Monday, September 27, 2010

Mesir dan Ceriteranya

Bismillahirrahmanirrahim...

"Menyesal datang mesir! Buruk! kalau tahu macam ini lebih baik aku belajar di Malaysia!" ujar seorang adik junior yang baru tiba di bumi kinanah ini.

"Astafgfirullah!" itu sahaja yang mampu saya ucapkan tatkala mendengar Zety mengulang kembali ucapan pelajar berkenaan.

Alhamdulillah. Saya tidak punya perasaan sedemikian ketika mula-mula sampai di sini. Barangkali semua itu terlah dikhabarkan awal-awal kepada saya.

"Muni terkejut tak tengok Mesir ini?" duga Asilah.

"Terkejut apa?" soal saya keliru.

"Terkejut dengan suasana 'bersih' di Mesir ini," lanjut Asilah. Saya tersenyum sambil menggeleng-gelengkan kepala.


Habuk dan Mesir seakan-akan tidak boleh dipisahkan. Jelas kelihatan di cermin-cermin tingkap kedai dan rumah. Begitu juga pada badan kenderaan yang diparkir di pinggir jalan.

Bangunan-bangunannya pun kelihatan usang kerana habuk tebal yang menyelimutinya. Namun bangunan-bangunan ini cantik di mata saya. Mungkin kerana nilai sejarah yang tersimpan di dalamnya. masjid-masjidnya. Gereja-gerejanya. Rumah-rumahnya.

Bukan itu sahaja, kenderaan-kenderaan di sini juga kelihatan 'antik' dan 'lama'.

"Boleh dikatakan setiap kenderaan di Mesir ini pasti menerima geselan kasih sayang," ujar Mahabbah. Saya tersenyum. Pada badan kenderaan terutamanya kereta-kereta yang meluncur di atas jalan kita akan dapatm elihat calar-calar atau bahagian-bahagian kemek. Hatta kereta baru sekalipun.

"Hon itu wajib dan brek itu sunat muaakad," seloroh Mahabah lagi.
Bunyi hon seumpama melodi semulajadi di sini.

"Eh tak dengar bunyi honlah pagi ini!" tegur saya usai solat Subuh.

"Memanglah sebab sekarang awal pagi," balas Mahabbah lagi.

itu satu baru satu sisi Mesir dan warganya yang dapat kita lihat.

Di sini juga bertaburan kuliah dan majlis ilmu. Satu sisi positif Mesir yang tiada tolok bandingnya.

Alhamdulillah saya sendiri berkesempatan untuk menghadiri kuliah minggu Syeikh Yusri di Masjid Al-Azhar. Kemudian saya menemani Mahabbah dan Kak Niena memperdengarkan bacaan kepada Syeikh Nabil.

Saya hanya transit di kaherah selama seminggu. Namun dalam masa seminggu ini banyak benda telah saya belajar. Macam-macam makanan juga telah saya cuba. koshairi, syawirma. syistowok, krib.. Hmm padanlah mereka yang tinggal di sini cepat naik berat badannya..=)

Siapa kita menentukan bagaimana kita melihat sesuatu perkara.

Setelah hampir seminggu berada di sini, saya masih seakan-akan bermimpi. Tidak sangka saya sudah benar-benar berada di sini.

Hari ini saya akan bertolak ke zagazig. Rumah sewa telah kami dapat. sewanya pun berpatutan yakni 500 genih sebulan., Empat bilik lengkap dengan perabot. Tapi apabila Najwa maklumkan kedudukan rumah. hampir tersembur air yang sedang saya minum. Hmm patutlah murah. Rumah kami di tingkat paling atas yakni tingkat tujuh tanpa kemudahan lif!

"Saya pernah kena ragut, jatuh dari bas, pasport hilang," ujar Zety.

Mahabbah yang baru setahun di sini pun mengalami pelbagai ujian. Dugaan yang pada saya tidak kecil. Subhanallah.

"Lebih baik awak balik ke Malaysia. Tinggal di sini buat membazir duit. Kuliah tak dapat masuk. Peperiksaan tak dapat ambil," ujar seorang pegawai kepada Mahabbah. Hancur luluh hatinya.

"Sekali kaki melangkah ke Mesir ini jangan pernah fikir untuk berpatah balik. Usahalah agar dapat menuntut ilmu dan belajar di sini walau dengan apa cara sekalipun," nasihat Prof Razali kepada Mahabbah. Kata-kata yang membuatkan Mahabbah terus bertahan dan natijahnya nanti kami akan sama-sama berada dalam satu kuliah di Zagazig. Alhamdulillah.

Saya kagum dengan kekuatan dan ketabahan hatinya. Inspirasi untuk saya meneruskan perjuangan di bumi ini.

