Wednesday, March 11, 2009

Siswazah Menganggur : Salah Siapa ?

Bismillahirrahmanirrahim...

Tertarik saya dengan berita di muka hadapan akbar utusan Malaysia “ pakej RM60 billion”. Saya tidak begitu mengikuti perkembangan pembentagan pakej ransangan kedua bernilai RM60 billion bagi merangsang ekonomi dari terjerumus ke arah kemelesetan di Parlimen ini. Tetapi apa yang menarik perhatian saya ialah terhadap teras pertama bajet mini ini. Bajet Mini yang dibahagikan kepada empat teras itu akan dilaksanakan dalam tempoh dua tahun iaitu 2009 dan 2010.

- Teras pertama sebanyak RM2 bilion akan memberi tumpuan mengurangkan pengangguran dan menambah peluang pekerjaan;

- Teras kedua, RM10 bilion untuk meringankan beban rakyat terutamanya golongan mudah terjejas;

- Teras ketiga, RM29 bilion untuk membantu sektor swasta menghadapi krisis dan

- Teras keempat, RM19 bilion untuk membina keupayaan masa depan

Teras pertama dan kedua dalam Bajet Mini memberi tumpuan menyeluruh daripada soal memberi latihan, menjaga kebajikan dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada pekerja yang diberhentikan serta siswazah menganggur sehingga kepada subsidi tol, gula, roti dan tepung gandum.

Apa yang saya hendak highlightkan di sini ialah tentang siswazah yang menganggur. Mengapa siswazah boleh termasuk dalam golongan menganggur? Satu persoalan yang telah lama dilontarkan tetapi tidak pernah kunjung selesai.

Pada pendapat saya, ada dua factor yang menyumbang kepada berlakunya perkara ini. Pertama, factor didikan yang kita terima. Kedua, factor diri siswazah itu sendiri.

Rata-rata kita dapat lihat sangat kurang orang melayu menceburi bidang yang berisiko tinggi, perniagaan misalnya. Apa puncanya? Apabila diselidiki, rupa-rupanya sejak dari kecil kita telah didik untuk takut menanggung risiko. Cuba kita perhatikan, biasanya kita diberi penghargaan atau dalam erti kata lebih mudah, hadiah atas kejayaan kita dalam peperiksaan sebagai contoh Cara ini diterima pakai oleh majoriti ibu bapa dan pihak sekolah sama ada diperingkat sekolah rendah mahupun di peringkat pengajian tinggi. Jarang-jarang penghargaan diberikan atas usaha yang dilakukan. Malah anak-anak yang tidak berjaya diperlekeh dan direndah-rendahkan.Sedangkan ada dalam kalangan anak-anak ini yang tidak perlu terlalu pulun belajar tetapi boleh skor dengan cemerlang dalam peperiksaan.Ada pula dalam kalangan mereka yang belajar bagai nak rak tetapi hasilnya tidak seberapa.

Jadi anak-anak kecil ini akan set dalam minda mereka,’ jika aku berjaya maka akau akan dapat hadiah atau penghargaan.Jika aku gagal aku tidak mendapat apa-apa malah kejian dan hinaan orang pula tertimpa ke atas aku.’ Impaknya, mereka tidak akan memilih untuk melakukan sesuatu yang mereka yakin mereka akan menanggung kegagalan(berisiko) pada hari muka. Play save kata orang. Dengan mind setting ini mereka membesar dan dewasa. Inilah yang menyunbang kepada factor kedua yang akan saya sebutkan.

Factor kedua ialah diri siswazah itu sendiri.Apabila membesar dan dewasa, anak-anak ini menjejakkan kaki ke pusat pengajian tinggi dengan satu mind setting, ‘lepas keluar ini aku mesti bekerja dengan syarikat ini atau degan jabatan ini’. Ini disebabkan bekerja dengan orang lebih selamat. Kalau berlaku kerugian,kita kena tempias-tempias sahaja. Tidaklah kerugian itu tertanggung atas bahu kita. Berfikir untuk bekerja dengan orang berbanding membuka peluang kerja kepada orang. Ditambah pula dengan sistem pendidikan kita yang lebih ke arah melahirkan tenaga kerja mengikut pasaran semasa dari melahirkan manusia. Mentaliti hendak bekerja dengan orang ini telah melumpuhkan daya kreativiti dan semangat berdikari siswazah kita. Apabila keluar university dan gagal menepatkan diri di mana-mana syarikat swasta atau jabatan-jabatan kerajaan, kita jadi buntu hilang arah dan punca. Tak tahu nak buat apa.hendak bercucuk tanam rasa tidak padan dengan segulung sijil yang ada. Hendak bergelumang dalam lumpur rasa terlalu jijik dengan status mahasiswa yang disandang. Alih-alih tanam anggur di rumah sehingga kerajaan terpaksa membuat satu peruntukan pula untuk siswazah menganggur.

Mengubah mentality bukan satu kerja mudah tambahan pula telah lama ia berakar umbi dalam masyarakat kita. Tapi tiada yang mustahil selagi kita berkehendak akan ia. Mungkin mentaliti ibu bapa, guru-guru di sekolah dan pihak kerajaan perlu diubah terlebih dahulu sebelum kita mengubah cara berfikir siswazah kita.


Sebagai siswazah, kita perlu memiliki otak yang lebih bercabang dan rencam. Masih banyak bidang baru yang boleh kita ceburi dan teroka. Dalam bidang kewangan misalnya, dunia melihat dinar emas sebagai alternatif ataupun jalan keluar kepada kemelut krisis ekonomi yang melanda dunia hari ini. Seharusnya, siswazah tidak melihat krisis ini sebagai bala sebaliknya rahmat dari Allah. Siswazah perlu mempunyai pandangan menjangkau dimensi masa. Baru kita nampak di mana peluang dan ruang untuk kita mencipta kerja. Banyak tanah-tanah terbiar menanti kita berbudi padanya. Jika tiada kerja kitalah yang menciptanya! Jangan tunggu peluang tapi cari peluang. Seruan buat diri saya terutamanya dan siswazah di luar sana!

Monday, March 09, 2009

Kalau Maulid tak boleh, menyanyi pun tok tak kan bagi

Bismillahirrahmanirrahim…

Bersawang sudah rasanya blog saya ini selepas beberapa tempoh tidak di up date. Entah di sebabkan terlalu sibuk atau menyibukkan diri. Wallahu ‘alam.

Sekadar mencoret peristiwa yang berlaku pagi tadi sebelum bertolak pulang ke rumah dari rumah pak cik di Taiping. Di kaca tv, terpapar rancangan perarakan sempena Maulidur Rasul. Saya bersama Pak Cik, tok (panggilan untuk nenek bagi rata-rata orang utara), ibu dan adik sedang enak menjamah kuetiaw goring yang di masak oleh Mak Cik.

“Ada pulak perarakan untuk Maulid nabi ni,” Pak Cik bersuara. Saya mendongak kepala memandang tepat wajah Pak Cik.

“sebelum ni bergaduh. Sekejap boleh, sekejap tak boleh buat perarakan ni. Macam mana tu Munirah?” Pak Cik membalas pandangan saya bersama soalan yang tajam. Saya sekadar senyum dan kembali menyuap kuetiaw ke dalam mulut. Berat rasa mulut untuk memberi penjelasan atau lebih tepat memanjangkan isu yang bagi saya merugikan semua pihak.
“kenapa pulak tak boleh?” tok yang dari tadi mengambil sikap mendengar menyampuk perbualan. Mungkin setelah tiada respon dari saya. Saya memandang wajah tok pulak. Seperti tadi. Saya sekadar senyum dan sambung makan.

“kita buat maulid untuk ingat nabi. Apa salahnya. Nabi dan banyak berkorban untuk umat,” bersemangat tok yang seusia dengan Tun Dr Mahathir melontarkan pendapatnya. Saya masih tidak berminat untuk menyatakan pendirian atau pendapat saya. Lebih suka untuk mendengar.

“kalau tok jadi orang besar, kalau maulid tak boleh, menyanyi pun tok tak kan bagi,” ujar tok sambil tersengih menampakkan gigi–gigi yang masih berbaki. Saya terhenti dari menyuap kuetiaw ke dalam mulut. Wajah tok saya renung. Senyuman masih belum lekang dari wajah. Saya mengangguk-angguk kecil. Dalam hati saya mengiyakan apa yang dikatakan tok.

Tak sangka tok yang sudah senja usia boleh berfikir sejauh itu. bagaimana dengan kita?
Apa-apa pun Salam Maulidur Rasul saya ucapkan. Semoga roh perjuangan Baginda turut tumpah dalam segemap jiwa kita…

Monday, February 09, 2009

CERPEN : MAHKOTA UNTUK AYAH

Alhamdulillah, cerpen ini tersiar dalam akhbar Mingguan Wasilah edisi ke 96(1-7 Feb 2009). Moga memberi manfaat buat pembaca yang singgah ke blog saya.


“Ayah, maafkan Udin. Andai Udin tahu hasrat ayah. Andai Udin tahu impian ayah. Andai Udin tahu rahsia hati ayah. Udin takkan bantah cakap ayah. Udin akan mengaji Quran sungguh-sungguh dengan Ustaz Naim. Udin akan tunaikan impian ayah kala ayah masih disisi,” sayu kedengaran suara Ustaz Saifuddin. Jiwanya dibentur gundah. Dia baru usai menghadiahkan bacaan Yassin buat ayah. Ustaz Saifuddin mengusap-usap lembut batu nisan. Seakan-akan dia membelai kepala ayah. Raut wajahnya terpampang rasa terkilan.“ Udin buka kelas Al-Quran untuk orang-orang tua sekarang. Udin mengajar sepenuh masa di situ. Ramai pak cik-pak cik dan mak cik- mak cik datang mengaji. Seronok Udin tengok semangat mereka. Bersungguh-sungguh benar mereka mahu belajar Al-Quran. Kalau ayah ada…,” Udin tidak dapat meneruskan bicara. Kerongkongnya terasa perit. Air yang bertakung di tubir mata sudah lama berjujuhan.“Ayah, semalam Udin mimpi. Udin lihat ayah dipakaikan mahkota yang sinarnya terang benderang. Lebih bercahaya dari sinar matahari. Wajah ayah berseri-seri. Ayah pandang Udin. Ayah senyum. Tak pernah Udin tengok ayah senyum semanis itu. Kalau boleh, waktu itu Udin tidak mahu celikkan mata. Biarlah Udin terus pejam dan menikmati senyuman ayah. Adakah ayah sudah ampunkan Udin? Ayah, Udin rindukan ayah,” Ustaz Saifuddin menyeka air mata yang kian tidak terbendung.

************************************************************************

Wajah Udin berkerut menahan sakit. Rasa tidak puas hati menyembur-nyembur dari anak matanya. Dikerling betis yang kini berbalar. Kesan-kesan merah tampak jelas. Air mata ditahan. Tidak dibenarkan walaupun setitis gugur. Menangis ertinya lemah. Ayah tidak adil. Kenapa dia sahaja yang selalu kena marah. Kenapa dia sahaja yang selalu dirotan. Ayah memang tidak sayangkan dia. Ayah hanya sayangkan Kak Sarah. Dia menjeling tajam ke arah Kak Sarah. Geram membuncah di hati melihat muka selamba Kak Sarah yang seolah-olah mengejek-ejeknya. Kak Sarah memang sengaja hendak kenakan dia. Kak Sarah memang gatal mulut. Kak Sarah tidak patut memaklumkan ayah tentang hal dia mandi di sungai hujung kampung sekaligus tidak menghadiri kelas agama. Kak Sarah memang menyibuk. Muqaddam dan papan rehal di atas meja diregut kasar. Kakinya sengaja dihentak-hentak ketika berjalan. Berdetap-detup bunyi papan lantai dipijak.“ Nanti!” Kak Sarah menahannya.“Apa lagi!” sergah Udin. Mukanya merona merah.“Tak mahu pakai kopiahkah?” Kak Sarah berlembut. Cuba menyiram api kemarahan adiknya. Cepat-cepat Udin merabut kopiah lusuh di tangan Kak Sarah. Ternyata Kak gagal menyejukkan hati Udin.

Udin lemas selalu dileteri ayah. Ayah selalu membanding-bandingkan dirinya dengan Kak Sarah. Ayah selalu memuji-muji Kak Sarah. Memang dia tidak nafikan Kak Sarah punya banyak kelebihan berbanding dirinya. Darjah tiga Kak Sarah sudah khatam Al-Quran. Setiap tahun Kak Sarah naik ke pentas menerima anugerah pelajar cemerlang. Dengan keputusan yang memberangsangkan dalam UPSR Kak Sarah dapat melanjutkan pelajar di sebuah sekolah menengah sains. Memang Kak Sarah menjadi kebanggaan ayah dan emak. Sebaliknya, Udin masih membaca Muqaddam walaupun kini sudah berusia sepuluh tahun. Namanya kerap juga dipanggil waktu perhimpunan kerana tidak siap tugasan yang diberi oleh guru ataupun ponteng kelas. Dia lebih suka menghabiskan sepanjang petang memancing ikan atau mandi sungai di hujung kampungnya daripada menghadiri kelas agama. Kadang-kadang dia berbasikal hingga ke kampung seberang semata-mata mahu bermain bola sepak. Pada malam hari, budak-budak lain terkocoh-kocoh pergi mengaji di rumah Ustaz Naim, Udin bersama-sama dua tiga rakannya yang lain seronok berlumba basikal di atas ban.

Ayah rungsing memikirkan tentang anak jantannya yang seorang ini. Degilnya bukan sedikit. Puas Udin dirotan dan dihukum oleh ayah. Pernah ayah mengikat Udin pada batang pokok rambutan di belakang rumah kerana ponteng kelas mengaji. Habis badan Udin merah-merah digigit kerengga. Pernah juga Udin dikurung di luar rumah kerana pulang dari bermain lewat petang. Namun, insafnya hanya bertahan beberapa hari sahaja. Kemudian Udin kembali dengan sikap bebalnya. Lantaran itu, Udin acapkali dimarahi dan dileteri ayah. Tiada hari yang dilalui Udin tanpa bebelan dan jalur-jalur merah pada tubuh kecilnya. Mujur ada emak. Emaknyalah yang selalu mempertahankannya apabila dia dimarahi ayah. Ketika ayah mengangkat rotan, Udin cepat-cepat berlindung di belakang emaknya.

“ Esok kita akan bertolak selepas subuh. Pakaian dan barang-barang keperluan dah siap dikemas Udin?” suara garau ayah mengejutkan Udin. Lamunannya terganggu. Raut wajah ayu Fatimah, anak Haji Hussain yang bermain-main dalam anak matanya sebentar tadi pecah berkecai.“ Sudah ayah,” Udin gugup. Matanya disapa sayu. Esok Udin akan berpisah dengan Fatimah. Udin akan dihantar melanjutkan pelajar di sebuak pondok di Kelantan. Keputusan UPSR yang corot menyebabkan dia tidak berjaya menempatkan diri di mana-mana sekolah menengah berasrama penuh mahupun sekolah menengah sains. Ayah mengambil keputusan menghantar Udin mendalami ilmu agama. Itu memang impian ayahnya selama ini. Ayah tidak mahu Udin bergaul lagi dengan rakan-rakan yang biadap tingkahnya.

