Saturday, May 30, 2009

Ceramah Politik vs Ceramah Agama

Bismillahirrahmanirrahim...


Sepanjang tempoh berkempen sempena pilihanraya kecil Dun Penanti, hari ini baru saya berkesempatan mendengar ceramah politik. Ceramah disampaikan oleh Ustaz Mutalib. Selalu saya dengar nama ustaz ini dan Alhamdulillah hari ini saya diberi kesempatan oleh Allah untuk bersua muka dengan beliau.Sebenarnya bukan ceramah politik sangat pun. Saya sempat mengutip beberapa isi penting ceramah dan saya mahu berkongsi dengan pembaca yang singgah di blog saya.


Menurut Ustaz Mutalib, musim pilihanraya sebenarnya merupakan medan terbaik untuk mengupas ayat-ayat Al-Quran dan Hadis baginda Rasulullah SAW. Dalam erti kata lain, musim pilihanraya merupakan peluang untuk kita menyebar luaskan dakwah. Hal ini kerana, tiada ceramah atau majlis ilmu yang bilangan hadirinnya seramai bilangan hadirin yang membanjiri ceramah politik. Di dataran ceramah politik berkumpul segala macam jenis manusia. Ada yang baik akhlaknya. Ada yang sebaliknya. Ada yang beragama Islam, Budhha, Hindu, Kristian. Ada yang datang dari jauh. Ada yang datang dari dekat. Peluang seperti ini tidak harus di sia-siakan.


Namun, hari ini apa yang kita lihat, kebanyakan ceramah politik menyentuh hal-hal yang stereotaip. Kebanyakan penceramah meyebut tentang krisis di Perak, Bukit Selambau dan Kuala Terengganu. Tiada kupasan ilmiah yang dibuat. Akhirnya, para hadirin yang datang hanya dihidangkan dengan perkara-perkara lapuk dan pulang begitu sahaja tanpa sebarang pertambahan ilmu. Akhirnya, masyarakat kita terus di takuk lama dan tidak bercambah pemikirannya.


Sepatutnya para penceramah mencontohi Tuan Guru Nik Aziz. Di Guar Jering baru-baru ini, Tok Guru banyak menyentuh tentang akidah. Orang ramai yang hadir tidak kira Islam, Cina atau Hindu mendengar penuh tekun ceramah yang disampaikan oleh Tok Guru. Tidak kurang juga yang memuji-muji peribadi beliau. Saya boleh simpulkan Tok Guru lebih banyak membincangkan hal berkaitan akhirat dan sedikit memperkatakan hal berkaitan dunia. Sewajibnya memang begitu. kita terjun dalam bidang politik hari ini pun tidak lain dan tidak bukan adalah kerana mahu melihat kelangsungan dakwah dan tertegaknya syariat Allah di atas muka bumi ini. Semua ini cuma kerana satu matlamat iaitu untuk mendapatkan keredhaan Allah dunia dan akhirat.


Tidak maksudkan ceramah politik itu langsung tidak boleh diadakan. Cuma, kita perlu lebih bijak untuk memanipulasikan ruang dan peluang untuk menyebarkan dakwah. Sambil berkempen kita mengajak manusia mengingati Allah.


Kita harus mulakan gelombang baru yakni dengan meletakkan akhirat sebagai ghoyah utama kita. Kita harapkan ceramah-ceramah politik dalam pilihanraya akan datang lebih berbentuk kupasan ilmiah dan memberi input berguna kepada pendengar. Satu perkara lagi yang turut disentuh oleh Ustaz Mutalib iaitu penceramah perlu berilmu. Bagaimana seseorang ingin memberikan sesuatu yang dia tidak miliki. Ilmu di sini bukan sahaja merangkumi ilmu keduniaan tetapi turut meliputi ilmu akhirat. Kita tidak mahu memilik ramai khatib tetapi sedikit ulama’.

Dahulu heboh tentang Nga Kor Ming membaca Al-Quran dalam ceramahnya. Banyak pihak membuat spekulasi tentang hal ini. Dari satu sudut kita dapat lihat bahawa orang bukan Islam sekarang telah menerima gelombang dakwah Islam. Tidak keterlaluan untuk saya katakan inilah impak positif hasil daripada ceramah-ceramah yang disampaikan oleh alim ulama misalnya Tuan Guru Nik Aziz. Semasa di Guar Jering tempoh hari pemimpin-pemimpin dari DAP mendengar ceramag Tuan Guru sehingga tidak berkelip mata.



Saya rasa bertuah. Walaupun tidak sempat untuk hadir ke ceramah-ceramah politik lain tetapi Allah telah mentakdirkan saya untuk hadir ke ceramah Ustaz Mutalib yang boleh saya katakan sebenarnya ceramah politik juga. Ustaz Mutalib telah menyedarkan saya tentang perkara ini.



Sebagai penutup saya ingin kongsi tentang empat golongan yang mendapat pahala apabila satu soalan dilontarkan dalam majlis ilmu. Pertama, orang yang bertanya. kedua, orang yang menjawab pertanyaan itu. ketiga, orang yang mendengar. Keempat, orang yang suka akan soalan itu. Mudahkan untuk mendapat pahala! Cuma kita yang tidak mahu.


No comments: