Monday, June 30, 2008

Sirah Ini Ibrah

Jika Zaid bin Harithah gugur

Jaafar bin Abi Thalib galang gantinya

Andai Jaafar tumbang

Mara ke hadapan Abdullah bin Rawahah

Berganti-gantilah kalian memimpin angkatan perang

Sabda baginda junjungan

Dalam gegak gempita Ghazwah Mu’tah.



Panji bertukar tangan

Saat Zaid hampir terkorban

‘Al-Tayyar’ menyambut gagah

Dipangkas tangan kanan

Tangan kiri menyambar

Biar putus keduanya

Dalam pelukkan panji dipaut.



Abdullah pantas menggapai

Panji bendera amanah

Dalam atma hanya dua

Menang atau syahid

Gugur ibn Rawahah dipilih ‘Saifullah’

Saff diatur strategi disusun

Berundur musuh dihinggap gerun.



Ini sirah anak muda lampau

Berjuang tidak kenal lelah

Megah mereka merebut Jannah

Berjihad demi kelangsungan dakwah

Biar gugur dan bertumpah darah.



Sirah ini ibrah

sebagai tazkirah

Buat kita

Anak muda abad ini.

Saturday, June 28, 2008

Teladan Dari Burung


Ketika api sedang marak menyala untuk membakar tubuh suci Nabi Ibrahim A.S, kelihatan seekor burung kecil tekun berulang-alik antara nyalaan api menggunung itu dan satu tempat lain. Burung kecil itu sibuk amat. Tidak terpancar rasa putus asa walau sedikit. Letih pun tidak. Apa yang dilakukan oleh burung kecil ini?

Rupa-rupanya burung itu sedang mengangkut air dengan paruhnya yang kecil. Tetapi untuk apa?

Untuk memadamkan api yang sedang menggila menjilat batang tubuh nabi Allah Ibrahim. Hasilnya pasti sia-sia tidak berlaba. Mana mungkin air yang dibawa menggunakan paruh burung kecil ini mampu menundukkan marak api itu.

“Sungguh sia-sia uasahamu wahai burung kecil. Kau tidak akan dapat memadamkan api itu. Tidak sama sekali,”

Burung kecil itu tidak peduli. Dengan tenang dia menjawab.

“ Aku tahu aku tidak mampu memadamkan api ini, tetapi sekurang-kurangnya aku punya hujah apabila berhadapan dengan Allah kelak jika ditanya apa usahaku untuk membantu Nabi Allah Ibrahim yang berada dalam kesusahan,”

Begitulah, bertapa burung kecil itu sedar akan tanggungjawabnya. Bertapa burung kecil itu takut akan bicara di padang mahsyar oleh hakim paling agung.

Apatah lagi kita yang telah melafazkan dua kalimah syahadah ini. Bukan sahaja dikurniakan dengan dua nikmat terbesar yakni iman dan Islam, bahkan kita dikurniakan dengan nikmat akal untuk berfikir. Kita makhluk istimewa antara ciptaan-ciptaan Yang Esa.

Kita dihidupkan oleh Allah dengan tujuan dan matlamat tertentu yakni untuk beribadah kepada-Nya. Sepertimana firman-Nya dalam surah Az-Zariyat ayat ke lima puluh enam yang bermaksud “ Tidak Aku ciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku”. Allah menyatakan bahawa manusia diciptakan sebagai khalifah dalam surah A-Baqarah ayat ke tiga puluh yang bermaksud “ Dan ingatlah ketika tuhanmu berfirman kepada para malaikat, Aku hendak menjadikan khalifah di muka bumi…”. Oleh itu, harus diingati, kita tidak dijadikan untuk perkara yang sia-sia melainkan terpikul satu beban dan amanah dibahu masing-masing.

Solat, puasa, zakat dan menunaikan haji merupakan sebahagian taklifat yang telah dipertanggungjawabkan kepada setiap individu yang nengucapkan kalimah syahadah. Namun, adakah itu sahaja tanggungjawab kita?
Tentu sekali tidak. Allah menjadikan manusia terdiri daripada pelbagai kerenah dan keadaan. Ada yang baik. Ada yang jahat. Justeru, usaha islah dan dakwah perlu dimainkan. Bagi mereka yang dicampakkan hidayah dan diberi kelebihan ilmu oleh Allah, mereka perlu membimbing manusia-manusia lain yang masih samar jalan menuju keredaan Ilahi. Tidak patut mereka hanya berdiam diri, beruzlah mengasingkan diri sedang banyak lagi manusia menagih bimbingan golongan ini.

Usaha islah dan dakwah bukan suatu perkara yang mudah. Kepada mereka tidak dibentangkan permaidani merah mahupun hamparan baldu. Sebaliknya jalan-jalan yang dilalui penuh kaca dan paku serta berliku. Kalau tersalah langkah boleh membawa padah pada diri sendiri. Kesan atau hasil usaha dakwah yang dilaksanakan kadang-kadang mengecewakan dan tidak seperti yang diharapkan.Kerja-kerja yang dilakukan di jalan ini juga tidak dibayar, kita yang perlu membayar malah!
Kesampingkan semua itu. Paling penting, kita mengorak langkah melaksanakan usaha dakwah dan islah walaupun kecil dan sedikit. Biar sekadar sebaris ayat mahupun sepatah kata. Usaha yang kita rasa kecil Dia lihat besar. Usaha yang kita rasa besar, tetapi Dia lihat kecil. Penilaian tuhan, siapa tahu. Jadikan usaha burung kecil itu sebagai teladan. Biar kecil tapi berjiwa besar. Jangan besar tapi berjiwa kecil!

Tuesday, June 10, 2008

Apabila Memiliki Terkadang Tidak Kita Hargai

Pada awal bulan Mei saya dikejutkan dengan berita pemergian tok su. Tidak disangka-sangka pada pengakhiran bulan itu, kakak arwah tok su yakni nenek saya dijemput Ilahi. Saya rasa terkilan amat. Pagi Jumaat 30 Mei nenek membebel seperti biasa kerana saya tidak bersiap lagi sedangkan saya akan naik bas 9.30 pagi. Ayah yang pergi menghantar ibu bekerja juga tidak pulang lagi sedangkan jam menghampiri pukul 8.45 pagi. Perjalanan dari rumah saya ke stesen bus mengambil masa dalam setengah jam. Sebelum bertolak, saya bersalam dan mencium pipi nenek seperti kebiasaannya apabila saya mahu pulang ke kampus. Tidak saya sangka pada pagi esoknya saya akan mencium pipi nenek yang tidak lagi bernyawa. Setepatnya saya pulang bukan kerana semester baru sudah bermula tetapi saya dipanggil untuk menjadi committee Taaruf Week. Sebaik saja saya selesai menunaikan solat asar di bilik ( masa itu saya sudah sampai di Kampus), adik saya telefon memaklumkan pemergian nenek. Saya meraung sekuat hati. Petang itu juga saya pulang semula ke rumah. Sepanjang cuti semester ini saya berada bersamanya. Saya tinggal dengan nenek sejak saya lahir. Saya rasa terkilan sebab saya banyak menyakitkan hatinya. Rasanya hari-hari terakhir nenek bersama saya, dia tidak gembira dan kesunyian. Kenangan bersamanya berputar dalam kotak memori. Apabila terpandang tempat tidurnya saya terkenangkan dia. Saya rasa bersalah. Petang Khamis sebelum saya pulang nenek kelihatan sedih apabila saya beritahu mahu pulang awal ke kampus. Selalu nenek minta temankan dia kerana dia sunyi lantaran saya gemar berada dalam bilik. Ucapan itu diulang acapkali dan setiap kali itu pasti saya merungut kerana merasakan nenek menganggu kerja saya. Maafkan segala kekasaran dan tingkah biadap saya nenek. Saya rasa kehilangan kini. Terasa sekali kehilangan. Setelah nenek pergi saya selalu rindukannya tetapi sewaktu dia masih hidup jarang-jarang saya temankan dia berbicara. Begitulah lumrah manusia. Apabila memiliki jarang kita menghargai. Apabila hilang baru kita menyesal dan mencari. Selepas ini tiada lagi kedengaran nenek memanggil saya. Tiada lagi petua-petua kesihatan menerjah ruang pendengaran. Tiada lagi dendangan syair berkumandang. Saya pasti merindukan semua itu. Moga nenek bahagia di sana. Saya coretkan tentang perkara ini dalam entri kali ini kerana saya sangat rindukan nenek sehingga ke saat ini. Maafkan saya nenek andai saya tidak dapat menceriakan dan membahagiakan hari-hari tuamu sebagaimana nenek cuba membahagiakan hari-hari kecil saya….

Thursday, May 22, 2008

Seven Habits of Highly Effective People - Siri 1

Saya tertarik dengan formula bagaimana untuk nak memanfaatkan buku The Seven Habits of Highly Effective people yang ditulis oeh Stephen R. Covey. Menurutnya salah satu cara kita nak memanfaatkan buku itu adalah dengan mengubah paradigma kita dari sekadar menjadi seorang pembaca kepada paradigma seorang guru yakni kita menanam dalam diri kita kita bukan sekadar hendak membaca dan memanfaatkan buku itu untuk diri sendiri bahkan kita nak bagitau orang lain serta bincangkan isi-isi kandungannya.
Oleh itu saya mengambil langkah untuk berkongsi isi kandungan buku itu dalam laman maya ini bersama anda!
Dalam siri pertama ini kita akan bincangkan terlebih dahulu apa yang dikatakan tabiat(habits), maturity continuum dan maksud keberkesanan (effectiveness).


Tabiat(habits)
Tabiat merupakan gabungjalin antara tiga elemen iaitu pengetahuan (knowledge). Kemahiran (skill) dan kemahuan (desire). Dengan kehadiran ketiga-tiga elemen ini maka akan tersemailah tabiat. Contoh mudah hubungan kita dengan sahabat-sahabat kita. Kita ada pengetahuan iaitu hubungan yang efektif antara kita dan sahabat-sahabat penting untuk memastikan wujud suasana saling memahami dan bantu membantu. Kita juga tahu untuk mewujudkan komunikasi berkesan ini kita perlu menjadi pendengar yang baik. Tapi kita tidak mampu menjadi pendengar yang baik sekiranya kita tidak ada kemahuan ke arah itu. Tetapi seandainya kita mempunyai kemahuan yang kuat untuk mewujudkan komunikasi berkesan ini kita akan berusaha untuk menjadi pendengar yang setia. Buahnya, hubungan kita denga para sahabat akan bertambah baik dan erat.

Maturity Continuum
Seterusya ialah ‘ maturity continuum’. Maturity continuum ini ada tiga peringkat iaitu:
1) Dependence
2) Independence
3) Interdependence

Peringkat pertama iaitu dependence atau dalam bahasa kita boleh terjemahkan sebagai kebergantungan kepada sesuatu. Dalam peringkat ini seseorang itu sangat bergantung kepada orang lain atau sesuatu yang lain samada dari segi fizikal, emosi, persepsi dan mental. Mereka dalam kelompok ini tidak boleh bergerak dengan usaha sendiri, tidak mampu membuat keputusan sendiri malah masa depan juga tidak mampu ditentukan sendiri. Secara mudahnya seseorang yang berada diperingkat ini mengamalkan paradigma ‘kamu(you)’. Contohnya kamu buat keputusan untuk saya. Kamu datang bantu dalam urusan seharian saya. Jika kamu tak datang saya tak boleh buat apa-apa. Bila datang keputusan saya salahkan kamu.
Peringkat kedua pula iaitu independence atau dalam bahasa kita boleh tafsirkan sebagai tidak bergantung kepada sesuatu yang lain atau berkeupayaan berdiri atas kaki sendiri. Mereka yang berada dalam kelompok ini mampu membuat segala-galanya sendiri tanpa perlu orang push mereka untuk buat. Mereka boleh buat keputusan untuk diri sendiri, mereka boleh tentukan sendiri apa yang dikehendaki dalam kehidupan. Mereka dalam kelompok ini mengamalkan paradigma ‘saya(I)’. Contohnya saya boleh buat. Saya bertanggungjawab atas perbuatan saya. Saya boleh berdikari. Saya boleh pilih apa yang saya suka.
Peringkat ketiga iaitu peringkat interdependence atau dalam bahasa kita boleh tafsirkan sebagai saling bergantungan antara satu sama lain untuk mencapai satu gol. Mereka dalam kelompok ini bukanlah seperti kelompok pertama tadi yang memerlukan orang lain untuk push baru bertindak. Sebaliknya kelompok ini saling bergandingan antara satu sama lain untuk mencapai satu matlamat. Mereka bukan sahaja golongan yang berkebolehan, berdikari, mampu membuat keputusan sendiri malah mereka juga golongan yang menyedari peri-pentingnya bergerak dalam satu kumpulan untuk mencapai matlamat dengan lebih berkesan. Mereka mengamalkan paradigma ‘kita(we)’. Contohnya kita boleh lakukan. Kita boleh berkerjasama. kita boleh gabungkan kelebihan dan kebolehan untuk mencipta kejayaan bermakna bersama. Golongan ini adalah golongan yang terbaik dan hanya golongan independence sahaja yang boleh mencapai peringkat ini manakala golongan dependence, mereka perlu melalui peringkat independence sebelum boleh mencapai peringkat ketiga ini.
Oleh itu dalam habits 1,2 dan 3 penulis cuba membentuk self-mastery. Penulis cuba untuk menggerakkan seseorang dari dependence kepada independence dalam rangka “private victories”.
Seterusnya dalam habits 4,5 dan 6 adalah sikap-sikap yang diterap untuk menggerakkan seseorang dari independence kepada interdependence dalam rangka “public victories”.

