Sunday, March 29, 2009

Madu Oh Madu

Bismillahirrahmanirrahim...
“Apa yang kamu makan akan diterjemahkan kepada perangai” Ini sabda Nabi Muhammad SAW 1400 tahun yang lalu. Ini mungkin salah satu jawapan yang saya cari mengapa generasi hari ini semakin hilang adab semakin terkuras akhlaknya.
Hari ini kita tidak begitu cakna dengan apa yang kita sumbat ke dalam mulut kita. Kita tidak mengambil kisah apa bahan-bahan yang menjadi komponen utama dalam makanan yang kita ambil seharian.
Pernah anda perhatikan anak-anak kecil yang baru belajar meniarap, merangkak dan berjalan? kanak-kanak dalam usia ini cukup gemar memanjat apa-apa sahaja yang dilihatnya bukan?
Bayi yang lahir akan diberikan sebanyak enam suntikan imunisasi. Suntikan yang kelima yang diberikan kepada bayi ini dipecayai diperolehi daripada monyet.( ini apa yang saya perolehi daripada seminar yang saya hadiri. Mungkin sahabat-sahabat yang berkecimpung dalam bidang ini lebih tahu dan mendapati fakta ini salah. Pembetulan daripada kalian amat-amat dialu-alukan). Kita adalah apa yang kita makan.
Agak-agaknya, sifat malas yang kita miliki hari ini datangnya daripada mana? Ramai yang pasti kan menjawab sifat itu datangnya daripada diri kita sendiri. Namun kalau saya katakan sifat itu datang daripada sejenis haiwan yang bernama khinzir bagaimana? Sedar atau tidak sesetengah makanan ataupun ubat-ubatan yang kita ambil hari ini masih tidak terlepas daripada unsur-unsur yang diambil daripada binatang ini. Kita adalah apa yang kita makan.
Apa yang dapat saya simpulkan ialah pemakanan bukanlah suatu persoalan yang remeh. Sikap kita dibentuk oleh apa yang kita makan. Maka, sudah itba masanya kita kembali meneliti apa yang Rasulullah SAW makan dan yang baginda minum dalam rangka melahirkan keperibadian seindah baginda.


MADU
Daripada Aisyah ra “Adalah minuman yang paling digemari oleh Rasulullah SAW itu ialah madu” hadis riwayat Bukhari.
Lebah adalah makhluk Allah yang amat menakjubkan. Masyarakat lebah amat dikenali sebagai satu kelompok masyarakat yang berdisiplin, komited, dan rajin bekerja. Lebah mempunyai satu system kehidupan yang cukup teratur. Setiap kali sebelum keluar untuk mencari madu, mereka akan bermesyuarat terlebih dahulu untuk menentukan madu dari bunga jenis apa bakal mereka hisap. Setelah kata putus diperolehi di dalam mesyuarat, maka bertebaranlah para lebah ini mencari madu dari bunga yang telah dipersetujui.


Apabila seekor lebah telah menjumpai bunga yang mereka cari, lebah ini akan menghubungi lebah-lebah yang lain untuk datang ke tempat itu. teknologi yang dimiliki oleh lebah ini jauh lebih maju daripada telefon bimbit yang telah dicipta oleh manusia hari ini. Di pintu masuk sarang telah ditugaskan seeokr lebah yang bertindak sebagai pengawal. Setiap lebah yang pulang dari mencari madu akan diperiksa terlebih dahulu. Andai didapati lebah itu telah menghisap racun atau memilik racun, maka lebah itu akan dibunuh serta merta. Bertapa kualitit madu yang mereka hasilkan itu cukup berkualiti dan terjaga. Adalah penting untuk dinyatakan di sini bahawa jumlah madu yang dihasilkan oleh lebah melebihi keperluannya. Persoalannya mengapa lebah tidak mengawal penghasilan madu yang akhirnya hanya menyebabkan pembaziran dan pembuangan tenaga? Jawapannya terdapat dalam satu firman Allah taala:
“Hendaklah kamu membuat sarangmu di gunung-gunung, di pokok-pokok kayu dan juga di bangunan-bangunan dan buah-buahan (yang kamu sukai) serta turutlah jalan-jalan peraturan tuhanmu yang diilhamkan dan dimudahkannya kepadamu dengan itu akan keluarlah minuman (madu) yang berlainan warnanya dari dalam badannya yang mengandungi penawar bagi manusia daripada pelbagai jenis penyakit. Sesungguhnya pada yang demikian itu ada tanda(yang membuktikan kemurahan Allah) bagi orang-orang yang mahu berfikir. (An-Nahl: 68-69)
Madu adalah salah satu tanda kasih sayang Allah kepada manusia selain menjadi bukti kebesaran –Nya.

Dalam satu riwayat yang dinukilkan oleh Abu Said Al-Khudry ra, beliau telah berkata:
“seorang lelaki telah datang menemui rasulullah SAW untuk mengadu tentang sakit perut yang dihadapinya oleh saudaranya. Kata lelaki itu, saudaraku sakit perut. Rasulullah SAW telah bersabda kepada beliau, berikanlah dia minum madu. Lelaki itu pun memberikan madu kepada untuk diminum oleh saudaranya itu. kemudian beliau datang lagi berjumpa dengan Rasulullah SAWdan berkata Aku telah memberinya minum madu tetapi perutnyam masih sakit. Rasulullah Saw berkata lagi kepada lelaki itu, berikan dia minum madu. Kemudian lelaki itu datang lagi dengan pengaduan bahawa penyakit perut saudaranya itu masih juga belum sembuh. Demikianlah yang dilakukannya sehingga tiga kali. Rasulullah SAW masih menyuruh supaya diberikan madu kepada saudaranya itu. lelaki itu tetap juga datang dengan pengaduan yang serupa. Dengan demikian, Rasulullah SAW telah bersabda, Allah Maha Besar, perut saudaramu telah berdusta” hadis riwayat Muslim.
Menurut para ulama, dalam perut lelaki itu terdapat sisa –sisa makanan yang menyebabkan perutnya memulas sakit. Oleh sebab sifat madu itu panas, maka ia menyebabkan perut lelaki itu semakin sakit dan memulas-mulas apabila minum madu beberapa kali. Pada hakikatnya, madu itu sedang ertindakan balas dengan perutnya dengan menghancurkan sisa makanan tadi lalu dibuang melalui saluran najis. Maka barulah pulih perutnya dan dia kembali tenang .

Kandungan Madu
· Gula
· Ragi
· Vitamin A
· Vitamin D
· Vitamin E
· Vitamin K
· Vitamin B1
· Vitamin B2
· Vitamin B3
· Vitamin B5
· vitamin B6
· Zat asam Ful
· Vitamin H
· Vitamin C
· Zat garam galian
Madu ialah penawar yang turun bersama wahyu. Sehingga hari ini, semua hospital di Israel telah menggunakan madu sebagai salah satu ubatan yang wajib diberikan kepada para pesakit yang dinamakan ‘lifemale honey’. Selama tiga puluh tahun mereka menjalankan kajian ke atas madu lebah dan kini mereka mula mengamalkannya. Ayuh sahabat-sahabat yang masih belum mengamalkan makan madu, mari kita amalkan mulai hari ini!

Saturday, March 28, 2009

Handphone Oh Handphone

Bismillahirrahmanirrahim...

Alhamdulillah dengan izin Allah Taala, saya berkesempatan menghadiri dua majlis ilmu. Pertama Kuliah yang disampaikan oleh Syeikh Nuruddin Al-Marbu Al-Banjari pada 27 Mac 2009 dan yang kedua Seminar pemakanan dan perubatan Islam yang disampaikan oleh Saudara Iqbal(saya tidak ingat nama penuhnya) pada 28 Mac 2009.


Kuliah yang disampaikan oleh Syeikh Nuruddin lebih mengenai adab-adab menuntut ilmu. Walaupun dijadualkan Syeikh Nuruddin untuk membincangkan salah satu buku yang ditulis oleh beliau iaitu “Martabat Ilmu dan ulama serta adab-adab penuntutnya”, Syeikh lebih menekankan tentang adab-adab menuntut ilmu.


Ketika ditawar oleh Jibril As samada untuk menjadi seorang Rasul sekaligis seorang pemerintah atau menjadi seorang rasul sekaligus seorang hamba, Rasulullah SAW memilih untuk menjadi seorang rasul dan seorang hamba. Nabi Muhammad adalah insan teladan. Seluruh kehidupan bagi bermula dari bangun tidur sehingga tidur semula penuh dengan tatatertib dan adab kesopanan yang tiada tolok bandingnya. Kerana adab dan akhlak terpuji inilah baginda diangkat menjadi Kekasih Allah melebihi darjat nabi-nabi lain.


Saidina Abu Bakar satusatunya makhluk Allah di atas muka bumi ini yang mendapat gelaran As-siddiq. Ketika Rasulullah SAW jatuh gering yang amat sangat sehingga menyebabkan baginda pengsan beberapa kali setelah mengambil wudhuk, Saidina Abu Bakar telah mengimami solat jemaah di masjid. Maka dipapah oleh Saidina Ali dan Abbas ke masjid. Mengetahui Rasulullah SAW telah tiba di masjid, Saidina Abu Bakar berundur dari tempat imam bagi member I laluan kepada Rasulullah SAW walaupun Baginda telah meminta Abu Bakar untuk terus ditetap di tempat imam. Apabila ditanya oleh Rasulullah SAW mengapa Abu Bakar bertegas untuk berundur dari menjadi imam walaupun Rasulullah SAW meminta beliau untuk terus tetap menjadi imam, dijawab oleh Saidina Abu Bakar “tidak pantas untukku terus berada di didepan dan mengimami solat sedang di belakangku iallah seorang rasul Allah,”.


Ketika Saidina Abu Bakar tiba di Yathrib bersama Rasulullah SAW, beliau bertindak memayungi rasulullah Saw bagi mengelakkan penduduk Yathrib ketika itu salah anggap bahawa beliau adalah Rasulullah SAW lantaran perawakannya yang kelihatan lebih tua berbanding Rasulullah SAW. Ini sekadar beberapa contoh bertapa beradabnya Saidina Abu Bakar dengan baginda Rasulullah SAW sehingga melayakkan beliau dianugerahkan oleh Allah taala dengan gelaran As-Siddiq.



Imam Malik tetap meneruskan pengajiannya walaupun pada kakinya terdapat tidak kurang daripada tujuh belas gigitan kala jengking. Malah Imam Malik tidak bangun memberikan perghormatan ketika Khalifah Harun Al-Rashid tiba di majlis ilmu yang sedang disampaikannya. Terdapat tidak kurang daripada tujuh ratus ekor unta yang diparking di luar temat Imam Malik sedang mengajar.


Imam Syafie menyelak helaian buku dengan perlahan demi memastikan perbuatannya tiada bunyi terhasil ketika beliau menyelak helaian kertas sehingga didengari oleh Imam Malik yang sedang mengajar ketika itu. Imam Syafie menjadi ulama terkemuka kemudiannya.


Beberapa kisah umat terdahulu yang diberikan oleh Syeikh Nuruddin. Adab yang ditunjukkan tiada tolok bandingnya sehingga mereka diberikan sebesar-besar ganjaran kepada Allah.
Bagaimana pula dengan kita adab kita dengan guru? Adab kita dalam kelas? Adab kita dengan ilmu?


Antara yang Syeikh Nuruddin tekankan ialah penggunaan handphone. Sebelum memulakan kuliah, Syeikh Nuruddin memesan kepada pengerusi majlis untuk mengingatkan hadirin agar mematikan handphone dan memenuhkan ruang kosong di hadapan. Malah di masjid-masjid, selain berpesan kepada makmun untuk lurus dan rapatkan saf, Imam terpaksa juga mengingatkan hadirin untuk mematikan handphone. Dalam persidangan UMNO pun antara yang dipesan oleh pengerusi dewan kepada siding dewan ialah mematikan handphone atau meletakkan silent mode pada handphone masing-masing bagi mengelakkan gangguan.

Bertapa teknologi yang sepatutnya membantu kita dalam kehidupan seharian turut

menyusahkan kita dalam sesetengah perkara. Pulang dari kuliah, saya mula berfikir. Apakah yang menjadi punca hilangnya adab kesopanan kita? Tidak kira dengan para guru, adab ketika menuntut ilmu(dalam konteks pelajar adab di dalam kelas) dan adab kita dengan ilmu itu sendiri. Kenangan sewaktu di sekolah menengah dan ketika di matrik sendiri berputar kembali dalam benak saya. Kerana hilangnya adab, hilanglah keberkatan ilmu. Maka biarpun pada zahirnya kita nampak berjaya tetapi hakikatnya kita gagal. Gagal untuk mendapat kebaikan yang bertambah-tambah. Gagal menambah keimanan dan kataqwaan kepada Allah seiringnya bertambahnya ilmu yang kita pelajari. Di seluruh pelosok dunia kita mendengar berlakunya jenayah kolar putih. Jenayah yang dilakukan oleh mereka dari golongan bijak pandai. Persoalannya, adakah kerana teknologi yang kian canggih ini menjadi asbab tercabutnya adab dalam diri kita hari ini?

Tuesday, March 24, 2009

Kuatnya Seorang Ibu

Pagi ahad lalu, saya bersama ibu pergi berjogging di Cheruk Tok Kun. Tinggi juga kami mendaki bukit tapi tidak sampai ke puncak. Lebih kurang sejam mendaki kami berhenti berehat dan kemudian turun semula. Kami langsung menjemput adik saya yang tuition dekat Bukit Mertajam. Saya rasa betul-betul letih. Pulang ke rumah terus masuk kebilik cadangnya hendak tidur. Sedang ibu memandu lagi untuk hantar adik bongsu saya pergi tuition pula. Belum pun sempat saya melelapkan mata, sepupu saya pula datang. Tak molek pula rasanya saya nak tidur sedang ada tetamu di rumah. ibu pula belum pulang. Saya turun buatkan air dan berbasi-basi dengan sepupu saya. Ibu pulang tidak lama kemudian. Terus ibu ke dapur untuk masak tengahari memandangkan jam sudah melebihi pukul 12 tengah hari. Mahu saja saya naik ke atas dan tidur, tetapi melihatkan ibu yang tidak henti-henti buat kerja saya jadi malu sendiri. Lalu saya ke dapur untuk tolong ibu apa yang patut. Sebaik sahaja siap masa dan kebetulan sepupu saya pun telah pulang kerana ada urusan, saya tidak tunggu lama, terus naik atas bersihkan diri dan bersolat. Saya nak berehat sangat. Tapi tidak ibu, siap masak ibu lipat kain pula dan bersiap untuk jemput adik bongsu saya pulang dari tuition. Balik dari situ, ibu hantar adik saya yang second last pulang ke asrama. Kemudian ibu hadiri jemputan kenduri dari seorang saudara. Saya lihat ibu langsung tidak berkesempatan untuk rehat. Ibu tak letih kah? Tanya saya sendirian. Sedangkan sibu mendaki bukit bersama-sama saya pagi tadi. Ibu yang memandu kereta. Begitulah kuatnya seorang ibu. Tanggungjawab yang terpikul di bahu membuatkan mereka terus kuat dalam lemah. Cuti kali ini saya akan manfaatkan betul-betul untuk membantu ibu dan ayah. Terima kash ibu atas jasamu yang tidak terbalas!

Monday, March 16, 2009

CERPEN : TIFLUN SAGHIR

Bismillahirrahmanirrahim...

Cerpen ini tersiar dalam majalah Jendela Utara terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka(DBP). Saya terbaca iklan yang disiarkan dalam akhbar utusan Malaysia mengenai ruangan untuk menghantar karya dalam majalah ini. Majalah Jendela Utara ini merupakan buletin yang diterbit oleh DBP di bahagian Utara tanah air. Tidak terdapat di pasaran begitulah menurut pihak DBP yang menghubungi saya beberapa hari setelah saya kirimkan cerpen ini. Edarannya terhad. Saya sendiri tidak berpeluang melihat bagaimana rupa bentuk majalah ini lantaran beberapa masalah teknikal pihak DBP tidak dapat menghantarnya untuk saya seperti yang dijanjikan. Walaubagaimanapun bayaran honorarium telah saya terima, Alhamdulillah.. semoga bermanfaat buat pembaca yang singgah di laman blog saya!

Setelah mendapatkan beberapa buku yang aku inginkan di kedai buku Daarut Tauzi’,aku menaiki bas pulang ke rumah sewaku di Hay El Asher, kawasan paling banyak didiami oleh mahasiswa dari Asia Tenggara di bumi Anbiya’ ini. Ketika bas melewati pasar Sayyeda Zainab, semakin ramai penumpang menaiki bas. Ruangan dalam bas yang sedia sempit tambah berhawa dan merimaskan. Peluh yang bergeluyutan di dahi segera kuseka dengan tuala kecil yang sentiasa kubawa dalam poket seluar. Sebaik sahaja sampai di rumah aku meletakkan buku-buku yang kubeli di atas meja di ruang tamu dan meluru ke dapur. Peti sejuk kuselongkar. Mujur laban pemberian Ammu Hassan semalam masih berbaki. Pantas kuteguk habis.Ammu Hassan seorang peniaga di kawasan tempat aku menetap. Lelaki berjanggut lebat dan berbadan gempal itu peramah amat. Sesiapa sahaja pasti menyenanginya apabila bergaul dengannya. Satu kebiasaan orang Arab yang kuperasan, mereka cukup teruja dengan orang yang berkebolehan mempercantik dan memperelokkan bacaan Quran, atau dalam bahasa mudahnya orang yang punya suara yang merdu. Entah daripada siapa Ammu Hassan mengetahui aku miliki kurniaan Allah yang satu itu. Mungkin teman-teman serumahku yang mengkhabarkan kepadanya. Kebetulan, kami sendiri agak rapat dengan lelaki kelahiran Cairo itu. Setiap kali aku berkunjung ke kedainya, dia akan meminta aku membacakan beberapa potong ayat Al-Quran. Apabila permintaannya kupenuhi, dia memberi kepadaku laban atau tha’miyah bil baidh sebagai upah. Kadang –kala diberinya a’sir a’sob.
Aku baru sahaja beberapa hari tiba di Mesir setelas pulang bercuti di tanah air. Teman-teman serumahku lain belum pulang lagi kecuali Hadi dan Khairul. Entah ke mana dua rafikku itu pergi. Sejak pulang tadi, kelibat mereka langsung tidak kelihatan. Aku menghenyakkan tubuh di atas katil. Lebih kurang setengah jam lagi waktu Asar akan menjelang. Cadangnya, aku mahu melelapkan mata seketika buat menghilangkan penat yang menghinggapi tubuhku. Namun, mataku tidak mahu pejam. Ingatanku melayang kembali ke kampung halaman dan singgah pada wajah kanak-kanak bermata bundar itu . Wajahnya memenuhi segenap jihat ingatanku. Ya, tiflun saghir itu!

*************************************************************************************
“ mengapa adik bersendiri di sini? Mengapa tidak bermain bersama-sama kawan –kawan lain? Mereka pulaukan adik ke?” bertalu-talu aku menyoal seorang budak yang kukira berusia dalam lingkungan tujuh tahun. Dia kulihat duduk memeluk lutut sambil menekur bumi tidak jauh dari sekumpulan kanak-kanak yang sedang asyik bermain galah panjang. Bagai ada suatu tarikan mendorong aku menghampiri kanak-kanak berwajah bening itu. Aku membatalkan niat untuk berjalan-jalan di persisiran pantai sebaliknya melabuhkan punggung tidak jauh darinya. Tidak semena-mena, butiran-butiran jernih menitis di pipi munggilnya. Aku kaget.
“ Mengapa ni?” tangisannya kian lebat. Aku mengusap lembut belakang tubuhnya dalam usaha memujuk.
“ Abang, Adi takut,” sedu sedan kedengaran di hujung suaranya.
“ Apa yang kamu takutkan?” lurah-lurah halus terukir di dahiku. Rasa bertembung dua keningku bagai bersatu.
“ Adi teringatkan firman Allah kepada orang-orang beriman supaya menjaga diri dan ahli keluarga mereka daripada bahang neraka. Adi takut dibakar dalam neraka,” aku terlopong. Mataku sedikit terbelalak. Atmaku diserbu mancarasa. Kagum bersulam gerun.
“ Sudah jangan menangis lagi. Kamu masih kanak-kanak. Masih belum akil baligh. Allah tidak akan menghumban kamu ke dalam neraka,” sambil mengesat air matanya, budak yang membahasakan dirinya Adi itu mendongakkan kepala memandang tepat ke wajahku. Fikirku, dia telah berjaya kupujuk.
“ Abang pernah melihat orang hidupkan unggun api? Yang pertama sekali mereka akan letak ialah ranting-ranting kayu yang kecil . Setelah api marak, barulah kayu-kayu atau dahan yang lebih besar dicampakkan. Sudah tentu kanak-kanak seperti Adi dahulu dihumban dalam neraka sebelum dibakar orang dewasa,”

