Monday, May 24, 2010

Keberkatan Yang Dikejar

Bismillahirrahmanirrahim....

“Masa bertunang nanti langsung hendak tentu belanja,” maklum Mak Long Ida pada ibu saya. Ketika itu, kami sekeluarga baru keluar dari sebuah pasaraya. Kebetulan kami terserempak dengan Mak Long Ida.

Hujung bulan ini, sepupu saya bakal mengikat tali pertunangan dengan jejaka pilihannya. Selepas bersalaman-salaman dengan Mak Long Ida, kami berpisah.

“Duit belanja tu apa ibu?” tanya saya. Kereta meluncur laju membelah kegelapan malam. Ibu mengajak kami sekeluarga makan tomyam di sebuah kedai makan.

Lama ibu diam. Bukan saya tidak tahu apa itu duit belanja. Cuma mahu tahu apa reaksi ibu tentang duit belanja ini.

“Entahlah. Ibu pun tak pasti mana tentang duit belanja ini. orang kata macam jual anak saja letak duit belanja ini,” respon ibu akhirnya. Saya sedikit terperanjat dengan respon ibu itu.

“Tentu belanja ini adat saja,” sampuk ayah pula. Kami tiba di sebuah gerai makan milik sebuah keluarga dari Patani.

“Ada seorang senior kakak di UIA, masa dia nikah dia tak minta duti belanja pun. Sedang suami dia seorangd doctor dan dia pun bukan calang-calang orang. Ada master lagi,” jolok saya. Saya susun kemas-kemas bait-bait bicara.

“Dia orang mana?” tanya ibu berminat.

“Ehm, dia orang Terengganu. Suami dia orang Kelantan,” jawab saya.

“Orang belah sana memang begitu. Depa tak letak belanja tinggi. Kawan-kawan ibu kata orang Kedah tinggi duit belanja depa,” sambung ibu. Saya kadar mengangguk-angguk kepala.

“Ada sepotong hadith nabi sentuh pasal hal ini. Nabi kata "Keberkatan wanita itu ialah cepat perkahwinannya, cepat pula kehamilannya dan ringan pula maharnya(mas kahwin)."

“Jadi, masa kakak nikah nanti, tak perlulah minta duit belanja ya,ibu!” ujar saya.

Ibu memandang wajah saya lama. Saya membalas pandangan ibu dengan senyuman.

“Agar lebih berkat,” sambung saya. Ibu diam terus. Entah apa yang bergulat dalam fikirannya.

Saya tahu bukan mudah untuk melawan adat yang sekian lama berakar umbi dalam masyarakat. Apatah lagi, ahli keluarga saya bukanlah mereka yang begitu mendalam pengetahuan agamanya. Masih dalam proses belajar dan belajar.

“Urusan perkahwinan ini bukan melibatkan kita dan pasangan semata-mata tetapi juga melibatkan seluruh ahli keluarga daripada kedua-dua pihak,” ujar Kak Fatin dalam satu perbualan ringkas kami.

Tentu tidak mudah untuk ibubapa berbuat sesuatu yang bercanggahan dengan adat masyarakat. Saling berlumba duit belanja anak siapa paling mahal.

Namun itu tidak boleh menjadi alasan untuk kita sekadar menurut adat yang menghilangkan natijah baik ibadat. Sebenar, kita banyak membentuk halangan minda. Kita yang takut ibubapa tidak boleh terima pendirian kita. Sedang masalah itu Insya-Allah dapat diselesaikan andai dibawa berbincang dengan baik.

"Doktrin pemikiran ibubapa kamu dari sekarang walaupun kamu masih belum punya pasangan untuk berkahwin," nasihat seorang murabbi saya tatkala menegaskan muslimat tidak boleh bersolek berlebih-lebihan ketika hari perkahwinan. Bukan sekadar doktrin kosong sebaliknya datang sebab-sebab mengapa kita mahu yang demikian.

Saya terkesan membaca buku Denyutan Kasih Medik ketika mana Dr Farhan Hadi menyentuh tentang fiqh perkahwinan.

Terharu tatkala Qaniah hanya meminta mahar perkahwinan sebanyak RM84 dan tidak meminta walau sesen pun duit hantaran. Terpulang berapa pun bakal suaminya hendak beri, dia terima dengan redha. Saya mula memasang cita-cita mengecap keberkatan perkahwinan seperti itu. memasuki gerbang perkahwinan sesederhana itu.

"Kahwin sehari saja. Banyakkan fikir tentang kehidupan selepas kahwin misalnya perbelanjaan untuk anak-anak yang bakal lahir dan keperluan rumahtangga lain," nasihat Kak Kinah ketika saya dan rakan serumah lain berkunjung ke rumahnya. secomel Fateh tersenyum lebar. Seolah-olah menyetujui bicara ibunya.

Ketika menguliti buku Kupinang Dikau Dengan Hamdalah saya dapati penulis banyak menekankan tentang perlunya bersederhana dalam walimah.

Misalnya, kad jemputan kahwin. Ada pasangan yang sanggup berbelanja besar untuk sekeping kad jemputan sahaja. Satu pembaziran sebenarnya.

Tidak kurang Juga pasangan yang sanggup berhutang semata-mata mahu memastikan walimah mereka benar-benar kelihatan hebat dan disebut-sebut orang.

Kelak, bagaimanakah walimah kita? Adakah walimah kita kelak berupa walimah yang dibuat berlandaskan tuntutan nafsu atau sebaliknya?

Sebenarnya, kita yang menentukannya. Tiada salah membuat persiapan yang istimewa untuk satu perkara yang hanya sekali seumur hidup itu, namun kita harus berjaga-jaga agar tidak jatuh ke lembah menunjuk-nunjuk dan pembaziran.

"keberkatan wanita itu ialah cepat kahwinnya, mudah hamilnya dan ringan maharnya." Ayat ini terus bergentayangan seolah-olah mengajak saya, kamu dan mereka mengejarnya. Mengejar keberkatan itu. Jom!

1 comment:

Anonymous said...

Masyarakat kita masih belum faham, tugas kitalah untuk memberitahu. =)