Bismillahirrahmanirrahim...
Saya keluar beli novel Abang Nuar ni selepas solat Jumaat (minta ayah tolong hantarkan ke kedai buku) dan saya tamat membacanya pada pukul 12.30 malam hari yang sama.
Saya baca novel ini dengan perasaan tidak mahu terlepas walau satu pun bait-bait perkataannya. Sangat mengesan di jiwa. Setiap bait kata-katanya tidak kosong sebaliknya sarat dengan pengajaran.
Bagi mereka yang ingin mendalami dan menjiwai perasaan sebahagian mereka yang menjadi anggota masyarakat kita hari ini, silalah ulit buku ini.
Pada saya Abang Nuar berjaya menyampaikan mesejnya dalam bentuk yang cukup santai.
Ringkas tapi padat dan berisi.
Kalau kalian tidak ketawa sampai berguling-guling sekalipun, setidak-tidaknya kalian akan tersenyum sambil menanmpakkan semua barisan gigi tatkala membacanya. Gelagat budak-budak comel yakni Nuar, Mamat dan Bain cukup mencuit hati.
Ini sinopsisnya :
Melalui kaca mata Nuar, bersama dengan dua orang teman baiknya, Mamat dan Bain, kemiskinan serta penderitaan ditertawakan. Mereka berada di tengah-tengah tarik tali kehidupan antara pemerintah dengan penduduk setinggan, pembangunan materi yang pincang dengan pembangunan jiwa yang menyeluruh. Di satu sudut cita-cita mereka dibangunkan namun pada masa yang sama dibunuh oleh sistem yang keliru tumpuan dan matlamat. Nuar, Mamat dan Bain kanak-kanak yang polos, nakal dan serba mungkin. Di taman kehidupan di ‘Sting Garden’, mereka membesar bersama kanak-kanak lain dan membina peribadi masing-masing. Menelusuri pengalaman kanak-kanak mereka tidak terhenti setakat melaga ayam dan spider tetapi turut mengulit sama perjuangan ibu bapa, budaya masyarakat dan sistem berat sebelah yang hanya menjadikan yang kaya bertambah kaya sementara yang miskin bertambah miskin. ‘Sting Garden’ dicoret dengan perasaan seorang kanak-kanak menjadikannya lucu, mengharukan dan ‘basah’ untuk dibaca.
Jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan novel ini!
p/s : Usai membaca novel ini timbul satu tajuk novel baru dalam kepala; Memoir Anak Patani..hihi.. Ok tak?
No comments:
Post a Comment