Bismilllahirrahmanirrahim....
Saat tangan rancak mengetip papan kekunci laptop, saya sedang diserang virus JEMU. beberapa hari ini saya asyik mengadap laptop menyiapkan beberapa artikel tentang Selatan Thai, mengedit laporan Selatan Thai yang telah siap diterjemah, mengedit semula manuskrip QUK seperti yang diminta oleh pihak PTS dan sekarang mahu mula menulis artikel perikanan dan bakau yang diminta Abang Nizam beberapa minggu lalu( lama sudah tangguh artikel ini). Naik berbinar-binar mata. Hmmm.... Cara nenghilangkan jemu menulis adalah dengan MENULIS!
Sejak pulang dari Selatan Thai tempoh hari, setiap hari saya wajib membuka laman blog http://amanpattani.blogspot.com
Mahu mengikut perkembangan sahabat-sahabat aktivis di sana yang di follow up oleh pihak AMANI.
Terus terang saya katakan, melihat perjuangan sahabat-sahabat di sana semacam satu suntikan semangat untuk saya terus bangun dan tidak lena.
Ketika saya ingin berlengah-lengah dalam bekerja, gambar-gambar ini kembali menyuntik semangat untuk terus bangkit. Keselesaan bergelar mahasiswa di Malaysia mungkin membuatkan kita banyak berehat.
Teringat perbualan ringkas dalam unser tempoh hari, sewaktu dalam perjalanan balik dari Kampung Kucing Lepas,Mukim Chalem, Daerah Ranget, Wilayah Narathiwat, Selatan Thailand.
"Saya pernah menghadiri satu konvesyen yang menghimpunkan pimpinan mahasiswa Malaysia . Apa yang saya lihat, isu-isu yang mereka bincangkan hanya seputar masalah-masalah dalam kampus. Kurang bahkan tiada isu masyarakat yang diangkat dalam perbincangan mereka. Mengapa ya?" ujar Atif, seorang aktivis di sana. Jika tidak silap saya saudara Atif adalah pimpinan tertinggi dalam Student Federation of Thailand dan juga Student Youth Network for Supporting People.
Dalam keadaan letih, saya terkesima mendengarnya. walaupun sekarang saya 'bersara' seketika dari belajar, saya pernah bergelar mahasiswa.
"Mahasiswa di Malaysia ini berada dalam keadaan aman dan selesa. Belum ada kejutan-kejutan tertentu untuk membuatkan mereka bangkit seperti kamu dan mahasiswa di sini," jawab salah seorang dari krew kami.
Chu Ya, seorang lagi aktivis dari Selatan Thai saya lihat tersengguk-sengguk dalam unser yang kami naiki. Dari awal-awal perjalanan kami lagi. Rupa-rupanya dia tidak tidur semalaman.
SEPUTAR DEMONSTRASI DI HADAPAN IBU PEJABAT POLIS YALA MEMBANTAH PENAHANAN RAKAN-RAKAN MAHASISWA DENGAN TUDUHAN TANPA BUKTI TERLIBAT DALAM PENGEBOMAN PADA 6 APRIL 2010 LALU
Saudara Atif ( yang memegang pembesar suara) bersama-sama rakan-rakannya meminta sahabat-sahabat mereka dilepaskan...
Mereka benar-benar menjadi juru bicara masyakarat(istilah yang sering saya dengar sebelum ini). Akhirnya ,atas desakan demi desakan, pihak tentera melepaskan rakan-rakan mereka yang telah ditahan tanggal 8 APRIL 2010
Pertemuan dengan beberapa sahabat di Selatan Thailand, memutikkan rasa kagum yang tidak terhingga di hati saya.
Darani, 23 tahun ketika ini sedang mengandung empat bulan anak sulungnya, lincah bergerak mengikut romobngan kecil kami ke Kampung Berangan dan Kampung Kucing Lepas. Ketika mata saya semakin berat dalam perjalanan pulang ke Yala, saya dia masih segar mengulit buku Cinta Di Rumah Hasan Al-Banna dengan suluhan cahay lampu jalan.
"Berani ke nak balik naik motor malam-malam begini?" tanya Kak Wahed kepada Darani saat kami sampai di pekan Yala.
"Boleh. Sudah biasa," jawabnya penuh yakin.
"Perempuan-perempuan di Pattani kuat semangat. Jangan risau," tokok Atif.
Saya mengangguk membenarkan kata-kata itu dalam kepenatan yang tidak terkata lagi.
Pulang saja ke bilik saya terus rebahkan tubuh sampai ke pagi selepas usai menunaikan solat jamak takhir. Walhal ada satu lagi slot malam itu.
Lemahnya rasa diri!
Teringat satu sedutan dalam vidoe The Arrival yang pernah saya tonton beberapa ketika dulu.
Perbualan seorang lelaki dengan seorang wanita mengenai seorang lelaki bernama Marley. Marley ini sudah mati dalam filem berkenaan. (saya tidak pasti ini filem apa)
Suatu hari, ketika Marley dijadualkan untuk membuat persembahan dalam satu perarakan keamanan, seorang lelaki telah datang ke rumah dan menembak lelaki yang bernama Marley ini. Namun dua hari kemudian, dia tetap datang perarakan aman itu dan membuat persembahan.
Ada yang bertanya "mengapa?"
Jawab lelaki yang bernama Marley ini, "Orang yang ingin merosakkan keamanan dunia ini, tidak pernah berehat walau sehari. Bagaimana saya boleh berehat?"
Bagaimana saya boleh berehat?
Aksara ini terus bermain-main dalam fikiran sehingga saat ini.
No comments:
Post a Comment