Taniah buat Nazehran Jose Ahmad atas novel thriller Islami yang bakal dipasarkan. Kedengaran juga rungutan dari para pembaca kurangnya novel thriller Islami dipasaran. Dalam kepala ini ada juga merancang untuk menulis novel thriller Islami. Insya-Allah doakan. Jika panjang umur dan ada rezeki novel seperti ini akan saya cuba hasilkan. Iran, kriptologi dan AL-Quran. Boleh dipanggil novel thrillerkah gabungan ketiga-tiga elemen ini? Apapun doakan.
Ini sinopsis Kod Michelangelo karya NJA.
Kisah bermula apabila satu pembunuhan misteri telah berlaku di mana seorang ketua pengawas arkib, Arturo S. Eduardo telah mati dibunuh di dalam Arkib Rahsia Vatican. Persoalan timbul apabila si mati bukanlah beragama Kristian Katolik, tetapi sebenarnya adalah daripada pengikut The Cathar, iaitu satu kumpulan pergerakan medival yang anti-Katolik dengan fahaman mereka yang percaya bahawa penyaliban Jesus adalah satu penipuan besar yang sengaja direka oleh penganut-penganut Kristian Katolik.
Seorang wartawan terkenal, Jessica Keith di bawah syarikat akhbar The Daily Telegraph di London telah ditugaskan untuk membongkar misteri pembunuhan tersebut. Jessica juga telah bertemu dengan Sheikh Hamza Yunus Cairel, seorang penceramah hal ehwal Islam yang terkenal di Britain sewaktu menghadiri seminarnya. Perkenalan mereka yang singkat itu telah mengheret Sheikh Hamza ke Vatican bersama Jessica dalam penyiasatannya itu.
Setelah satu demi satu penyiasatan dibuat, ia telah menemukan mereka dengan beberapa klu-klu rahsia ciptaan Michelangelo. Namun, klu-klu itu teramat berbahaya jika didedahkan kerana ia akan memberi ancaman besar kepada dunia Kristian. Sejak berdekad lamanya, paderi-paderi dahulu cuba merahsiakan kewujudan sebuah kitab Injil Barnaba iaitu sebuah kitab Injil asli dalam bahasa Ibrani yang telah dibawa oleh Nabi Isa. Dengan perancangan terperinci, kitab itu berjaya dipinggirkan oleh Majlis Tertinggi Gereja di Barat dengan propagandanya adalah untuk menutup rahsia status sebenar Nabi Isa yang hakikatnya tidak mati ditiang salib.
Namun, ia adalah satu bebanan berat bagi Sheikh Hamza dan Jessica yang cuba untuk menyelamatkan rahsia tersebut daripada dihapuskan oleh pengikut Gereja Kecil Sistine di Vatican. Pihak gereja di Itali teramat mahukan kitab Injil tersebut kerana mereka tidak mahu dunia mengetahui, membaca dan mendengar perkara yang sebenar. Lukisan siling hasil karya Michelangelo di Gereja Kecil Sistine yang telah bertahun-tahun menjadi antara satu bahan sejarah yang mengagumkan, sebenarnya tersimpan kod-kod rahsia tertentu yang belum pernah ada sesiapa membongkarnya sebelum ini.
Maka bermulalah episod pencarian kitab Injil asli tersebut oleh Sheikh Hamza yang bergandingan bersama Jessica Keith. Petunjuk itu telah membawa mereka ke lokasi sebenar penyembunyian kitab Injil Barnaba tersebut. Pelbagai dugaan yang mereka tempuhi termasuk diburu oleh pembunuh upahan, pihak polis, dikejar pengikut Kristian Katolik serta pengikut-pengikut The Cathar yang turut merebutkan klu-klu tersebut yang mempercayai rahsia itu adalah kepunyaan mereka.
Berjayakah Sheikh Hamza menggalas tugas berat dan membongkar misteri yang masih belum dapat diselesaikan itu? Dapatkah juga Jessica mendedahkan kepada dunia tentang perkara sebenar yang disembunyikan di dalam agamanya?
No comments:
Post a Comment