Thursday, July 15, 2010

Menyingkap Ibrah Dari Perca-Perca Kehidupan

Bismillahirrahmanirrahim...

Peristiwa 1

“Impian Akak, akak mahu berkahwin dengan seorang lelaki yang menafkahkan dirinya sepenuh masa untuk perjuangan. Sementara akak akan berusaha untuk menjana pendapatan sendiri untuk menampung keluarga kami. Titik. Apa yang akak mahu daripada suami akak adalah benih yang baik agar dari rahim akak akan lahir pejuang-pejuang dan anak-anak yang soleh,” ujar Kak Lillah ketika kami masing-masing menceritakan impian kami sewaktu dalam perjalanan menuju ke bandar Yala.

Saya terpempan. Ini kali pertama saya mendengar seorang wanita bercita-cita sedemikian rupa dalam hidup saya. Langsung saya teringatkan Saidatina Khadijah, isteri Rasulullah SAW.

Peristiwa 2

Melihat kepada keperibadian Kak Lillah, saya jadi teringin untuk bertemu dengan ibunya. Alhamdulillah hajat itu Allah sampaikan saat sebelum saya bertolak ke Selatan Thai akhir bulan Jun lalu.

Ternyata ibu kepada Kak Lillah bukan suri rumah biasa-biasa melainkan dia mendidik anak-anaknya dengan memimpin tangan mereka meniti jalan ke syurga.

"Sanggup emak melihat anak emak menjadi janda?"suara saya bercampur sebak."Sanggup! Emak bukan setakat fikirkan masa depan anak emak sahaja.. tetapi emak fikirkan masa depan cucu-cucu emak, zuriat emak... Biarlah darah yang mengalir tu darah orang-orang yang mati berjuang kerana Allah."

Sekali lagi rasa seperti berhenti dengupan jantung saya saat membaca kalimah-kalimah di atas dari blog Kak Lillah.

Langsung saya teringat kepada Al-Khansa, ummu syuhada yang menangis saat keempat-empat anak-anaknya syahid di medan Qadisiyyah. Dia menangis. Orang ramai menyangkakan dia sedih kerana kehilangan semua anak-anaknya sebaliknya dengan tenang Al-Khansa menjawab “ Aku menangis kerana tiada lagi anak yang dapat kuhantar ke medan perang berjihad!”

Peristiwa 3

Saya melihat mereka begitu akrab. Lebih daripada sekadar seorang sahabat dengan sahabat. Sungguh luar biasa. Kadang kala mereka berbual lewat telefon bimbit ketika manusia sudah lama masuk beradu. Sedang wanita yang menjadi kawan kepada sahabat saya ini sudah berkeluarga. Lima anaknya. Sahabat saya ini juga akrab dengan anak-anak wanita berkenaan.

Akhirnya suatu hari saya dimaklumkan oleh sahabat saya akan berkahwin. Gembira bukan kepalang saya. Dan apabila saya tahu siapa bakal suaminya, saya terkesima. Dia bakal bermadu dengan wanita yang begitu akrab dengannya.

Dan apa yang membuat saya lebih terkesima isteri pertama itu yang menjadi orang tengah antara sahabat saya ini dengan suaminya. Seorang wanita yang melamar wanita lain untuk menjadi isteri kepada suaminya sedang dia tidak punya apa-apa kekurangan. (Kak ini cantik dan lemah lembut orangnya juga sudah punya lima anak).

Peristiwa 4

“Mek akan terus perjuangkan kes ini sehingga akhir nyawa mek. Mek mahu mereka tahu yang orang kampung seperti kami ini tidak lemah. Ada ketika dan masanya, kami akan bangkit untuk membela apa yang sememangnya menjadi hak kami,” ujar isteri mulah Imam Jaafar Kaseng tatkala saya dan beberapa sahabat dari Fathoni menziarahi rumahnya di Kampung Kuthor, Daerah Jabat, Wilayah Narathiwat.

Imam Jaafar Kaseng ditemui meninggal dunia sewaktu berada di dalam kem tawanan sedangkan ketika itu beliau belum terbukti bersalah kira-kira dua tahun lalu.

Nik Mah, isteri mulah baru menginjak usia 50 tahun. dia wanita biasa yang tidak pernah pun memijakkan kaki di mana-mana university. Namun, semangat dan cita-citanya tidak menggambarkan bahawa dia adalah wanita yang biasa-biasa.

Sekali lagi mata dan telinga saya menjadi saksi akan ungkapan seorang wanita yang bukan biasa-biasa.

Peristiwa 5
“Munirah, saya ada sedikit hajat,”
“Apa?” tanya saya berdebar.
“Munirah, saya akan ke Gaza Ramadhan ini. Juseru ada dua kemungkinan. Sama ada saya akan pulang dengan selamat atau sebaliknya. Andai saya tidak ditakdirkan pulang, tolong tuliskan pengalaman-pengalaman saya ini. Saya mahu bukukan pengalaman hidup saya agar menjadi ikhtibar untuk mereka yang mahu mengambil ibrah daripadanya,”
Saya terkesima.
“Saya akan bernikah sebelum Ramadhan ini. Sebenarnya Munirah saya menikah dengan pemuda ini kerana mahu membantu dia mencapai apa yang dia cita-citakan. Dia mahu ke Gaza dan ibubapanya telah memberikan dia beberapa syarat. Semua syarat lain dia telah penuhi melainkan syarat ini yakni menikah. Justeru saya mengambil keputusan untuk bernikah dengannya dan menemaninya ke sana. Munirah saya mahu umat Islam seluruhnya mengambil pengajaran. Apabila agama kita perlukan harta, maka kita berikan harta dan apabila agama kita perlukan nyawa maka kita berikan nyawa,” lanjutnya lagi.
Ya Allah! serasa mahu mengalir air mata saya saat itu.

Sekali lagi telinga saya ini Allah pilih untuk mendengar impian seorang wanita yang luar biasa.
Langsung saya teringatkan Ummu Sulaim yang menikah dengan Abu Thalhah dengan maharnya adalah keislaman Abu Thalhah sendiri. Tidak lain niat Ummu Sulaim bernikah adalah kerana agama.

Seketika saya duduk. Merenung kembali apa yang telah didengari oleh telinga dan disaksikan oleh mata. Saya terfikir-fikir, benarkah ini adalah satu kebetulan?

Ah! Saya tidak harus lupa bahawa kebetulan itu adalah sebahagian daripada percaturan Allah. Hakikatnya kebetulan itu adalah sebahagian daripada takdir. Tiad sehelai daun pun yang gugur ke bumi tanpa Allah mengetahuinya.

Adakah sengaja Allah memilih telinga dan mata saya untuk menjadi saksikan kepada semua ini?
Saya yakin tidak.

Sudah tentu Allah mahu saya menyingkap ibrah dari pengalaman-pengalaman hidup mereka ini saat telinga, mata dan jiwa saya dipilih untuk menyaksikan perca-perca hidup insan-insan hebat ini. Apatah lagi mereka adalah kaum hawa.

Lalu saya memasang azam, andai menjadi anak, saya mahu menjadi seperti Fatimah Az-Zahra. Andai menjadi isteri saya mahu menjadi seperti Siti Khadijah. Andai menjadi ibu saya mahu menjadi seperti al-Khansa.

Sungguh indah Allah mentarbiyyah saya. Dia membuka peluang kepada saya untuk menyingkap ibrah dari kehidupan orang lain. Tidak lain dan tidak bukan agar dapat saya anyaman menjadi hamparan sepanjang meniti kehidupan yang masih bersisa.

Ada yang mengadu kehidupan ini meletihkan.

Sungguh. Kehidupan ini meletihkan. Letih kerana ada sedemikian banyak ibrah yang Allah bentangkan buat kita hamba-hambaNya untuk disingkap. Renungan bersama…











Sunday, July 11, 2010

Saat Meniti Malam Yang Panjang

Bismillahirrahmanirrahim...



Akhirnya, saya berjaya memiliki buku tulisan Pak Herry Nurdi ini. Bahkan dapat bersua muka dengan orang yang selalu saya dengar namanya disebut-sebut dalm Konvensyen Spiritual Kepimpinan Islam : Memperkasa Kalimah Allah.
Sayang saya tidak mendapatkan tandatangan beliau. Bukan apa saya sedikit malu. Hihi. Biasanya jika penulis buku itu lelaki saya tidak akan meminta tandatangannya biarpun dia ada di hadapan mata. Malu :P

Buku ini seakan menjadi aspirasi untuk saya menyiapkan buku saya yang belum pun ada tajuk.

“Dah cukup maklumat untuk buat novel?” tanya Abang Amir. Sewaktu itu sahabat-sahabat lain sedang sibuk berkemas usai sahaja konvensyen.

“Err…saya bukan nak tulis novel tapi travelog,” jawab saya.
“Oh ya ka.. hmm…tiada lagi novel pasal Patani yang ditulis setakat ini,” balas Abang Amir. Saya sekadar diam.

Sebenarnya saya sudah siapkan satu proposal novel berkisar tentang Patani tapi saya masih belum puas hati dengan jalan ceritanya. Masih dalam tempoh peram.

Kalau boleh saya mahu buat novel yang bakal saya tulis kelak setanding dengan karya Der Judenstaaat karya Theodore Herzl, pengasas fahaman zionis.

“Melalui novel Der Judenstaat ini, Theodore Herzl berjaya menpengaruh penduduk Yahudi di seluruh pelosok dunia akan idea zionisnya.,” ujar Pak Herry Nurdi.

Teringat satu pesana Hilal Asyraf kepada seorang rakan MPR 2009.

“Penulis ada dua. 1. Penulis itu adalah pejuang. Laptop & pena adalah peluru manakala buku/karya yang diterbitkan adalah senjata. Senjata untuk apa? Untuk membunuh jahiliah. 2. Penulis itu adalah doktor. Karya/novel itu adalah ubat. Ubat untuk menyembuhkan penyakit jahiliah yang ada dalam diri masyarakat.”

Mana tahu novel saya itu mampu mencetus kebangkitan seluruh umat Islam dunia sekaligus membantu Patani untuk merdeka. Hihi. Tinggi benar angan-angan. Menjadi cita-cita saya untuk menghasilkan sekurang-kurangnya sebuah novel yang apabila pembaca membacanya, bangkit rasa ingin berjuang membela agama dan mengakkan kalimah Allah di atas muka bumi ini.

“Sekian banyak pelajar Patani yang berada di Mesir tetapi mengapa orang Arab tidak tahu apa yang berlaku di sini (Selatan Thailand)?” ujar saudara Aladi dalam pertemuan singkat kami beberapa minggu lalu.

Saya terbayang-bayang untuk menghidupkan AMANI di bumi anbiya’ kelak. Sekurang-kurangnya, apabila saya berpisah dengan API dan AMANI di Malaysia, saya tidak terus senyap dan membisu. Menekuni buku tanpa mengambil peduli urusan umat. Melupakan tarbiyyah yang telah saya terima sepanjang bergerakkerja dengan PUM Pulau Pinang.

Namun, saya bukan orang yang petah berkata-kata di atas pentas. Apa lagi menjadi kepala meneraju satu tampuk kepimpinan. Yang saya tahu hanya menulis.

Mahu tidak mahu saya mesti menyiapkan sekurang-kurangnya satu buku tentang Selatan Thailand. Kelak, dalam kembara saya di ardhul kinanah, ada buah tangan yang dapat saya kirimkan buat sahabat-sahabat di sana dalam usaha mencetuskan kesedaran tentang konflik umat Islam di negara jiran Malaysia itu.

Bahkan, buah tangan itu dapat saya kelek sepanjang jaulah saya ke Syiria, Jordan, Yaman dan mungkin juga beberapa bahagian negara Eropah yang sempat saya singgah. (Hai ini nak pergi belajar ke nak pergi berjalan-jalan. Hihi :P) Biar setiap Ardhul Sufi menerima buah pena saya agar mereka dapat melirik apa yang berlaku dengan mata hati. Biar setiap Malaysian Hall menerima kehadiran buku saya sekaligus memaknakan isi kandungannya.

Seperti Theodore Herzl merantau di segenap jihat menyebar buah fikirannya. Akhirnya, hari ini negara Israel yang menjadi subjek utama buku Der Judenstaat menjadi kenyataan.

Uhuh! Sekadar mencoret harapan dan cita-cita saat meniti malam yang panjang.
Err…ada sesiapa mahu bersama-sama saya dalam usaha ini?

Saturday, July 10, 2010

Resensi Novel Perindu Pelangi (2)

Bismillahirrahmanirrahim...

Novel pertama tulisan Siti Munirah A. Rashid ini diterbitkan oleh Galeri Ilmu. Berikut merupakan sinopsis yang diberi dalam katalog buku Galeri Ilmu:

Akil masih terlalu mentah untuk menanggung musibah sebegitu berat. Mujurlah ada tangan yang simpati, lalu dia dibawa pergi. Belasan tahun dia hidup ceria di Guangzhou, China. Namun segalanya berubah selepas perkenalannya dengan Isador, konflik dengan Ho Man, kemelut hubungannya dengan Xiao Wei dan peristiwa tragik sewaktu kepulangan singkatnya ke Malaysia.

Jika ditanya saya, apa sebenarnya tema atau konflik utama dalam cerita ini, saya pun tidak pasti. Yang saya pasti, novel setebal 388 halaman ini membawa pembaca mengikuti kisah Akil dalam jangkamasa lebih kurang dua tahun.

