Karena kau menulis..., suaramu takkan padam ditelan angin, akan abadi, sampai jauh,jauh di kemudian hari..- Pak Pramoedya Ananta Toer-
Tuesday, June 10, 2008
Apabila Memiliki Terkadang Tidak Kita Hargai
Pada awal bulan Mei saya dikejutkan dengan berita pemergian tok su. Tidak disangka-sangka pada pengakhiran bulan itu, kakak arwah tok su yakni nenek saya dijemput Ilahi. Saya rasa terkilan amat. Pagi Jumaat 30 Mei nenek membebel seperti biasa kerana saya tidak bersiap lagi sedangkan saya akan naik bas 9.30 pagi. Ayah yang pergi menghantar ibu bekerja juga tidak pulang lagi sedangkan jam menghampiri pukul 8.45 pagi. Perjalanan dari rumah saya ke stesen bus mengambil masa dalam setengah jam. Sebelum bertolak, saya bersalam dan mencium pipi nenek seperti kebiasaannya apabila saya mahu pulang ke kampus. Tidak saya sangka pada pagi esoknya saya akan mencium pipi nenek yang tidak lagi bernyawa. Setepatnya saya pulang bukan kerana semester baru sudah bermula tetapi saya dipanggil untuk menjadi committee Taaruf Week. Sebaik saja saya selesai menunaikan solat asar di bilik ( masa itu saya sudah sampai di Kampus), adik saya telefon memaklumkan pemergian nenek. Saya meraung sekuat hati. Petang itu juga saya pulang semula ke rumah. Sepanjang cuti semester ini saya berada bersamanya. Saya tinggal dengan nenek sejak saya lahir. Saya rasa terkilan sebab saya banyak menyakitkan hatinya. Rasanya hari-hari terakhir nenek bersama saya, dia tidak gembira dan kesunyian. Kenangan bersamanya berputar dalam kotak memori. Apabila terpandang tempat tidurnya saya terkenangkan dia. Saya rasa bersalah. Petang Khamis sebelum saya pulang nenek kelihatan sedih apabila saya beritahu mahu pulang awal ke kampus. Selalu nenek minta temankan dia kerana dia sunyi lantaran saya gemar berada dalam bilik. Ucapan itu diulang acapkali dan setiap kali itu pasti saya merungut kerana merasakan nenek menganggu kerja saya. Maafkan segala kekasaran dan tingkah biadap saya nenek. Saya rasa kehilangan kini. Terasa sekali kehilangan. Setelah nenek pergi saya selalu rindukannya tetapi sewaktu dia masih hidup jarang-jarang saya temankan dia berbicara. Begitulah lumrah manusia. Apabila memiliki jarang kita menghargai. Apabila hilang baru kita menyesal dan mencari. Selepas ini tiada lagi kedengaran nenek memanggil saya. Tiada lagi petua-petua kesihatan menerjah ruang pendengaran. Tiada lagi dendangan syair berkumandang. Saya pasti merindukan semua itu. Moga nenek bahagia di sana. Saya coretkan tentang perkara ini dalam entri kali ini kerana saya sangat rindukan nenek sehingga ke saat ini. Maafkan saya nenek andai saya tidak dapat menceriakan dan membahagiakan hari-hari tuamu sebagaimana nenek cuba membahagiakan hari-hari kecil saya….
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment