Sunday, January 10, 2010

Mereka Yang Pergi Tatkala Jumaat Menjelang...

Bismillahirrahmanirrahim...


"Tidaklah seorang muslim yang wafat pada hari jum'at atau pada malam jum'at kecuali pastilah Allah menghindarkannya dari siksa kubur" (HR. Ahmad)


Inbox saya dibanjiri emel daripada sahabat-sahabat Darul Quran mengkhabarkan tentang suami Kak Akma (batch 2002 Darul Quran), Ustaz Fauzi Azizan kemalangan dan masih belum sedarkan diri. Khabarnya, Kak Akma mengadung tujuh bulan sekarang ini. kemudian, emel ucapan takziah pula pula menjengah. Ustaz Fauzi pulang menghadap Rabbul Izzati. Dan hari itu jatuh pada hari Jumaat.


Beberapa bulan lalu, pada suatu malam ketika mata hampir terlelap, satu mesej saya terima. Sahabat seperjuangan Nabil Marwan telah selamat pulang ke rahmatullah. Dan malam itu adalah malam jumaat.


Jalan-jalan saya di laman sesawang menemukan saya dengan blog Ustaz Syafiq Zulakifli. Sahabatnya, Nurul Zalikah Mat Zan pulang dijemput Ilahi tatkala para muslimin bergelut ke masijd menunaikan solat Jumaat.



Mereka adalah antara golongan yang bertuah kerana terpilih untuk mendapat husnul khatimah. Kita bagaimana?

Teringat satu teka teki dalam buku Nota Hati Seorang Lelaki oleh Ustaz Pahrol Muhd Juoi. Benda apa yang orang yang membuatnya tidak mahu memakainya. Orang yang membeli pun tidak mahu memakainya. Manakala orang yang memakianya tidak sedar dia memakainya?

Jawapannya keranda. Pembuatnya tidak mhu memakainya. Pembelinya pun tidak mahu memakainya. Dan orang yang memakainya tidak sedar pun dia memakai keranda itu.

Manusia termasuk saya selalu ingat yang mati itu orang lain. Sedang firman Allah dalam Surah Ali Imran ayat 185 yang bermaksud, "Setiap yang hidup pasti merasai mati."

Mudah jari jemari ini mengetip papan kekunci membicarakan soal mati. Namun tidak semudah itu pula bait-bait ayat yang ditinta ini menusuk ke dalam hati. Ah, itulah manusia!

Berita-berita kematian ini yang menjadi tazkirah buat menyiram jiwa yang alpa.

Ya Allah ampunkan dosa-dosaku dan dosa-dosa mereka!

Mereka yang pergi tatkala Jumaat menjelang ini adalah juga mereka yang berdiri teguh di atas sof perjuangan dan hebat dipencak dakwah saat nyawa masih dikandung badan. Lalu mana mungkin jalan ini akan saya tinggalkan. Moga Allah thabatkan hati saya dan kamu di atas jalan ini.

Hsunul khatimah boleh dirancang kerana Allah buka ruang ikhtiar buat kita dalam hidup ini. Mereka merancang husnul khatimah mereka dengan menelusuri jalan perjuangan. Seperti Syeikh Ahmad Yassin, Ustaz Fathi Yakan dan ramai lagi tokoh mujahidin. Apa rancangan kita untuk mengejar husnul khatimah ini?

Moga menjadi renungan.

Al-fatihah buat mereka...

No comments: