





Karena kau menulis..., suaramu takkan padam ditelan angin, akan abadi, sampai jauh,jauh di kemudian hari..- Pak Pramoedya Ananta Toer-
Puan Noraini serta anak bongsu mulah baba Abdul Rahman, Nur Haliza
di Nahdatul Tarbiyyah ad-Diniah al-Diniyyah, Bendangsetar Yala
Selepas sesi taaruf bersama dengan mudir sekolah, kami langung pulang ke pejabat HAP kerana empat sahabat yang akan langsung pulang ke Malaysia.
Usai solat Asar, kereta podi sekali lagi dikerah untuk mengangkut sahabat-sahabat pulang ke Malaysia. Saya turut tidak ketinggalan untuk menghantar sahabat-sahabat ke sempadan yakni di Dannok.
Oleh sebab hari sudah gelap ketika kami sampai di sempadan, Ustaz Kamaruddin menyarankan empat sahabat tadi untuk bermalam sahaja di Dannok dan pulang esok hari.
Sementara saya dan sahabat-sahabat daripada Selatan Thai lain langsung ke Hat Yai untuk menjemput Ismael Teh yang baru usai daripada program dialog.
Kemudian kami langsung makan di Kedai Warisan, sebuah kedai yang diusahakan oleh para pelajar. Akhirnya saya sampai ke tempat di mana enam orang pelajar serta seorang tukang masak di tahan beberapa bulan lalu yang akhirnya membawa kepada demonstrasi kecil di Yala.
Melihat kepada majunya kedai makanan tersebut, saya langsung teringat kepada mahasiswa di Malaysia. Antara sebab kedai Warisan diusahakan adalah untuk membantu memberi dana kepada badan-badan NGO yang membela nasib rakyat di tiga Selatan Thai. Begitu kuat sekali jaringan yang wujud antara mereka. Barangkali ini impak daripada konflik yang mereka hadapi. Terfikir-fikir, mungkin mahasiswa kita di Malaysia menanti adanya konflik yang besar berlaku baru mereka akan sedar dari buaian hedonisme dan ketidakpedulisme?
Lewat malam baru kami tiba di pejabat HAP. Saya mula batuk-batuk dan tidak sedap badan. Pada mulanya saya fikir saya akan demam. Rupa-rupanya bukan saya yang dipilih Allah untuk sakit tetapi rupa-rupanya orang lain. Rasa bersalah menyelubungi diri. Hmm…
“Ibu ambil cuti hari Jumaat ini,” maklum ibu kepada saya sebaik sahaja saya menjengah dapur. Saya menjungkit kening.
“Errr…, kenapa ibu ambil cuti?” soal saya sambil menggaru-garu kepala yang tidak gatal sambil otak ligat menyusun kata-kata. Saya mahu ke Patani Jumaat ini. Lebih kurang seminggu saya akan berada di sana sebelum langsung ke Shah Alam untuk program Bicara Buku di Pesta Buku Selangor, Kompleks PKNS Shah Alam.
“Ibu nak ajak kakak pergi tengok tudung di Parit Buntar. Cantik-cantik. Lepas itu, boleh langsung tengok kain untuk buat jubah kakak,” jelas ibu. Saya menggigit jari.
“Ibu sebenarnya, kakak nak pergi Patani. Seminggu di sana kutip maklumat untuk buku kakak yang akan datang,” saya memberanikan diri berterus terang.
“Oh,” jawab ibu sepatah.
“Balik dari Patani, 3 haribulan, kakak langsung nak pergi Shah Alam. Ada program bicara buku di sana,” lanjut saya.
“Pergi naik apa ke Shah Alam?”
“Errr…, naik bas rasanya,” jawab saya. Cekatan saya menyambung tugas ibu menggoreng bihun( tolong kacau saja pun bihun dalam kuali tu. hihi).
“Hari apa program itu?” soal ibu lagi.
“Hari Ahad pukul 11 pagi,”
“Balik awal sikit dari Patani. Boleh ibu hantar ke Shah Alam. Kalau tidak sempat balik hari Ahad lagi, ibu ambil cuti hari Isnin.
“Errr…, tak payahlah ibu. Kakak pergi sendiri,” tolak saya. Sebenarnya saya tidak mahu menyusahkan ibu.
Ibu diam. Saya turut diam.
“Lepas habis semua program itu, kakak duduk di rumahlah? Ada program lagi tidak?” duga ibu meemcah keheningan yang tercetus.
“Errr…., tak tahulah, ibu,” saya berselindung. Kalau ikutkan banyak lagi program sepulangnya saya dari Shah Alam.
Sebelum 21 September 2010 menjelang yakni tarikh berlepas ke bumi Anbiya' saya tidak bercadang untuk membiarkan ruang waktu itu kosong dan duduk goyang kaki di rumah. Sengaja saya menawarkan diri untuk memberi khidmat di samping tawaran-tawaran yang datang. Walau terkadang rasa sesak juga nafas ini.
