Saya tersentak. Rasa hendak tumpah air mata ini.
Entah mengapa fikiran saya melayang ke Pattani. Terkenang dua ahli keluarga Akademi Dakwah '09 dari Pattani yang turut serta. Ismaael dan Kak Roshidah. Arghh! Malunya saya pada mereka.
Saya bukan sahaja tidak berbuat apa-apa untuk membantu mereka, bahkan saya tidak pernah ikuti pun pergolakan di sana! Malunya aku!
Berita Yang Tidak Tersiar
Abdul Aziz Ahmad (29) merupakan seorang yang kurang upaya. Jari tangannya tidak ada sejak beliau kecil lagi. Pada hari itu, sebuah tadika yang terletak dibelakang Masjid Darul Takwa sedang mengadakan acara sukan tahunan yang diadakan secara bergilir-gilir dengan tadika-tadika yang lain. Tadika berkenaan penuh dengan orang ramai termasuk pelajar-pelajar, ibubapa, dan guru-guru.
Pada hari itu juga, tanpa alasan yang jelas pihak tentera telah mengepung seluruh kawasan masjid dan juga tadika. Guru-guru sekolah tadika dan sekolah pondok sering menjadi sasaran pihak tentera kerana dituduh sebagai mempengaruhi masyarakat untuk membenci kerajaan dan menganggotai kumpulan pengganas. Pihak tentera telah menyerbu kawasan tadika dan masjid menyebabkan orang ramai yang panik lari bertempiaran menyelamatkan diri.
Secara tidak sengaja, Abd Aziz yang juga sedang panik pada ketika itu lari ke arah belakang masjid. Sekumpulan tentera yang telah berada dibelakang masjid tersebut berjaya menangkap Abd Aziz. Satu das tembakan kedengaran dari belakang masjid. Abdul Aziz maut ditembak tentera. Ini salah satu peristiwa yang berlaku di Pattani.
Bahkan banyak lagi peristiwa-peristiwa yang sama berlaku saban hari di sana tanpa pernah kita di negara yang aman sentosa ini ketahui.
Buka MataTragedi Tak Bai tanggal 24 Oktober 2004 yakni pada bulan Ramadhan akhirnya membuka mata masyarakat dunia umumnya dan masyarakat Malaysia khususnya terhadap pergolakan di Selatan Thai. 85 orang telah terbunuh pada hari berkenaan akibat sesak nafas kerana ditindan beramai-ramai di dalam trak askar.
Sebelum itu, Tanggal 28 April 2004, lebih dari 100 anggota tentera dan juga polis Thailand menerobos masuk ke Kampung Krisek ( Kre Se ), Pattani. Atas tuduhan melakukan serangan ke atas pos-pos keamanan pihak keselamatan Thai menggunakan senjata tajam, sekitar 106 orang remaja dan pemuda Muslim menjadi sasaran bedilan peluru mereka. Sebahagian dari mereka sempat mencari perlindungan di Masjid Krisek iaitu sebuah masjid tua peninggalan abad ke-17 yang juga dikenal sebagai Masjid Mudzaffar Syah. Letaknya di Kampung Grisek (Krisek), Pattani. Ia adalah salah satu peninggalan Kesultanan Kerajaan Islam Pattani yang masih ada.
Kes terbaru, 11 orang jemaah yang sedang solat Isyak di Masjid Al-Furqan, Narathiwat dibunuh secara kejam pada 1 Jun 2009.
Setelah beberapa bulan berlalu, berita-berita dari Selatan Thai kembali sepi ditelan waktu. Bukan disebabkan pergolakan di sana kian reda tetapi kurangnya pihak-pihak yang mahu tampil membantu menangani isu ini secara serius. Air mata umat Islam di lima wilayah ini tidak pernah kering. Setiap hari, ada sahaja umat Islam yang terkorban baik yang dibunuh secara berhadapan, dibunuh secara diam-diam, hilang diculik dari rumah dan tidak pulang-pulang.
Mengapa Mereka Berjuang?
- Pertama, Bahasa Melayu tidak dibenarkan menjadi bahasa pengantar disekolah-sekolah sehinggakan nama-nama tempat pun diubah. Contohnya, Menara menjadi Narathiwat, Tebing menjadi Taling Can dan langgar menjadi ruk. Selatan Thailand terdiri dari 5 buah negeri yang besar iaitu Pattani, Yala, Narathiwat, Songkhla dan Setun. Majoriti penduduk di wilayah ini adalah berbangsa Melayu yang beragama Islam. Secara etnik atau budaya, warga dikelima-lima buah negeri ini lebih dekat kepada Melayu daripada Siam ( Thailand ). Oleh sebab itu mereka lebih selesa berbahasa melayu.
