Tuesday, April 27, 2010

Travelog Qamar: Program Pengupayaan Anak Yatim Selatan Thai di Pondok Comae Koko, Darunsat Wittaya School Taluban, Pattani

Bismillahirrahmanirrahim...

23 April 2010

Program yang bermula pada 16 April itu sudah hampir melabuhkan tirai ketika krew kami berangkat ke Taluban Patani. Kira-kira pukul 4 petang kami bertolak dari USM dengan van yang dijadualkan khas untuk perjalanan ke Hatyai, Thailand dengan perasaan bercampur baur. Gementar, bimbang dan takut. Tambahan pula, untuk ziarah kali ini, tiada wakil dari mereka yang lebih dewasa lantaran perjuangan masing-masing menuntut kehadiran mereka.

Kami tiba di Hatyai ketika matahari sudah tiada lagi di kanvas langit. Dan kami hanya akan tiba di daerah yang terletak dalam wilayah Patani itu lewat malam. Itulah kali pertama krew kami membuat perjalanan pada sebelah malam ke wilayah bergolak berkenaan. Waktu yang dikhabarkan tembakan secara rambang acap berlaku. Dari Hatyai, kami menaiki sebuah kereta sewa yang telah ditempah khas oleh saudari Huda untuk membawa kami ke tempat program. Panggilan demi panggilan yang krew kami terima daripada Ustaz Kamaruddin sedikit sebanyak melegakan gundah di jiwa.

Alhamdulillah, kami tiba di Pondok Comae Koko, Darunsat Wittaya School Taluban, Patani lebih kurang pukul 10.30 malam dan disambut hangat oleh sahabat-sahabat di sana.

Program selam sepuluh hari itu, disertai oleh 96 orang anak-anak dari pelbagai latar belakang yang menyayatkan hati. Sekitar 50 orang yang terdiri daripada pelajar university, lepasan university, aktivis Deep Peace dan HAP menawarkan diri untuk menjadi fasilitator dan urusetia program berkenaan.

Jaringan kerjasama antara badan-badan pertubuhan bukan kerajaan yang terdapat di sana, boleh kami ibaratkan seperti jaringan pohon buluh atau lebih mesra dengan nama bamboo network. Pokok buluh tumbuh daripada bawah dengan cabang yang banyak. Cabang pokok buluh ini seolah-olah membesar secara nafsi-nafsi. Namun hakikatnya, mereka terhimpun dalam satu umbut dan berkongsi akar yang sama. Begitulah jaringan kerjasama yang wujud antara mereka di sana.

Biarpun program ini adalah anjuran Deep Peace, sahabat-sahabat dari Hatyai, Bangkok dan serata Thailand turun membantu. Lantaran hati-hati mereka diikat oleh satu aksara. Aqidah.

24 April 2010

Saat waktu Dhuha menjelang, adik-adik disajikan dengan video Upin dan Ipin dalam usaha membantu memperbaiki penguasaan Bahasa Melayu dalam kalangan para peserta. Program diteruskan dengan slot muhasabah.

“Kita hanya tiada ayah. Kita masih punya ibu. Paling penting kita masih dikurniakan peluang untuk hidup. Jadi, kita tidak boleh menjadikan alasan tiada ayah untuk terus lemah dan berada di takuk lama. Siapa lagi yang hendak bangkit membela kematian ayah-ayah kita, abang-abang kita jika bukan kita!” Berdiri bulu roma kami saat mendengar bicara saudari Siti Hawa, salah seorang urusetia program yang tampil ke hadapan berbicara buat menaikkan semangat adik-adik.

Krew kami turut dijemput untuk berbual bicara dengan para peserta bagi membiasakan mereka dengan Bahasa Melayu suratan. Saudari Azwaahidah turut memnghiburkan adik-adik dengan sebuah nasyid berjudul ‘Teman Sejati’.