“Kalau kakak ada di rumah boleh tolong tengokkan si Saiful. Tolong ajar dia matematik, sains, Bahasa Melayu, bahasa Inggeris. Peperiksaan UPSR dah tak lama lagi tapi dia asyik main game. Langsung tak mahu belajar,” luah ibu.
Saya menggetap bibir sambil mengutuk diri. Adakah saya telah mengabaikan tanggungjawab saya sebagai seorang anak, kakak dan salah seorang daripada ahli keluarga itu?
Sebetulnya saya tidak boleh menahan diri daripada terlibat dengan pelbagai aktiviti. Bermusafir ke sana ke mari sehingga kadang kala saya terlupa saya adalah seorang perempuan.
Teringat perbualan ringkas dengan seorang sahabat.
“Mak saya tidak begitu berkenan saya bergerak aktif. Apa lagi bermusafir ke sana ke mari tanpa mahram.”
“Oh yakah?” respon saya.
“Menurut mak, wanita-wanita di zaman Rasulullah SAW dulu tidak keluar berjuang melainkan ditemani oleh ayah, anak-anak lelaki atau suami mereka,” lanjutnya lagi.
Saya tersentak. Rasa seperti terkena pada batang hidung sendiri. Termenung panjang saya.
Mungkin saya terlalu taksub dengan prinsip diri, mahu melakukan sesuatu yang manfaatnya melimpah buat ummah seluruhnya. Apatah lagi apabila mengingatkan saya masih muda dan belum berkeluarga. Atau mungkin semangat Zainab al-Ghazali yang saya kagumi turut tempias dalam diri. Entahlah.
Zainab al-Ghazali sangat meyakini tanggungjawab agama dan social apabila berkahwin. Pada perkahwinan beliau yang pertama, suami beliau tidak bersetuju untuk membenarkan beliau bergiat aktif dalam perjuangan Islam. Dengan sebab itu, beliau telah meminta cerai daripada suaminya kerana pra-syarat yang diletakkan oleh beliau sebelum berkahwin adalah membenarkan beliau memperjuangkan Islam.
Suami beliau yang kedua memahami semangat dan gagasan perjuangan beliau dan melibatkan diri dalam penulisan untuk menyokong beliau dan sama sekali tidak menghalang beliau dari perjuangan.
Di dalam buku ‘Hari-hari dalam Hidupku’ (Ayyam min Hayati) beliau mengisahkan bagaimana suami beliau walaupun sangat bimbang akan diri beliau tetapi terus menerus menyokong perjuangan suci beliau. Zainab al-Ghazali juga menekankan beliau tidak akan mengabaikan tanggungjawab kepada suami dan keluarga beliau walaupun beliau Amirah sayap wanita Ikhwan Muslimin. Tanggungjawab beliau yang berat itu menyebabkan beliau perlu bekerja pada waktu yang panjang di pejabat beliau dan aktiviti bersama Ikhwan Muslimin.
Setelah kematian suaminya yang kedua, beliau masih di dalam penjara. Beliau merasakan tanggungjawabnya terhadap perkahwinan telah selesai dan beliau bebas untuk mengorbankan seluruh masanya untuk perjuangan Islam.
Mungkin saya tidak mampu menjadi sehebat beliau namun saya tidak menjadi wanita yang biasa-biasa. Walaupun saya tahu akan risikonya.
“Muslimat-muslimat yang aktif dan terkehadapan ini lambat jodohnya. Apatah lagi kalau tiada rupa,” lirih seorang sahabat. Saya sekadar tesenyum. Mengiya tidak. Membantah pun bukan.
Sebetulnya, bimbang juga saya. hihi...=)
Namun kata-kata Pak Ridwan Mukri, ESQ trainer dalam satu siri program yang saya hadiri jauh mengatasi kebimbangan itu. Bahkan menjadi penguat semangat saat rasa diri hampir rebah dalam meniti perjalanan yang panjang.
“ Hidup ini terlalu singkat untuk menjadi orang biasa.”
Ah! Kata-kata ringkas yang penuh azimat!
Ibu saya mungkin tidak jauh bezanya dengan Emak kepada Ustaz Riduan Mohamad Nor seperti yang tercatat dalam bukunya Cinta Di Langit Gaza. Seorang ibu yang mengimpikan anak gadisnya ini hidup normal seperti gadis-gadis lain. Bertungkus lumus belajar kemudian berkerjaya dan berkeluarga. Hidup tenang di rumah tanpa perlu ke sana ke mari berprogram.
Tidak perlu berpenat lelah mengejar waktu sehingga kadang kala balik ke rumah hanya sekdar untuk menukar beg pakaian.
Tarbiyyah yang pernah saya membuatkan saya tidak betah duduk diam saat tenaga, kudrat dan khidmat saya diperlukan.
Saya tahu dalam izin ibu berat melepaskan.
Apa yang mampu saya lakukan adalah berdoa andai kerjabuat saya ini berpahala, ganjaran itu turut mengalir kepada orang tua saya.
Terfikir-fikir, mungkin perlu saya fahamkan ibu tentang falsafah ini.
Hidup ini terlalu singkat untuk menjadi orang biasa.