantara dua masa. Jika kamu membazirkannya, maka kamu telah melepaskan peluang untuk menjadi dikalangan mereka yang beruntung dan diselamatkan. Jika kamu menelitinya, setelah memerhatikan kedua dua masa tadi - masa yg sebelum dan selepas saat ini, seperti yang telah kita bicarakan - maka kamu akan menjadi seorang yang berjaya dan kamu akan mencapai kerehatan, kegembiraan dan nikmat yang kekal abadi. Tetapi, menjaganya lebih susah dari apa yang telah berlalu dari nya dan yg akan datang kemudian, kerana menjaganya memerlukan kamu meletakkan hidup kamu kepada perkara yang paling layak dan bermanfaat utk ruh kamu, dan itulah yang akan membawa kamu kepada kejayaan.

Lantaran itu, saya mengambil keputusan ini. Bumi perlis saya lepaskan dengan berat hati. Saya sayang hendak tinggalkan kelas Quran dan Tafsir, Usul Fiqh, Hadis dan mustolahah, Al-Quran dan Tajwid, balaghah, Arud dan Qafiah, Adab dan Nusus, Isya’ dan Mutola’ah, Nahu dan Sorof.

Walaupun hadirnya saya di Perlis hanyalah sebagai mustami’un(pendengar) dan tidak akan menduduki peperiksaan, saya benar-benar merasakan kenikmatan mempelajari ilmu agama ini.

Waktu yang benar-benar bermakna dan bermanfaat hanya sekitar masa kelas berjalan yakni 8 pagi sehingga 12.30 tengah hari. Juga apabila ada kuliah-kuliah di masjid dan pengisian di Teratak Rahmat yang kadang kala saya hadiri. Apabila kelas hampir tamat saya mula rungsing. Tidak keruan kerana saya tahu sekejap lagi saya akan mengkhianati masa itu.

Entah mengapa saya jadi beku. Hidup terasa sangat hambar. Penantian jadi begitu lama. Segala yang dibuat serba tidak kena. Momentum menulis tiba-tiba ranap.

Barangkali ini penangan masa lapang yang disia-sia. Saya tenggelam pula dalam masalah hati yang entah datang dari mana.

Mungkin inilah juga penangan penantian. Buat kata Kak Fatin, penantian tanpa melakukan apa adalah pembaziran. Saya melalui tempoh penantian dalam pembaziran itu. Akhirnya, saya sampai pada satu keputusan.

Tinggalkan bumi Perlis.



Kehidupan Baru

Hampir sebulan sudah saya bertugas di sebuah badan buka kerajaan (NGO), Sahabat Alam Malaysia. Pejabat SAM terletak di Pulau Pinang. Walau bagaimana pun pejabat agak jauh daripada rumah. Saya duduk menyewa sebuah rumah flat bersama-sama rakan sepejabat lain. Saya benar-benar menikmati kesibukan peluang bekerja buat pertama kali ini. Saya masuk ke pejabat pada pukul 9 pagi dan pulang pada pukul 5.15 petang. Bekerja dari hari Isnin sehingga Sabtu. Pada hujung minggu saya berkesempatan turun ke pelbagai program. Sedar tidak sedar, bulan Mac bakal berakhir.

Kesedihan kerana tidak lagi dapat menghadiri kelas – kelas seperti di Perlis terubat dengan pengisi hujung minggu yang pelbagai. Selepas ini, harapnya saya berkesempatan menghadiri kuliah akiqah bulanan oleh Ustaz Hafiz Nordin yang belum sempat saya jengah sepanjang ia berjalan. Menjadi harapan saya juga untuk menjejak kaki ke bumi Pattani dan sama-sama membantu sahabat-sahabat aktivis di sana.

Menyibukkan Diri

Kadang-kala aksara di menyibukkan diri ini dikaitkan dengan perkara yang tidak baik. Sehingga muncul beberapa peribahasa atau pepatah. Misalnya menjaga tepi kain orang.

Saya suka petik satu hadis Nabi s.a.w. yang mafhumnya bermaksud:

Daripada Abdullah ibn Abbas r.a. Nabi s.a.w. bersabda: " Dua nikmat yang ramai manusia sering dilupakan oleh manusia: Nikmat kesihatan dan masa lapang." (HR Bukhari)

Dalam sedar atau tidak, menyibukkan diri menjadi salah satu jalan yang dapat kita telusuri agar tidak tergolong dalam dua golongan yang disebut oleh baginda ini.
Menonton wayang dari pagi sampai ke petang.

Berjalan-jalan dan merayau-rayau di pusat membeli belah tanpa tujuan.

melayari internet tanpa memurnikan isinya.

Ini juga bentuk-bentuk menyibukkan diri. Namun bukan ini yang saya maksudkan. Sibuk yang saya maksudkan sudah tentu datang dengan syarat-syaratnya. Misalnya, sibukkan diri dengan amal islami.

"Masalh couple ini lumrah la! Tidak boleh dinafikan lagi. Sukar lagi untuk merawat barah yang satu ini," ujar seorang sahabiah.

“Apabila sudah sampai ke peringkat perlu merawat memanglah sedikit sukar. sebenarnya ada perkara yang boleh dilakukan untuk mengelak diri dari terjun dalam dunia yang penuh bergolak itu,” ujar saya dalam sesi perbincangan kecil bersama-sama beberapa rakan selepas solat Maghrib.

“Bagaimana?” tanya seorang sahabaiah penuh minat.

“Sibukkan diri dengan amal islami,” jawab saya. Menyibukkan diri dalam amal islami merupakan satu bentuk pencegahan. Bukankah mencegah itu lebih baik daripada merawat?

Dengan menyibukkan diri memikirkan bagaimana hendak menyelesaikan masalah ummah bukan sahaja membuatkan kita menjadi lebih matang bahkan mampu membentengi remaja-remaja dan belia yang sedang bergelodak jiwanya dari aktiviti-aktiviti tidak bermanfaat.

Saya kira di luar sana banyak pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dan berfikrah Islam yang memerlukan tenaga penggerak yang tidak sedikit. Isu-isu seperti masalah sosial dalam kalangan remaja, serangan pemikiran, isu pergolakan di Selatan Thai, isu alam sekitar serta isu kepenggunaan adalah antara lapangan-lapangan yang mendambakan tenaga penggerak untuk membantu usaha-usaha yang telah dicetuskan.

Jika tidak selesa dengan idea-idea perjuangan yang ada, bawa dan kembangkanlah idea perjuangan sendiri. Misalnya, kalian rasa perlunya satu kumpulan yang bergerak untuk mengatasi masalah-masalah yang melanda kaum wanita contohnya tuntutan faskh yang tertunggak. Ibu-ibu tunggal tidak dapat pembelaan dibela. Sekurang-kurangnya tindakan kalian dapat menyekat keliberalan Sister In Islam yang banyak menggunakan isu-isu seperti ini untuk mengetengahkan idea-idea liberal mereka.

Masalah ummah ini banyak. Tinggal kita sahaja memilih untuk membantu menyelesaikannya atau sebaliknya.

Tidak keterlaluan untuk saya katakan, menyibukkan diri ini adalah salah satu tanda syukur kita pada Allah. Apabila kita sibuk, tiada ruang untuk kita membazir masa. Tidak sempat kita berbicara yang lagho-lagho. Tidak terlintas di fikiran kita untuk bermaksiat padaNya. Tidak sampai niat kita untuk kita mengumpat dan menzalimi sesiapa.

Namun sibuk itu mestilah yang bersyarat. Sibuk yang melorong kita menggapai redhaNya. Sibuk yang membawa kita menyentuh kasih sayangnya. Sibuk yang di dalamnya terisi penuh dengan program-program yang membuka hati kita betapa luas sifat pengampunanNya. Bukan sibuk yang tambah memlalai dan menjauhkan kita dariNya. Itu sudah semestinya.

Nikmat Sibuk

Buat masa ini, kesibukan yang sedang saya kecap benar-benar saya nikmati.

Kata bijak pandai,

“Hanya orang yang sibuk punya masa.”

Berilah kerja kepada orang yang sibuk, necaya dia akan mampu laksanakannya. Seseorang yang sibuk akan lebih peka terhadap masa. Terasa sia-sia menonton televisyen yang rancangannya hiburan semata-mata. Terasa rugi membiarkan lima belas minit masa untuk menunggu bas tidak diisi dengan aktiviti membaca atau berzikir sekurang-kurangnya. Terasa berdosa andai isi percakapannya yang lagho-lagho sahaja. Terasa menyesal andai menyambung tidur selepas Subuh. Menyusun kerja sudah tentu menjadi rutinnya agar setiap tugas yang dibebankan di pundakknya mampu diselesaikan dengan saksama.

Saya mahu menjadi orang sibuk seperti ini.



Nikmat sibuk ini kembali menggerakkan momentum menulis yang kemarau untuk beberapa ketika. Manuskrip ketiga yang terbengkalai kembali mendapat sentuhan. Bahkan saya sedang merencana jalan cerita pelajar universiti yang gila-gila tetapi Islamik seperti yang dipinta oleh Kak Mas dari PTS. (Namun, proposal Kasih Sehijau Bakau yang saya panjangkan pada Encik Zakaria di Galeri Ilmu masih belum berkembang. Perancangan baru akan disusun untuk kelak, Insya-Allah =)) Di samping menyiapkan artikel-artikel untuk dimuatkan dalam buku siri cerita rakyat SAM. Dalam kerancakan mengetip papan kekunci, timbul idea menulis buku motivasi. Kerjasama dengan sahabat baik. Insya-Allah, doakan idea dan usaha-usaha yang bertalu-talu ini tidak sekadar hangat-hangat tahi ayam.

Nikmat sibuk atau lebih tepat menyibukkan diri ini membuatkan masa berlalu tidak terasa. Alih-alih Bulan Mac 2010 bakal menutup tirainya. Penantian saya semakin bermakna. Lambaian pintu gerbang Universiti Al-Azhar kian tampak di mata.

Justeru, rungsinglah hati andai tidak berbuat apa-apa dengan nikmat masa lapang. Sebaliknya syukuri dan nikmatilah peluang sibuk yang Allah berikan buat kita. Andai tidak sibuk, menyibuklah anda dengan kesibukan bersyarat.

Tuesday, March 23, 2010

Panggillah Aku Dengan Namaku

Bismillahirrahmanirrahim...



“Munirah, nama apa yang sedap dan baik maknanya untuk digandingkan dengan nama Uwais? Munirah ada cadangan?”

Satu mesej pesanan ringkas saya terima beberapa malam lepas. Tatkala mendapat mesej tersebut, saya senyum sendiri. Teringat akan cerita Ustaz Rizaudin menamakan anak saudaranya. Disangka nama yang disebut oleh abangnya Soffina Aina yang membawa maksud kesucian mata kami. Rupa-rupanya abang beliau menyebut Sorfina Aina. Jadilah maksudnya perubahan mata kami. Ustaz tersalah dengar.

Kisah ustaz membuatkan saya lebih berhati-hati.

Tanpa membuang masa saya menghubungi beberapa sahabat untuk tanyakan pendapat. Ustaz Ihsan tidak terkecuali ‘menerima’ gangguan saya malam itu. Maafkan saya ustaz. Terganggu kelasnya malam itu. =)

Nasib saya sedikit malang kerana tiada yang dapat membantu. Sedang Kak Jamilah amat mengharap. Anak lelakinya bakal lahir tidak lama lagi. Saya minta tangguh daripada Kak Jamilah untuk beberapa ketika.

Keesokan hari, saya terburu-buru ke pejabat. Sebaik sahaja melabuhkan punggung terus laptop saya hidupkan. Walaupun ada beberapa tugas menanti. Saya tangguhkan tugas-tugas lain. Sepertinya Kak Jamilah sudah melahirkan bayinya itu pula. Hmmm.
Namun saya teruja untuk mencarikan nama yang baik dan indah buat seorang lagi saudara yang bakal lahir ke dunia.

Puas meneliti nama-nama indah dalam Islam akhirnya saya keluarkan beberapa senarai.

Uwais Asyraf- Pemberian yang mulia
Uwais Anwari- pemberian cahayaku
Uwais Rajaie- pemberian harapanku
Uwais Rifaie-pemberian tertinggiku
Uwais yusri- pemberian kesenanganku
Uwais syukri- pemberian kesyukuranku

Senarai ini saya berikan kepada Kak Jamilah. Alhamdulillah, Kak Jamilah sangat gembira.

“Sedap-sedap nama cadangan munirah ini. Nanti akak bincang lain dengan Abang Zaini (suaminya). Terima kasih,” balas Kak Jamilah.

Saya tersenyum puas. Nama –nama itu bakal melalui satu lagi peringkat saringan.
Cuba lihat, agak rumit proses memilih nama ini. Hari ini saya memilih nama untuk anak Kak Jamilah. Akan tiba satu hari saya akan sibuk memilih nama untuk anak sendiri. Insya-Allah.

Senario hari ini, kita gemar memendek-mendekkan nama sama ada nama sendiri mahupun nama orang lain. Sehingga kadang-kadang lari maksudnya bahkan membawa maksud yang tidak murni pula. Jika nama mereka agak -agak macam orang lama sedikit seperti Habsah, Khadijah dan Fatimah diubah-ubah nama itu misalnya menjadi Khatty dan sebagainya. Muhammad jadinya Mat saja. Saifuddin jadinya Udin saja.

Tidak adakah orang yang baik panggilannya tetapi buruk perangainya?

Bukan tidak ada, namun apabila ibu bapa memberi nama-nama yang baik pada anak-anak mereka, mereka menyandarkan satu harapan pada nama itu. Moga-moga anak-anak mereka berperwatakan seperti nama yang diberi.



Misalnya nama Uwais ini. Uwais al-Qarni memasuk Islam pada zaman Nabi, namun beliau tidak pernah berjumpa dengan baginda. Selepas kewafatan Nabi, beliau sempat berjumpa dengan Umar Al-Khattab dan Ali bin Abi Thalib.

Beliau merupakan seorang pengembala kambing. Di ceritakan ketika terjadi perang Uhud Rasulullah SAW mendapat cedera dan giginya patah karena dilempari batu oleh musuh-musuhnya. Khabar ini akhirnya sampai ke telinga Uwais. Ia segera memukul giginya dengan batu hingga patah. Hal tersebut dilakukan sebagai bukti kecintaannya kepada beliau SAW, sekalipun ia belum pernah melihatnya.

Beliau SAW bersabda : “Suatu ketika, apabila kalian (sayyidina Ali k.w. dan sayyidina Umar r.a.) bertemu dengan dia, mintalah do’a dan istighfarnya, dia adalah penghuni langit dan bukan penghuni bumi”.

Hebat bukan Uwais ini. Biar tidak terkenal di bumi, Uwais mahsyur di langit. Begitulah harapan Kak Jamilah tatkala memutuskan untuk menamakan anaknya yang bakal lahir dengan nama Uwais.


Abul Laits Assamarqandi meriwayatkan dengan sanadnya daripada Abu Hurairah r.a. berkata Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Hak anak yang harus dilaksanakan oelh orang tua ada tiga iaitu:

Memilihkan nama yang baik ketika lahir

Mengajari kitab Allah s.w.t. (Memberi didikan agama)

Harus dikahwinkan jika telah dewasa (jangan sampai tergoda sehingga berlacur)


Terus terang saya katakan, saya sangat suka orang memanggil saya dengan nama penuh. Maksud saya sama ada Munirah atau Siti. Kalau mahu panggil saya Siti Munirah, itu jauh lebih saya sukai. Maknanya yang bersinar-sinar.

Sewaktu di sekolah menengah, guru Fizik saya Cikgu Yazee gemar sekali memanggil nama penuh kami anak-anak muridnya. Biarlah panjang mana sekalipun nama itu.

“Siti Munirah, kenapa keputusan kamu begini?”

Antara dialog-dialog Cikgu Yazee yang masih saya ingat.

Dulu, apabila ibu memanggil saya Mun, saya sangat marah.

“Tiada maksud nama itu!” rungut saya.

“Moon itu kan bulan. Cuba lihat bulan menjadi petunjuk kala pada waktu malam,” pujuk ibu. Dan sejak itu baru saya terima nama Mun itu.

Mungkin persoalan panggilan nama ini kita rasa remeh. Namun lupakah kita, nama itu merupakan satu doa.

Al-ismu addu ‘a. Nama adalah doa. Setiap kali seorang itu dipanggil dengan nama nya, maka setiap kali itu jugalah dia akan makin serasi dengan makna nama yang berada pada dirinya.

Mengenai pengaruh nama atas kepribadian anak, sebuah hadits yang diriwayatkan Imam Bukhari dari Sa'id ibnu al-Musayyab menyebut , bahawa ia berkata: Aku mendatangi Nabi Saw., lalu beliau bertanya, "Siapa namamu?"

"Hazan (keras)" jawabku.

Beliau bersabda, "Kamu adalah Sahal (mudah)."

Ia berkata, "Aku tidak akan merubah nama pemberian ayahku."

Ibnu al-Musayyab berkata, "Maka kekerasan selalu menimpa kami sesudah peristiwa itu."

Teringat pula saya akan kisah Umar tatkala seorang lelaki datang kepada Umar r.a. berkata: "Puteraku ini durhaka kepadaku."

Maka datang Umar r.a. berkata kepada anak lelaki itu: "Apakah kau tidak takut kepada Allah s.w.t? Engkau telah berbuat durhaka terhadap ayahmu, engkau tahu kewajipan anak untuk orang tuanya ......(begini dan begitu).

Lalu anak itu bertanya: "Ya Amirul mu'minin, apakah anak itu tidak berhak terhadap ayahnya?"

Jawab Umar: "Ada hak yakni harus memilihkan ibu yang bangsawan, jangan sampai tercela kerana ibunya, harus memberi nama yang baik, harus mengajari kitab Allah s.w.t."

Maka berkata anak itu: "Demi Allah, dia tidak memilihkan untukku ibuku, dia membeli budak wanita dengan harga 400 dirham dan itu ibuku, dia tidak memberi nama yang baik untukku, saya dinamai kelawar jantan dan saya tidak diajari kitab Allah s.w.t. walau satu ayat."

Maka Umar r.a. menoleh kepada ayahnya dan berkata: "Engkau telah durhaka kepada anakmu sebelum ia durhaka kepadamu. Pergilah engkau dari sini."


Itulah kuasa nama. Dalam tidak rela kita harus akuinya.

Justeru, hargailah nama yang telah diberikan oleh ibu bapa kita. Panggillah aku dengan namaku!