Tapi saya memang amat suka akan novel ini. Syabas kepada penulis muda Siti Munirah!

Ceritanya meyakinkan, plotnya menarik dan bergerak laju, garapannya kemas dan tidak meleret-leret. Latar yang dipilih iaitu negara China dan kerjaya Akil sebagai tukang masak amat membantu dalam menghidupkan cerita.

Akil selaku protagonis juga amat 'real' - walaupun hampir sempurna, tetapi tidak pula sunyi dari berbuat kesalahan.

Saya suka - kisah kasih-sayang yang melangkaui hubungan darah, persahabatan yang melangkaui ukhuwwah agama.

Namun, ada juga beberapa bahagian yang barangkali boleh diperbaiki dan diperkemaskan supaya tiada tanda tanya dari pihak pembaca. Saya tidak sebutkan di sini, kerana ini cuma pendapat peribadi saya. Lagi pun, saya tak mahu tuliskan 'spoiler' - nanti kalian sudah tahu sebahagian daripada cerita dalam novel ini.

sumber: mesra-buku.blogspot.com

Friday, July 09, 2010

Jumaat bersama Ibu

Bismillahirrahmanirrahim...


Saya benar-benar terharu. Ibu mengambil cuti pada hari Jumaat semata-mata untuk menemani saya ke program-program yang telah dijadualkan untuk saya. Hanya Allah yang bisa membalas jasa ibu.

Alhamdulillah, selesai sudah program bersama penulis di Sekolah Menengah Kebangsaan Permai Indah, Bukit Mertajam Seberang Perai Pulau Pinang.

Akhirnya saya bertemu juga dengan Cikgu Norsiah. Guru yang selalu saya berhubung selama ini. Cikgu Norsiah seperti amat jelas dengan latar belakang saya.

"Hari ini genap sebulan hari lahir Cik Munirah," maklum Cikgu Norsiah kepada anak-anak buahnya. Saya sedikit terkejut. Sehingga begitu sekali Cikgu Norsiah kenal saya.Masya-Allah!

Pelbagai soalan diajukan kepada saya yang kadang-kadang membuatkan saya terfikir betul juga itu.
Antaranya apa usaha saya sebagai untuk menggalakkan budaya membaca dalam kalangan rakyat Malaysia?

Rupa-rupanya antara sebab mengapa budaya membaca tidak begitu subur dalam kalangan rakyat hari ini adalah kerana harga buku yang mahal!













Selesai program di SMK Permai Indah, saya berkejar pula ke rumah Kak Fatin untuk menggantikan Kak Lillah dalam satu slot bersama-sama adik-adik dari PPM USM. Dalam slot berkenaan, saya diminta untuk menjelaskan tentang AMANI dan segal-gala yang berhubung dengannya.
Setelah itu, ibu bekejar pula mengambil adik saya di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang. Kemudian ibu membawa kami makan di Puncak Mutiara Cafe di Kampung Pelet, Pulau Pinang. Hidangan utama di cafe ini adalah semua benda yang berhubung dengan daging kambing.
Terasa sangat bermakna Jumaat ini. Sisa hari-hari yang berbaki untuk bersama-sama menghabiskan masa dengan keluarga tidak lebih daripada tiga bulan lagi. Selepas berangkat ke bumi anbiya', saya tidak bercadang untuk pulang setiap tahun. Walau bagaimanapun saya akan pulang sekali yakni sebelum atau pada usia 25 tahun. (Hihi balik untuk bernikah :P)
Jadi saya perlu memaknakan hari-hari berbaki ini. Dalam satu pesanan yang ditinggalkan oleh seorang sahabat, ini masa untuk membalas jasa ibubapa atau sebelum kita menempuh alam baru. Saya ingat dengan baik pesanan itu.
Malah keutamaan berbakti kepada ibu bapa lebih utama berjihad di medan perang.
Diriwayatkan daripada Bukhri dan Muslim, Ibnu Umar berkata: ?Saya telah bertanya kepada Nabi Muhammad: Apakah perbuatan disukai oleh Allah??Lalu baginda bersabda: Sembahyang pada waktunya. Kemudian apa?? tanya saya lagi. Baginda menjawab: Berbakti kepada kedua ibu bapa. Saya bertanya: Apa lagi. Jawab baginda: Berjihad pada jalan Allah.
Walau bagaimanapun tuntutan untuk wanita keluar berdakwah hari ini tidak sedikit dengan hadirnya SIS serta kurangnya pemuda di atas jalan ini. Jadi, cara terbaik adalah dengan membahagikan masa antara dakwah dan keluarga.
Moga-moga ini menjadi tarbiyyah awal untuk saya, kamu dan wanita-wanita lain yang telah memilih jalan ini sebelum kita sendiri membina sebuah keluarga. Insya-Allah...








Thursday, July 08, 2010

Andai Aku Rohingya

Bismillahirrahmanirrahim...

Saya kutip beberapa siri penderitaan umat Islam di seluruh dunia. Moga yang tidak tahu menjadi tahu. Saya pejam jadi celik. Yang lena kembali jaga...


Kaum Rohingya dalam keadaan tersepit. Mereka dilabel sebagai orang asing yang tidak dikehendaki di negara sendiri di Arakan, Myanmar. Setiap hari ditindas serta dinafikan hak untuk hidup dan bergaul sesama sendiri oleh junta tentera Myanmar. Mereka terpaksa keluar menjadi pelarian dari negara sendiri. Banyak yang dipaksa atau terpaksa keluar dari Arakan demi menyelamatkan nyawa dan agama.

Banyak yang terlantar di sempadan Bangladesh, India, Thailand dan Malaysia. Untuk mendengar kisah terkini tentang nasib kaum Rohingya, ZAIN A. GHANI menemubual SDR. ABDUL GHANI ABDUL RAHMAN, Naib Presiden Pusat Penerangan Rohingya (PPR) di Seri Kembangan, Selangor, pada 27 Mac lalu.

Apa peranan saudara di PPR Kuala Lumpur? Siapa yang menjadi ketuanya?
Saya diamanahkan sebagai Naib Presiden, manakala Presidennya ialah Haji Mubarak bin Abu Bashar.

Apakah nama tempat asal saudara di Arakan yang kini dijajah rejim Myanmar?
Tempat lahir saya ialah sebuah kampung bernama Mrauk-u, di daerah Montagung di Arakan, di dalam negara Myanmar sekarang.

Boleh sebutkan latarbelakang negara Burma?
Burma (kini Myanmar) mendapat kemerdekaan daripada British pada 4 Januari 1948. Sebelum dijajah British, tanah air saya Arakan adalah sebuah negara tersendiri dan kami mempunyai raja-raja Muslim seperti Sulaiman Shah (Narameklah), Zafar Shah dan Hussain Shah yang memerintah sebelum kedatangan British pada 1824.

Apabila British menjajah Burma, negara Arakan ditawan dan dimasukkan ke dalam Burma sehinggalah sekarang. Sebelum itu, kami di Arakan hidup aman damai bersama kaum Buddha dipanggil Rakhaine.

Penderitaan orang Rohingya bermula sejak tahun 1978 kerana kezaliman junta tentera Burma. Akibatnya ratusan ribu orang menjadi pelarian ke negara tetangga dalam keadaan yang sangat menyedihkan.

Antara mereka menjadi pelarian ke Bangladesh yang bersempadan dengan Burma dan sebahagiannya menjadi pelarian di sempadan Burma dengan India.

Suasana kelaparan, berpenyakit jelas di kawasan pelarian tersebut. Di sempadan dengan China, wanita-wanita Rohingya dijual untuk dijadikan pelacur.

Apakah saudara dapat buktikan, umpamanya masjid atau artifak tentang kewujudan Muslim Rohingya ?
Kami adalah masayarakat Muslim yang sudah hidup di barat Myanmar ratusan tahun. Sejarah dapat membuktikan kewujudan kami. Kami mempunyai kerajaan beraja, mempunyai wang sendiri dan juga bendera sendiri.

Bukti lain ialah banyak terdiri masjid di Arakan, tetapi kini semuanya tidak berfungsi dan banyak yang diruntuhkan.
Di kampung saya di Mrauk-u terdapat dua masjid besar terkenal, iaitu Sandhi Khan dan Masjid Musa yang kini telah dirobohkan, dan semua Muslim dipindahkan ke tempat lain.

Berapa jumlah orang Rohingya yang masih tinggal di Arakan sekarang?
Lebih kurang 1.5 juta. Dan yang melarikan diri ke Malaysia kebanyakannya tinggal di Lembah Klang dan beberapa negeri lain.

Kenapa junta tentera tidak menyukai Rohingya?
Satu perkara yang menjadi kebencian utama ialah kerana kami Rohingya adalah Muslim. Mereka mahu menghapuskan kami secara teratur.

Sejak awal 1990-an, rejim di negara itu yang diketuai oleh Jeneral Than Shwe telah melucutkan kenegaraan orang-orang Rohingya yang tinggal di Arakan.

