Bukan saya hendak buat perbandingan tetapi sekadar menyebut. Sekadar selingan. Anakanda Rasulullah SAW, Zainab menikah ketika berusia 9 tahun dengan Abul Ash ibnu Rabi’ dan Zainab menimang cahaya mata pertamanya. Umamah ketika beruisa 14 tahun. Apakah faktor yang menyumbang kepada kematangan anak-anak gadis bangsa arab pada usia semuda itu sehingga melayakkan mereka bergelar ibu pada usia yang terlalu awal? Mungkin saya lupa, umur hanyalah angka sedang kematangan dan kedewasaan itu suatu perkara yang sangat subjektif dan tidak dapat diukur hanya dengan menggunakan angka.
Pada hakikatnya, sikap anak-anak dibentuk oleh peribadi ibubapanya. Hal ini mengingatkan saya tentang kata-kata yang dirakamkan oleh Sayyid Qutb kepada ayahnya dalam bukunya Masyahid al-Qiyamah fi al-Quran:
“ Wahai ayahku! Kutujukan tulisan ini kepada rohmu. Aku masih kecil ketika engkau menanamkan ke dalam jiwaku rasa takut kepada hari akhirat. Tidak pernah engkau mengherdikku, namun engkau mempamerkan hidupmu di depanku. Hari akhirat menjadi perhitungan dan peringatanmu, dihati dan dilidahmu. Engkau bersungguh menunaikan hak orang keatasmu, namun engkau berlebih kurang dengan hakmu di atas orang lain, kerana takut kepada hari akhirat. Engkau memaafkan kesalahan orang, walaupun engkau mampu membalasnya, lantaran mengharapkan ia menjadi kifarat di akhirat. Engkau selalu mengenepikan keperluanmu agar mendapat ganjaran di Akhirat. Wajahmu terbayang dalam ingatanku, setiap kali kita selesai makan malam, engkau membacakan al-fatihah dan engkau tujukan kepada kedua-dua roh ibubapamu di negeri akhirat. Dan kami anak-anakmu yang kecil turut bersamamu membacanya, terputus di sana sini kerana kami masih belum menghafalnya dengan sempurna.”
Sayyid Qutb bukan sahaja mempunyai ayah yang sangat mengambil berat tentang didikan agama, malah ibunya juga turut digambarkan sebagai seorang yang sangat menyintai Al-Quran dan membudayakannya sehingga membekas dalam diri Sayyid Qutb. Dalam bukunya al-taswir al-Fanni fi Al-Quran,dalam ruangan dedikasi, Sayyid Qutb berbicara tentang ibunya:
“Kepadamu wahai ibuku, kutujukan buku ini, ketika desa kita berkumandang dengan bacaan al-quran di rumah kita sepanjang bulan Ramadhan, engkau sungguh-sungguh mendengarnya dari balik tirai. Apabila aku yang duduk di sisimu turut nakal bagaimana anak-anak lain, engkau segera memberi isyarat tegas dan aku segera mengerti, lalu turut bersamamu menghayati alunan bacaannya walaupun aku tidak mengerti maknanya. Ketika aku membesar di dalam belaianmu engkau menghantarku ke sekolah asas di desa. Impian pertamamu padaku ialah agar aku menghafal al-Quran dan dengan anugerah Allah aku menghafalnya serta membacakannya kepadamu setiap masa”
Tidak dapat tidak, untuk mendapatkan anak-anak yang soleh dan solehah, ibubapa perlu terlebih dahulu menjadi soleh-solehah. Ini bertepatan dengan jawapan yang diberikan oleh ibu Imam Syafie apabila ditanya kepadanya bagaimana d ia mendidik anaknya (Imam Syafie). Katanya: ‘aku mendidik anakku 40 tahun sebelum dia dilahirkan.” Apa yang dapat difahami dari penyataan ini, ibu Imam Syafie mendidik dirinya terlebih dahulu untuk menjadi hamba solehah kemudiannya mendidik Imam Syafie.
Mengingatkan hal itu membuatkan saya sedikit gusar. Adakah akhlak dan peribadi saya sudah cukup molek untuk kemudiannya melahirkan generasi yang berakhlak mulia kelak? Moga-moga belum terlambat untuk saya menkoreksi diri dan memperbaiki peribadi yang longgar.