- Kedua, Mata pelajaran Sejarah Pattani dan Muslim Pattani tidak dibenarkan diajar disekolah-sekolah kebangsaan milik pemerintah, bahkan juga sekolah-sekolah swasta. Ia bertujuan agar anak-anak ini tidak tahu sejarah sebenar Pattani. Bagi pemerintah, Pattani bukan negeri Melayu, tetapi sebahagian daripada Thailand.
- Ketiga, Umat Islam dipaksa berbicara bahasa Siam. mereka tidak dibenarkan menggunakan bahasa Melayu.
- Keempat, nama mereka terpaksa ditukar menjadi nama Siam jika ingin bekerja di pejabat-pejabat kerajaan termasuk di Selatan Thailand sendiri. Nama seperti Ahmad, Yusuf, Abdul Kadir dan yang berunsur Islam dilarang jika ingin bekerja dengan kerajaan.
- Kelima yakni yang terakhir, Siam bukan sahaja menjajah, tetapi mereka juga berusaha mem'Buddha'kan orang-orang Melayu di Pattani. Di sinilah letaknya titik temu perjuangan masyarakat Pattani dengan umat Islam seluruh dunia.
Virus Tidakpedulisme
Rata-rata umat Islam hari ini melihat perjuangan di Selatan Thai lebih kepada menyelamatkan bangsa Melayu Pattani atas tiket nasionalisme. Oleh sebab itu, hilang rasa kebersamaan untuk berjuang membebaskan Pattani bersama-sama para mujahidin di sana. Lalu mereka mengambil sikap seperti enau dalam belukar, masing-masing melepaskan pucuk sendiri. Sedarlah umat Islam sekalian! Pergolakan di Selatan Thai adalah isu umat. Saudara kita di sana sedang berjuang menentang golongan yang mahu menukar agama mereka. Barangsiapa yang tidur dan tidak mengambil peduli urusan kaum muslimin, maka dia bukan dari golongan mereka. Tidakkah kita gerun mengenangkan sepotong hadis baginda ini?Usaha Kita
Ayuh kita bantu saudara kita.
- Pertama,sedarkan masyarakat dengan lidah kita. Jadikan pergolakan di Seltan Thai sebagai topik perbincangan. Lebih baik berbincang tentang isu saudara kita ini daripada berbual kosong tidak tentu hala.
- Kedua, gunakan ketajaman mata pena untuk sebarkan pada masyarakat pergolakan sebenar yang berlaku di Selatan Thai.Misalnya tulis risalah dan edarkan di kampus. Tulis dalam blog untuk tatapan umum. Hakikatnya, hari ini manipulasi media massa membuatkan kita tidak memperolehi kisah sebenar yang berlaku di sana.
- Ketiga, salurkan sumbangan anda.Untuk sumbangan dana bantuan saudara Islam Selatan Thai sila salurkan atas nama Persatuan Ulama' Malaysia Cawangan Pulau Pinang (PUMPP) , nombor akaun Bank Islam : 7043011013136.
- Keempat, buat ceramah dan jemput saudara-saudara kita daripada Pattani untuk berkongsi derita.Untuk pertanyaan lanjut berhubung isu ini serta jemputan ceramah, anda boleh berbuat demikan dengan menghubungi Sekretariat Konflik Selatan Thai, Persatuan Ulama' Malaysia Cawangan Pulau Pinang, Serambi Dakwah, Taman Inderawasih, Perai, Pulau Pinang. Atau hubungi 04 – 3980527.
- Kelima, berdoa dan solat hajat. Sebagaimana kita berdoa buat saudara-saudara kita di Palestin, begitulah juga kita doakan saudara kita di Pattani.
Kesimpulan
"Sesungguhnya, orang mukmin itu bersaudara,". Di akhirat nanti, kita bakal ditanya apa yang telah kita lakukan untuk membantu saudara kita di Pattani? Ambillah teladan daripada burung kecil yang mahu membantu memadamkan api tatkala Nabi Ibrahim dibakar Namrud. Ingatlah, tidak berbuat apa-apa itu satu dosa apatah lagi mereka di Pattani adalah saudara kita.
No comments:
Post a Comment