Kami secara sistematik dinafikan sebagai warganegara yang sah. Serentak dengan itu banyak perkara yang jahat dan tidak berperi kemanusiaan dilakukan ke atas masyarakat Rohingya.

Seperti mana berlaku di Bosnia pada 1993?
Ya, kami dinafikan hak untuk melawat saudara di kampung lain, masjid diruntuhkan, anak-anak tidak dibenarkan bersekolah dan segala peraturan yang tidak masuk akal dikenakan ke atas kami.

Kami disyaratkan mendapat kebenaran sebelum menikah, dan kebenaran biasanya disahkan setelah beberapa tahun. Pergerakan dihadkan – kami terpaksa memohon kebenaran untuk singgah ke kampung lain, dan dihalang untuk mendapat kemudahan perubatan dan pendidikan.
Sebagai “orang asing”, masyarakat Rohingya tidak dibenarkan bekerja sebagai guru, perawat, berkhidmat pada masyarakat. Di wilayah Rohingya, para gurunya biasanya berasal dari golongan etnik Buddha Rakhine, mereka juga menghalang peluang orang Rohingya untuk mendapatkan pendidikan yang sepatutnya.

Perkosaan dan kerja paksa adalah perkara yang biasa berlaku, serta pemerasan terhadap mereka. Tentera meminta wang dan sekiranya tidak dapat membayar, mereka akan ditahan dan diseksa.

Masyarakat Rohingya juga mengalami tekanan terhadap agama. Mustahil bagi mereka untuk mendapat kebenaran membaiki dan membangun masjid.

Dalam tiga tahun terakhir, 12 buah Masjid di Arakan Utara dihancurkan, dengan jumlah terbesar pada tahun 2006. Sejak 1962, tidak ada masjid baru yang didirikan, bahkan para pemimpin agama telah dipenjara kerana membaiki masjid.

Boleh ceritakan sejarah orang Rohingya?
Kaum Rohingya sudah mendiami Arakan sebelum kedatangan British yang menjajah Burma pada 1824 lagi. Kami mempunyai sejarah dan raja-raja sendiri, dan untuk pengetahuan saudara, saya juga adalah daripada keturunan Raja-raja Parin.

Sebagaimana disebut terdahulu, Arakan adalah sebuah negara tersendiri dan kami mempunyai raja-raja Muslim seperti Sulaiman Shah (Narameklah), Zafar Shah dan Hussain Shah yang memerintah sebelum kedatangan British pada 1824.

Kemudian setelah merdeka, banyak perubahan berlaku. Suatu ketika kaum Rohingya mempunyai tokoh di peringkat pusat seperti Bo Maung (Muslim Rohingya), beliau adalah bangsa Rohingya yang mewakili kaum pada ketika itu dan dilantik oleh raja Burma.

Harapan saudara sebagai wakil PPR kepada kerajaan Malaysia?
Di samping berharap mendapat sokongan berterusan daripada kerajaan Malaysia untuk menyokong supaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu – bahagian pelarian (UNHCR) dapat memproses segera 3,000 lagi permohonan untuk mendapatkan pas.

Kami masyarakat Rohingya di Malaysia berharap berlaku satu keputusan yang positif pada Sidang Kemuncak ASEAN di Bali, Indonesia pada 14-15 April ini.

Di Bali nanti, Menteri Luar Myanmar (tentunya seorang Jeneral) akan datang dan akan berlaku tuduh menuduh antara beliau dengan wakil-wakil yang bersimpati dengan kaum Rohingya.

Saya mewakili PPR telah berjumpa YAB Abdullah Ahmad Badawi dan insya-Allah perkara ini akan disambung oleh pemimpin baru seperti Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memperpanjangkan masalah Rohingya ini.

Kami juga telah mengedarkan sejarah orang Rohingya kepada kerajaan Indonesia, kepada Presiden Susilo Bambang Yudhoyono dan Jusuf Kalla apakah status kami yang sebenar di negara rejim itu.

Juga diberikan bukti sejarah di mana kami pernah diiktiraf dan diberikan jawatan sebagai ahli parlimen pada tahun 1962.

Empat ahli parlimen kami ketika itu ialah Sultan Mahmud, Abdul Ghafar, Abul Bashar, Muhammad Sultan dan Shamshul Anwarul Haq.

Tetapi Shamsul Anwarul Haq sekarang berada di dalam tahanan kerana dihukum selama 45 tahun. Beliau kononnya bersalah kerana seseorang Muslim tidak boleh berpolitik di Burma.
Berapa banyak kediaman orang Rohingya diroboh dan dimusnahkan?
Apa yang saya tahu lima buah kampung sekitar Kawalon (Mondrapronge), Pungnamrong, Alizay, Aungdine dan Nyoungbongziy telah dirobohkan. Semua kampung itu didiami Muslim Rohingya dan mereka dipindahkan dan dipisahkan ke kampung-kampung yang ramai penganut Buddha, di daerah Mrauk-u.

Banyak tanah-tanah orang Rohingya dirampas dan sekarang diberikan kepada orang Burma yang beragama Buddha. Masjid-masjid juga turut dirobohkan.

Apakah tiada penentangan terhadap rejim ini?
Pernah, tetapi kami tidak terlawan dengan rejim tentera. Kalau kami melawan atau membantah, pernah ada yang dipotong lidah dengan gunting.

Bukan itu sahaja, kami dilarang ke masjid, dilarang berpakaian Islam seperti berjanggut dan bersongkok.

Berbalik kepada pelarian Rohingya sebanyak 18,000 di negara ini…?
Di Pulau Pinang terdapat seramai 3,000, di Perlis 2,000, di Johor 1,600, di Melaka 300, di Negeri Sembilan 350 , di Pahang 1,100 dan Kelantan lebih 200, selebihnya tinggal di Lembah Klang.

Apa harapan orang Rohingya di Arakan sekarang?
Tiada apa-apa harapan, hanya menunggu Allah menjadikan dunia kiamat sahaja. Kami di sini pun tidak banyak yang dapat dibuat; pemegang kad UNHCR kebanyakannya tidak diterima bekerja oleh majikan.
Jika yang bekerja pun, kadang-kadang terpaksa berpindah rumah – jadi agak sukar untuk bekerja secara konsisten. Jika dapat bekerja dengan teratur tentulah kami dapat menghantar sedikit wang kepada saudara mara di Arakan.

Walaupun demikian, kami di sini lebih bertuah. Dengan memegang kad UNHCR ini kami agak bebas bergerak, katakan saya lapar, saya dapat bergerak untuk pergi ke kedai untuk mencari dan membeli makanan di mana-mana kedai di sini.

Tetapi berlainan sekali dengan kaum Rohingya di Arakan sana. Jika ada wang pun mereka belum tentu dapat keluar dari kawasan sendiri untuk pergi membeli makanan; suatu perkara yang sangat memilukan hati.

Mengenai penduduk asal lima kampung saya itu, mereka entah di mana. Apa yang saya dapat berita, ramai antaranya telah meninggal di kem-kem pelarian di sempadan Bangladesh.
Kem pelarian di Bangladesh adalah kem yang sangat daif, di mana tiada bekalan air bersih – yang ada ialah bekalan air laut yang masin.

Mereka ditempatkan di kem yang sangat berkurangan di segi kemudahan. Pada malam hari, mereka kadang-kadang diserang oleh para penjahat. Ramai anak gadis yang dirogol – dan banyak berlaku pembunuhan oleh orang luar yang tidak dikenali.

Baru-baru ini ada berita tentang pelarian Rohingya yang dilepaskan ke laut oleh kerajaan Thailand tanpa makanan dan dibiarkan hanyut sehingga diselamatkan oleh kerajaan Indonesia di perairan Aceh…?
Ya, itulah salah satu di antara kesukaran kaum Rohingya, di negara sendiri tidak dianggap warganegara – apabila keluar tidak disukai oleh sesetengah negara. Di sini saya berterima kasih kepada negara saudara, Malaysia yang baik hati.

Berbalik ke Malaysia, ada cadangan untuk memajukan masyarakat Rohingya?
Sekarang, kaum Rohingya di sini secara tidak langsung telah menjadi bahan perdagangan. Contohnya, apa yang saya kesalkan ialah sekolah-sekolah untuk anak pelarian Rohingya di sini; (ada lima buah) turut menerima bantuan daripada Persatuan Buddha, jadi saya mahu tanya di manakah bantuan yang telah diberi oleh badan-badan tertentu Islam sebelum ini?

Dan yang paling menyedihkan, mereka memberi bantuan ini dengan meletakkan semacam syarat – apakah makna kata seperti: “Kami tidak ada peruntukan untuk guru-guru mengajar bahasa Arab – kita hanya beri bantuan untuk mengajar Sains, Matematik, English, dan Bahasa Melayu sahaja.”

Sedangkan pada kami orang Muslim, bahasa Arab sangat penting kerana ia berkaitan dengan kelangsungan agama itu sendiri.

Di sini juga saya mahu meluahkan perasaan tidak berpuas hati kepada beberapa badan kebajikan termasuk yang bukan Islam yang mengambil kesempatan menggunakan nama Rohingya untuk memungut derma dan mengadakan program tertentu semata-mata untuk mendapat keuntungan wang – tetapi orang Rohingya tidak mendapat apa-apa.

