Saturday, June 28, 2008

Teladan Dari Burung


Ketika api sedang marak menyala untuk membakar tubuh suci Nabi Ibrahim A.S, kelihatan seekor burung kecil tekun berulang-alik antara nyalaan api menggunung itu dan satu tempat lain. Burung kecil itu sibuk amat. Tidak terpancar rasa putus asa walau sedikit. Letih pun tidak. Apa yang dilakukan oleh burung kecil ini?

Rupa-rupanya burung itu sedang mengangkut air dengan paruhnya yang kecil. Tetapi untuk apa?

Untuk memadamkan api yang sedang menggila menjilat batang tubuh nabi Allah Ibrahim. Hasilnya pasti sia-sia tidak berlaba. Mana mungkin air yang dibawa menggunakan paruh burung kecil ini mampu menundukkan marak api itu.

“Sungguh sia-sia uasahamu wahai burung kecil. Kau tidak akan dapat memadamkan api itu. Tidak sama sekali,”

Burung kecil itu tidak peduli. Dengan tenang dia menjawab.

“ Aku tahu aku tidak mampu memadamkan api ini, tetapi sekurang-kurangnya aku punya hujah apabila berhadapan dengan Allah kelak jika ditanya apa usahaku untuk membantu Nabi Allah Ibrahim yang berada dalam kesusahan,”

Begitulah, bertapa burung kecil itu sedar akan tanggungjawabnya. Bertapa burung kecil itu takut akan bicara di padang mahsyar oleh hakim paling agung.

Apatah lagi kita yang telah melafazkan dua kalimah syahadah ini. Bukan sahaja dikurniakan dengan dua nikmat terbesar yakni iman dan Islam, bahkan kita dikurniakan dengan nikmat akal untuk berfikir. Kita makhluk istimewa antara ciptaan-ciptaan Yang Esa.

Kita dihidupkan oleh Allah dengan tujuan dan matlamat tertentu yakni untuk beribadah kepada-Nya. Sepertimana firman-Nya dalam surah Az-Zariyat ayat ke lima puluh enam yang bermaksud “ Tidak Aku ciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku”. Allah menyatakan bahawa manusia diciptakan sebagai khalifah dalam surah A-Baqarah ayat ke tiga puluh yang bermaksud “ Dan ingatlah ketika tuhanmu berfirman kepada para malaikat, Aku hendak menjadikan khalifah di muka bumi…”. Oleh itu, harus diingati, kita tidak dijadikan untuk perkara yang sia-sia melainkan terpikul satu beban dan amanah dibahu masing-masing.

Solat, puasa, zakat dan menunaikan haji merupakan sebahagian taklifat yang telah dipertanggungjawabkan kepada setiap individu yang nengucapkan kalimah syahadah. Namun, adakah itu sahaja tanggungjawab kita?
Tentu sekali tidak. Allah menjadikan manusia terdiri daripada pelbagai kerenah dan keadaan. Ada yang baik. Ada yang jahat. Justeru, usaha islah dan dakwah perlu dimainkan. Bagi mereka yang dicampakkan hidayah dan diberi kelebihan ilmu oleh Allah, mereka perlu membimbing manusia-manusia lain yang masih samar jalan menuju keredaan Ilahi. Tidak patut mereka hanya berdiam diri, beruzlah mengasingkan diri sedang banyak lagi manusia menagih bimbingan golongan ini.

Usaha islah dan dakwah bukan suatu perkara yang mudah. Kepada mereka tidak dibentangkan permaidani merah mahupun hamparan baldu. Sebaliknya jalan-jalan yang dilalui penuh kaca dan paku serta berliku. Kalau tersalah langkah boleh membawa padah pada diri sendiri. Kesan atau hasil usaha dakwah yang dilaksanakan kadang-kadang mengecewakan dan tidak seperti yang diharapkan.Kerja-kerja yang dilakukan di jalan ini juga tidak dibayar, kita yang perlu membayar malah!
Kesampingkan semua itu. Paling penting, kita mengorak langkah melaksanakan usaha dakwah dan islah walaupun kecil dan sedikit. Biar sekadar sebaris ayat mahupun sepatah kata. Usaha yang kita rasa kecil Dia lihat besar. Usaha yang kita rasa besar, tetapi Dia lihat kecil. Penilaian tuhan, siapa tahu. Jadikan usaha burung kecil itu sebagai teladan. Biar kecil tapi berjiwa besar. Jangan besar tapi berjiwa kecil!

No comments: