Tuesday, August 11, 2009

Alahai Matematik...

Bismillahirrahmanirrahim...

Saya minat matematik. Dek kerana minat ini, saya berada dalam bidang sains matematik di UIA. Tapi saya bukanlah tergolong dalam mereka yang genius matematik.

“Nak kerja apa nanti ambil matematik ni?” tanya ibu saudara saya.

“Kalau kakak ambil medic dulu pun bagus. Terjamin masa depan," kata ibu pula.

“Matematik?” Cikgu Nordin mengangkat kening ketika saya maklumkan saya mengambil jurusan sains matematik di UIA.

Saya mula tertanya-tanya. Bidang matematik ini tidak menjamin masa depankah?

Namun itu belum apa-apa.

“Saya tak nampak kaitan matematik ini dalam kehidupan kita. Apatah lagi kaitan belajar matematik dengan kehidupan ukhrawi,” ujar seorang teman.

“Matematik ni teori saja. Satu subjek yang keawang-awangan dan tidak berpijak di bumi realiti,” tambahnya lagi. Dalam diam saya akui kebenaran kata-katanya.
“Kenapa kak Munirah ambil engineering? Kenapa tak ambil medic ke, farmasi ke? Kan lebih berhubungkait dengan al-Quran yang kak hafal,” teringat perbualan saya dengan salah seorang rakan dari kuliyyah kejuruteraan seaktu awal-awal mendaftar di Pusat Asasi Petaling Jaya dulu. Saya hanya membalas pertanyaan itu dengan senyuman. Ketika itu saya masih belum tukar ke sains fizikal.
“Arghh!” Saya menekan kepala. Kenyataan-kenyataan seperti ini yang mengharu-birukan saya.
Sedikit demi sedikit minat saya terhadap matematik pudar.
“Takkan nak tukar kos lagi?” Saya menggaru-garu kepala yang tidak gatal.

Saat itu saya akui saya berkongsi pendirian dengan Imam-e-Rabbani Mujaddid Alf Sani Shaykh Ahmad al-Farooqi Sirhindi (1564–1624) , yang menjuluki ahli matematik sebagai orang idiot dan para pemujanya lebih tolol dan hina kerana mengira bahawa matematik dan mempelajari matematik tidak ada manfaatnya untuk kehidupan manusia kelak di akhirat nanti.
“Adakah belajar matematik ini mendekatkan diriku kepada Allah?” persoalan-persoalan seperti ini kerap bergentayangan dan bermain-main di fikiran saya sejak akhir-akhir ini.
“Arghhh!”
“Adakah aku telah tersalah membuat pilihan?”

Entah macam mana saya boleh tercampak dalam dilema ini. Saat fikiran ini kacau bilau, saya merayau-rayau di laman sesawang. Cuba –cuba mencari satu sandaran yang kukuh untuk saya pegang bagi meneruskan kelangsungan saya dalam bidang ini.

Saya tertarik dengan satu komentar ini. Cuba kalian perhatikan.

Saya sepakat sekali, jika matematik menjadi alat paling berharga dalam pengembangan ilmu pengetahuan (IP) yang didasarkan pada nalar rasionalitas. Darisinilah, IP kemudian berguna bagi manusia pemiliknya untuk membantu dirinya menaklukkan alam untuk memperoleh kebaikan dan kenyamanan hidupnya di dunia. Dan selanjutnya memudahkan perjalanannya untuk menuju akhirat. Akhirat hanya bisa dicapai jika ia bisa memanfaatkan dunia dengan baik, benar, adil dan jujur, sebagai “jembatan” yang mengantarkannya kesana. sayangnya, di dunia Islam, banyak sekali orang-orang yang mengira, bahwa dengan memanfaatkan akal bagi memikir ciptaan Allah ini, akan tersesat di jalan yang salah dan menjauhkan dirinya dari syurga. Sehingga akhirnya, umat Islam malas berpikir, karena takut menggunakan akal dan selanjutnya menjadi tertinggal dan terjajah oleh bangsa-bangsa lain yang menguasai ilmu pengetahuan, ang sebagian daripadanya diturunkan menjadi tekonologi., yang membuat hidup menjadi semakin mudah.Oleh karena itu, mari menggalakkan kehidupan berpikir umat Islam, untuk menggali segala ilmu dan himah yang terkandung dalam teks, ayat Quran maupun pada seluruh makhluk alam ciptaan Allah. Semoga umat Islam bisa keluar secepatnya dari kemenderitaannya, kejumudannya, kemiskinnannya, keterjajahannya dan kepicikannya. Agar realitas umat Islam bisa beransur-ansur pulih, dan kemudian pada gilirannya bisa diangkat bagi Imam Peradaban oleh orang-orang non-Islam. Insyallah….

Saya juga tertarik dengan kenyataan Victor J. Katz, pengarang buku A History Of Mathematics: An Introduction;: Chapter The Mathematics of Islam.

“The mathematicians responded by always invoking the name of God at the beginning and end of their works and even occasionally referring to Divine assistance throughout the texts”

Masyaallah, tokoh-tokoh matematik Islam terdahulu memulakan setiap kajian mereka dengan membaca basmalah dan diakhir kajian, mereka selalu menghubungkan hasil penemuan mereka dengan kebesaran Allah!
Mereka ialah peneroka dan pengkaji ilmu matematik!
Saya terfikir-fikir, macam mana kita hendak mengaitkan matematik dengan kebesaran Allah?


Belajar matematik ini tidak seperti belajar biologi. Sahabat-sahabat yang mengambil biologi mungkin secara langsung dapat mengaitkan apa yang mereka pelajari dengan kebesaran Allah. Ini adalah kerana tubuh badan kita adalah benda yang paling hampir dan paling jelas pada penglihatan kita.

Matematik ini suatu benda yang abstrak.
"By time you will find that mathematic in not only about number but more on words (dalam erti kata lain lebih kurang sastera)," jelas Dr Jesni dalam kelas pertama Analytic Geometry tempoh hari.
"If you take mathematic just because you want to get rid from reading, you are wrong," kata-kata Dr Pah bersimpongang kembali. Saya menghela nafas.
Penyelesaian terbaik ialah bukan lari daripada masalah tetapi berhadapan dengannya.
"Physician use mathematic as a language to explain the world to society," penuh semangat Dr Torla bersyarah.
Mathematic as a language?

Satu fakta yang menarik.
Saya terfikir tentang ilmu astronomi dan cosmologi. Ahli fizik menggunakan matematik untuk menerangkan tentang konsep tarikan graviti. Mereka menggunakan kelajuan cahaya untuk mengukur jarak antara planet dan bintang. Semuanya menggunakan matematik bukan?

Apabila menyebut tentang kelajuan cahaya, apa yang muncul dibenak saya ialah peristiwa israk dan mikraj. Kenderaan yang digunakan oleh Rasulullah SAW sewaktu israk dan mikraj itu lebih laju dari pergerakan cahaya. Sehingga kini saintis masih belum menemui suatu benda atau objek yang lajunya lebih daripada kelajuan cahaya.

Kesimpulan yang boleh saya buat, sebenarnya apa-apa yang kita pelajari boleh kita kaitkan dengan kebesaran Allah. Cuma matematik ini menuntut kita berfikir lebih jauh dan mendalam sebelum dapat kita kaitankan dengan keagungan Yang Esa. Bergantung kepada kita bagaimana kita melihat sesuatu perkara itu. Apabila niat kita menuntut ilmu itu benar maka kebenaranlah yang akan kita temui sepanjang kembara kita dalam menuntut ilmu.

Lebih penting lagi, harus diingat, semua ilmu itu pemiliknya ialah Allah. Sesuai dengan firman-Nya dalam Surah Luqman yang bermaksud "dan sekiranya segala pohon yg ada di bumi menjadi pena dan segala lautan (menjadi tinta),dengan dibntu kepadanya 7 lautan lagi sesudah itu,nescaya tidak akan habis kalimah-kalimah Allah itu ditulis. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa,lagi Maha Bijaksana."

Ilmu matematik ini tentu sahaja tidak terkecuali bukan?

Saturday, August 08, 2009

Kembara Ke Sekinchan

Bismillahirrahmanirrahim...

Hari yang saya nanti-nantikan akhirnya tiba. Sejak dimaklumkan oleh beberapa orang sahabat bahawa akan diadakan satu ziarah ke rumah arwah Nabil, saya teruja. Saat itu sentiasa saya nanti-nantikan.

Akhirnya, hujung minggu lepas bersamaan 31 Julai, saya dan beberapa orang sahabat berlepas ke Kuala Lumpur menaiki bas.

Ekspedisi ke Sekinchan mengheret saya untuk turut serta dalam kenduri gas pemedih mata di Masjid Jamek. Saya memang tiada niat langsung untuk ke sana. Disebabkan kenduri itu termasuk dalam tentatif kembara ke Sekinchan, saya berada di sana.

“Kenapa ISA perlu dimansuhkan?” Tanya seorang sahabat. Saya terdiam. Bagaimana saya hendak jawab sedang saya tiada jawapannya. Fokus saya saat itu ialah Sekinchan. Saya tidak fikir lagi perkara lain.

“Apa maksud ISA?” Tanya seorang sahabat lagi. Sekali lagi Saya terdiam. Sekadar tersenyum menampakkan baris gigi.

Namun, saya tidak nafikan pelbagai pengalaman saya peroleh daripada kenduri ini. Mungkin saya akan panjangkan dalam entri akan datang, Insyaallah.

Pagi Ahad kami bersiap-siap untuk bertolak ke Sekinchan. Sepatutnya, semalam lagi kami bertolak. Namun pemandu tidak bersedia untuk memandu pada waktu malam. Tambahan pula kereta yang disewa tidak begitu baik kondisinya. Bimbang terjadi perkara yang tidak diingini di tengah jalan nanti.

Entah macam mana, kereta yang disewa tidak mahu hidup. Seperti apa yang kami bimbangkan sebelum ini. Mujur tidak bergerak semalam. Berhempas pulas Sufi, sahabat saya menghidupkannya. Namun tidak berjaya. Hati saya mula tidak sedap. Sahabat-sahabat kembara lain sedah bertolak ke Shah Alam dan bermalam di sana sejak semalam lagi. Cuma, kami berlima yakni saya, Sufi, Syuhada, Ain dan Andak masih di UIA Gombak. Bimbang sekali kami tidak sempat menjejakkan kaki ke bumi Sekinchan. Sedang itu tujuan utama kembara saya kali ini.

"Pergi beli makanan dulu," pinta Sufi. Saya akur.

"Kita terpaksa batalkan rancangan ke Sekinchan. Kereta tak mahu hidup," kata Sufi sebaik sahaja saya kembali dari membeli makanan. Saya dapat membaca wajah separuh serius Sufi. Saya tahu dia bergurau.

"Jangan main-main!" Walaupun saya tahu Sufi bergurau saya tidak nafikan saya bimbang Sufi benar-benar maksudkan apa yang diucapkannya.

"Betul kak Muni. Kereta ni tak boleh hidup. Kita memang tak dapat pergi," sokong Ain. Saya kian cuak walaupun saya dapat merasakan mereka berdua berpakat untuk mengenakan saya dan Syuhada.

"Cuba fikir, kita nak pergi dengan apa?" tambah Sufi. Saya cuba menyembunyikan kekecewaan dengan makan.

"Lepas makan, kita siap-siap ke terminal untuk balik ke kuantan,"

Tidak lama kemudian dua buah kereta memasuki perkarangan Mahallah Maryam. Tahulah saya, Sufi bergurau. Saya menghela nafas lega.

Alhamdulillah, dengan bantuan beberapa sahabat dari UIA Gombak, kami berjaya memperoleh sebuah kereta sewa lain. Terima kasih buat Mahirah, Afiqah, Saiful, Lukman, Munzir, Faiz dan tiga orang lagi yang saya tak ingat namanya.

Sufi berjaya buat saya tidak keruan. Lakonannya menjadi walaupun tidak sepenuhnya berjaya.

Perjalanan ke sana memakan masa lebih tiga jam. Hati saya berdebar-debar. Keinginan untuk bersua muka dengan kedua-dua orang tua arwah kian menebal. Saya tidak mampu melelapkan mata sepanjang perjalanan walaupun keletihan masih tersisa pada tubuh.




Lebih tujuh buah kereta tersusun elok di perkarangan rumah Pak Cik Marwan waktu saya tiba. Sahabat-sahabat lain sudah mula menunggu di ruang tamu. Muslimat duduk di bahagian dalam manakala muslimin berada di ruang hadapan. Kehadiran kami disambut oleh ibu arwah. Masyaallah, muka arwah saling tak tumpah wajah ibunya. Sebelum ini saya hanya mendengar tentang hal itu dari mulut orang saja. Lama saya tenung wajah ibu arwah. Saya tercari tampang tubuh Pak Cik Marwan tapi tidak kelihatan.

Sejak terbaca artikel yang dipos oleh Saudari Syahirah dalam blognya, jalananapermusafiran.blogspot.com, ingin sekali saya bertemu dan mengenali kedua-dua orang tua arwah dengan lebih dekat. Kini hasrat itu tercapai.

Rupa-rupanya, kumpulan saya adalah kumpulan terakhir yang sampai. Sahabat-sahabat lain telah sedia menanti. Tanpa membuang masa lagi bacaan Ratib Hadad dimulakan.
Kami dijamu dengan nasi putih dan pelbagai jenis lauk pauk. Terima kasih buat keluarga Pak Cik Marwan kerana sudi menerima kehadiran kami.




Kemudian kami bergerak ke Tanah Perkuburan Islam Batu 23, Sekinchan, kawasan perkuburan di mana arwah dikebumikan. Hati saya benar-benar sayu. Melihat batu-batu nisan yang berceracak saya tiba-tiba gerun. Suatu hari saya pasti menjadi penghuninya. Mati itu pasti. Cuma, sebagai insan biasa saya tidak terlepas daripada melupakan rumah kecil itu. Lupa bahawa sana akan menghuninya kelak. Benarlah, mengingati mati itu membunuh kelazatan hidup di dunia.

Suasana tanah perkuburan tenang. Namun, bagaimana keadaan penghuni di dalamnya tiada siapa tahu. Sesetengah daripada mereka mungkin sedang berperang dengan kesakitan yang tidak terungkap. Manakala mungkin sebahagian lagi sedang berbahagia atas kepatuhan mereka pada perintah Yang Esa.

Sahabat-sahabat muslimat yang kami nanti-nantikan tidak juga kunjung tiba. Jadi hanya kami berlima yang menziarahi kubur arwah sebelum sahabat-sahabat muslimin mengambil alih. Tentu mereka punya lebih banyak kenangan dengan arwah dan sudah tentu mereka jauh lebih merasakan kehilangan arwah. Selepas menyedekahkan al-fatihah buat arwah kami kembali ke rumah Pak Cik Marwan kerana kereta salah seorang ahli kembara tiba-tiba bermasalah.

Sambil menunggu kereta sahabat saya ini dibaiki, saya menunggu di ruang dalam rumah, tempat kami menjamu selera tadi. Perilaku adik bongsu arwah, Najmuddin menarik minat saya. Kanak-kanak berusia lapan tahun yang dipanggil udin oleh keluarganya itu sedang berbaring di bawah katil sambil menyanyi-nyanyi. Wajahnya ditutup apabila kami mengintainya. malu agaknya. Merdu suaranya saya tidak nafikan.

“Nabil, waktu kecil-kecil dulu suka menyanyi, macam Udin ni,” maklum Mak Cik Norida. Saya mengambil tempat duduk Mak Cik Norida sebaik sahaja wanita itu bangun bagi mendapatkan air untuk sahabat saya, Sufi yang kehausan. Dari kedudukan itu, suara Udin jelas di pendengaran saya. Dan di belakang saya Pak Cik Marwan sedang duduk bersandar di atas sebuah kerusi. Barulah saya dapat melihat wajah ayah arwah dengan jelas.

Saat itu,air mata saya berladung perlahan-lahan gugur tanpa dapat ditahan lagi. Entah mengapa. Itu kali pertama saya menangis sejak arwah pergi. Malam saya mendapat khabar arwah menghembuskan nafas terakhir, saya sekadar sebak. Ketika itu, saya sedang menghadapi konflik lain yang mencuri sebahagian besar perhatian saya.

Saya perasan Pak Cik Marwan melihat pada saya. Cepat-cepat saya kesat air mata dan berpura-pura senyum. Namun air mata ini kian menjadi-jadi. Saya bangun dan beredar sehingga suara Udin tidak lagi kedengaran. Suara itu yang membuatkan saya sebak.

Sepanjang arwah sakit, saya langsung tidak berkesempatan untuk melawatnya. Malah, saya berkeyakinan bahawa arwah akan sembuh. Hanya kiriman doa dan solat hajat yang mampu saya hulurkan. Ternyata, Allah jauh lebih menyayanginya.

