Friday, December 18, 2009

Apabila Daie berehat

Bismillahirrahmanirrahim...

Apabila Daie berehat...

Tingkat empat dan lima Central Square Sungai Petani dibanjiri anak-anak muda mentah untuk mengisi kekosongan jiwa. Mereka cuba mencari makna hidup di sebalik budaya Punk, Skin Head,Black metal, Gothic dan Shuffle.Mereka mencari ketenangan dengan melalak dalam jamban karaoke, melanggah arak, main snooker, hidu gam dan bermadu kasih di sana.
Kata kita, "Ini kerja penguatkuasa!"

Apabila Daie berehat...

"Islam tak pa, tak Islam pun tak pa...," ujar seorang warga Kampung kuala Mu. masyarakat minoriti ini bukan sahaja jauh daripada pembangunan dan kemajuan teknologi maklumat. mereka bahkan jauh dengan Islam. Ada dalam kalangan mereka mengaku sebagai Islam namun dalam masa yang sama tangan cekat mengusap anjing.
Kata kita, "Alah, susahlah nak naik ke sana!"

Apabila Daie berehat...

Penduduk Mukim Singkir, Yan berperang dengan K.S Chin Minerals Sdn Bhd dan Kemelong Engineering & Sankojaya Construction Sdn Bhd. Isu pertelingkahan tentu sahaja tentang kuari Jerai. Keselamatan penduduk kampung berdekatan kuari terancam sejak kuari ini beroperasi. Antaranya, bendang penduduk kampung digenangi lumpur. Hasil kebun turut merosot akibat gegaran kuat dari kuari. Bukan itu sahaja, kuari ini sebenarnya beroperasi di kawasan hutan simpan, kawasan yang sepatutnya dipelihara rapi.
Kata kita, "Aik! isu kuari Jerai ini pun kerja daiekah?"

Apabila Daie berehat...

Penduduk Kampung Tanjung Tokong terkontang kanting dibiarkan tanpa pembelaan apabila tanah mereka sedikit demi sedikit direbut oleh pihak yang bertanggungjawab. Alasan yang diberikn oleh pihak ini tanah itu diambil untuk pembangunan. Namun pembangunan yang sepatutnya menjaga hak hakikatnya menodai hak.
Kata kita, " Ini bidang tugas orang politik!"

Apabila Daie berehat...
"Ubat ini halal atau tidak?"
"gelatin ini umat Islam boleh makankah?"
"kasut ini dibuat daripada kulit apa?"
Isu halal haram terus dibagkitkan dari hari ke hari.
Kata kita, "CAP dan PPIM kan ada!"

Apabila Daie berehat...

Chik Saaleh, 112 tahun terbongkok-bongkok menjiruskan air pada tubuh cucunya yang sudah berusia 52 tahun. Di gubuk yang sudah hampir roboh di tapak tanah rizab kerajaan Felda Bukit Tembaga Daerah kuala Nerang, Kedah, Chik Salleh dan cucunya yang lumpuh sejak lahir itu tinggal. Hidupnya yang kais pagi makan pagi kais petang makan petang tidak mendapat perhatian sewajarnya.
Kata kita,"Daie berdakwah bukan kerja bagi duit pada orang miskin!"

Apabila Daie berehat...

Kemusnahan hutan bakau di persisiran pantai semakin menjadi-jadi. Pengeksploitasian sumber biodiversiti yang tidak terkawal seperti penerokaan kawasan paya bakau untuk pembangunan,ternakan ikan dalam sangkar, ternakan udang, perindustrian, perbandaran dan pembuangan sisa kimia oleh kapal dan bot nelayan telah mengancam ekosistem paya bakau.
kata kita, " Sudahlah! Kerja Daiekah ini?"

Apabila Daie berehat...

"kami perlukan bantuan kamu," ujar seorang mujahidin dari Pattani kepada seorang mubaligh Kristian. Dalam terpaksa dia mohon bantuan dari mereka yang tidak seagama dengannya namun sudi turun membantu. Apa boleh buat tiada saudara seagama yang serius membantu.
Kata kita, " Iman tak cukup tinggi lagi hendak pergi berjuang di sana!"

Apabila Daie berehat...

Lambakan kes-kes di mahkamah syariah terutamanya yang melibatkan wanita tertangguh. Bukan sehari dua. Bukan sebulan dua. Tetapi setahun dua bahkan ada yang lebih lama. Muncul heroin yang menggelar diri mereka sebagai Sisters In Islam. Para Daie mula gelabah.
Kata kita, "Haramkan SIS!"

Apabila Daie berehat...

"Tiada unsur ketuhanan dalam matematik," ujar seorang pelajar matematik. Tuhan itu hanya terdapat dalam subjek agama. Subjek-subjek sains ini kosong dari mengingatkan kita kepada tuhan. Fahaman sekular ini menjangkiti bidang pendidikan.
Kata kita, "Ini semua Barat punya pasallah!"

Malunya saya hendak mengakui diri sebagai daie sedang kerja dibuat bermusim. Ya Allah kuatkan diri ini di atas jalan yang telah daku pilih ini. Kerja kita masih banyak! Jangan berehat wahai daie!(pesanan buat diri sendiri)

4 comments:

muizzuddin API said...
This comment has been removed by the author.
muizzuddin API said...

salam.tahniah! bagi saya isi cerita ini mampu menyedarkan para daie.semoga maju ke hadapan!

qamar_muneera said...

tahniah atau takziah? huhu

cahaya petunjuk said...

salam kak munie-- Ya ALLAH! terasa muhasabah diri perlu ada - masih banyak yang perlu dipelajari dan dihayati-
Rasulullah adalah contoh da;ie unggul!