Program yang dirangka tamat pada 26 April 2010 ini menekankan tiga aspek utama yakni agama, bahasa dan bangsa serta sejarah tanah air disamping memulihkan semangat anak-anak yatim berkenaan. Objektif yang tiga ini diadun dan diserap masuk ke dalam pelbagai aktiviti yang sesuai dengan jiwa anak-anak. Antara lainnya, mereka diajar madah fiqh yakni cara berwudhuk, mendirikan solat, madah akhlak, madah hadith, madah sains dan matematik, membuat rekacipta, melukis, menonton video Upin dan Ipin, ceramah tentang sejarah Fathoni, sukaneka dan malam kesenian dan kebudayaan.

Pada sebelah petang, urusetia cuba menyuntik kesedaran agama, bahasa dan bangsa serta kecintaan kepada tanah air melalui aktiviti yang digelar gedung alif, ba, ta. Alif untuk Agama, ba untuk bahasa dan bangsa serta ta untuk tanahair. Dalam slot ini, adik-adik peserta didedahkan tentang nasib agama, bangsa, bahasa dan tanah tumpah darah mereka. Bukan itu sahaja, mereka juga disedarkan bahawa merekalah bakal menggalas tanggungjawab merungkai belenggu yang merantai mereka dari menjalankan perintah agama dengan sempurna sekaligus menyelamatkan bangsa mereka yang tinggal nyawa-nyawa ikan.

Pada sebelah malam, krew kami menyambung tugas menemuramah saudara Chu Ya untuk mendapatkan profil lengkap pertubuhan bukan kerajaan pimpinannya yakni HAP.

25 April 2010

Krew kami merancang untuk berangkat pulang pada hari ini. Namun, sahabat-sahabat dari Selatan Thai memohon untuk kami memanjangkan tempoh ziarah kebajikan kami.

“Kalau balik juga, saya tahan semua kereta yang hendak keluar dari Thailand ini,” gurau Saudara Che Lah. Bersungguh-sungguh mereka meminta kami menunggu sehingga hari akhir program.

Dek kerana tidak mahu menghampakan mereka, kami mengubah rancangan perjalanan.

Pada sebelah pagi, aktiviti sukaneka diteruskan untuk memberi adik-adik peluang bermain dan menghiburkan hati. Sayu melihat anak-anak yatim itu berkejar-kejaran di tengah padang berlantaikan pasir halus. Mungkin, itu saatnya tawa pertama yang meleret di wajah mereka setelah bertahun hidup dalam ketakutan dan belenggu kenangan pahit yang singgah dalam diari hidup mereka.

Perasaan kami diruntun pilu saat temubual ringkas dibuat bersama-sama dengan adik-adik dan urusetia yang terpilih.

“ Ayah suruh saya dan adik pergi ke rumah jiran ketika askar-askar itu datang ke rumah saya. Lalu saya dan adik berlari-lari keluar dari rumah. Kami dengan bunyi tembakan dan heritan ayah. Apabila askar-askar pergi, saya kembali ke rumah. Saya lihat ayah sudah tidak bernyawa lagi. Lehernyanya dicekik dan darah mengalir membasahi tubuh dari kesan-kesan kelaran,” cerita Jawari Rusdi, 11 tahun. Gadis kecil itu cukup tenang saat memutarkan kembali pita ingatan terhadap peristiwa pilu itu.

Apa yang diceritakan oleh Adik Wan Irfan bin Ahmad tidak kurang menyiat jiwa. Ayahnya sedang mengasuh adiknya sementara dia sedang mengaji di tingkat atas rumah ketika askar, polis dan para military yang berbaju hijau datang ke rumahnya. Antara mereka ada yang menaiki motor dan ada yang menaiki kereta. Pada petang itu, mereka sekadar datang menyoal siasat . namun, selepas maghrib mereka datang sekali lagi. Ayahnya di tembak di bahagian pipi dan meninggal. Adik Irfan akan menangis saat berseorangan mengenang nasib yang menimpa keluarganya.

