Friday, January 01, 2010

Ole-Ole dari MPR : Sebelum Berkalang Tanah

Bismillahirahmaniraahim...

Setelah dihentam, dibasuh dan ditonyoh oleh Kak Del dalam sesi penilaian, MPR lalu, saya edit semula cerpen ini. Alhamdulillah, walaupun mungkin tidak sebaik karya Marwan (Penerima anugerah terbaik cerpen MPR 09 lalu), saya berharap cerpen ini mampu menyedarkan kita yang tidak sedar tentang apa yang berlaku di Pattani. Segala input tentang Patani yang saya peroleh dalam program AD 09 sebelum ini membantu saya menyiapkan cerpen ini. Insya-Allah, jika ada rezeki saya mahu panjangkan cerpen ini menjadi sebuah novel. Semoga bermanfaat buat semua. Pattani memanggil kita!

TATKALA menyapa bumi yang sudah berdekad-dekad berantakan itu, satu papan tanda dengan tulisan jawi menerjah kornea mata Munsyirah. Spontan,gadis berjilbab merah hati itu tersenyum. Susah bahkan mungkin tiada papan tanda dengan tulisan seperti itu di bandar raya tempat maharaja Thailand bersemayam kini. Trak kecil yang ditumpanginya meluncur lancar di atas jalan berlekak-lekuk itu. Sesekali kepalanya terhantuk di bumbung pacuan empat roda berkenaan.

“Pemeriksaan lagi!” rungut Munsyirah. Baru lima belas minit lepas dari pos kawalan pertama, dia kembali dicerlung tajam oleh sebilangan askar di sebalik jeriji besi kecil di tengah jalan. Beberapa kenderaan tentera tersusun di pinggir kanan jalan tidak jauh daripada pos kawalan terbabit. Trak kembali meluncur di atas jalan sebaik sahaja soal siasat ringkas selesai. Dada Munsyirah sebu. Bumi yang sedang dipijaknya ini tidak ubah seperti di tanah berdirinya Al-Aqsa kini.

“Daripada hidup dalam kehinaan, lebih baik pergi meniggalkan dunia. Murid-murid, inilah maksud peribahasa tadi. Sekarang cikgu mahu kamu semua salin peribahasa ini di dalam buku masing-masing,” jelas Munsyirah. Daripada bercerminkan bangkai, lebih baik mati berkalang tanah. Itu peribahasa yang tertera di papan hijau. Berdindingkan jaringan besi, kelas di bangunan setingkat itu sesak dengan puluhan pelajar hawa. Tiga pelajar berkongsi sebuah meja.

Dia kemudiannya melemparkan pandangan lewat jaring besi yang dijalin untuk membentuk dinding bilik darjah. Tepat bertentangan dengan bangunan di tempat dia berdiri, sebuah bangunan tiga tingkat menerjah indera lihat. Catnya sudah nanar. Mengelupas di sana sini. Matanya bergulir pula ke sebelah kiri. Satu-satunya bangunan kayu dua tingkat di kawasan Maahad Al-Bi That Ad-Diniah itu menarik perhatinya.

“Bagaimana agaknya tujuh ribu pelajar dapat ditampung dengan hanya tiga bangunan using ini?” Dahinya berkerut. Dia melarikan pula pandangan ke dataran di tengah-tengah madrasah. Sebilangan pelajar berkejar-kejaran mengelilingi dataran. Sebilangan lagi duduk-duduk di atas rumput dan sekitar kawasan itu sambil tangan cekat menyelak lembaran buku. Ada juga yang tekun menulis. Seingat Munsyirah sebelum masuk ke kelas tadi dia sudah melihat kumpulan anak-anak itu di situ. Mereka masih tetap di situ setelah setengah jam berlalu. Munsyirah sudah dapat mengagak sebabnya.

“Khaulah,” jawab kanak-kanak itu ringkas. Munsyirah menjungkitkan kedua-dua belah kening. Terbayang-bayang dibenaknya seorang wanita berpakaian serba hitam. Hebat menunggang kuda dan menghayung pedang di medan juang.

“Kamu mahu jadi seperti Khaulah Al-Azwar di zaman Rasulullah?” tanya Munsyirah. Pantas Khaulah mengangguk. Matanya bersinar galak.

“Khaulah mahu belajar ilmu peperangan. Kemudian, Khaulah akan ajar pula kawan-kawan dan penduduk kampung Khaulah cara mengangkat senapang. Kelak kami tidak perlu lagi takut berhadapan dengan askar Siam. Khaulah akan membalas dendam atas pemergian orang kampung yang tidak terbela,” tegas Khaulah. Ternganga Munsyirah mendengar bait-bait yang meluncur dari tubir bibir anak didiknya itu. Jujurnya, perkara itu tidak pelik. Khaulah membesar di daerah terjajah. Saat dia celik mata, dia sudah mengenal hanyirnya darah.

Munsyirah tahu Khaulah sahaja bercita-cita seperti itu. Anak-anak gadis lain pasti berkongsi semangat yang bersama. Kaum hawa ini paling ramai mendiami kampung itu saat ini. Jarang-jarang dia berselisih dengan kaum Adam sejak hari pertama sampai ke kampong itu. Baik tua. Baik Muda. Mereka diburu sehingga ke lubang biawak. Suatu hari, tidak mustahil si ibu terpaksa menghanyutkan anak lelaki mereka di sungai bahkan laut demi menyelamatkan keturunan mereka. Laksana ibu Nabi Musa tatkala zaman prahara pemerintahan Firaun.

“Cikgu bangga dengan Khaulah. Namun pedang dan senapang bukannya satu-satu jalan penyelesaian yang ada.” Munsyirah terdiam sejeda. Wajah bening Khaulah diseluruhi. “Ada benda yang jauh lebih tajam daripada pedang dan lebih hebat daripada letupan bom. Memiliknya bererti menguasai segala-galanya. Dia akan menatang kita apabila kita menghargai dan menggalinya. Tiada musuh yang tidak dapat ditangani melainkan dengan kuasa Ilahi. Benda itu adalah ilmu, Khaulah.” Penuh hikmah Munsyirah berbicara. Giliran Khaulah pula ternganga.

“Kau tentu tahu bukan, Pattani adalah sebahagian daripada Kerajaan Melayu Islam. Negeri ini pernah berada di bawah pengaruh kerajaan Mogul melalui Ayutthaya sebelum tahun 1767. Akibat putar belit British, Siam menakluki Pattani. Bermula tahun 1909, derita dan sengketa mewarna hidup Muslim Pattani.” Munsyirah memeluk tubuh. Masih terbayang mata buntang Wajdi tadi tatkala dia mohon mereka tangguh majlis pertunangan mereka cuti sekolah yang bakal menjelang nanti. Dia mahu turut serta sebagai cikgu sukerala mengajar Bahasa Melayu di Pattani. Tepatnya di sebuah madrasah tua. Mendesah-desah nafas Wajdi saat itu.

“Mereka cuma dihalang berbicara dalam Bahasa Melayu dan ditegah mendalami sejarah Pattani di sana. Padaku, adat menumpang memang begitu. Mereka harus tunduk pada tuan yang member tumpang.” Wajdi tidak mahu kalah menganjur hujah. Munsyirah menjengilkan mata.

“Sedangkal itu fikiranmu, Wajdi! Kamu lupa barangkali, aku, kamu dan sebahagian besar daripada mereka sujud pada Tuhan yang satu dan bersuluh syariat yang diajar oleh nabi yang sama! Kulitnya, Siam kelihatan cuba meruntuhkan satu budaya, namun inti hakikatnya, mereka cuba menanggalkan Islam dari jiwa seluruh Muslim di sana, Wajdi!” Suara Munsyirah sedikit tinggi. Nafasnya berbunyi.

