Thursday, March 10, 2011

Berkah Menulis

Bismillahirrahmnairrahim..

“Menulis memang telah memberis banyak berkah buat saya. Allah begiyu pemurah. Padahal saya hanya menulis. Lewat menulis saya berkesempatan berinteraksi dengan banyak orang. Juga melangkah lebih jauh yang kalau harus dilakukan dengan ongkos sendiri, rasanya dompet saya belum cukup tebal untuk itu..,” Asma Nadia dalam Catatan Hati Bunda.

Dalam diam saya akui apa yang di sebut Bunda Asma ini.

Lewat dua novel yang saya tulis ini sudah beberapa jemput untuk mengisi slot telah saya terima. Sungguh saya tak sangka, disebabkan menulis saya dijemput untuk pelbagai acara. Sama ada bedah novel saya sendiri mahupun memberikan bengkel penulisan (sesuatu yang tidak pernah terlintas dalam fikiran saya sebeulmnya) . padahal saya baru kurang lebih setahun bergelar penulis.

Apabila di panggil untuk memberi slot sudah tentu saya perlu berbicara bukan menulis! Satu cabaran yang hebat untuk saya sebenarnya.

Dulu, ketika saya mengambil keputusan menulis sebagai ‘jalan dakwah’ saya tidak terfikir saya perlu memperbaiki pengucapan awam yang kian buruk sejak saya tinggalkan bangku sekolah menengah. (Disekolah dulu saya aktif dalam syarahan dan forum).

Saya boleh mengucapkan selamat tinggal kepada dunia pengucapan awam.

Kita merancang. Allah jua merancang. Namun, sudah tentu Allah jua sebak-baik perancang.

“Apa ibrah yang paling ketara Munirah perolehi daripada menulis ini?” tanya kak Asti ketika sesi bedah buku di Anjung Semarak USM baru-baru ini.

Pada saya manfaat terbesar yang saya dapat dengan menulis sudah tentulah tekanan untuk membaca.

Meminjam kata-kata Dato’ A. Samad Said.

“Untuk menjadi penulis, seseorang itu perlu membaca, membaca, membaca,membaca dan kemudian menulis.”

Selepas melalui tempoh ‘turning point’ (istilah yang diberikan oleh seorang teman, bakal guru kaunseling ^_^) dalam kehidupan yang sedikit menyuramkan self esteem saya, menulis banyak membantu saya membina kembali keyakinan diri.

Pertamanya, apabila saya menerima sekian banyak respon positif daripada pembaca sama ada melalui emel, YM mahupun FB.

Keduanya, menulis ‘memaksa’ saya untuk berinteraksi dengan orang ramai. Tentu saja ketika mana saya dipanggil untuk mengisi slot-slot tertentu. Mahu tak mahu saya terpaksa kembali ke arena pentas pengucapan awam. Rupa-rupanya keterpaksaan ini sangat membantu saya menyuburkan kembali sikap percaya diri. Alhamdulillah…

“Apa perancangan Munirah untuk masa akan datang dalam bidang penulisan ini?” soal Kak Asti, peserta bedah buku yang paling aktif bertanya ^_^.

Seriusya, saya tiada satu plan perancangan yang rapi dan tersusun untuk bidang penulisan ini. Saya menulis hanya sebagai hobi. Hobi yang pada saya mampu menyumbang buat ummah dan menolong saya memanfaatkan masa sebaik nya.

Soalan Kak Asti ini saya kira Berjaya mengetuk hati saya untuk membuat pelan yang lebih tersusun.

Saya tidak bercadang untuk menulis selama-lamanya. Tambahan apabila sudah berkerjaya nanti.

Ketika melangkah ke bumi anbiya’, jadual penulisan saya sedikit caca merba jadinya. Sampai blog pun tidak ter ‘update’. Bahkan saya sehingga bercadang untuk tidak menulis lagi.
Namun, berkah menulis membuatkan saya kembali menilai keputusan yang saya mahu ambil ini. Barangkali ini mungkin saja teguran daripada Ilahi.

