Tuesday, April 20, 2010

Manisnya Sebuah Paksaan

Bismillahirahmanirrahim...


“Saya tidak begitu bersetuju dengan cadangan membuat jadual mutaba’ah ini. Pada saya, semua ini bakal mengganggu keikhlasan kita dalam beramal ibadah,” ujar seorang sahabiah.

“Betul. Nanti, kita beramal semata-mata hendak memenuhkan ruang-ruang kotak dalam jadual mutaba’ah berkenaan,” sambut seorang lagi sahabat.

Saya mengangguk-anggukkan kepala. Kebenaran itu saya akui.

Dan saat itu, saya terkenang pengalaman selama lima tahun menuntut ilmu di SMKA Nibong Tebal.

“Semua wajib bangun solat sunat rawatib!” tegas seorang kakak pengawas.

“Semua pelajar wajib solat berjemaah liwa waktu di surau!” pesan ketua biro dakwah dan ibadah.

Dengan terpaksa saya bangun sedang dalam hati merungut-rungut. Dalam terpaksa, air kala subuh yang sejuk gedi saya simbahkan pada tubuh. Gelap tatkala fajar menyinsing diredah dengan hati memberontak menuju ke surau yang memakan masa lebih kurang 8 minit perjalanan dari asrama.

Kenangan di Darul Quran turut bergentayangan.

“Siapa yang belum habis 1000 kali berzikir hari ini!” jerit seorang urusetia. Kecut perut saya.

“Semua wajib solat dhuha!” tambah seorang lagi urusetia.

“Munirah pergilah program ini. Percayalah pada akak, Munirah akan dapat sesuatu yang Munirah tidak pernah jumpa sebelum ini,” pujuk seorang senior. Dalam terpaksa saya akur.

Demikian. Antara insiden-nisiden paksaan sepanjang sejarah hidup saya yang masih merekat kuat di ingatan.

Saat itu, rasa sakit yang teramat untuk menurut semua paksaan-paksaan ini. Terasa sia-sia segala yang dilakukan dek kerana kemarau ikhlas dalam amalan-amalan berkenaan.

Namun, apabila kalimah dewasa menjengah usia, saya kembali menjernihkan paksaan-paksaan yang pernah saya terima dalam hidup saya. Memyelak-nyelak hikmah yang tersembunyi di dalamnya.

Apabila berbicara tentang paksaan, akan hadir bersama dalam perbicangan itu persoalan keikhlasan.

Sukar bahkan payah untuk melahirkan keikhlasan dalam melakukan apa-apa sahaja tidak hanya tertumpu pada aspek ibadah. Walaupun begitu, satu perkara yang harus kita ingat, ikhlas ini tidak dapat bergolek. Tidak jatuh dari langit buta-buta sahaja . tidak dapat dikutip mudah-mudah di tepian pantai.

Perlu ada usaha yang dilakukan untuk mengecap nikmat ikhlas.

Andai hari ini kita tidak mengerjakan rawatib lantaran menanti ikhlas dicampakkan ke dalam hati kita, saya bimbang, sehingga saat malaikat maut menjemput, kita tidak menngerjakannya.

Pesan senior saya, untuk mendapat ikhlas, tidak dapat tidak, kamu perlu melalui proses paksaan.

Paksa diri untuk melazimi solat sunat Dhuha misalnya. Mula-mula memang menyiksakan. Namun, Allah Maha Mengetahui akan apa yang tersimpan dalam hati hamba-hambaNya. Selangkah kita cuba mendekatinya, seribu langkah Dia merapati kita. Kepada Dia kita datang berjalan, kepada kita Dia datang berlari.

Lama kelamaan, paksaan menunaikan solat sunat Dhuha itu akan menjadi manis. Sehingga meninggalkannya terasa seolah-olah berdosa pula. Tidak senang seharian itu dibuatnya.

Teringat sepotong hadith baginda:
“Latihlah anak-anak kamu bersolat ketika usianya 7 tahun , dan pukullah mereka (jika tidak mahu menunaikan solat) diwaktu telah berumur 10 tahun , dan pisahkanlah tempat tidur mereka (antara lelaki dan perempuan)”

(Hadis Abu Daud , dinilai HASAN SAHIH oleh Al-Albani dalam Sahih wa Dhoif Sunan Abu Daud : 495)

Anak-anak yang masih liat untuk mendirikan solat saat usianya sudah mencecah 10 tahun, boleh dipukul oleh ibu bapa dalam usaha mendidik. Namun, ada syarat-syarat memukul yang perlu dipatuhi oleh ibubapa.

Tidak keterlaluan untuk saya katakan, memukul di sini merupakan salah satu bentuk paksaan. Paksaan yang bermaksud mendidik.

Mungkin pada peringkat awal, anak-anak mendirikan solat kerana terpaksa. Insya-Allah, kita berharap kemanisan beribadah itu akan dikecapnya suatu hari nanti.

Sewaktu kecil dahulu, ketika ibu menyuruh saya bersolat, saya akan memberontak. Apabila hendak turun sujud, saya akan hentak lutut kuat-kuat agar berdentam dentum bunyi papan rumah. Sebagai tanda protes. Tersenyum sendiri saat mengimbas kembali zaman kanak-kanak.


Saat pertama kali mengenal tarbiyyah, hati saya juga memberontak. Saya sukar menerima kehadiran elemen baru berkenaan dalam hidup. Segala-galanya saya turuti dalam terpaksa. Dek kerana hidup dalam tarbiyyah yang saya paksa-paksa pada diri, saya mula mengambil sedikit ruang memahamkan diri akan tarbiyyah itu. Perjalanan yang agak panjang saya lalui untuk sampai kepada titik faham. Faham makna disebalik keterpaksaan itu. Kini, apabila berjauhan dengan kumpulan tarbiyyah, satu jadi sunyi. Tidak tentu hala dan rasa hari-hari yang dilalui kosong. Menitis air mata saat kenangan ditarbiyyah meniti kembali indera fikir.

Hikmah sebuah paksaan.

Paksaan itu saya lihat lebih kepada maksud mendidik. Salah satu bentuk melembutkan jiwa. Namun, paksaan ini harus datang dengan penjelasan-penjelasan yang sewajarnya. Agar tidaklah diturut membuta tuli dan menjadi amalan ritual semata-mata. Bertaklid tanpa ilmu, kosong maknanya.

Ikhlasnya, andai dahulu saya tidak dipaksa oleh ibu untuk bersolat, tentu saat ini kewajipan lima waktu itu masih lompang-lompang kerana tidak dikerjakan.

Andai dahulu, saya tidak dipaksa oleh kakak-kakak pengawas untuk solat berjemaah dan solat rawatib, mungkin hari ini saya bukan sahaja tidak melaksanakannya, bahkan mungkin tidak pernah tahu pun akan adanya solat sunat berkenaan.

Andai dahulu, senior saya tidak memaksa saya untuk mengikuti program-program tarbiyyah, mungkin hari ini saya dapat menikmati indahnya hidup berjemaah.

Demikian. Antara kemanisan-kemanisan yang saya kecap kini. Hasil dari sebuah paksaan. Justeru, apa yang dapat saya simpulkan, disebalik paksaan itu, terselit kemanisan. Cuba kemanisan itu perlu dicari dan disuluh dengan penjelasan serta ilmu.

Nikmatilah kemanisan sebuah paksaan…

No comments: