Monday, April 05, 2010

Travelog Qamar : Selatan Thai Menanti Merpati Terbang Tinggi

Bismillahirahmanirrahim...

Tidak saya sangka-sangka awal April 2010 membuka ruang untuk saya menjejakkan kaki ke Selatan Thai. Bagaikan mimpi sehari sebelum bertolak, Kak Wahid meminta izin Abang Nizamuntuk bawa saya bersama. Mudah-mudah Abang Nizam mengizinkan. Saya muatkan catatan ringkas perjalan. Walaupun berkampung hanya selama tiga hari di sana, pelbgai ibrah dpat saya kutip. Sebahagiannya saya curahkan dalam entri ini. manakala sebahagian lagi akan saya perpanjangkan dalam entri akan datang, insya-Allah.

1 hb April 2010
Bertolak dari Georgetown bersama-sama Kak Wahid dan Akh Zakaria. Kami mengambil Abang Nizam dan Kak Nisa’ di Kepala Batas dan mengambil Ustaz Kamarudin di Sungai Petani sebelum meneruskan perjalanan ke Changlun. Kami memasuki kawasan Selatan Thai melalui imegresen Sadao. Perasaan saya saat itu bercampur baur. Teruja. Dalam pada masa yag sama berdebar-debar. Selepas berhenti makan dan solat kami meneruskan perjalanan ke Yala.

“Di sini ada tol atau tidak?” tanya saya.

“Ada tapi tol tidak berbayar,” balas Ustaz kamarudin. Saya menjungkit kening.
Tidak lama selepas itu baru saya faham. Sepanjang perjalanan kami menuju Yala kami perlu melalui pos-pos kawalan tentera.

“Di kawasan red zon, pos kawalan tentera akan lebih banyak. Biasanya dalam 100 meter jarak antara posnya,” jelas Ustaz Kamarudin.

Ketibaan kami di Yala disambut oleh sahabat-sahabat dari Deep Peace dan HAP.

“Berapa dana yang diperlukan untuk program anak-anak yatim ini?” tanya Abang Nizam kepada Huda, Pengerusi Deep Peace yang kepenatan pulang dari kerja. Mata saya meliar pada tulisan-tulisan Siam yang saya tidak fahami pada papan putih. Rupa-rupanya itu adalah tentative program yang bakal berlangsung pada 16 hb April sehingga 26 hb April akan datang.

“Dalam 100,000 baht (RM10,000),” jawab Huda.

“Dah cukup ka duit?” tanya Abang Nizam lagi. Huda tersengih sambil memandang pada rakannya, Jamilah.

“Belum lagi. Sedang diusahakan. Kalau tak ada juga, gadailah apa yang ada,” balas Huda sambil melirih motorsikal miliknya.

“Ish, takkan nak gadai motor kot,” ujar Ustaz Kamarudin.

“Kalau tak gadai motor pun ambil duit mas kahwin ke, tengoklah macam mana nanti,” ulas Huda lagi. Saat itu, saya terkesima sambil hati berbisik ‘Sampai begitu sekali!Subhanallah!’

Kami bermalam di sebuah rumah tumpangan. Malam itu, Abang Nizam menyelesaikan alih bahasa laporan bersama Huda di pejabat Deep Peace. Saya pulang awal keran tidak ada apa-apa yang dapat saya bantu. Tidur dalam keadaan terharu mengenakan kata-kata Huda petang itu.

2 hb April 2010
Berada di bumi bergolak itu, segala-galanya tidak dapat diduga. Pepatah bak telur di hujung tanduk barangkali tidak begitu tepat untuk mengambarkan suasana di tidak dapat ditebak itu lantaran hakikatnya jauh lebih runcing. Pada malam itu, kira-kira pukul 10.15 malam waktu Thailand, Kampung Berangin, Mukim Lubuk Sawa, Daerah Bacho, Wilayah Narathiwat gegak gempita dengan das-das tembakan yang menggegarkan jiwa. Keesokannya, tiga nyawa dilapor terkorban manakala 18 lagi cedera. Sebilangan mereka berada dalam keadaan parah dan dirawat di Hospital Narathiwat. Penduduk Kampung Berangin gawat menghadapi kejadian yang julung-julung kali menimpa kampung mereka.













