Sunday, May 31, 2009

Peduli

Bismillahirrahmanirrahim...

Hujung minggu lepas dari 22 Mei sehingga 24 Mei, saya berkesempatan untuk menghadiri program peningkatan Kefahaman Islam di Sekolah Menengah Teknik Balik Pulau sebagai fasilitator. Terima kasih yang tidak terhingga saya ucapakan buat pihak penganjur kerana sudi menjemput saya. Sekurang-kurangnya cuti semester saya terisi dengan sesuatu yang berfaedah.


Pada hari kedua tepatnya pada waktu kuliah Maghrib yang disampaikan oleh Ustaz Badri, saya berkenalan dengan perkataan simple ini. Peduli. Saya datang lewat sedikit waktu itu. jadi saya tidak sempat dengar dari awal kuliah maghrib yang disampaikan oleh Ustaz. Ketika saya melabuhkan punggung dalam majlis itu, ustaz sedang memperkatakan tentang perkataan ini.
Simple tetapi besar maknanya.

PEDULI,TELUS, BERWAWASAN

Sebenarnya apa yang ingin saya perkatakan dalam entri kali ini tiada kaitan dengan slogan calon PKR, Dr Mansur Othman dalam pilihanraya kecil Dun Penanti. Mungkin Dr Mnsur memilih perkataan peduli ini sebagai salah satu daripada slogannya kerana menyedari bertapa besar makna perkataan ini.

Sikap peduli ini mampu menjadi titik beza antara insane dengan insane lain. Di atas jalan raya misalnya, pemandu berhemah dan pemandu tidak berhemah dibezakan oleh sikap peduli. Apabila lampu isyarat berwarna merah, pemandu berhemah akan berhenti kerana dia peduli. Apabila melihat orang tua atau orang buta melintas jalan dia memperlahankan kenderaan kerana dia peduli.



Lantaran peduli kepada umat, Rasulullah SAW sanggup bersusah payah memerah keringat dan darah demi memastikan dakwah baginda tersebar kepada seluruh umat di segenap jihat dunia. Jabal uhud menyaksikan beberapa batang gigi baginda patah. Bumi Thaif menyaksikan tubuh baginda luka sehingga berkocak darah dalam kasut baginda. Ghazwah Ahzab menyaksiakn batu-batu yang diikat diperu baginga kerana menahan lapar. Semuanya kerana peduli. Baginda peduli akan kita umatnya.

Begitu juga kehidupan sehari-harian kita sebagai seorang muslim. Peduli membezakan seseorang yang beriman dengan seseorang yang tidak beriman. Orang beriman peduli dari sebesar-besar perkara sehingga sekecil-kecil perkara. Orang beriman peduli bahawa alam semesta ini ada penciptanya. Orang beriman peduli akan ayat Allah dalam surah Az-Zariyat ayat ke 56 yang bermaksud “Tidak akau jadikan jin dan manusia selain untuk beribah kepadaku,”. Orang beriman peduli bahawa kaki kiri di dahulukan ketika masuk ke tandas manakala kaki kanan di dahulukan ketika keluar dari tandas.

Hanya orang yang peduli sahaja tahu bahawa Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkan solat sunat sebelum solat Subuh. Hanya orang yang peduli sahaja tahu bahawa Allah memakbulkan doa yang dipanjatkan kepada-Nya di sepertiga malam. Hanya orang yang peduli sahaja yang cakna bahawa menyeru kepada perkara ma’ruf dan mencegah kemungkaran itu kewajipan setiap orang yang melafazkan syahadah.

Jadi tepuk dada tanya iman. Adakah kita orang yang peduli?

No comments: