“Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. Iaitu orang yang khusyuk dalam solatnya.”
Seorang Junior saya membacakan dua ayat pertama dari Surah Al-mukminun pada suatu malam sebaik sahaja selesai solat maghrib berjemaah. Kemudian dihurai secara ringkas ayat ini. Sungguh saya terkesan dengan penjelasannya. Walaupun ringkas tetapi padat ibrahnya.
Daripada dua ayat ini terpapar sifat Allah Yang Maha Adil. Kalau kita perhati dalam Surah ini Allah menerangkan beberapa ciri orang yang berjaya dan beruntung. Saya amat jelas tentang itu. Selalu apabila ditolak sebagai imam sebelas ayat pertama itulah yang selalu saya ulang-ulang baca. Malah sejak dari sekolah menengah lagi saya sudah lancar menghafalnya.
Pada mulanya saya fikir junior saya ini akan menceritakan dari sudut sains mengapa Allah meletakkan khusyuk dalam solat sebagai ciri utama orang berjaya. Tetapi, sangkaan saya menyimpang. Bukan itu yang dia ketengahkan.
“ mengapa agaknya Allah meletakkan khusyuk dalam solat sebagai salah satu syarat untuk menjadi orang berjaya dan beruntung? Mengapa tidak jihad? Mengapa tidak orang berharta, berpangkat ? mengapa tidak orang yang dapat 4.0 flat setiap kali peperiksaan?” Fatimah, junior saya penuh yakin melontar pertanyaan pada para jemaah yang hanya berapa kerat itu. Pandangan saya jatuh tepat pada wajah Fatimah. Sebetulnya saya tidak sabar menanti jawapan meluncur dari mulutnya.
Suasana hening. Cuma bunyi kipas berputar menmenuhi ruang. Tiada sesiapa yang kellihatan mahu mengemukakan atau sekurang-kurangnya cuba menjawab.
“ kerana adilnya Allah, Dia meletakkan khusyuk dalam solat sebagai kayu ukur kejayaan orang-orang beriman,” Fatimah tidak mengambil masa yang lama untuk menjawab sendiri pertanyaan yang dia sendiri lontarkan. Mungkin juga setelah diamati tiada yang berminat untuk bermain teka-teki dengannya.
“Andai Allah meletakkan orang yang turun berjihad sebagai syarat untuk tergolong dalam kelompok berjaya, maka malanglah orang-orang tua, wanita-wanita yang lemah serta kanak-kanak yang tidak berdaya kerana golongan ini tiada upaya untuk turun ke medan jihad. Allah tidak mensyaratkan harta dan pangkat untuk menjadi orang berjaya. Kalau begitulah keadaannya, bagaimana pula dengan golongan yang tidak berharta mahupun berpangkat?"
“Sebaliknya Allah mengiktiraf seseorang yang khusyuk dalam solat sebagai orang yang beruntung kerana Dia tahu semua orang mampu melaksanakan solat tidak kira orang tua atau orang muda, kaya atau miskin, lemah atau kuat. Malah perlaksanaan solat itu sendiri fleksibel. Seseorang boleh menunaikan kewajipan solat secara duduk atau berbaring seandainya dia tidak mampu melaksanakannya dalam keadaan berdiri. Begitu juga seseorang yang musafir. Dia diberi rukshah untuk menghimpunkan antara dua solat. Cumanya untuk mencapai makam khusyuk dalam solat itu memerlukan kepada latihan berterusan dan kesungguhan untuk menikmatinya,” jelas Fatimah.
Saya benar-benar tertarik dengan penerangannya. Tidak pernah terlintas tentang perkara ini dalam fikiran saya. Justeru saya ringankan tangan untuk menulisnya dalam entri ini untuk berkongsi bersama-sama mereka yang mahu membaca.
Dua pengajaran atau ibrah yang saya dapat kutip dari tazkirah ini. Pertama, Allah itu Maha Adil dan penuh dengan sifat kasih sayang. Rahmat Allah melebihi kemurkaan-Nya. Justeru, masih tegarkah kita untuk mengabaikan segala perintah-Nya dan melakukan maksiat di atas bumi-Nya yang kita tumpangi ini?
Kedua, dalam melakukan apa-apa sekalipun, kita mesti lakukan yang terbaik untuk memperoleh hasil yang berkualiti dan bermutu. Lihat sahaja pada ayat kedua Surah Al-Mukminun ini. Allah meletakkan orang yang khusyuk dalam solat sebagai orang yang berjaya. Allah tidak hanya meletakkan orang yang bersolat tetapi mesti disertai khusyuk dalam mengerjakannya. Seperti yang kita sedia maklum, persolan khusyuk ini bukan suatu perkara remeh. tidak sedikit usaha yang dituntut untuk memperoleh khusyuk. Justeru, dapat disimpulkan bahawa dalam ayat ini Allah mengajar agar tidak melakukan sesuatu secara acuh tidak acuh saja sebaliknya perlu diringi kesungguhan dan ketekunan dan Insyaallah hasilnya pasti tidak mengecewakan. Sesungguhnya Allah menyukai sesuatu amalan yang dilakukan oleh hambanya dengan tekun.
No comments:
Post a Comment