Maksud keberkesanan(Effectiveness)
Kita boleh memahami maksud effectiveness ini melalaui prinsip ‘p/pc balance’. P untuk production sementar PC untuk production capability. Prinsip ini boleh difahami melalui kisah seorang petani miskin dengan seekor angsa yang boleh bertelur emas. Kisah ini adalah mengenai seorang petani miskin yang menjumpai sebutir telur emas dalam sarang angsanya. Pada mulanya dia menyangkakan dia bermimpi, namun setelah diamat-amatinya berulangkali ternyata memang benar itu adalah telur emas. Kemudian dia mendapati hal yang sama pada hari berikutnya. Dia sangat gembira. Hasil jualan telur itu menyebabkan hidupnya semakin senang dan mewah. Muncullah perasan tamak dalam diri. Dia mahukan lebih dari sebutir telur sehari. Lalu dia mengambil keputusan untuk membelah telur angsa itu kerana menyangkakan tentu ada lebih banyak telur dalam perut angsa itu. Namun apabila dibelah didapatinya tiada sebutir pun telur dalam perut angsa. Dia sangat sedih dan menyesal. Sejak itu hidupnya kembali jatuh miskin kerana tiada lagi telur-telur emas yang dihasilkan.
Daripada kisah ini kita boleh simpulkan telur emasadalah hasil pengeluaran (production) manakal angsa adalah pengeluar (production capability). Kebanyakan orang melihat keberkesanan(effectiveness) melalui berapa banyak telur emas yang dihasilkan. Tetapi hakikatnya keberkesanan(effectiveness) ini bergantung kepada kedua- dua factor iaitu angsa dan telur emas. Keseimbangan antara factor pengeluar dan hasil pengeluaran perlu. Contohnya kita memiliki mesin rumput. Kita menggunakan mesin rumput itu hari-hari tanpa menyelenggaranya. Kesannya memang halaman rumah kita menjadi cantik dan bersih tetapi mesin rumput kita mungkin rosak dan perlu diperbaiki. Duit, masa dan tenaga terbuang untuk memperbaiki mesin malah lebih teruk kalau mesin itu rosak terus. Di sini tidak wujud lagi keberkesanan. Jadi effectiveness adalah hasil daripada keseimbangan Production dan Production capabililty.

Wednesday, May 21, 2008

Jus Carrot

suatu hari dikedai makan...

Penjual: nak minum apa kak?
saya : bagi jus carrot satu
Penjual: ok. tunggu sekejap

seketika kemudian....
Penjual: sorry kak, carrot tak jual kat market hari ini. Pesan air lain boleh?
(komen: ingatkan beras je dah nak habis kat pasaran, carrot pun tak de. ish2)

Monday, May 19, 2008

Menyoroti Tragedi di Karbala


Sahabat-sahabat, dalam entri kali ini saya nak berkongsi dengan kalian tentang satu peristiwa hitam yang berlaku di Karbala. Saya kira ramai mungkin di antara kita tidak mengetahui apa yang menimpa terhadap cucunda RAsulullah Saw, Saidina Hussein dan lebih kurang 72 orang lagi di sini tanggal 10 Muharaam tahun ke 61 Hijrah iaitu hari yang kita namakan hari Asyura. Sebagai seorang yang mengaku diri sebagai Umat Muhammad kita wajar tahu tentangnya. (saya lebih merujuk kepada diri sendiri kerana setelah menumpang di bumi Allah lebih kurang dua puluh tahun ni baru saya mengetahui apa yang berlaku di Karbala. Oleh itu saya tergerak hati untuk merakamkan peristiwa itu serba sedikit di sini..)
Dalam pertengahan bulan Rejab tahun 60 Hijrah, Muawiyah bin Abu Sufyan meninggal dunia. Tanpa berlengah-lengah lagi, Yazid anak kepada Muawiyah mengirim surat kepada gabenor Madinah , Walid bin Utbah bin Abi Sufyan yang juga merupakan salah seorang anggota Bani Umayyah. Dalam surat itu tercatat berita kematian Muawiyah dan satu perintah: “ Ambillah baiah padaku dari warga kota Madinah, undanglah Hussein bin Ali dan ambil pula baiah darinya, jika dia menolak dari memberi baiah kepadaku, maka kirimkan kepalanya kepadaku.”
Menyentuh tentang keperibadian Yazid itu sendiri, satu keperibadian yang tidak cocok sebagai seorang pemimpin apatah lagi sebagai seorang Muslim. Yazid merupakan seorang yang fasik dan menampakkan kefasikannya. Antaranya dia minum arak dan mabuk secara terang-terangan. Malah turut dilaporkan Yazid tidak mempunyai krediabiliti sebagai seorang pemimpin. Atas dasar inilah Imam Hussein mengatakan: “ Apabila umat Islam dipimpin oleh seseorang seperti Yazid, maka ucaplah selamat tinggal kepada Islam.”
Lalu gabenor Madinah mengundang Imam Hussein ketika beliau berada di Masjid Nabawi. Saat itu, Abdullah bin Zubair juga bersama beliau. Utusan gabenor mengajak dua orang tersebut untuk menghadap gabenor. Abdullah berkata pada Imam Husain as.: "Apa dugaanmu? Imam Husain as. menjawab: "Aku kira yang firaun-nya mereka sudah mati, dan kita dipanggil untuk berbaiah". Abdullah kembali bertanya: "Aku juga berpikir demikian, lalu apa tindakanmu sekarang? Imam Husain as. menjawab: "Aku akan pergi menemui gabenor".
Sementara Abdullah bin Zubair melarikan diri menuju Mekkah tidak melalui jalan utama dan mencari perlindungan di sana, Imam Husain as. pergi menemui gabenor. Beliau mengajak sebagian pemuda Bani Hasyim bersamanya seraya mengingatkan mereka: "Kalian berdiri siaga di luar, dan jika teriakanku terdengar segeralah masuk ke dalam, tapi selama teriakanku belum terdengar, janganlah kalian masuk".
Di dalamnya, gabenor Madinah Walid bin Utbah bin abu Sufyan membacakan surat terbuka Yazid untuk Imam Husain as. lalu berkata: "Masyarakat sudah membaiat Yazid. Maslahat Islam menuntut demikian. Aku harap kamu juga membaiatnya". Imam Husain as. berkata: "Untuk apa kalian menginginkan baiatku? Bukankah kalian menginginkannya kerana masyarakat dan tidak kerana Allah? Bukankah kalian menginginkan baiatku supaya orang lain juga berbaiat. Gabenor menjawab: "Ya, benar". Imam Husain as. melanjutkan: "Kalau begitu, apa untungnya baiatku di ruangan tertutup ini yang hanya dihadiri oleh tiga orang saja?". Gabenor berpendapat: "Apa yang dia katakan itu benar, kalau begitu biar nanti saja!".
Setelah pertemuan itu, Imam Husain as. tinggal di Madinah selama tiga malam. Setiap malam beliau pergi menyimbahkan diri di atas makam Nabi Muhammad saww. Untuk malam ketiga, seperti biasa beliau berziarah ke makam suci itu, berdoa dan menangis lama, sampai terbawa tidur. Dalam tidurnya, Beliau bertemu Rasulullah saww. Beliau bermimpi bahwa ada ketentuan (Tuhan) yang diilhamkan kepadanya.
Pada esok harinya, kira-kira pada tanggal 27 bulan Rajab, Imam Husain as. keluar dari Madinah pergi menuju Mekkah melalui jalan utama, tidak sembunyi-sembunyi lewat jalan-jalan lainnya. Beliau sampai di Mekkah pada tanggal 3 bulan Sya'ban. Beliau masih tinggal di sana pada bulan-bulan Ramadan, Syawal, Dzulqa'dah, sampai tanggal 8 Dzulhijjah. Di Mekkah, Imam Husain as. secara berurutan tinggal di rumah Tan'im, Soffah, Dzatu 'irq, Hajiz Batni Rummah, Zarrud, Tsa'labiyah, Zubalah, Bathn Aqabah, Syaraf, Dzu Husum, Udzaibul Hijanat, Qasr Bani Muqatil, sampai akhirnya beliau turunkan bekal perjalanan di Nainawa.
Di akhir bulan Rajab, bertepatan dengan awal pemerintahan Yazid, Imam Husain as. keluar dari Madinah menuju Mekkah untuk menghindari baiat pada Yazid. Beliau memilih Mekkah mengingat kota ini adalah haram (tempat suci) Allah yang aman, setidaknya keamanan di sana lebih terjamin daripada di tempat lain. Tidak sekedar satu tempat terbaik untuk berlindung, lebih dari itu Mekkah adalah pusat pertemuan (jemaah) yang juga terbaik, mulai dari bulan Rajab dan Sya'ban yang merupakan hari-hari umrah, kemudian musim haji yang juga kesempatan lain paling tepat untuk melakukan dakwah. Imam Hussein mengelak berbaiah kepada yazid bukan sahaja kerana kepincangan keperibadian Yazid bahkan kerana sekiranya
beliau berbaiah kepada Yazid secara tidak langsung beliau telah mengakui pemerintahan Isslam yang kekuasaannya diwariskan secara turun temurun.
Melihat kondisi buruk itu, yang mencapai puncaknya di zaman Yazid bin Muawiyah, maka sejumlah tokoh Kufah, Iraq, yang dulu merupakan pengikut Imam Ali a.s. dan Imam Hasan a.s., menulis surat kepada Imam Hussein a.s. agar datang ke Kufah untuk memimpin masyarakat Kufah memerangi Yazid. Imam Husein a.s. yang merasa terpanggil untuk menegakkan amar ma’ruf nahi munkar, memenuhi panggilan masyarakat Kufah ini dan berangkat menuju ke kota bekas pusat pemerintahan ayahanda beliau itu.
Akan tetapi, pihak penguasa, yaitu Yazid yang mencium gerak-geri penduduk Kufah ini, segera mengirim pasukan tenteranya ke kota ini dan membasmi gerakan tersebut dengan menangkapi, memenjarakan dan membunuhi para tokohnya. Dengan demikian, jadilah Imam Hussein a.s. kehilangan pendukung besarnya. Akan tetapi, beliau tetap berniat datang ke Kufah. Yazid yang mengetahui bahwa Imam Husein a.s. tetap bergerak menuju ke Kufah, mengirim bala tentara lengkap untuk mencegah kedatangan beliau ke kota ini.
