Monday, June 28, 2010

Survival Qamar: Hari Keempat, 28 Jun 2010

Bismillahirrahmanirrahim...

Survival saya seorang diri bersama-sama kumpulan daripada Selatan Thai bermula. Chu Ya minta kami berehat dahulu pada hari ini sebelum meneruskan ziarah untuk mengumpulkan data dan maklumat.

Saya dibawa oleh Kak Rasyidah mengelilingi Bandar Yala dan antaranya kami singgah di Yala Rajabhat University.

Melihat bangunan universiti yang tersergam indah serta para pelajarnya berkeliaran di sekitar kawasan kampus, hati ini jadi benar-benar rindu untuk masuk ke kuliah
semula. Tidak sabar rasanya hendak mengkelek buku ke perpustakaan selesai kuliah. Kemudian membuat ulangkaji pelajaran bersama sahabat-sahabat di sekitar kawasan universiti. Bumi anbiya’ itu kembali menggamit hati.

“Tua dah baru munirah berkerja kalau begitu,” ulas Nurhayati atau lebih mesra dengan panggilan Kak Tee ketika saya memaklumkan saya hanyakan tamat belajar setelah enam tahun bermula dari tahun ini. Saya sekadar membalas penyataan itu dengan senyuman. Kalau ikutkan hati, mahu sahaja saya belajar seumur hidup. Rasa cinta dengan dunia belajar yang penuh ditaburi taman-taman ilmu ini tiada tolok bandingnya. Melebihi dunia dan seisinya.

Mahasiswa dan mahasiswi di sini diwajibkan memakai uniform sewaktu masuk ke kuliah. Bagi mahasiswa mereka perlu mengenakan tudung putih, baju putih dan kain hitam sementara mahasiswanya mengenakan kemeja putih serta berseluar hitam. Tidak ubah seperti pelajar sekolah menengah di tanah air.

Kami makan tengahari di kafe universiti sebelum langsung solat Zohor di suraunya.

Usai solat, Kak Rasydah membawa saya melawat pusat kebudayaan yang terletak di dalam kawasan universiti. Pelbagai alat muzik, alat permainan tradisional serta pinggang mangkuk yang ditempatkan di dalam pusat kebudayaan ini tidak jauh bezanya dengan apa yang terdapat di Malaysia.

Di sini juga terdapat beberapa peninggalan keturunan baba nyonya yang membuatkan saya terfikir, barangkali ada hubungan sejarah antara Bandar Yala dan Melaka. Hmmm…. Siapa yang berminat untuk mengkajinya?

Sebelah petang pula, yakni selepas solat Asar, Kak dan Kak Za bawa saya ke pasar berhampiran stesen keretapi di Bandar Yala ini. Huh! Memang sudah namanya perempuan. Saya tidak dapat menahan diri daripada membeli kain corak batik sebagai kenangan untuk dibawa pulang ke rumah nanti.

Sebelah malam, saya mempersiapkan bahan-bahan untuk program pada keesokan harinya. Ketika saya melelapkan mata yakni sekitar pukul 11.30 malam waktu Malaysia, sahabat-sahabat lain masih tekun bertungkus lumus menyiapkan tugas masing-masing.

p/s : tak dapat muatkan gambar kerana gambar-gambar yang ditangkap terdelete...

1 comment:

lillah أم هريرة said...

astagfirullah al azim..

sabar dik...

inshaallah ada hikmahnya tu terdelete gambar2...

:)

akak count down 2 Julai....

nanti kalau akak tak dapat jumpa Munirah di Bkt Kayu hitam, akk tggu di PKNS Shah Alam...

:)