Subhanallah! Berkali-kali kalimah itu mercup ditubir bibirku. Aku tidak menjangkakan kanak-kanak sepertinya mampu berfikir sejauh itu. Aku terpempan. Dengan esakan masih berbaki dihujung suara budak itu mohon diri pulang ke rumah meninggalkan aku dalam keadaan teruja.
Melalui beberapa kenalan, aku mendapat tahu Adi telah menghafal 30 juzuk Al-Quran. Malah mereka turut mendakwa Adi boleh bercakap dalam beberapa bahasa yang pelik sehingga dia dianggap sebagai budak ajaib. Pernah suatu ketika, Adi berkejar ke pantai menghalang para nelayan turun ke laut. Katanya laut bakal bergelora dan angin bakal menggila sedang ketika itu bukan musim tengkujuh. Amarannya dipandang sebagai gurauan anak kecil. Akhirnya, perkara yang dikhabarkan Adi benar-benar berlaku. Kumpulan nelayan yang turun ke laut terperangkap dalam ribut yang entah datang dari mana. Alhamdulillah , mujur tiada yang terkorban.
“ Adi mahu jadi apa bila besar nanti?” aku memgecilkan langkah kaki. Kasihan pula aku melihat Adi terpaksa berlari-lari anak mengejar langkahku. Angin petang berpuput mesra. Aroma air laut menerawang menerobosi indera bauku.
“ Adi mahu cipta satu satelit yang nenggunakan Al-Quran sebagai kata laluan. Nanti umat Islam dari seluruh dunia dapat berhubung sekaligus bersatu kembali. Setelah umat Islam bersatu, tiada sesiapa lagi yang berani memperlekehkan umat Islam. Malah, saat itu kita dapat mengulangi sejarah kegemilangan tamadun Islam yang pernah kita kecap sebelum jatuhnya empayar agung Utmaniyyah pada tahun 1924. Salahuddin al-Ayubbi kedua akan muncul untuk membebaskan kota suci Baitulmaqdis dan Adi berharap Adilah Salahduddin itu,” bicara Adi petah. Rasa kagumku kepada anak kecil ini kian menebal. Aku yang menyandang gelaran mahasisiwa Al-Azhar ini pun tidak pernah menyimpan visi dan misi hidup seperti Adi. Aku malu sendiri.
Adi mengingatkan aku pada suatu kisah yang berlaku kepada Amirul mukminin, Umar Abdul Aziz. Sewaktu awal pemerintahan Umar bin Abdul Aziz, telah datang berbagai-bagai rombongan dari seluruh pelusuk negara untuk menyatakan taat setia kepadanya. Satu rombongan dari Hijaz tiba, dan seorang kanak-kanak yang baru berusia 11 tahun tampil ke hadapan untuk bercakap. Umar Abdul Aziz meminta kanak-kanak itu berundur dan memberi laluan kepada orang yang lebih dewasa untuk berbicara. Budak itu menjawab sopan dengan berani.
“Semoga Allah kekalkan pemerintahan Amirul Mukminin!. Sebenarnya manusia itu dinilai dengan dua yang paling kecil pada dirinya, iaitu hati dan lidahnya. Jika Allah mengurniakan padanya lidah yang petah, hati yang kuat ingatan, maka sudah tentulah dia yang berhak bercakap. Wahai Amirul Mukminin, sekiranya semua perkara diukur dengan umur, nescaya di kalangan umat ini ada orang yang lebih berhak daripadamu untuk memegang jawatan khalifah.”
Umar Abdul Aziz tergamam dengan jawapan anak kecil itu sebagaimana aku terpana mendengar kasad murni Adi.
“ Mak cik, Pak Cik, Adi anugerah Allah yang istimewa. MaK Cik dan Pak Cik harus membantu Adi mengembangkan bakat yang dimiliki. Mungkin Pak Cik dan Mak Cik boleh bawa Adi ke ibu negara untuk mencari satu program yang boleh menyokong tahap perkembangan otaknya,” Berkerut-kerut wajah kedua-dua orang tua Adi. Aku tahu mereka tidak begitu mengerti maksudku. Aku tidak mengalah. Cutiku yang berbaki kuhabiskan ke sana ke mari untuk membantu Adi menempatkan diri di institusi yang layak untuk dirinya. Aku rasa bertanggungjawab membantu Adi. Anak kecil luarbiasa sepertinya perlu ditatang dan dijaga rapi. Jika umat Islam sendiri tidak menghargainya, dikhuatiri nanti pihak Barat yang mengambil peluang mendidik anak-anak genius ini untuk menjahanamkan Islam. Siapa yang tidak kenal dengan Sukarno, antara pemidato terhebat dunia. Sukarno, dengan idea NASAKOM-nya adalah anak genius Islam yang berjaya dilatih oleh Belanda untuk menghancurkan Islam. Begitu juga yang terjadi kepada Babrak Karmal, anak didik Rusia. Di bidang penulisan pula, musuh-musuh Islam telah dapat menyiapkan Hussien Heikal dan Naquib Mahfouz sebagai pedang untuk menikam Islam melalui mata pena. Aku tidak mahu Adi menerima nasib yang serupa dengan mereka.
Adi antara benih berharga dalam rangka menjana kebangkitan Islam kali kedua. Kebangkitan Islam di zaman Rasulullah SAW dahulu juga didokong oleh mukmin yang genius seperti Zaid bin Tsabit, Abu Hurairah, Abdul Rahman bin Auf, Salman Al Farisi, Umar Al-Khattab dan Ali bin Abi Thalib.
“ Bila abang akan balik ke kampung lagi?” sehari sebelum aku berangkat meninggalkan tanah air, Adi datang menemuiku.
“Entahlah Adi. Abang tak berani janji bila abang akan pulang lagi. Mungkin dua tahun lagi. Mungkin selepas tamat mengaji ,”
“ Abang, Adi berpesan buat diri abang dan diri Adi sendiri dengan wasiat yang diberikan oleh Sayyid Qutb kepada adiknya, Aminah Qutb. Abang, apabila kita hidup hanya untuk diri kita, maka hidup kita amatlah singkat. Bermula dengan bermulanya kita dan berakhir dengan berakhirnya umur kita yang terbatas ini. Tetapi, jika kita hidup kerana fikrah untuk menegakkan Deenul Islam di atas muka bumi ini, sesungguhnya hidup kita akan lebih panjang dan bermakna. Bermula dengan bermulanya manusia dan berakhir dengan pupusnya manusia di atas muka bumi Allah ini,”
Empanngan air mata yang kutahan akhirnya pecah jua mendengar nasihat Adi, anak kecil yang lebih sedekad muda dariku. Aku peluk tubuh Adi kejap.

“Saif, mahu a’sir a’sob tak?” kepala Khairul tersembul di muka pintu. Serta merta kenangan bersama Adi pecah berkecai dan tenggelam bersama gelengan kepalaku. Aku kelih jam di dinding. Tidak lama lagi azan Asar akan berkumandang. Selepas solat aku mahu segera bersiap menuju ke Masjid Uthman Ibn Affan di Heliopolis. Malam ini akan diadakan kuliah Syeikh Yusuf Al-Qardhawi di darul munasabat masjid itu. Dalam hati , aku berdoa Adi akan berjaya menggapai cita-citanya. Sungguh,Adi anugerah Allah buat umat Islam dan aku bersyukur kerana Allah pertemukan aku dengan tiflun saghir itu.



GLOSARI
Laban - susu
Ammu - pak cik
tha’miyah bil baidh - masakan khas mesir berbentuk sandwich isinya antara lain sayur, kentang
goreng, telur rebus yang dihancurkan dan campuran kacang hijau.
A’sir a’sob - jus tebu
Tiflun saghir - anak kecil/kanak-kanak
Rafik - teman/kawan

Thursday, March 12, 2009

Manikam Kalbu

Bismillahirrahmanirrahim…

Saya baru selesai membaca satu lagi karya Saudara Faisal Tehrani, “Manikam Kalbu”. Sungguh menikam kalbu dan cukup kelakar. Tak kering gusi membacanya. Seperti sebelum-sebelumnya, membaca karya Saudara Faisal memang tidak sia-sia. Banyak input-input baru yang saya peroleh.

Tergerak hati untuk berkongsi di laman sesawang ini satu perkara yang cukup menarik perhatian saya, iaitu tentang Ziryab. Rupa-rupanya masih banyak tokoh-tokoh terkemukaIslam suatu masa dahulu yang saya tidak tahu. Contohnya, macam Ziryab ini. Saudara Faisal meletakkan nama Ziryab ini pada watak remaja lelaki dalam novel Manikam Kalbu ini.

Ziryab merupakan nama pereka fesyen terkenal Islam di samping beliau juga seorang ulama. Nama sebenarnya ialah Abul Hasan Ali ibn Nafi. Beliau dilahirkan di Iraq pada tahun 789 Hijrah. Beliuau merupakan ahli muzik dan anak murid kepada ulama muzik terkenal Ishak al-Mausili ketika era kehebatan dinasti Abbasiyyah. Malah beliau sangat terkenal di Adalusia dan dikatakan orang yang bertanggungjawab memperkenalkan fesyen musim dingin dan fesyen musim panas.Juga fesyen untuk musim gugur dan musim bunga. Pada abad ke-9, Ziryab memperkenalkan suatu gaya rambut baru untuk para wanita di Al-Andalus: suatu yang lebih penduk, potongan berbentuk, dengan bangs di dahi dan telinga tidak ditutup. Ziryab membukakan beauty parlour pertama dan “sekolah kosmetologi” untuk para wanita berhampiran Alcázar, Al-Andalus. Ziryab mengajar para wanita di Al-Andalus "pembentukan bulu mata dan kegunaan depilatories untuk memindahkan rambut badan. Di samping itu Ziryab juga mencipta sejenis ubat gigi, yang dia memasyhurkan sepanjang Islam Sepanyol. Ramuan-ramuan tepat pada ubat gigi ini kini tidak diketahui, tetapi tidak seperti ubat gigi orang Mesir dan Rom, ubat gigi Ziryab dilaporkan "berfungsi dan menyeronokkan rasa”. Ziryab mencipta minyak wangi lelaki bawah lengan di Al-Andalus.

Secara ringkasnya novel ini berkisar tentang seorang remaja lelaki yang memiliki hasrat untuk memurnikan bidang fesyen kini yang semakin tidak ketahuan akibat diteraju oleh golongan yang juga tidak ketahuan.

Membaca novel ini mengingatkan saya perbualan saya dengan seorang sahabat suatu ketika dahulu mengenai islamisasi industri perfileman tanah air. Kita sering mengharapkan adanya atau berlakunya perubahan dalam industri filem negara kita atau dalam perkataan lebih mudah kita mengharapkan lebih banyak filem-filem Islamik yang dihasilkan. Lantang kita mencerca dan mengutuk habis-habisan filem-filem yang yang dibuat oleh saudari Yasmin Ahmad misalnya. Silapnya kita ialah kita hanya pandai mengutuk dan mengata. Sedang orang-orang yang pandai dalam hal agama tidak ada yang mahu terjun dalam bidang ini untuk membuat perubahan. Tetapi kita- terus-terusan mengharapkan berlakunya perubahan dalam indistri ini. Fikir-fikir. Renung-renung.

Diharapkan akan lahir lebih ramai golongan seperti Ziryab ini. Bagi sahabat-sahabat yang belum baca, ruang-ruangkanlah masa untuk baca. Insyaallah tidak sia-sia. Tidak semua novel yang menjaja cinta murah dan cerita entah apa-apa. Ada novel yang berkualiti dan banyak membantu memberi input berguna. Tinggal kita bijak memilihnya. Selamat Membaca!

Wednesday, March 11, 2009

Siswazah Menganggur : Salah Siapa ?

Bismillahirrahmanirrahim...

Tertarik saya dengan berita di muka hadapan akbar utusan Malaysia “ pakej RM60 billion”. Saya tidak begitu mengikuti perkembangan pembentagan pakej ransangan kedua bernilai RM60 billion bagi merangsang ekonomi dari terjerumus ke arah kemelesetan di Parlimen ini. Tetapi apa yang menarik perhatian saya ialah terhadap teras pertama bajet mini ini. Bajet Mini yang dibahagikan kepada empat teras itu akan dilaksanakan dalam tempoh dua tahun iaitu 2009 dan 2010.

- Teras pertama sebanyak RM2 bilion akan memberi tumpuan mengurangkan pengangguran dan menambah peluang pekerjaan;

- Teras kedua, RM10 bilion untuk meringankan beban rakyat terutamanya golongan mudah terjejas;

- Teras ketiga, RM29 bilion untuk membantu sektor swasta menghadapi krisis dan

- Teras keempat, RM19 bilion untuk membina keupayaan masa depan

Teras pertama dan kedua dalam Bajet Mini memberi tumpuan menyeluruh daripada soal memberi latihan, menjaga kebajikan dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada pekerja yang diberhentikan serta siswazah menganggur sehingga kepada subsidi tol, gula, roti dan tepung gandum.

Apa yang saya hendak highlightkan di sini ialah tentang siswazah yang menganggur. Mengapa siswazah boleh termasuk dalam golongan menganggur? Satu persoalan yang telah lama dilontarkan tetapi tidak pernah kunjung selesai.

Pada pendapat saya, ada dua factor yang menyumbang kepada berlakunya perkara ini. Pertama, factor didikan yang kita terima. Kedua, factor diri siswazah itu sendiri.

Rata-rata kita dapat lihat sangat kurang orang melayu menceburi bidang yang berisiko tinggi, perniagaan misalnya. Apa puncanya? Apabila diselidiki, rupa-rupanya sejak dari kecil kita telah didik untuk takut menanggung risiko. Cuba kita perhatikan, biasanya kita diberi penghargaan atau dalam erti kata lebih mudah, hadiah atas kejayaan kita dalam peperiksaan sebagai contoh Cara ini diterima pakai oleh majoriti ibu bapa dan pihak sekolah sama ada diperingkat sekolah rendah mahupun di peringkat pengajian tinggi. Jarang-jarang penghargaan diberikan atas usaha yang dilakukan. Malah anak-anak yang tidak berjaya diperlekeh dan direndah-rendahkan.Sedangkan ada dalam kalangan anak-anak ini yang tidak perlu terlalu pulun belajar tetapi boleh skor dengan cemerlang dalam peperiksaan.Ada pula dalam kalangan mereka yang belajar bagai nak rak tetapi hasilnya tidak seberapa.

Jadi anak-anak kecil ini akan set dalam minda mereka,’ jika aku berjaya maka akau akan dapat hadiah atau penghargaan.Jika aku gagal aku tidak mendapat apa-apa malah kejian dan hinaan orang pula tertimpa ke atas aku.’ Impaknya, mereka tidak akan memilih untuk melakukan sesuatu yang mereka yakin mereka akan menanggung kegagalan(berisiko) pada hari muka. Play save kata orang. Dengan mind setting ini mereka membesar dan dewasa. Inilah yang menyunbang kepada factor kedua yang akan saya sebutkan.