“Usu nangis ke?” tegur andak. Saya letakkan jari di bibir sebagai isyarat menyuruh andak diam. Bimbang makin ditegur makin menjadi-jadi pula tangisan saya. Andak mengangguk-angguk tanda faham. Berkali-kali saya beristighfar.

Sebelum berangkat pulang, diadakan perjumpaan antara muslimin dan muslimat. Sufi masih di dapur.

Rupa-rupanya, Sufi bukan sekadar dapat minum air malah dapat ber’sharing moment’ dengan Mak Cik Norida. Menyesal betul saya tidak temankan Sufi tadi. Memang saat itu saya tunggu-tunggu sejak menjejakkan kaki ke rumah arwah. Apa yang dikongsi oleh Mak Cik Norida tidak ubah seperti apa yang saya baca di blog jalananpermusafiran.blogspot.com. Walaupun begitu saya ingin sekali dengar tentangnya daripada mulut Mak Cik Norida sendiri.

Apa yang paling saya kagum tentang arwah ialah arwah mampu menenangkan emaknya yang runsing. Walaupun arwah sendiri tenat. Berbeza benar dengan saya. Sakit sikit pun saya sudah telefon ibu dan mengadu.

“apa-apa jadi kat Nabil nanti, mak redha ye mak,” Antara dialog yang Sufi cerita semula dalam kereta dalam perjalanan balik tempoh hari.

"Nabil ni, tak suka menyusahkan orang," tambah Sufi.

"Adiknya, Udin langsung tak boleh dengar orang sebut fasal Nabil. Dia akan sedih dan nangis,"

Arwah seolah-olah sudah bersedia untuk kembali bertemu Yang Esa. Seolah-olah arwah telah bersedia untuk berhadapan dengan malaikat maut. Saya bagaimana? Sedang saya tahu mati itu datangnya tiba-tiba. Tapi jika ditanya sama ada saya bersedia atau tidak tentu saja jawapannya tidak. Saya terfikir-fikir bila agaknya saya akan bersedia? Sedang dalam Al-Quran Allah menyatakan bahawa kebanyakan manusia tidak sangka yang dia akan mati di saat malaikat maut mencabut nyawanya. Lalu merayu-rayulah mereka kepada Allah untuk kembali ke dunia dan beramal. Namun, sudah tentu perkara itu tidak akan terjadi. Setiap anak Adam yang meninggal dunia tidak akan lagi hidup semula.

Saya meninggalkan perkarangan rumah arwah dengan pandangan sayu. Mungkin itu kali pertama dan terakhir saya menjejakkan kaki ke situ.

Sepanjang perjalanan pulang air mata saya menitis. Sukar sekali untuk saya jelaskan kenapa. Saya banyak diam. Untuk mengelakkan sahabat-sahabat mengesan perubahan saya, saya pura-pura tidur.

Seperti yang pernah saya nyatakan dalam entri sebelum ini, saya tidak pun berbicara dengan arwah Nabil. Tidak pernah sekelas dengannya. Sejak di Darul Quran sehinggalah di Matrik. Hanya sekali-sekali bertembung di jalan. Namun, saya rasa dekat sekali dengan arwah. Mungkin kami dihubungkan oleh tali aqidah dan dasar perjuangan yang sama. Wallahu ‘alam.

Apapun, kembara saya ke Sekinchan bukan kembara yang sia-sia. Pemergian arwah pada malam Jumaat membuatkan saya optimis bahawa hidup arwah berakhir dengan husnul khatimah. Saya dapat melihat sendiri peribadi kedua-dua orang tua arwah yang mana saya percaya merupakan antara penyumbang terbesar kepada keelokan peribadi arwah sendiri sehingga dijemput oleh Allah sedemikian rupa. Antara amalan arwah yang saya tahu, mulutnya tidak pernah lekang dari zikir dan selawat. Kerana keyakinan saya ini saya gagahi untuk turut serta dalam kembara kali ini. Pemergian arwah memotivasikan saya untuk turut sama mengejar khatimah yang mulia. Saya percaya kita juga ingin khatimah yang indah. Sama-sama kita berusaha dan berdoa kerana kita diberikan ruang ikhtiar oleh Allah taala untuk merencana khatimah hidup kita.

Semoga arwah bahagia di sana. Al-Fatihah....