“Seribu satu macam lagi bentuk bantuan yang dapat kauhulurkan buat mereka. Untuk membatalkan majlis pertunangan kita kukira adalah keputusanmu yang keterlaluan.” Wajdi kelihatan mahu mengubah haluan bicara. Terlajak perahu boleh diundur. Barangkali dia terpukul dengan bicara buah hati pengarang jantungnya.
“Memang sejuta satu cara terbentang buat kita membantu mereka di sana. Namun dalam puluhan juta itu aku memilih jalan ini untuk membantu mereka.” Pemuda berjanggut pandak dan berkulit cerah itu dia lihat menggetap bibir. Tanpa bicara, dia langsung melangkah pergi. Sempat Munsyirah menjeling wajah cuka.

“Sebelum berkalang tanah, Khaulah mahu melihat negeri ini bebas mengecap nikmat merdeka. Khaulah mahu menjadi wira pada agama dan bangsa. Akan khaulah tuntut ilmu walau ke negeri China. Kemudian Khaulah pulang ke tanah air dan berjuang seperti Salahuddin Al-Ayyubi. Apa cita-cita Cikgu sebelum berkalang tanah?. ” Tanya Khaulah sambil tangan kanan menujal tanah mengukir aksara ‘Wira’. Kepalanya ditoleh ke arah Munsyirah. Guru muda itu menjungkitkan kening.

“Cikgu bangga dengan cita-citamu, Khaulah,” puji Munsyirah. Wajah polos khaulah diseluruhi dengan pandangan sayu. “Cikgu mahu buat sebaik-baik amal sebelum berkalang tanah. Moga apa yang sedang Cikgu buat kini dikira Allah sebagai sebaik-baik amal Cikgu. Jom kita pulang,” ajak Munsyirah. Khaulah akur. Petang merangkak senja. Di kanvas langit , tiada riuh camar. Daun pepohon ketapang melambai malas. Munsyirah memimpin tangan Khaulah. Kejap digenggam tangan si kecil itu. Esok dia akan pulang ke tanah airnya. Seminggu sudah dia di daerah bergolak itu. Hari Isnin nanti persekolahan berjalan seperti biasa. Rasa baru semalam dia sampai. Namun, dia akui, cuti itu paling bermakna buatnya.

“Esok, Cikgu akan pulang ke Malaysia.” Langkah Khaulah terhenti tiba-tiba. Munsyirah terlajak ke hadapan. Dia terpaku di situ. Genggaman tangan terlerai. Musyirah menoleh. Khaulah dilihat menarik muka cemberut. Munsyirah menekur tanah sambil kepala ligat berkerja mencari bait-bait indah buat memujuk jiwa si kecil itu. Tidak sangka Khaulah tersinggung dengan berita itu. Suasana Khali.

Bang! Bang! Bang!

“Cikgu!” Jeritan itu semakin perlahan kemudian tenggelam bersama hilangnya sinar teja di kaki langit.

Pagi mendaki Dhuha. Dataran Masjid Jamek Pattani melimpah dengan lautan mahasiswa Islam seluruh Thailand. Tidak kalah juga golongan orang tua dan kanak-kanak. Mereka yang berdiri di dalam kawasan dataran terpaksa berhimpit-himpit. Sudah masuk hari ketiga, kenderaan tidak dapat lalu di kawasan masjid itu. Setiap lorong bahkan setiap inci ruang yang ada dipenuhi manusia. Sepanduk bersepah-sepah digantung dan dijulang. Menanti Perdana Menteri Thailand yang khabarnya mahu bersua muka.
Jika dahulu, setiap kali demonstrasi diadakan, mereka mengenakan penutup muka. Namun sepanjang tiga hari ini, tiada seorang pun yang mengenakan penutup wajah. Bilangan mereka bak ikan di lautan. Tidak terkira. Tidak tercam oleh pihak tentera. Serasa, itu perhimpunan paling besar dalam sejarah Pattani. Bilangan yang hadir jauh mengatasi demonstrasi bulan Jun 2007 lalu.

“Kami mahu kamu tarik semula pasukan tentera bersenjata di setiap kampung dan daerah!” jerkah mereka sebelum sempat Perdana Menteri Thailand mula berbicara. Beliau terpaksa turun sendiri ke lapangan. Apatah lagi, peristiwa itu turut melibatkan seorang gadis dari Malaysia. Hubungan dengan Negara serantau perlu dijaga. Pihak tentera sendiri tidak berjaya meleraikan perhimpunan itu. Selagi tiada pembelaan sewajarnya.

“Baiklah. Saya berjanji akan menarik semula pasukan tentera dari kampung kalian,” Janji Abisit setelah beberapa waktu terbungkam. Kedengaran takbir bergema bak halilintar menggegarkan bumi. Awan waktu Dhuha bersimpul –simpul membentuk rupa bening Khaulah. Angin berpuput manja mengirim khabar gembira itu buat Khaulah.

“Alhamdulillah!” kalimah suci itu mercup bertubi-tubi dari tubir bibir Munsyirah. Saat itu juga dia sujud. Kelopak matanya bergenang. “Akhirnya Cikgu berjaya menuntut bela atas pemergianmu, Khaulah,” bisik hati Munsyirah. Dia mengesat air mata dengan kura jubah hitamnya. “Allah lebih menyayangimu. Cikgu berjanji, Khaulah, selagi tubuh belum berkalang tanah, Cikgu akan cuba menyempurnakan hajatmu. Cikgu akan terus menetap di negerimu ini. Cikgu akan didik anak bumi ini, sehingga mereka mampu menjadi seperti Al-Ayubbi,” rintih Munsyirah.
“Aku akan bersama-samamu mendidik mereka!” Saat itu, Munsyirah mendongakkan kepala. Imej pemuda berkulit cerah dan berjanggut pandak menerjah indera lihatnya. Peluh kelihatan berjujuhan di dahinya. Dadanya sedikit berombak. Munsyirah terkesima dalam bahagia.

4 comments:

cahaya petunjuk said...

slm akak- bru baca cerpen ini
alhamdulillah- terasa mcm sy dh jadi watak utama pulak- doakn bhw saya cikgu itu-- akan jejakkn kaki di daerah pattani itu----

bagus- cuma ada bnyk yg perlu dibaiki- memang ada unsur suspen - tp sebb kematian khaulah sngat tak konkrit dn menimbulkn tnda tnya-

maaf ya- bukn pngkritik dn penulis hebat seperti qamar muneera-- huhuhu

Unknown said...

Assalamualaikum ukhti,
ini yg berlegar dlm kepala saya walaupun x terluah semasa MPR.

Antara mesej dan keindahan bahasa, mana lebih utama?

Secara peribadi,mengangkat mesej lebih penting daripada bermain bahasa.

Permainan bahasa akan jadi perkara penting yang mengiring jika terjun ke dunia kreatif(siapa dlm dunia ni x suka cerita?he3x).

Insya Allah,usaha ukhti yg sedikit ni lama2 menggunung,baik kemurnia mesejnya mahupun keindahan bahasanya ^_^

qamar_muneera said...

Terima kasih buat Nurul dan Fakhru. komen dari kalian bermakna buat akak.

Nurul, apa yang 'banyak perlu di baiki itu?' kalau boleh nyatakan ,akak gembira untuk mendengarnya. Khaulah mati tiba-tiba itu akak cuba hendak gambarkan memang kematian di sana tidak boleh dijangka. kejadian serupa itu sering terjadi di sana bukan? apa-apa pun terima kasih nurul

Fakhru, akak memang nak bagi Fakhru baca sebenarnya, nak dengar komen Fkahru. Taksangka Fakhru baca dulu sebelum akak bagitahu.

Akak pun ada masalah yang sama dengan Fakhru, mesej dan keindahan bahasa mana lebih penting. menarik persoalan ini.
Dulubagi akak, mesej jauh lebih penting, tetapi sekarang untuk memastikan mesej sampai tidak dapat tidak keindahan bahasa perlu dijaga. Dalam usaha memperbaiki kekurangan ini. Doakan moga berjaya.

karya Fkaru mana? hehe jangan lupa bagitahu akak karya2 Fakhru yang tersiar...

Apa pun syukran..

wearelearningparents said...

salam...teruskan usaha!!! =)