Factor kedua ialah diri siswazah itu sendiri.Apabila membesar dan dewasa, anak-anak ini menjejakkan kaki ke pusat pengajian tinggi dengan satu mind setting, ‘lepas keluar ini aku mesti bekerja dengan syarikat ini atau degan jabatan ini’. Ini disebabkan bekerja dengan orang lebih selamat. Kalau berlaku kerugian,kita kena tempias-tempias sahaja. Tidaklah kerugian itu tertanggung atas bahu kita. Berfikir untuk bekerja dengan orang berbanding membuka peluang kerja kepada orang. Ditambah pula dengan sistem pendidikan kita yang lebih ke arah melahirkan tenaga kerja mengikut pasaran semasa dari melahirkan manusia. Mentaliti hendak bekerja dengan orang ini telah melumpuhkan daya kreativiti dan semangat berdikari siswazah kita. Apabila keluar university dan gagal menepatkan diri di mana-mana syarikat swasta atau jabatan-jabatan kerajaan, kita jadi buntu hilang arah dan punca. Tak tahu nak buat apa.hendak bercucuk tanam rasa tidak padan dengan segulung sijil yang ada. Hendak bergelumang dalam lumpur rasa terlalu jijik dengan status mahasiswa yang disandang. Alih-alih tanam anggur di rumah sehingga kerajaan terpaksa membuat satu peruntukan pula untuk siswazah menganggur.

Mengubah mentality bukan satu kerja mudah tambahan pula telah lama ia berakar umbi dalam masyarakat kita. Tapi tiada yang mustahil selagi kita berkehendak akan ia. Mungkin mentaliti ibu bapa, guru-guru di sekolah dan pihak kerajaan perlu diubah terlebih dahulu sebelum kita mengubah cara berfikir siswazah kita.


Sebagai siswazah, kita perlu memiliki otak yang lebih bercabang dan rencam. Masih banyak bidang baru yang boleh kita ceburi dan teroka. Dalam bidang kewangan misalnya, dunia melihat dinar emas sebagai alternatif ataupun jalan keluar kepada kemelut krisis ekonomi yang melanda dunia hari ini. Seharusnya, siswazah tidak melihat krisis ini sebagai bala sebaliknya rahmat dari Allah. Siswazah perlu mempunyai pandangan menjangkau dimensi masa. Baru kita nampak di mana peluang dan ruang untuk kita mencipta kerja. Banyak tanah-tanah terbiar menanti kita berbudi padanya. Jika tiada kerja kitalah yang menciptanya! Jangan tunggu peluang tapi cari peluang. Seruan buat diri saya terutamanya dan siswazah di luar sana!

Monday, March 09, 2009

Kalau Maulid tak boleh, menyanyi pun tok tak kan bagi

Bismillahirrahmanirrahim…

Bersawang sudah rasanya blog saya ini selepas beberapa tempoh tidak di up date. Entah di sebabkan terlalu sibuk atau menyibukkan diri. Wallahu ‘alam.

Sekadar mencoret peristiwa yang berlaku pagi tadi sebelum bertolak pulang ke rumah dari rumah pak cik di Taiping. Di kaca tv, terpapar rancangan perarakan sempena Maulidur Rasul. Saya bersama Pak Cik, tok (panggilan untuk nenek bagi rata-rata orang utara), ibu dan adik sedang enak menjamah kuetiaw goring yang di masak oleh Mak Cik.

“Ada pulak perarakan untuk Maulid nabi ni,” Pak Cik bersuara. Saya mendongak kepala memandang tepat wajah Pak Cik.

“sebelum ni bergaduh. Sekejap boleh, sekejap tak boleh buat perarakan ni. Macam mana tu Munirah?” Pak Cik membalas pandangan saya bersama soalan yang tajam. Saya sekadar senyum dan kembali menyuap kuetiaw ke dalam mulut. Berat rasa mulut untuk memberi penjelasan atau lebih tepat memanjangkan isu yang bagi saya merugikan semua pihak.
“kenapa pulak tak boleh?” tok yang dari tadi mengambil sikap mendengar menyampuk perbualan. Mungkin setelah tiada respon dari saya. Saya memandang wajah tok pulak. Seperti tadi. Saya sekadar senyum dan sambung makan.

“kita buat maulid untuk ingat nabi. Apa salahnya. Nabi dan banyak berkorban untuk umat,” bersemangat tok yang seusia dengan Tun Dr Mahathir melontarkan pendapatnya. Saya masih tidak berminat untuk menyatakan pendirian atau pendapat saya. Lebih suka untuk mendengar.

“kalau tok jadi orang besar, kalau maulid tak boleh, menyanyi pun tok tak kan bagi,” ujar tok sambil tersengih menampakkan gigi–gigi yang masih berbaki. Saya terhenti dari menyuap kuetiaw ke dalam mulut. Wajah tok saya renung. Senyuman masih belum lekang dari wajah. Saya mengangguk-angguk kecil. Dalam hati saya mengiyakan apa yang dikatakan tok.

Tak sangka tok yang sudah senja usia boleh berfikir sejauh itu. bagaimana dengan kita?
Apa-apa pun Salam Maulidur Rasul saya ucapkan. Semoga roh perjuangan Baginda turut tumpah dalam segemap jiwa kita…