Pada sebelah malam, adik-adik tampil membuat pelbagai persembahan yang menghiburkan. Antaranya nasyid, pantun, syarahan dan lakonan. Krew kami tidak terkecuali diminta untuk membuat persembahan. Sekali lagi, saudari Azwaahidah tanpil dengan sebuah nasyid berjudul “Rahmat Ujian”. Persembahan hanya tamat kira-kira jam 2.30 pagi waktu tempatan.

Oh ibu mana ayah,
Atas pucuk syurga tuhan,
Oh abang mana hilang,
Dalam tempat telaga batu,
Sorong papan tarik papan,
Buah keranji dalam perahu,
Mana ayah mana abang,
Tanya ibu kata tak tahu.


Lagu yang digubah oleh saudara Ismail ini benar-benar membuatka jiwa adik-adik tersentuh tatkala didendangkan. Tiada yang tidak mengalirkan air saat bait-bait lagu ini singgah di cuping telinga. Hatta urusetia, fasilitator bahkan kami krew kami sendiri. Adik-adik peserta yang datang hampir keseluruhannya menjadi yatim setelah ayah-ayah mereka dibedil sementara abang-abang mereka dibawa pergi tanpa khabar berita dapat dititipkan lagi.

26 April 2010

Kami bersiap-siap dan bertolak pulang ke Pulau Pinang. Terlalu banyak pelajaran yang dapat kami kutip dalam ziarah kali ini. Bahkan, setiap kali ziarah kebajikan yang krew kami lakukan ke sana, pasti ada sahaja ibrah yang dapat dibawa pulang sebagai buah tangan berharga.

Pergolakan dan tekanan demi tekanan yang diterima bagi mereka yang darahnya tumpah di atas bumi Pattani membuatkan anak-anak kecil seawal 4 tahun perlu cakna akan tanggungjawab membebaskan agama dan bangsanya daripada terus ditindas. Saat kanak-kanak seusia mereka di negara kita seronok bermain playstation dan menonton movie Adnan Sempit, anak-anak di Selatan Thai ini terpaksa dipulihkan jiwanya dek trauma kehilangan ayah dan abang dalam keadaan yang menghiris jiwa.

Manisnya buah uhkwah yang dihulurkan oleh sahabat-sahabat di sana menjentik nurani. Dalam serba kekurangan, mereka cuba menghulurkan yang terbaik agar krew kami selesa. Biar mereka sendiri mengikat batu di perut. Mereka bersusah payah menghantarkan kami ke stesen bus untuk ke Hatyai. Sebaik sahaja tiba di Hatyai seorang lagi sahabat mereka, Abdullah menyambut kami. Beliau menunggu lebih kurang tiga jam bersama-sama kami dan hanya pulang setelah kami selamat menaiki van pulang ke Malaysia.

Hati kami benar-benar terusik. Tiada apa dapat kami hulurkan sebagai balasan melainkan latunan doa rabithah. Moga hati-hati kita disatukan di atas jalan dakwah ini.

Ya Allah,Engkau mengetahui bahwa hati-hati ini telah berhimpun dalam cinta padaMu,telah berjumpa dalam taat padaMu,telah bersatu dalam dakwah padaMu,telah berpadu dalam membela syari’atMu.Kukuhkanlah, ya Allah, ikatannya.Kekalkanlah cintanya. Tunjukilah jalan-jalannya.Penuhilah hati-hati ini dengan nur cahayaMu yang tiada pernah pudar.Lapangkanlah dada-dada kami dengan limpahan keimanan kepadaMu dankeindahan bertawakkal kepadaMu.Nyalakanlah hati kami dengan berma’rifat padaMu.Matikanlah kami dalam syahid di jalanMu.Sesungguhnya Engkaulah sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik penolong. Ya Allah. Amin. Sampaikanlah kesejahteraan, ya Allah, pada junjungan kami, Muhammad, keluarga dan sahabat-sahabatnya dan limpahkanlah kepada mereka keselamatan.

1 comment:

Unknown said...

PUAN MCM MANE SY NAK HUBUNGI PUAN BERKENAAN PROGRAM INI