Pada mulanya Udin berasa tertekan amat. Udin terkongkong dengan pelbagai peraturan dan pantang larang sepanjang berada di pondok. Kebebasan bermain dan merayau-rayau bersama rakan-rakan yang pernah dinikmati suatu masa dulu tidak dapat dilaksanakan lagi kini. Setiap hari, Udin perlu menghadap Al-Quran. Bukan sekadar membaca, menghafal malah! Udin juga perlu mengulit pelbagai kitab-kitab tebal seperti Fathul Muin, Riyadhus Salihin dan Ihya Ulumuddin. Segala kerja rumah harian seperti membasuh, melipat dan menyeterika baju terpaksa dilakukan sendiri. Udin agak ketinggalan berbanding sahabat-sahabat lain kerana Udin masih merangkak-rangkak membaca Al-Quran. Lantaran itu, dia tidak dapat menghantar banyak hafalan baru sewaktu tasmi dengan ustaz. Penguasaan bahasa arabnya juga lemah. Pernah disuarakan pada ayahnya untuk berhenti belajar di pondok dan menyambung saja pengajian di sekolah menengah biasa. Namun ayah tidak ambil pusing. Mahu tidak mahu, Udin cuba menyesuaikan diri.

Dia cium tangan, pipi dan dahi panas ayah seperti biasa pagi Jumaat itu sebelum bertolak pulang ke pondok selepas menghabiskan cuti beberapa hari di rumah. Ketika usai solat asar petang hari yang sama, mudir madrasah, Ustaz Syukri tergesa-gesa berjumpanya. Dia terjelepuk longlai mendengar berita pemergian ayah. Petang itu juga dia pulang semula ke kampung halamannya. Bagai mimpi. Sabtu keesokan hari Udin mencium pipi dan dahi sejuk ayah yang tidak lagi bernyawa. Kata emak ayah meninggal ketika menanti waktu asar menjelang. Tiba-tiba sahaja jantungnya gagal berfungsi.Wajahnya masih dibasahi titisan air wudhuk kala malaikat maut bertandang.

Udin harapan ayah. Udin sandaran ayah. Suatu hari nanti, apabila Udin sudah pandai mengaji dan mahir ilmu Al-Quran ,ayah mahu belajar dengan Udin. Ayah tidak tahu baca Quran. Ibu hendak ajarkan dia tidak mahu. Ayah hendak Udin yang ajarkan dia. Setiap hari dia panjatkan doa agar Allah lembutkan hati Udin dan mudahkan Udin belajar Quran. Ayah malu untuk berguru dengan Ustaz Naim. Katanya sudah senja sangat untuk berguru lagi. Bicara ibu beberapa hari selepas ayah dikebumikan bersimpongang di indera dengar Udin. Tiada air mata yang tumpah kala itu. Bukan Udin tidak sedih. Bukan Udin tidak tersentuh. Cuma segala-galanya berlaku tanpa diduga.

“Orang yang membaca Al-Quran sedangkan dia mahir melakukannya, kelak mendapat tempat di dalam Syurga bersama-sama dengan rasul-rasul yang mulia lagi baik. Sedangkan orang yang membaca Al-Quran,tetapi dia tidak mahir, membacanya tertegun-tegun dan nampak agak berat lidahnya yakni dia belum lancar, dia akan mendapat dua pahala. Hadis ini diriwayat oleh Bukhari dan Abul Husain Muslim bin Al-Hujjaj bin Muslim Al-Qusyaiy An-Nisabury dalam dua kitab Shahih mereka,” Ustaz Syukri menyejukkan hati Udin tika Udin mengadu kesukarannya membaca Al-Quran apatah lagi menghafalnya.“ Ustaz, bagaimana mungkin saya lakukan untuk membantu ayah yang tidak mengenal huruf-huruf Quran jauh sekali membacanya?” udin melontar pertanyaan yang terbuku dalam hatinya. Ustaz Syukri mengelus-elus janggutnya yang kian memutih. Air mukanya tenang. Hati pasti akan damai memandang kejernihan wajahnya.

“ Udin ajarlah ayah. Di sini Udin belajar sungguh-sungguh ilmu Quran. Kemudian bila pulang ke kampung Udin kenalkan ayah dengan Kalamullah ini. Ingat, sebaik-baik kalian adalah yang mempelajari Al-Quran dan mengajarkannya. Orang tua ini selalunya ego. Dia segan nak pergi belajar dengan orang lain. Tentu dia malu. Mungkin dia akan lebih selesa jika yang mengajarnya itu darah dagingnya sendiri,” Ustaz Syukri menepuk-nepuk lembut belakang badan Udin.“Tapi ayah Udin sudah tiada lagi...”Udin bersuara. Perlahan.Dia menekur hamparan hijau yangdijadikan alas duduk. Angin yang menyembung dari ruang tingkap bertiup kasar menampar-nampar tubuh Udin. Angin seperti mengutuk Udin kerana dosa-dosa lampau pada ayah. Sedihmengasak-ngasak sukma.

“Barangsiapa membaca Al-Qur’an dan mengamalkan isinya, Allah memakaikan pada keduaorang tuanya di hari kiamat suatu mahkota yang sinarnya lebih bagus dari pada sinar matahari di rumah-rumah di dunia. Maka bagaimana tanggapanmu terhadap orang yang mengamalkan ini,” Ustaz Syukri memetik kembali hadis riwayat Abu Dawud yang pernah dibaca sewaktu dalam kelas Al-Quran. Ketika itu mereka sedang menekuni kitab At-Tibyaan fii Aadaabi Hamalatil Quran karangan Imam Nawawi.

Udin tertegun. Udin menyeka air matanya. Wajah Ustaz Syukri direnung. Ada semangat menyelinap dalam lipatan hatinya. Biar dia masih bertatih membaca Kalam Allah. Biar dia tidak hebat seperti Kak Sarah dalam pelajaran. Biar sahabat-sahabat jauh meninggalkannya di belakang. Dia tidak akan putus asa.Dia akan mendalami bersungguh-sunggguh ilmu Quran dan mengamalkannya. Dia mahu hadiahkan ayah mahkota itu. Dia mahu ayah miliki mahkota itu dan menghuni syurga Ilahi walau ayah tidak pernah menyelak lembaran Quran apatah lagi membacanya. Angin kembali berpuput mesra. Seolah-olah memujuk udin. Seolah-olah merestui impiannya.

Wednesday, December 31, 2008

Nasib Umat Islam di Semenanjung Gaza: Tanggungjawab Siapa?

Satu emel yang saya terima dan saya rasa terpanggil untuk berkongsi bersama-sama pembaca. moga menjadi iktibar...

Tentunya kita sedang hangat memperkatakan dan memerhati apa yang sedang menimpa saudara-saudara seagama kita di semananjung Gaza,Palestin. semoga doa dari kita menjadi senjata ampuh buat pejuang-pejuang Briged Al-Qassam dalam menghadapi pertempuran yang sedang dan bakal berlangsung. di sini , saya ingin mengajak kita untuk merenung sikap KETIDAK PEDULIAN peuimpin-pemimpin dunia terutamanya negara islam melalui tulisan Pengarah Dept of Malaysiua Study,Cairo U,Assoc Prof Hassan Basri.semoga tulisannya menjadi renungan kita bersama.

Salam Sejahtara semua,Mungkin sebahagian kita merasakan apa yang berlaku di Gaza sekarang adalahTIDAK kena mengena dengan kita. Saya ingin megambil kesempatan di sini untuk berkongsi sedikit dengan staf akademik UM yang dianugerahkan Tuhan dengan akal yang bijak.

Apa yang berlaku di Gaza dari perspektif rakyat biasa adalah hanya keluhan, rasa geram, marah, benci yang meluap-luap terhadap kekejamanIsrael yang sememangnya bangsa yang dimurkai Tuhan. Tidak ada yang lebih dari mengadakan perhimpunan, demonstrasi, menyatakan kemarahan mereka. Itulah kemuncak yang kita boleh buat sebagai rakyat.

Namun dari segi pemerintah, ia adalah menjadi tanggungjawab kerajaan di DUNIA ini melakukan sesuatu untuk menghentikan kejahatan Israel ini kerana dari segi tuntutan mahkamah dunia pun, apa yang dibuat olehIsrael sekarang adalah menyalahi undang-undang antarabangsa dan memang ada peruntukan untuk mengheret Israel ke mahkamah di Hague, Holland.

Masuk hari ini, hari kedua, Israel telah membunuh lebih 200 orangPalestinians dan mencederakan lebih 800 orang sebahagiannya kritikal dan cedera parah, 21% adalah kanak-kanan dan 14% adalah wanita.
Apakah tindakan dan reaksi pemerintah dunia Arab dan dunia?

Mesir mengecam tindakan Israel, dan membuka laluan Rafah untukmembawa mereka yang cedera ke mesir sedangkan sebelum ini menutup laluan tersebut kepada rakyat Palstine yang kebuluran, tiada makanandan ubat, dan sehari sebelum serangan Israel, Menteri Luar Israel,Lifni berganding tangan dengan Menteri Luar Mesir, Abul Ghaiz!!

Raja Jordan mengecam serangan Israel dan mengatakan keadaan diPalestine tidak akan aman dengan serangan tersebut dan Jordan adalah negara yang berdamai dengan Israel, membuka kedutaan Jordan di Israel dan sebaliknya dan bersekongkol dengan Israel untuk menghancurkanHAMAS

Qatar, Yamen, Liga Arab, Lubnan, Jordan dan kira-kira belasan lagi negara Arab menyeru untuk diadakan Sidang Kemuncak Tergempar. Untuk apa? Untuk mengutuk serangan Israel, TIDAK lebih dari mengutuk,kemudian balik tidur di bilik-bilik penginapan hotel mewah, menaiki kapalterbang mewah dan menyedari darah rakyat Palestine terus tumpah di hadapan mata mereka!! Hanya Syria yang mengatakan kalau sekadar nak buat sidang tergempar hanya untuk mengutuk TAK payah buatlah sidang tersebut. Libya juga mengatakan dalam nada yang sama, tetapi kedua-dua negara ini juga TIDAK buat apa-apa juga sebenarnya.

Saudi Arabia yang menjadi Big Brothers kepada semua negara Arab TIDAK mengeluarkan apa-apa kenyataan sehingga tulisan ini, mungkin kerana sibuk dengan sidang negara Teluk di Oman dari 29-30 Desember.Sebenarnya bukan kerana faktor tersebut, tapi Saudi memang sudah diikat kakinya oleh Amerika.

Turki juga mengeluarkan kenyataan bahawa serangan Israel akan menghalang usaha damai yang ditaja oleh Turki. Tidak ada usaha ketenteraan dari pihak Turki, sedangkan apabila Kurdish menyerang sempadan wilayahnya, mereka memburu pejuang kurdish hingga ke wilayah Iraq (menceroboh kawasan negara jiran!!). Di mana solidariti Turki sebagai negara yang kononnya mahu menaikkan imejnya sebagai negaraIslam.

Presiden Palestine Abbas atau nama gelarannya Abu Mazin, mengeluarkankenyataan yang tidak menampakkan kesedihan beliau atas apa yang berlaku. Beliau sekadar mengatakan tindakan Israel itu akan menghalang plan damai tajaan Amerika. Inilah boneka yang Tidakmenyembunyikan kebonekaannya kepada Israel dan Amerika. Pembelot negara Palestine yang dijulang oleh Amerika dan Barat dan sebahagian negara Islam yang bebal.

Kesatuan Eropah menyelar tindakan Israel dan meminta Israel mengehentikan tindakannya tanpa sebarang ugutan tegas untukmenggunakan kekuatan tentera seperti yang mereka lakukan ke atas Bosnia, Iraq, Afghanistan dan lain-lain lagi. Kenyataan tersebuthanya untuk melunakkan telinga mereka yang leka, lalu menyangka EEU menentang tindakan Israel tersebut.

Rusia menyelar tindakan Israel dan menyeru Israel memberhentikan segera serangan tersebut. Arahan hanya dengan air liur. Dan lebih memeranjatkan juga Rusia meminta HAMAS juga atas Israel yang sehingga kini telah membunuh seorang penghuni HARAM Israel dan mencederkaan 4 orang lagi penguni HARAM (yangmerampas tanah rakyat Palestine). Arahan Rusia kepada HAMAS seolah-olah HAMAS menyerang Israel, sedangkan HAMAS hanya mempertahankan diri mereka.

Amerika mengingatkan Israel supaya TIDAK menyerang kawasan orang awam. Itulah peringatan Amerika kepada Israel. Amerika dengan jelas mengatakan ia menyokong serangan tersebut kerana ia adalah usaha untuk menghapuskan HAMAS, kumpulan terrorist. Percayalah cendikiawan sekelian, kalau ada usaha untuk mengecam atau mahu mengheret Israel ke muka pengadilan Amerika akan menggunakan sekali lagi kuasa VETO diPBB.

VETO Amerika sebenarnya boleh di VETO pula oleh pemegang kuasa VETOyang lain seperti Rusia, Britain, dan China. Soalnya adakah mereka akan overule VETO Amerika? Mereka TIDAK akan VETO Amerika bukan kerana mereka takut pada Amerika, tetapi mereka juga bersekongkol denganAmerika kerana mereka mahu melihat HAMAS hancur, dan mereka tidak merasa dukacita apabila rakyat Palestine bermandi darah.

Semasa saya menulis ini, saya terus mengikuti berita yang disiarkan oleh al-Jazeerah, darah rakyat Palestine terus tumpah di tangan durjana Israel. Hanya yang menguatkan semangat saya apabila menatapikeberanian pejuang-pejuang HAMAS, Jihad Islami, jihad QASSAM, sayap bersenjata HAMAS yang muncul di channel aljazeerah menyatakan mereka tidak akan undur walau selangkah dan mereka sanggup shahid demi mempertahankan tanah air mereka. Memang mereka akan berhadapan dengan maut kerana mereka hanya ada roket buatan sendiri, mereka hanya ada batu, sedangkan Israel mempunyai segala kelengkapan.Tidak cukup dengan itu, seperti yang saya katakan di atas, mereka dikhianati bangsa yang seugama dengan mereka sendiri seperti Kerajaan Palestine boneka Amerika, Jordan, dan Mesir yang berpakat dengan Amerika atau sekurang-kurangnya TUNDUK kepada kehendak Amerika danIsrael.

Who cares?

Itulah nasib yang mereka terima?

Kita adalah rakyat biasa sahaja. Apa yang boleh kita buat, kita tidak boleh buat apa-apa.

Cuma satu sahaja, kalau perasaan kita tidak tersentuh dengan kesangsaraan yang dihadapi oleh rakyat Palestine, samada mereka itu Islam atau Kristian, maka apakah agaknya yang akan kita jawab di hadapan Tuhan apabila kita disoal nanti. Bagi orang Islam, apakah agaknya yang akan kita jawab apabila kita ditanya: benarkah kamu kasih kepada saudaramu, apabila ia sakit kamu juga merasa sakit seperti yang disabdakan oleh Junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Benarlah kata-kata seorang ulama di Lubnan, Shekh Fathi Yakan,apabila roh jihad hilang dari jiwa kita, kita akan takut mati, dan kita akan menjadi orang yang sayangkan dunia, maka ketika itulahYahudi akan bangkit.

Semuga kita semua, warga UM, walau apapun ugama kita, sama-samamendoakan agar umat Palestine diberikan kekuatan berhadapan dengan Israel durjana ini. Jangan kita mudah mempercayai apa yang ditulis oleh media Barat atau sebaran berita spt CNN kerana mereka adalah talibarut Amerika.

Assoc Professor Dr Hassan Basri Awang Mat
DahanDirectorDepartment of Malaysian StudiesUniversity of Malaya@Cairo University
002 02 3569 4120 (tel/fax)
002 010 395 4493 (mobile)

Tuesday, December 30, 2008

Wajah Gaza Menjelang 1430 Hijrah


Di ambang umat Islam menyambut tahun baru hijrah, indera dengar ini ditusuk berita menyayatkan hati. Saudara seakidah kita di Gaza dibedil Israel. saya kesal dek kerana tidak begitu cakna dengan perkembangan semasa saya terlewat mengetahui hal ini.Ketika ini juga, saya sibuk membuat persiapan dan persediaan untuk menghadapi peperiksaan mid sem. Hati jadi kurang enak. Segala yang dibuat rasa tidak kena. Entah mengapa. Apa yang sering terlintas di fikiran, adakah patut aku berenak-enak belajar dalam bilik berhawa dingin sedang saudara-saudaraku di sana berhempas pulas menanggung dan menahan serangan si laknatullah? Namun apa dayaku? Selain kiriman doa dan solat hajat, mencoret di blog ini satu lagi bentuk bantuan yang dapat saya hulurkan walaupun kesannya entah ada entah tiada. Hati saya tambah gerun mengingatkan sepotong hadis Nabi yang bermaksud “barangsiapa yang tidur dan tidak mengambil pusing tentang urusan kaum muslimin, dia bukan dari golongan mereka”
Adakah saya termasuk dalam golongan mereka yang tidur itu? Na’uzubillah.


Ya Allah, hancurkanlah orang-orang kafir dan musyrik itu. Berilah rasa takut kepada musuh-musuh kami, musuh-musuhMu, dan musuh-musuh agamaMu. Ya Allah, muliakanlah agama Islam dan kaum muslimin. Rapatkanlah tali kasih sayang dalam sanubari mereka dan perbaikilah hubungan kekeluargaan diantara mereka serta berilah pertolongan kepada mereka dalam melawan musuh-musuhMu dan musuh-musuh kaum muslim.


KERATAN BERITA

Selasa ,30/12/2008 -Dr Moawiya Hassanen, ketua Unit Kecemasan Kementerian Kesihatan Palestin di Gaza, melaporkan tentera udara rejim Zionis terus menyerang pada waktu Subuh hari Selasa dan membunuh 10 Rakyat Palestin.Mereka turut mengebom pihak medik yang cuba memindahkan mangsa yang cedera. Jumlah maut terkini menjadi 360 dalam kurang daripada empat hari, hampir 1700 cedera .Serangan udara Israel itu mensasarkan kawasan kementerian di belakang Islam University, kawasan bekas Penduduk Palestin Preventive Security di Tal Al Hawa, kawasan Navy barat Gaza, pusat Qassam Brigades di Timur Al Zeitoon Gaza City, utara jalan Gaza City, satu bengkel tukang besi di tengah Gaza dan sebuah rumah yang menjadi kepunyaan salah seorang daripada pemimpin-pemimpin Al Qassam Brigades di utara Gaza.Helikopter Apache Israel telah menembak dua peluru berpandu ke arah sebuah pusat kepunyaan Popular Resistance Committees, barat Gaza City. Serangan ini di buat sejurus pihak rejim Zionis mengumumkan 2 orang askar mereka mati dalam satu serangan pejuang Palestin.TV Al Aqsa Hamas melaporkan beberapa penduduk telah terbunuh dan cedera dalam satu serangan udara yang disasarkan ke arah rumah Ayman Siyam , salah seorang daripada pemimpin briged Al Qassam di Jabalia.