Apakah harapan saudara kepada kerajaan untuk kebaikan orang Rohingya di Malaysia?
Oleh kerana orang Rohingya sudah terpecah kepada 9 kumpulan sekarang, segala bantuan hendaklah melalui badan yang benar-benar berkhidmat untuk kebaikan komuniti Rohingya.
Saya masih ingat, ketika membuat proses pendaftaran pada tahun 2003-2005, saya di antara orang yang dilantik PBB untuk kerja-kerja itu. Tetapi selepas pejabat pemprosesan PBB berpindah pejabat dari Gombak, banyak perkara berlaku dan banyak kumpulan yang tidak puas hati tentang proses situ.

Sementara itu pejabat PBB pula mahu supaya kerajaan Malaysia menerima semua pelarian pelbagai negara seramai 28,000 di negara ini.
Satu kemujuran – saya rasa, apabila Datuk Seri Mohd Nazri Aziz yang bertanggungjawab tentang urusan itu telah menjawab kepada wakil PBB di parlimen.

Kata Nazri Aziz, Malaysia adalah negara yang dikelilingi lautan di mana banyak negara berjiran mempunyai konflik, jadi mereka terpaksa melarikan diri ke sini melalui laut.

Tetapi kita (Malaysia) tidak dapat menerima semua pelarian sebanyak 28,000 ini – ia akan membebankan kita. Kita hanya menerima Rohingya kerana Rohingya ialah pelarian yang tiada negara (stateless). Mereka mudah berintegrasi dengan orang tempatan dan mudah belajar bahasa Melayu dan lebih penting, tiada rekod jenayah.
sumber: ummatanwasatan.com

Wednesday, July 07, 2010

Sekitar Bicara Buku di Pesta Buku Selangor, Kompleks PKNS Shah Alam

Bismillahirrahmanirrahim...

Alhamdulillah, 4 Julai 2010, Ahad lalu program Bicara Buku Pesta Buku Selangor di Kompleks PKNS Shah Alam berjalan dengan jayanya. Setinggi-tinggi terima kasih diucapkan kepada pihak Galeri Ilmu Sdn. Bhd. serta mereka yang menjayakan program ini.



Puan Aliyah Sujari, Dr Kamariah Kamaruddin dan saya




Ketika di majlis ini saya bertemu dengan Puan Nurulsham, penulis novel Dingin Salju Indiana. Rupa-rupanya ,Puan Nurulsham juga merupakan orang Simpang Ampat, Pulau Pinang. Bahkan suaminya yang turut hadir ketika itu rupa-rupanya kenal rapat dengan ibu saya. Kami ada bau-bau bacang. Kecil sungguh dunia.
"Wajah seperti pernah lihat, " ujar suami Puan Nurulsham. Saya sekadar tersenyum. Menganggap ucapan itu sekadar perkara biasa kerana ungkapan berkenaan sering saya terima setiap kali berkunjung ke tempat-tempat baru. Dan akhirnya kerana wajah ini saya hubungan keluarga yang sudah semakin menjarak kembali mendekat.
Saat itu saya berasa sangat beruntung kerana menyalin wajah ibu saya. Wajah saya sangat mirip wajah ibu saya.
Terima kasih juga saya ucapkan buat Kak Lillah dan Kak Romlah kerana sudi memetikkan gambar-gambar di atas untuk saya. Malam sebelumnya, saya telah mengganggu kalian untuk menjemput saya di Hentian Duta. Sedang perjalanan dari rumah Kak Lillah ke Hentian Duta memakan masa lebih sejam. Hanya Allah sahaja yang mampu membalas jasa kalian. Mohon doa kalian agar saya kekal di atas jalan dakwah ini sehingga ke akhir hayat...

Tuesday, July 06, 2010

Emel dari pembaca

Bismillahirrahmanirrahim...


Assalamualaikum Cik Siti Munira,

Salam perkenalan,

Saya telah membaca novel Perindu Pelangi hasil tulisan Cik Siti. Tahniah....novel itu membuatkan saya seronok membaca utk mengetahui ending ceritanya.

Teruskan menulis utk novel-novel seterusnya. Saya bangga, usia semuda Cik Siti dapat menulis novel begitu baik sekali.


Zainah Binti Mohd Zain
Panasonic Manufacturing Malaysia Berhad
Purchasing Dept. - Contract Section
Tel. No. 03-58915236 / 58915231
Fax No. 03-58915110
E-mail - zainah.zain@my.panasonic.com