Hampir semua yang pernah memijakkan kaki di bumi anbiya' ini menyimpan cerita dan kenangan sendiri. Berdebar-debar juga dada saya. Apa pula ujian dan dugaan yang bakal saya terima. Namun saya percaya mehnah dan tribulasi inilah yang membuatkan kembara ilmu mereka di sini bermakna dan indah.

"Masa HO nanti, kena tahan telinga. Kena banyak bersabar. Kata ibu, dalam tempoh ini ada sahaja doktor-doktor baru tidak dapat bertahan kerana dibuli dan dimarahi oleh doktor yang elbih senior," ujar saya pada mahabbah.

Mahabbah tersenyum.

"Rasanya doktor-doktor lulusan Mesir tiada masalah itu," balas Mahabbah sambil tersenyum. Saya menjugkitkan kening.

"Di sini puas dah kena marah dengan orang Arab sampai naik lali. Sampai telinga keballah," lanjut Mahabbah. Ketika itu saya baru saja sampai ke sini. Jadi saya tidak begitu faham maksud sahabat saya ini.

Namun setelah seminggu di sini, hmmm saya semakin jelas makna kata-katanya tempoh hari.

"Bekengnyo," tegur seorang sahabat sebaik sahaja dia bertanyakan kepada petugas di kedai buku berkenaan harga sebuah buku nota.

"Hmm, di mana-mana pun meme side-side dio lagu tu doh," jawab seorang sahabat lagi pasrah.

Di belakang saya menyembunyikan senyum sambil membisikkan di dalam hati, ujian dan dugaan di bumi ini kelak akan membuatkan saya sepasrah mereka...

Wednesday, September 22, 2010

Antara Dia dan Saya

Bismillahirrahmanirrahim...

Alhamdullilah, kaki ini sudah menapak di bumi anbiya. Sekarang sedang berlegar -legar di bandar Nabi Yusuf dan Zulaikha dikatakan bertemu yakni bandar Zagazig. ( ada yang kata di Bilbis).

Sebelum bertolak, saya sempat berbual seketika dengan ustaz di Facebook.

"Anak saya juga belajar di Mesir. Ambil Usuluddin. Sudah setahun dia di sana. Dia pergi lewat sikit sebab dia kumpul duit dulu sebelum ke sana,"

"Tahun ini dia tak balik. Saya yang tak bagi balik. Jadi dia pergi bertalaqqi dan buat umrah. Sekarang dia masih di Madinah,"

"Anak saya ini memang sangat cintakan ilmu. merata dia pergi belajar. Di pernah belajar di Patani yakni di Jamiat Islamiah Syeikh Daud Al-Fathoni. Kemudian dia belajar Bahasa Arab dengan seorang Ustaz Shaari. Selepas itu dia ambil STAM. Dia dapat jaid jiddan,"

"Dalam tempoh belajar di Malaysia dulu, dia mengajar juga hujung minggu. Mengajar Bahasa Arab. Pendapatan dia itu, dia simpan sikit-sikit. dengan duit mengajar dan menjual kuih itulah dia pernah ke Mesir. Alhamdulillah, rezeki dia murah. Ada orang yang bermurah hati juga memberi dia sumbangan zakat,"

"Saya tak keluar satu sen pun untuk hantar belajar di Mesir. Dia lahir tahun 1984."

"Di Mesir dia jual nasi lemak untuk sara hidup di sana. Pendapatannya pun alhamdulillah,"

Ya Allah, saya benar-benar kagum. Dalam pada masa yang sama saya malu. Teringat Kang Azam dalam cerita Ketika Cinta Bertasbih.

Anak ustaz ini benar-benar berdikari.

Jauh bezanya dia dengan saya.

Saya datang ke Mesir dengan keringat dan air mata ibubapa. Sedihnya. Kasihan ibu dan ayah.

Perbualan ringkas itu memang benar-benar mengesan di hati. Tiada alasan untuk tidak bersungguh-sungguh belajar. Tidak sabar menunggu kuliah bermula.

Justeru, ruang dan peluang menuntun ilmu di bumi anbiya ini akan saya manfaatkan sebaiknya. Insya-Allah...

Saturday, September 18, 2010

Persiapan Menjadi Ibu

Bismillahirrahmanirrahim..


Mak Long saya lahirkan anak lagi.


"Ini yang terakhir," katanya. Cukup anaknya lima orang. Saya sukakan budak-budak. Tapi saya jarang main dengan budak-budak macam mana saya main dengan anak-anak Mak Long. Kalau dengan budak-budak lain saya agak kaku. Tak begitu pandai mengacah. Biasanya, busak yang senyap saya dukung akan menangis. Sebab saya tak main-main atau acah dia..hihi. Tapi dengan anak-anak mak long lain.


Hmm..perasaan itu tiba-tiba menyelinap. Saya mahu menjadi ibu. Segera menjadi ibu dan punya anak sendiri..=)


Sebenarnya apabila fikir soal kahwin saya sedikit takut. Takut dimadukan.hihi. Entah mengapa setiap kali fikir tentang kahwin perasaan itu mesti datang membuatkan saya takut nak kahwin. Bila tengok baby dan anak-anak kecil, baru reda sikit perasaan itu.Hihi. kelakar betul.


Sebelum raya tempoh hari, anak abang Amir dan Kak Teh jatuh dari babbywalker. Kesian kat Hakim. Terpaksa mereka beraya di Hospital Manjung.


"Tak apa. Walaupun luka sikit-sikit masih hensem lagi..," kata Kak Fatin.


Rupa-rupanya, dalam kalangan kami ada saja yang tahu yang babywalker ini tak baik untuk kanak-kanak.


"memang tak digalakkan pun guna babywalker. di Kanada dah diharamkan. antara sebabnya membantut perkembangan minda dan kekuatan otot bayi. bayi patut belajar bertatih dengan sendiri," komen seorang teman di Facebook.


"..baby walker nie sbnarnya dari segi physiotraphy dlm kanak2 mmg xbgus..sbb kanak2 tu sbnarnya belum capai tahap utk berjln tp di beri babywalker...kesan jangka panjang,selalunya kanak2 yg diberi babywalker sblum sampai waktunya tidak boleh berlari pantas apabila dewasa..ini fakta tau..bkn auta...:)" komen seorang teman lagi.


Hmm..


"Awat hampa tak bagitau kat abang amir dan kak teh masa tengok budak tu seronok main babywalker ke san ke sini?" kata hati saya. hihi. Mungkin ada hikmahnya.


Teringat pesanan seorang senior saya.


"Orang-orang macam kita ini kadang kala tumpu perhatian pada perkembangan rohani anak-anak saja. Misalnya ambil tahu tentang doa-doa dan amalan semasa mengandung. Tapi jarang -jarang ambil tahu bagaimana hendak membantu perkembangan mental dan fizikal anak-anak. Kat tempat akak kerja ramai yang tak tahu macam mana hendak pastikan susu badan sentiasa kekal ada. Terutamanya ustazah-ustazahlah. Mungkin bagi sesetengah kita benda ini tak penting. Sebenarnya ada caranya," ujarnya.


Saya mengangguk-anggukkan kepala. Untung juga berkawan dengan orang yang sudah berkeluarga dan mempunyai anak-anak ini. Boleh belajar serba sedikit..=)


"Kak Munirah nak buat apa dengan maklumat itu?" soal seorang junior ketika saya tanya di mana dia dapatkan fakta-fakta tentang babywalker itu.


"Nak ambil tahulah," jawab saya.


"Belajar sebelum ada anak lagi. lagi baik sebelum kahwin. Kalau masa mengandung baru nak baca dan belajar itu dan ini, nanti kalut. Di tambah dengan tekanan kerja/belajar lagi. Tekanan alah itu dan ini. Ramai ibu-ibu menghadapi masalah tentang susu badan yang tidak mahu keluar semasa fatrah menyusu," lanjut senior saya lagi.


Jadi, jom lengkapkan persediaan sebelum menjadi ibu..=)


p/s: sedang mengulit buku CATATAN HATI BUNDA oleh Asma Nadia. Bertambah-tambah rasa mahu menjadi ibu.

Friday, September 17, 2010

Memoir Anak Setinggan

Bismillahirrahmanirrahim...

Saya keluar beli novel Abang Nuar ni selepas solat Jumaat (minta ayah tolong hantarkan ke kedai buku) dan saya tamat membacanya pada pukul 12.30 malam hari yang sama.

Saya baca novel ini dengan perasaan tidak mahu terlepas walau satu pun bait-bait perkataannya. Sangat mengesan di jiwa. Setiap bait kata-katanya tidak kosong sebaliknya sarat dengan pengajaran.

Bagi mereka yang ingin mendalami dan menjiwai perasaan sebahagian mereka yang menjadi anggota masyarakat kita hari ini, silalah ulit buku ini.

Pada saya Abang Nuar berjaya menyampaikan mesejnya dalam bentuk yang cukup santai.

Ringkas tapi padat dan berisi.

Kalau kalian tidak ketawa sampai berguling-guling sekalipun, setidak-tidaknya kalian akan tersenyum sambil menanmpakkan semua barisan gigi tatkala membacanya. Gelagat budak-budak comel yakni Nuar, Mamat dan Bain cukup mencuit hati.

Ini sinopsisnya :
Melalui kaca mata Nuar, bersama dengan dua orang teman baiknya, Mamat dan Bain, kemiskinan serta penderitaan ditertawakan. Mereka berada di tengah-tengah tarik tali kehidupan antara pemerintah dengan penduduk setinggan, pembangunan materi yang pincang dengan pembangunan jiwa yang menyeluruh. Di satu sudut cita-cita mereka dibangunkan namun pada masa yang sama dibunuh oleh sistem yang keliru tumpuan dan matlamat. Nuar, Mamat dan Bain kanak-kanak yang polos, nakal dan serba mungkin. Di taman kehidupan di ‘Sting Garden’, mereka membesar bersama kanak-kanak lain dan membina peribadi masing-masing. Menelusuri pengalaman kanak-kanak mereka tidak terhenti setakat melaga ayam dan spider tetapi turut mengulit sama perjuangan ibu bapa, budaya masyarakat dan sistem berat sebelah yang hanya menjadikan yang kaya bertambah kaya sementara yang miskin bertambah miskin. ‘Sting Garden’ dicoret dengan perasaan seorang kanak-kanak menjadikannya lucu, mengharukan dan ‘basah’ untuk dibaca.

Jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan novel ini!

p/s : Usai membaca novel ini timbul satu tajuk novel baru dalam kepala; Memoir Anak Patani..hihi.. Ok tak?

Wednesday, September 01, 2010

QASIDAH UNTUK KEKASIH : Anak Kedua Saya!

Bismillahirrahmanirrahim...

Hidup manusia tidak boleh dipisahkan dengan cinta. kerana cinta dan sayang pada hambaNya, Allah sentiasa membuka pintu taubat kepada kita biar dosa itu sepenuh dunia. Kerana cinta pada umat, Nabi bermandi darah dan keringat, berpatah tulang dan gigi agar sinar Islam menerangi empat penjuru alam. Bahkan ketika dihujungnya, mulut dan hati baginda masih basah mengingati umat yang bakal ditinggalkan.

Zainul Muttaqin mahu membalas cinta tulus itu. Untaian qasidah itu basah dibibirnya , didendangkan saban detik dan waktu tanpa jemu.Bahkan dia mahu mengajak lebih banyak jiwa merajut rindu pada sang kekasih.

Idea Miftahul Asywaq mengapung di sana. Bersama sahabat baiknya, Amir Hamzah, mereka menelusuri jalan juang yang tidak mudah. Fitnah, pertembungan program sehinggalah konflik yang menimpa Habib Hasan dan Saif mengheret mereka untuk merungkai satu-persatu masalah sehingga akhirnya, Miftahul Asywaq terlaksana walau tanpa Zainul Muttaqin hadir bersama… :


TESTIMONI PEMBACA :

Sebuah novel yang sarat dengan pengajaran. Membacanya membuat kita berfikir, perlunya menjadi manusia yang berperanan dalam membawa kebaikan dalam kalangan masyarakat. Novel ini juga membawa masej yang jelas setiap orang perlu diberi peluang, untuk kembali ke pangkal jalan.
MS Anuar mahmod pengarang buku Suara-Suara Terpendam dan novel Memoir Anak Setinggan

Penulis cerpen ‘Sebelum Berkalang Tanah’ ini telah membuktikan bahawa penulis wanita juga mampu mendalami watak lelaki sehinggakan saya rasai kelembutan, kesopanan, kedinginan serta keangkuhan insan yang bernama lelaki. Bermula dengan azan Subuh yang berkumandang serta ucapan kalimah puji-pujian kepada Allah oleh Habib Hasan membuatkan jiwa saya mula berdebar untuk meneruskan perjalanan sehingga bas Metro bernombor 12 tertera di cermin Zainul Muttaqin. Inilah novel pembangun jiwa! Novel yang benar-benar berbicara buat para pembaca yang dambakan sebuah kehidupan husnul khotimah!
Ilya Alias pengarang novel kanak-kanak Pari-Pari hati dan Otai

Melalui watak-watak yang kuat asas agamanya yang ditonjolkan di dalam novel ini, penulis dapat menyampaikan pengetahuan agama yang jarang-jarang diketahui oleh orang biasa. Perlu lebih ramai golongan yang ahli dalam bidang masing-masing terjun dalam dunia penulisan fiksyen untuk mendidik masyarakat hari ini.
Nurolshamshi Saidin, pengarang novel Dingin Salju Indiana dan Di Sini Kami Berteduh
Harga: RM 17 / RM 19
ISBN-13: 978-967-5783-18-0
Tarikh Terbit: 30 Sep 2010
Jumlah Muka Surat : 336
Terbitan : PTS Litera Utama

Beli online di:
http://pts.com.my/index.php/buku/qasidah-untuk-kekasih17/