Wajah wajah Gaza setelah hampir 4 hari di serang rejim Zionis





Note: sumber gambar : http://jamna. blogspot. com/

Saturday, December 13, 2008

Pindaan AUKU; Natijah Tetap Sama

Hari ini, akhirnya rang undang-undang mengenai Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) diluluskan Dewan Rakyat kelmarin selepas melalui 61 pindaan serta dibahas sepanjang hari oleh penyokong kerajaan dan pembangkang. Antara perubahan ketara yang berkaitan dengan politik kampus ialah mahasiswa kini dibenar menyertai persatuan di luar kampus kecuali al-Qaeda. Mahasiswa dibenar menganjurkan aktiviti bersama ahli politik dan parti politik mengenai isu berkaitan pendidikan. Walau bagaimanapun mereka masih disekat untuk terlibat secara terus dengan parti politik.
Hakikatnya, pindaan AUKU ini ibarat seorang pemilik burung yang mengisyhtiharkan bahawa burung peliharaannya akan dibebaskan daripada sangkar tetapi dia tidak membuka pintu sangkar melainkan sedikit. sekadar lepas keluar sebelah sayap.
Kekangan ke atas mahasiswa untuk terlibat dalam politik luar kampus hanya menyekat dan membantutkan perkembangan intelektual mereka. Bahkan, sekatan ini akan menumpulkan budaya kritis dan analitis pelajar.
Memetik tulisan Ustaz Riduan Mohd Nor dalam bukunya Potret Perjuangan Mahasiswa Dalam Cerminan Dekad, " kampus adalah wadah latihan kepimpinan kepada pimpinan masa hadapan negara. Anak-anak muda yang sarat dengan idealisme ini perlu diberi laluan untuk terus bergulat dengan keyakinan mereka, biarkan mereka untuk bebas memilih dan mencorak gerakan mereka tanpa gertakan dan intimidasi daripada pentadbiran universiti dan kerajaan. Mengapa perlu gentar dengan kritikan anak muda ini andai mereka bersih dan telus?"
Sesetengah pihak berpendapat, sebarang kebenaran untuk mahasiswa terbabit secara aktif dalam politik, dikhuatiri akan mewujudkan suasana polarisasi kaum, ideologi dan agama. Ini sekali gus akan mewujudkan suasana persekitaran tidak kondusif kepada generasi akan datang untuk meneruskan pengajian dan pembelajaran di universiti. Pada mereka, biarlah mahasiswa memerhati perkembangan politik semasa dari dalam kampus dan apabila tamat pengajian serta memasuki dunia pekerjaan, mereka bebas berbuat demikian termasuk bertanding dalam pilihan raya umum.
Malah, saya pernah membaca surat pembaca di akhbar yang menentang keras pindaan AUKU dilakukan atas alasan pindaan AUKU ini hanya akan menyebabkan pencapaian akademik pelajar terutamanya dalam kalangan pelajar berbangsa Melayu, jatuh merudum.
Dalam tempoh 30 tahun AUKU dikuatkuasakan , mana pernah IPTA mahupun IPTS di Malaysia tersenarai dalam 100 universiti terbaik dunia berdasarkan penarafan yang dibuat oleh Times HIgher Education Supplement(THES).
Teringat perbualan ringkas saya dengan seorang sahabat ketika sibuk PRU ke -12 lalu.
“Buat apa nak terlibat dengan politik. Muda lagi. Study dulu,” kata seorang teman apabila saya membuka mulut berbicara tentang politik tanah air. Saya sekadar mengangkat kening.
“Nanti bila sudah boleh mengundi, parti mana yang awak nak undi?” Tanya saya.
“Entahlah. Tak tahu lagi. Nanti-nantilah fikir. Tak pun tanya mak je lah nak undi siapa,”
Saya percaya, ini adalah pegangan majoriti mahasisiwa hari ini. Budaya tidak cakna membawa kepada budaya ikut-ikut.
Saya tertanya-tanya, apabila mahasiswa dihalang untuk terlibat dengan politik ketika berada di bangku pengajian, adakah mereka mampu secara drastiknya mengubah mentaliti yang diimani sekelip mata sebaik sahaja meninggalkan dunia studi ?Atau mereka akan terus mengambil sikap tidak peduli biarpun setelah menjejaki alam pekerjaan? Impaknya terjadilah kes-kes ramai yang tidak mendaftar sebagai pengundi apatah lagi turun mengundi. Andai turun mengundi sekalipun, mereka bertanya mak ayah dulu siapa yang perlu mereka pangkah dek lemahnya budaya kritis dan analitis dalam diri. Tak ke haru jadinya.
Mereka yang menjadi pemerhati gelodak politik semasa di zaman kampus akan terus menjadi pemerhati yang baik apabila berada di arena masyarakat yang sebenar. Tidak mungkin jika hari ini kita tanam jagung, esok tumbuh padi.

Friday, December 12, 2008

Umat Islam perlu Fahami Al-Quran

Cebisan berita hari ini yang menarik perhatian saya untuk direnung bersama.

KUCHING 11 Dis. - Umat Islam di negara ini perlu memahami isi kandungan kitab al-Quran malah menjadikannya sebagai panduan dalam menjalani kehidupan seharian.
Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Jeanne Abdullah berkata, ilmu yang terkandung dalam al- Quran amat banyak malah memberi ajaran yang baik kepada umatnya untuk menjadi seorang yang sederhana, sentiasa bersyukur, bersabar dan beriman.
Menurutnya, kitab al-Quran yang kini sudah diterjemahkan dalam pelbagai bahasa akan lebih memudahkan umat Islam daripada pelbagai kaum menghayati pengertian yang disampaikan di dalam kitab berkenaan.
"Saya sendiri membaca al Quran perlahan-lahan dan cuba memahami ayat-ayat yang terkandung di dalamnya menerusi terjemahan yang ternyata begitu cantik serta tidak pernah mengajar umatnya untuk menjadi jahat.
"Jangan membaca al-Quran dengan terlalu cepat semata-mata mahu khatam awal sedangkan kita tidak memahami apa sebenarnya maksud yang disampaikan di dalam al-Quran," katanya sewaktu merasmikan Majlis Konvensyen Saudara Kita Ketiga dan Pertandingan Nasyid Saudara Kita Peringkat Negeri Sarawak 2008 di Pusat Penerangan Islam di sini hari ini.
(Utusan Malaysia, 12/12/2008)

Respon:
1. Jangan lihat kepada siapa yang berkata-kata tetapi lihat kepada apa yang diperkatakan

2. Teringat kisah yang diceritakan oleh ustazah dalam kelas baru-baru ini tentang seorang ibu yang tidak tahu membaca Al-Quran. Ibu ini berasa malu apabila anak kecilnya bertanya tentang bacaan Quran kepadanya dan mengambil inisiatif untuk belajar Quran kembali (Alhamdulillah, suatu usaha yang baik dan terpuji). Diceritakan ibu ini tahu membaca Al-Quran dulu tetapi telah lupa cara membacanya setelah ditinggalkan bacaan Quran untuk suatu jangka masa yang lama. Ini suatu fenomena yang lazim berlaku dalam masyarakat kita. Setelah khatam, Quran tidak lagi dibaca apatah lagi difahami dan diamalkan.

3. Buat apa baca, bukan saya faham pun!. Ini satulah fenomena yang berlaku terhadap sesetengah golongan masyarakat. Lupakah kita terhadap firman Allah "..dengan mengingati Allah hati-hati akan menjadi tenang.."(Ar-Ra;d:28) Al-Quran adalah sebaik-baik zikrullah.

4. peringatan yang baik buat diri yang menulis ini; sejauh mana Quran yang dihafal difahami dan dihayati serta diamalkan? atau sekadar lancar dibibir? Ya Allah ampunkan daku kerana lalai dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai hamalatul Quran..