Terhalang untuk masuk ke kota Kufah, akhirnya rombongan Imam Husein a.s. digiring hingga tiba di sebuah padang pasir bernama Karbala. Ketika datang perintah dari Yazid di Syam, agar Imam Husein beserta rombongannya dibantai, maka terjadilah pertempuran yang sangat tak seimbang, yang kemudian dikenal di seluruh dunia dan di sepanjang sejarah sebagai tragedi Karbala.
Di sini berlakunya pembantaian terhadap imam Hussein dan lebih kurang 72 yang lain yang bersama-sama mempertahankan beliau di padang Karbala. Antaranya Hurr bin Yazid, Abdullah bin Umair, Amir bin Qarthah Al-Anshari, Muslim bin Ausajah, Habib bin Mahazir, Ali Akbar bin Hussein, Wahb bin Abbdullah. Imam Hussein dan sekitar 72 orang lagi ketika itu dikepung oleh tentera Yazid yang mencecah ribuan.
Di Karbala ini kepala imam Hussein telah dipenggal oleh Syimir bin Dzil Jausyan.Kemudian kepala Imam Hussein dibawa kepada Yazid. Yazid memukul kepala yang sering dicium oleh Rasulullah SAW ini dengan tongkatnya. Sampai hatinya menyakiti orang yang dikatakan oleh Rasulullah SAW sebagai penghulu pemuda syurga.
Di Karbala ini keluarga Imam Hussein dan para sahabat yang bersama beliau telah dihalang dari meminum walaupun setitis air, dibiarkan kehausan bahkan bayi Imam Hussein Ali Asghar yang berusia sekitar enam bulan menjadi korban kebiadapan di mana bayi itu bukan sahaja tidak dihilangkan kehausannya saat imam Hussein membawanya di hadapan musuh dengan harapan ditunjukkan belas terhadap anak kecil itu, bahkan mereka mengakhiri riwayat cucu nabi itu dengan lemparan panah yang menembus ulu hatinya.
Banyak lagi siri kekejaman yang diterima oleh mereka-mereka yang bersama Imam Hussein di Karbala. Sungguh tragis dan menyedihkan. Apakah mereka tidak tahu bahawa orang-orang yang mereka bantai itu adalah darah daging Rasulullah SAW?
Justeru, sahabat-sahabat walaupun kita tidak berada di saat dan ketika itu tidak bermakna kita tidak perlu ambil pusing tentang sejarah hitam ini. Memperingati peristiwa di Karbala bukan semata-mata hak orang-orang syiah bahkan kita yang megggelar diri sebagai golongan Ahli Sunnah wal jamaah juga perlu mengenangnya kerana kita turut menyepakati bahawa Imam Hussein adalah cucunda rasulullah serta baginda amat menyayanginya dan peristiwa yang berlaku di Karbala adalah benar dan bukan rekaan.
Janganlah kita hanya sibuk mengulit buku-buku teks matematik. Fizik. Kimia dan biologi sahaja atau sibuk ke sana ke mari menguruskan persatuan dan organisasi sehingga kita tak ambil cakna dengan apa yang telah berlaku dan sedang berlaku. Sejarah banyak memberi pengajaran bagi mereka yang mahu mengambil pelajaran. Dari sejarah kita mengetahui liku perjalanan perjuangan para sahabat dan juga Ahlul Bait dan dari itu kita meminjam semangat juang mereka untuk meneruskan perjuangan kita pada hari ini. Hal ini terbukti ketika berlakunya revolusi Iran pada tahun 1979. Ayatollah Khomeini meminjam semangat Saidina Hussein ketika berjaya menjatuhkan rejim shah Iran ketika itu untuk membentuk negara republik Islam dengan slogannya: “ setiap hari adalah Asyura, setiap tempat adalah Karbala dan setiap orang harus mahu menjadi Hussein!”
Untuk mengetahui rentetan peristiwa Karbala ini boleh layari http://swaramuslim.net

Sunday, May 18, 2008

Adakah kita setabah Ayyub A.S?

Ujian dan dugaan merupakan kayu ukur Allah untuk menguji siapakah yang paling baik amalannya di kalangan hamba-hamba-Nya. Ujian boleh datang dalam pelbagai bentuk samada kesakitan, kematian orang tersayang, kehilangan harta benda, kegagalan dalam kerjaya dan sebagainya. Kesenangan, kemewahan, kedudukan dan kebahagiaan juga merupakan ujian dari-Nya. Sebagai hamba Allah yang lemah saya tak terlepas dari ujiannya. Akademik yang kurang memberangsangkan menjadi ujian tuhan untuk saya. Sejak meninggalkan alam persekolahan, kecemerlangan dalam pelajaran turut terkubur saya rasakan. Bermula sejak dari sekolah rendah sehingga di sekolah menengah saya adalah antara bintang-bintang yang bergemerlapan dalam kecemerlangan akademik (chee wah… perasan!). Tapi kini saya bukan antara bintang-bintang itu lagi. Sedih tak dapat dinafikan.Rasa telah banyak usaha dicurahkan. Kecewa menyelubungi diri. Membaca kisah Nabi Ayyub A.S membuat saya merenung kembali membandingkan antara diri ini dan Nabi Allah itu. Sungguh Nabi Ayyub seorang yang tabah. Justeru, dalam entri ini saya nak kongsi kisah Nabi Ayyub ni.
Nabi Ayyub seorang yang kaya raya. Beliau mempunyai banyak haiwan ternakan, ladang, kebun serta hamba sahaya.Kata iblis, Nabi Ayyub sokmo beribadah, bertasbih dan melakukan amal soleh kerana beliau tidak mahu Allah menarik balik nikmat kurniaan Allah yang sekian banyak kepadanya. Lalu Allah mengizinkan Nabi Ayyub diuji untuk membuktikan besarnya keikhlasan Ayyub. Daripada seorang jutawan Nabi Ayyub jatuh miskin. Haiwan ternakannya mati manakala ladang-ladang dan kebun-kebun musnah. Nabi Ayyub berkata kepada Iblis yang ketika menyamar sebagai orang tua untuk mempengaruhinya meninggalkan ketaatan kepada Allah “ketahuilah setiap harta yang aku miliki ini adalah kepunyaan Allah. Oleh itu tidak salah kiranya Dia mahu mengambil kembali hak-Nya setelah cukup aku menikmatinya selama ini. Segala puji bagi tuhan yang telah mengurniakan harta ini kepadaku dan mengambilnya semula pada hari ini.” tambahnya lagi " Dialah yang maha kuasa memberi kekayaan dan mengambil semula daripada sesiapa yang Dia suka. Kami sebagai hamba-hambanya yang lemah perlu menerima qadak dan qadar ini walaupun kadang-kadang kami belum mengerti apa hikmah yang tersirat di sebalik ujian itu."
Tidak puas dengan itu, iblis memfitnah lagi Nabi Ayyub dengan mengatakan dia masih bertahan kerana mempunyai anak-anak yang menyokongnya. Lalu iblis meminta Allah mencabut nyawa anak-anak Nabi Ayyub. Allah membenarkan iblis merobohkan tempat tinggal anak-anak Nabi Ayyub sehingga menyebabkan mereka mati semuanya. Maka, sedihlah Nabi Ayyub mendengar perkhabaran itu. Namun dengan tenang dia berkata “ dari Allah kita dating dan kepadanyalah kita kembali. Segala puji buat Allah Yang Menghidupkan dan Mematikan.”
Alangkah kecewanya iblis dengan kegagalannya mengugat iman Nabi Ayyub. Tanpa berputus asa iblis meminta kepada Allah untuk menggannggu kesihatan Nabi Ayyub agar dengannya Nabi Ayyub tak dapat lagi beribadah kepada Allah. Lalu Nabi Ayyub ditimpa penyakit kulit yang berjangkit di samping demam dan batuk yang melarat. Semakin hari beliau semakin kurus dan tidak bermaya tetapi Nabi Ayyub tidak meninggalkan rutin ibadahnya bahkan semakin kuat beliau beribadah. Isterinya setia menemaninya dan mengubati penyakitnya sedangkan orang lain menjauhkan diri dari Nabi Ayyub takut-takut dijangkiti penyakit yang dihidapinya.
Iblis gagal lagi. Namun tanpa mengenal putus asa iblis menyamar pula menjadi manusia dan datang bertemu dengan isteri Nabi Ayyub. Iblis cuba neggunakan formula yang diaplikasikan ketika berjaya menendang nabi Adam dan Hawa dari syurga sebelum ini. Dia menghasut isteri Nabi Ayyub agar meminta Nabi Ayyub berdoa kepada Allah dikembalikan semula segala kesenangan, anak-pinak dan kebahagiaan yang pernah mereka kecapi dulu.
Berkata Nabi Ayyub “ Wahai isteri yang kusayangi, engkau mengharapkan kebahagiaan masa lalu, engkau menangisi kematian anak-anak kita, engkau minta dilepaskan dari kesusahan ini. Ingin aku bertanya kepadamu, berapa lama kita menikmati segala kemewahan dulu?”
“80 tahun” jawab isterinya
“ dan berapa lama pulak kita hidup dalam penderitaan ini?”
“ tujuh tahun”
“ Aku malu untuk meminta lagi dari tuhanku sedangkan kemewahan yang pernah kunikmati lebih lama dari penderitaanku kini..”
Nabi Ayyub mengusir isterinya kerana bimbang imannya akan semakin pudar sekiranya terus berada di sisi Nabi Ayyub. Tinggallah beliau seorang diri bermunajat dan memohon rahmat dari Allah. Allah menerima doa Nabi Ayyub lalu meminta beliau menghentakkan kaki ke tanah. Terpancutlah air dari tempat hentakan kaki beliau yang akhirnya membantu menyembuhkan penyakit yang dihidapinya.Setelah beberapa lama isteri nabi Ayyub kembali mencarinya kerana tidak sanggup meniggalkan Nabi Ayyub seorang diri menanggung kesakitan. Apabila dia bertemu Nabi Ayyub didapatinya Nabi Ayyub lebih segak dan sihat dari dulu. Isteri Nabi Ayyub memohon maaf atas kesilapannya dulu dan kembali tinggal bersama Nabi Ayyub. Allah telah mengantikan segala harta benda, kemewahan dan anak-anak kepada Nabi Ayyub atas kesabaran dan ketabahannya.
Persoalannya adakah kita boleh menjadi setabah Nabi Ayyub? Bagaimanakah kita mendepani segala ujian Allah buat kita?
Fikir-fikirkanlah…