Saturday, September 27, 2008

zwani.com myspace graphic comments
Islam Graphic Comments

Ramadhan bakal pergi meniggalkan kita tidak berapa lama lagi. Rasa begitu sekejap bulan mulia ini bertandang. pada hari-hari terakhir Ramadhan yang masih berbaki ini, marilah kita sama-sama bermuhasabah, apakah kita telah memanfaatkan sepenuhnya Ramadhan kali untuk untuk mentarbiyyahan dan membentuk peribadi yang lebih baik. Atau Ramadhan kali ini sama saja seperti yang lepas-lepas. Datang tidak disambut, pergi tidak ditangisi!

SALAM AIDILFITRI BUAT SEMUA!

Thursday, September 25, 2008

Hamba Tuhan Yang Maha Pengasih...



Entah kenapa, saya begitu tertarik dengan tajuk Al-Ibadah ketika belajar tentang tajuk ini dalam kelas BTQ beberapa ketika dulu. Bahagian yang paling menarik saya rasakan ialah ciri-ciri ‘Ibadurrahman. Hati saya berbunga ketika ustazah mengupas maksud ayat 63 hingga 74 Surah Al-Furqan ini. Melalui surah ini juga, Allah ilhamkan saya untuk menamakan blog ini sebagai QAMAR MUNEERA. Malah saya suka frasa ini untuk dijadikan nama pena saya. Tapi bukan ini yang hendak saya perkatakan dalam entri kali ini. Tapi tentang ciri-ciri ’Ibadurahman tadi.

Adapun hamba-hamba tuhan Yang Pengasih itu adalah orang-orang yang berjalan di bumi dengan rendah hati dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka dengan kata-kata yang menghina, mereka mengucapkan salam.Dan orang-orang yang menghabiskan waktu malam untuk beribadah kepada tuhan mereka dengan bersujud dan berdiri. Dan orang-orang yang berkata “ Ya tuhan kami, jauhkanlah kami kerana sesungguhnya azabnya itu membuat kebinasaan yang kekal,”. Sesungguhnya Jahanam itu seburuk-buruk tempat menetap dan tempat kediaman. Dan (termasuk hamba-hamba tuhan Yang Maha Pengasih) orang-orang yang apabila menginfakkan harta, mereka tidak berlebihan, dan tidak pula kikir, di antara keduanya secara wajar. Dan orang-orang yang tidak mempersekutukan Allah dengan sembahan lain dan tidak membunuh orang yang diharamkan Allah kecuali dengan alasan yang benar, dan tidak berzina, dan barangsiapa melakukan deikian itu, nescaya dia mendapat hukuman yang berat. Yakni akan dilipatgandakan azab untuknya pada hari kiamat dan dia akan kekal dalam azab itu dalam keadaan terhina. Kecuali orang-orang yang bertaubat dan beriman dan mengerjakan kebajikan, maka kejahatan mereka digantikan dengan Allah dengan kebaikan. Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang. Dan barangsiapa yang bertaubat dan mengerjakan amal kebajikan, maka sesungguhnya dia bertaubat kepada Allah dengan taubat yang sebenart-benarnya. Dan orang yang tidak memberikan kesaksian palsu dan apabila mereka bertemu dengan orang-orang ynag mengerjakan perbuatan-perbuatan yang tidak berfaedah, mereka berlalu dengan menjaga kehormatan dirinya. Dan orang-orang yang apabila diberi peringatan dengan ayat-ayat tuhan mereka, mereka tidak bersikap \sebagai orang-orang yang tuli dan buta. Dan orang-orang yang berkata “ Ya tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati kami dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertaqwa”.

Daripada ayat di atas, terdapat sepuluh ciri-ciri hamba tuhan yang Maha Pengasih (‘Ibadurrahman). Ini membuktikan bertapa prihatinnya Allah terhadap hamba-hambanya.

Allah tidak meninggalkan manusia terkontang-kanting di atas muka bumi ini melainkan disertakannya garis panduan dan pedoman. Dalam ciri-ciri ‘Ibadurrahman yang dinyatakan, jelas seimbang antara hubungan kita dengan Allah (Hablumminallah) dan hubungan kita dengan sesama manusia (Hamlumminannas). Contohnya, Allah taala menganjurkan kita untuk membalas perkataan hina orang-orang jahil dengan ucapan salam atau dalam erti kata yang lain dengan perkataan yang baik bukan membalas kembali segala kejian yang telah dilemparkan. Di sini kita dapat membina perhubungan yang baik sesama manusia itu sendiri. Hal ini diaplikasikan oleh Rasulullah SAW sepenuhnya dalam kehidupan baginda. Kita dapat lihat bagaimana baginda SAW bersabar melayan kerenah seorang lelaki yahudi tua yang buta. Setiap hari Rasulullah SAW menyuapkan makanan kepada lelaki ini. Pada masa yang sama lelaki ini akan terus-terusan mengutuk Rasulullah SAW tanpa disedarinya yang menyuapkan makanan kepadanya setiap hari adalah insan mulia itu. Sehinggalah baginda Rasulullah SAW wafat dan Saidina Abu Bakar mengambil alih tugas Rasulullah SAW untuk menyuap makanan kepada lelaki ini. Seperti biasa sambil Abu Bakar menyuapkan makanan ke mulut lelaki itu, lelaki itu tidak berhenti-henti mengutuk Rasulullah. Dalam pada masa yang sama dia sedar orang yang sedang menyuapkan makanan kepadanya bukanlah orang yang biasa melakukan hal demikian sebelum ini kerana biasanya Rasulullah SAW akan menghaluskan makanan itu sebelum menyuapkan ke dalam mulutnya. Lalu Abu Bakar sambil menangis menyatakan orang yang selalu menyuap lelaki itu sebelum ini adalah Orang yang sedang dikutuknya dan ketika itu orang itu telah wafat. Maka Lelaki itu masuk Islam lantaran ketinggian peribadi Rasulullah SAW. Alangkah indahnya peribadi ‘Ibadurrahman ini!

Di samping itu Allah taala menyarankan kita berbelanja dengan besederhana yakni tidak lokek dalam memberi namun tidak pula sampai berlebihan bersedekah sehingga kita sendiri pula terpaksa mengemis selepas itu.


Untuk meningkatkan tahap hubungan kita dengan Allah, kita disarankan bangun di sebahagian malam untuk bertahajjud kepada Allah.

Alangkah cantik dan moleknya ciri-ciri ‘Ibadurrahman ini. Andai orang Islam mampu mempraktikkan semua sikap yang dianjurkan ini, maka makmurlah dunia, bahagialah kehidupan kita sehari-hari.


Tetapi hal itu tidak berlaku walhal majoriti umat Islam membaca Al-Quran setiap hari. Mungkin ada sebahagian daripada kita menghafal lumat ayat-ayat suci ini. Namun di sana tiadanya nilai penghayatan yang akan membawa kepada kepada pengamalan. Saya tidak perlu melihat jauh. Diri ini sudah cukup untuk menjadi contoh. Masih banyak ilmu-ilmu berkaitan al-Quran yang masih saya tidak tahu apatah lagi tafsir-tafsir tersirat disebalik ayat-ayat Allah ini. Syukur kepada Allah kerana membuka mata hati saya untuk menyedari hal ini setelah sekian lama lena dan sedap berada di zon selesa.


Moga ini menjadi titik permulaan pencarian saya terhadap al-Quran yang semakin hilang ditelan kesibukan diri mengejar cita-cita dan impian!

Saturday, September 06, 2008

KUN RABBANIYYAN WALA TAKUN RAMADHANIYYAN

Alhamdulillah setinggi-tinggi kesyukuran kita lafazkan buat Ilahi kerana dengan ramat dan kasih sayang-Nya hingga saat dan detik ini kita masih diberikan peluang untuk bernafas dan yang lebih bermakna lagi kita diberikan kesempatan berada dalam bulan mulia ini yakni Ramadhan. Seharus dan sewajibnya Ramadhan ini dimanfaatkan, dihargai dan dihayati kerna kita tidak pasti Ramadhan akan datang akan mampu kita jejaki atau sebaliknya. Ajal sentiasa mengintai kita biar di mana pun kita berada.

Alhamdulillah, dengan izin-Nya saya diberi peluang oleh Allah untuk menghadiri ceramah atau tazkirah yang diberikan oleh Ustaz Muhadir beberapa hari lepas. Cantik sekali tajuknya. " Kun Rabaniyyan wala takun Ramadhaniyyan".

Tajuk ini kena pada batang hidung saya sendiri dan ( maaf sebut) mungkin kebanyakan umat Islam di luar sana.




Bulan ramadhan dikatakan sebagai bulan pesta beribadah. Ramadhan juga dkatakan sebagai madrasah untuk membentuk peribadi muslim sejati. Dalam bulan ini masjid-masjid dan surau-surau pada malam hari penuh dan meriah dengan pelbagai lapisan masyarakat terutamanya awal-awal ramadhan ini. Tidak cukup dengan berpuasa pada siang hari, kita tambah dengan qiamullail di sepertiga malam. Berjuzuk-juzuk Al-Quran kita baca dalam sehari-hari. Sadaqah tidak henti-henti dihulurkan. Zikir sentiasa basah dibibir.




Mereka-mereka yang jarang-jarang solat fardhu sehari-hari pun turut berkunjung ke masjid untuk bertaraweh. Alhamdulillah.
Namun apabila berlalunya ramadhan, amalan -amalan ini turut berlalu. Seolah-olah ibadah ini hanya valid dalam bulan Ramadhan.



Menjelang satu syawal kita kembali seperti sediakala. Kita kembali kepada tabiat sebelum tiba Ramadhan. Yang jarang-jarang solat fardhu, kembali jarang-jarang bersolat. Al-Quran diletakkan kembali di tempat paling tinggi misalnya di atas almari dan tidak disentuh-sentuh lagi. Jadilah al-Quran itu suci dalam debu. Masjid-masjid dan surau kemblai lengang.




Mengapa hal ini berlaku? Adakah sebulan itu tidak cukup untuk kita membentuk tabiat baru dan mengikis terus peribadi mazmumah?Di manakah silapnya?



Jawapannya ada pada diri kita masing-masing. Andai kita jadi hamba pada Ramadhan maka inilah natijah yang kita akan perolah usainya Ramadhan. Tetapi, jika kita menjadi hamba Allah, biar di bulan apa sekalipun kita berada, kita akan tetap istiqamah dengan amalan-amalan kita.

Saya petik, kata-kata Ustaz Muhadir, " Jika kamu menyembah atau menjadi hamba kepada bulan Ramdhan, ingatlah Ramadhan itu datang dan pergi, tetapi andai kamu menjadi hamba Allah, Allah itu tetap ada dan terus ada walau di mana kita berada,"