Sekali lagi dengan menaiki kereta podi, krew kami dengan bilangan yang lebih banyak daripada hari sebelumnya, bergerak menuju ke rumah arwah Sulaiman Nasea di Kampung Hutan Machang, Daerah Saiburi, Wilayah Patani.
Kedatangan krew kami disambut oleh keluarga arwah di samping jiran tetangga lain. Berbeza dengan keluarga Mohd Yusof, bagi keluarga Sulaiman, ibubapanya terpaksa menerima hakikat bahawa anak yang kepadanya mereka bergantung harap di hari tua, pergi meninggalkan mereka. Di sebalik senyuman si ibu dalam menjawab soalan demi soalan yang diajukan, serta tawa si ayah dalam selang seli bicara, tiada sesiapa dapat membaca luka yang membekas di hati mereka.
Apa tidaknya, permata hati pertama yang hadir menyerikan rumahtangga pergi dulu meninggalkan mereka.
Usai mengambil maklumat dan data, kami dijamu makan tengahari di rumah arwah Sulaiman.
Kami meneruskan perjalanan ke sebuah masjid di Tebing, Mukim Ta’bin, Daerah Saiburi Wilayah Patani. Sebiji bom pernah dilemparkan kea rah masjid ini namun tidak jatuh ke dalam kawasan masjid sebaliknya tersasar di luar pagarnya. Akibatnya, dua orang kanak-kanak lelaki dan seorang wanita cedera.
Kami meneruskan perjalanan ke rumah arwah Imam Abdul Karim Haji Muda di Kampung Keranji, Mukim Ta’luban, Daerah Saiburi, Wilayah Patani.
Imam Abdul karim ditembak mati ketika sedang memanjat tangga untuk menunaikan solat Jumaat.
Untuk ziarah mangsa ketiga ini, buat ke sekian kalinya, saya bertemu muka dengan seorang lagi janda yang kuat dan cekal seperti Puan Safiyah.
Kami menunaikan solat zohor di rumah arwah.
Perjalanan di teruskan ke rumah mangsa konflik terakhir yakni arwah Abdul Aziz di Kampung Banggol Kabu.
Abdul Aziz, 29 tahun ,seorang guru tadika yang cacat tangannya ditembak mati ketika sedang sibuk membuat persiapan program tadika pada hari berikutnya.
Bagi sahabat-sahabat yang tidak membuat jamak qasar, mereka beransur pergi mengerjakan solat Asar sementara saya dan Kak Lillah meneruskan tugas kami menemubual keluarga mangsa dan mendapatkan data serta maklumat secukupnya untuk simpanan pihak kami.
Kami tidak dapat meluangkan masa lebih lama di rumah arwah Abdul Aziz kerana kesuntukan masa.
Kami bertolak pulang. Fikiran saya melayang jauh, memikirkan tarbiyyah Allah di sebalik kembara pada hari ini.
No comments:
Post a Comment