Kami mebidak catur kembali rencana perjalanan. Pacuan empat roda yang sepatutnya menghala ke kampung Kucing lepas, kami bawa singgah di Kampung Berangin untuk bersua muka dengan kelaurga-keluarga mangsa.

Sebelum kejadian itu, kira-kira pukul 6.00 petang, sekumpulan pemburu haiwan yang terdiri daripada enam orang berbangsa Siam telah dijumpai terbunuh dipercayai ditembak di kaki Bukit Budo , daerah Bacho, Wilayah Narathiwat. Pihak polis menemui sebuah trak pikap yang berlubang akibat ditembusi peluru di tepi jalan bukit berkenaan. Sebutir bom meletup ketika pihak polis bergegas ke tempat kejadian dan menyebabkan beberapa anggota polis cedera.

Rentetan daripada peristiwa petang itu, Hakwea Thakir Ari, Harun Thakir Ari dan Nik Yeak Tuan Wok meninggal dunia pada sebelah malamnya. Manakala mereka yang cedera parah adalah Semah Muna (pemilik kedai kopi), Wea Nu Sien Watek, Halim Yasad Matmea, Ismail Tatmara, Semea Umara, Matraa Saleh, Shaari Awea Salekmea, Ismail Dahea dan mangsa yang paling muda, Aswa yang berusia kira-kira 18 tahun. 5 lagi mangsa hanya mengalami cedera ringan dan menerima rawatan pesakit luar.

“Mak cik tengah baring dan bersedia untuk tidur ketika deretan bunyi tembakan kedengaran. Serentak dengan itu kedengaran bunyi jeritan. Penuh rumah mak cik dimasuki oleh orang ramai untuk menyelamatkan diri,” ulas Mek Muye. Rumah wanita berkenaan terletak betul-betul di belakang kedai kopi yakni tempat kejadian. Mak Muye kelihatan tidak bermaya kerana tidak menjamah sedikit makanan pun sejak anak perempuannya yang juga mangsa, Rohimah dimasukkan ke hospital. Mujur kecederaan wanita lewat empat puluhan itu tidak begitu serius. Hanya cedera sedikir di bahagian kepala.

Menurut saksi kejadian, sebuah kereta bewarna hitam telah memperlahankan kenderaannya dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah orang kampung yang sedang minum kopi, bermain karom dan menonton televisyen. Beberapa meter kehadapan, kenderaan tadi sekali lagi melepaskan beberapa das tembakan. Dua orang mangsa meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi mangsa meninggal di hospital.

“Biasanya, lepas isyak lagi kedai kopi itu sudah tutup. Namun, pada malam itu kedai kopi berkenaan dibuka lebih lama memandangkan orang ramai masih berpusu-pusu bertandang di kedai berkenaan kerana ada kenduri di salah sebuah rumah penduduk kampung,” tambah Mak Muye lagi. Suaranya antara dengar dan tidak. Mendengar cerita mak Muye, sukar untuk pihak kami akui bahawa pihak yang telah memlepaskan tembakan telah menjalankan siasatan secara terpenrinci. Tidak dapat tidak, kesimpulan yang boleh dibuat, tembakan itu adalah tembakan secara rawak yang sasarannya adalah mereka yang lemah dan tidak berdosa.

Ketika krew kami tiba, kesan tembakan masih berbekas di meja makanan. Bahkan kesan tersebut turut kelihatan pada papan karom, kerusi plastic, pokok dan dinding rumah. Kesan-kesan darah yang mula mengering turut terpalit di beberapa tempat dengan bau hanyir tidak lagi singgah di indera hidu. Barangkali sudah diterbangkan angin.

“Ini peluru yang digunakan oleh mereka untuk membedil orang-orang kampung semalam,” ujar Sudin sambil menunjukkan peluru yang sudah bertukar rupa menjadi bulat kepada krew kami. dan bukti peluru yang masih disimpan oleh keluarga mangsa, senjata yang digunakan oleh kumpulan yang tidak dikenali tersebut adalah M16.

“Mereka yang meninggal dan cedera tersebut tidak mungkin terlibat dengan sebarang bentuk keganasan,” ujar salah seorang keluarga mangsa. Kami di pihak AMANI amat bersimpati dengan nasib yang menimpa mangsa-mangsa ini. Isteri menjadi balu. Anak-anak menjadi yatim piatu. Itulah bahana prasangka yang mereka terpaksa bayar dengan nyawa.

Menjelang jam 12. 30 tengah hari, azan Jumaat dikumandangkan oleh mu’azzin. Majoriti penduduk lelaki Kampung Berangin menuju ke Masjid Darul Iman. Saat para jemaah meraut wajah usai imam membaca doa, mereka tidak segera bangun lantaran perintah untuk mereka tunggu sejenak bagi mendengar ucapan yang akan disampaikan oleh Timbalan Gabenor Narathiwat yang lebih dikenali sebagai Be Hok (mungkin nama Melayunya Ishak) kedengaran.

Menurut pemerhatian krew kami, hampir keseluruhan penduduk Kampung Berangan tidak berpuas hati dengan kedatangan Be Hok. Be Hok rupa-rupanya dihantar oleh pemerintah Thailand untuk memurnikan perspektif penduduk Kampung Berangin akan kejadian yang telah berlaku.

Be Hok menyeru kepada penduduk kampung agar tidak meletakkan para tentera sdi kandang pesalah bahkan mereka perlu dilihat sebagai malaikat penjaga kehidupan. Be Hok juga meminta penduduk kampung agar bersabar terhadap ujian yang menimpa mereka. Mujur, ucapan yang disampaikan oleh Be Hok tidak mencetuskan sebarang kekecohan walaupun hakikatnya terlalu sedikit bahkan mungkin tiada dalam kalangan jemaah yang sehaluan dengannya.

Usai Solat Jumaat, seorang Mejar tentera laut yang bertugas ketika itu,
mengajak kami ke bandar Narathiwat. Pegawainya berpangkat Timbalan Ketua Pemerintah kawasan wilayah Narathiwat hendak berjumpa kami bagi menerangkan duduk perkara situasi sebenar konflik. Pada mereka tidak adil andai krew kami hanya mendengar pendapat dari sebelah pihak sahaja sedangkan sebelum kejadian di Kampung Berangin, enam orang dari bangsa Siam menjadi mangsa bedilan peluru yang entah datang dari mana.

Pihak kami tidak menolak pelawaan daripada Mejar berkenaan memandangkan kami
mungkin memperoleh beberapa manfaat dari diskusi tidak rasmi itu. Kami bersama-sama dengan kenderaan mejar berkenaan menuju ke bandar utama Narathiwat yang telah kira-kira 30 KM dari Bacho. Tiba di sebuah restoran, kami disambut dan dilayan mesra oleh Timbalan Pegawai Pemerintah Tentera Wilayah Narathiwat.

Sepanjang diskusi itu, kami tidak sekadar membatu mendengar cerita yang baik-baik belaka yang dilakukan oleh tentera Thailand seperti yang disampaikan oleh pegawai tersebut. Sebaliknya pihak kami turut menghujani mereka dengan pelbagai soalan di samping menyelitkan beberapa pandangan sebagai NGO di peringkat global. Sekali lagi pihak tentera tidak rasa senang sebab kami belum lagi makan tengahari. Kami dibawanya ke sebuah restoran Islam untuk menjamah selera makan tengahari.

Jam menunjukkan pukul 4.00 petang. Matahari semakin berat di sudut barat. Untuk meneruskan perjalanan ke kawasan yang dilabelkan sebagai kawasan merah (red zon) oleh tentera Thailand bukan satu pilihan bijak. Namun, kesungguhan yang ditunjukkan oleh keluarga al-marhumah membuatkan kami tidak sampai hati untuk tidak memenuhi undangan mereka. Berkali-kali pihak kami dihubungi.

Kedatangan krew kami disambut hangat oleh keluarga al-marhumah. Hati kami dijentik sayu saat memandang wajah bening Hikam, anak sulung Baldatee yang baru mencecah usia tiga tahun. Saat dunia dan perm
ainannya masih belum lumat dihadam, Ikang terpaksa menggalas beban sebagai anak yatim piatu. Hati semakin terusik saat melihat anak bongsu Baldatee, Ilham yang baru berusia 14 bulan lena dalam pangkuan neneknya.

Pihak kami menyampaikan sedikit sumbangan kepada keluarga Baldatee sebelum berangkat pulang. Kampung Kucing Lepas berbalam-balam kami tinggalkan dengan
perasaan yang bercampur baur. Sinar teja yang indah dikaki langit tidak bisa menghiburkan hati kami. Sungguh kami larut dalam keresahan jiwa yang tidak terungkap. Mungkinkah suatu hari kami akan kembali ke sini untuk mendengar satu lagi peristiwa pedih dari sebuah keluarga penoreh getah dan pesawah padi? Na’zubillah. Moga-moga perlindungan Allah selalu bersama mereka.

3 hb April 2010
Kami bersiap sedia untuk pulang. Ustaz Kamarudin sempat membawa kami melawat Masjid Kri Se di Pattani. Hampir tiga hari berada di bumi berantakan itu, saya jadi mangli dengan pos-pos tentera yang perlu kami lintasi. Terutama pada hari sebelumnya yakni dalam perjalan ke Kampung Kucing Lepas. Kami terpaksa melayan wajah sinis dan kemarau senyum para tentera berkenaan.

Akhirnya kami tiba di masjid Kri Se. Masjid yang binaan asasnya batu bata merah ini masih utuh berdiri biarpun kesan-kesan bedilan peluru jelas kelihatan menghiasi dindingnya. Biasanya akan ada anggota tentera berkawal di situ. Namun, saat kami singgah di situ, tiada tentera yang menjaganya.

Kami singgah solat di Masjid Jamek Pattani. Di masjid ini beberapa tahun dahulu bergegar langitnya dengan suara dan semangat 14 000 mahasiswa seluruh Thailand menuntut nasib di tiga wilayah bergolak itu dibela. Saya rasa bertuah kerana dibuka kesempatan oleh Allah untuk menjejakkan kaki ke sana. Walaupun peristiwa itu telah berlalau bebrapa tahun lalu, namun saya masih dapat merasakan sisa-sisa semangat golongan mahasiwa itu yang masih terpatri abadi di masjid berkenaan.

Jika di Malaysia, pemandangan sawah padi menyapa indera lihat kita di mana-mana, di Pattani, kita berkesempatan melihat bendang yang sama. Cuma di dada-dada bendang ini, bukan padi yang ditanam tetapi garam yang ditaburkan. Pertama kali dalam hidup saya melihat bagaimana garam diproses. Pemandangannya tidak ubah sperti sawah padi.

“Rasalah garam ni. Di sini saja kamu berpeluang merasa garam yang manis,” seloroh Ustaz kamarudin. Peluang merasa garam sebelum ia ‘diplastikkab’ tidak saya lepaskan.
Beberapa ketika menikmati pemandangan di bendang garam, kami bersiap-siap untuk pulang.
Bumi Selatan Thai saya tinggalkan untuk sementara kerana saya akan kembali lagi ke sana untuk sama-sama membantu mereka yang saya iktiraf sebagai saudara kerana bergantung pada tali akidah yang sama.

Tidak terlalu banyak gambar-gambar yang dapat dimuatkan memandangkan saya masih belum memiliki kamera sendiri. Insya-Allah akan diusahakan dalam masa terdekat ini untuk memiliki sebuah kamera, insya-Allah =).

1 comment:

Mesintaip: said...

1. Saya sudah baca cerpen awak "Sebelum Berkalang Tanah" yang disiarkan dalam Berita Minggu hari ini. Bagus. Nampaknya idea tercetus daripada pengalaman kembara di bumi bergolak Selatan Thailand.

2. Kita sentiasa berdoa agar keamanan dan 'kemerdekaan' dapat dinikmati oleh saudara seIslam kita di sana suatu hari nanti.

3. Sedih. Khaulah tidak sempat menunaikan impiannya.