"Munirah tak nak cuba tulis skrip drama? zaman sekarang orang mengejar masa. Tak sempat sangat hendak membaca. Kalau terjun dalam bidang penulisan skrip drama, sekurang-kurangnya boleh menjernihkan industri hiburan kita yang sudah tak terarah ini," cadang Kak Wani.

saya mengangkat kening sambil mengusap-usap dagu.

saya akan jawab pertanyaan Kak Wani in dalam entri akan datang, insya-Allah..^_^

Wednesday, March 09, 2011

Resensi Novel Qasidah Untuk Kekasih

Bismillahirrahmanirrahim..

sumber :orensic-addin93.blogspot.com/2011/02/qasidah-untuk-kekasih.html

Hye..assalammualaikum..

qasidah untuk kekasih ni merupakan novel terbaru PTS litera..novel ni menarik dan sedap bagi sesiapa yang berminat dengan novel..Mesti ramai yang terpikirkan novel ini mengisahkan tentang percintaan kaum adam dan kaum hawa kan..sebenarnya bukan. Ianya mengisahkan tentang percintaan seorang umat terhadap Nabi junjungan kita iaitu Nabi Muhammad SAW..

sedikit sinopsis yang aku nak kongsikan tentang cerita ini...

Hidup manusia tidak boleh dipisahkan dengan cinta. kerana cinta dan sayang pada hambaNya, Allah sentiasa membuka pintu taubat kepada kita biar dosa itu sepenuh dunia. Kerana cinta pada umat, Nabi bermandi darah dan keringat, berpatah tulang dan gigi agar sinar Islam menerangi empat penjuru alam. Bahkan ketika dihujungnya, mulut dan hati baginda masih basah mengingati umat yang bakal ditinggalkan. Zainul Muttaqin mahu membalas cinta tulus itu. Untaian qasidah itu basah dibibirnya , didendangkan saban detik dan waktu tanpa jemu.
Bahkan dia mahu mengajak lebih banyak jiwa merajut rindu pada sang kekasih. Idea Miftahul Asywaq mengapung di sana. Bersama sahabat baiknya, Amir Hamzah, mereka menelusuri jalan juang yang tidak mudah. Fitnah, pertembungan program sehinggalah konflik yang menimpa Habib Hasan dan Saif mengheret mereka untuk merungkai satu-persatu masalah sehingga akhirnya, Miftahul Asywaq terlaksana walau tanpa Zainul Muttaqin hadir bersama…

Novel ni penuh dengan pengajaran dan peringatan..membacanya membuat kita berfikir..perlunya menjadi manusia yang berperanan dalam membawa kebaikan kepada masyarakat...novel ini juga membawa mesej yang jelas,iaitu setiap orang perlu diberi peluang untuk kembali ke pangkal jalan..

Jadi kepada sesiapa yg berminat membaca novel dan minat penceritaan sebegini..apa lagi..beli lah dikedai buku berhampiran..hnya RM 17.00 sahaja..
novel bermanfaat jangan dipersia-siakan...dari novel cinta yang tidak bawa apa-apa..baik beli novel sebegini..maklumat lanjut sila layari PTS.com .my

p/s ; saya sempurnakan sedikit ejaannya kerana penulis asal menggunakan singkatan kata ^_^

Tuesday, March 08, 2011

Tudung Bidang 60

Bismillahirrahmanirrahim..

Saya bukan nak jual tudung ya ^_^

“Kenapa hampa pakai tudung labuh?” tanya seorang sahabat. Saya menjungkit kening. Persinggahan sementara di Jedaah tempoh hari member ruang untuk saya bersembang panjang dengan seorang sahabat.

“Pertamanya, tudung labuh ini mudah. Tak perlu pin sana. Pin sini. Sepanjang tempoh berkuliah saya lebih suka memakai tudung labuh sebab tak mengambil masa yang laam untuk bersiap ke kelas.” jawab saya.

“Keduanya, pada saya tudung labuh ini sedikit sebanyak menjaga diri saya dari beberap sudut. Satunya saya sendiri akan beringat-ingat kalau nak buat sesuatu benda yang mungkin akan mencalarkan imej orang bertudung labuh. Lagi satu, tudung labuh ini juga pada saya boleh menjadi asbab orang tidak menganggu saya,” lanjut saya.

Sahabat saya ini mengangguk-anggukkan kepala.

Ini bukan kali pertama saya diajukan soalan “mengapa kamup akai tudung labuh?”
“Saya nak tanya ada beza tak antara seorang lelaki yang berkopiah dan tidak berkopiah?” soal saya pula.

Sahabat saya ini terdiam sejeda.

“Sudah tentu ada beza,” sambut dia kemudian.

“Kita akan lebih segan dengan orang lelaki yang berkopiah daripada yang tidak mengenakan kopiah, bukan?” soal saya lagi.

Dia mengangguk-anggukkan kepala.

“Tulah. Kami pakai tudung labuh bila iman kami naik sikit,” ujar sahabat saya ini dalam nada bergurau. Saya ketawa kecil.

“Tapi kami lebih suka pakai tudung bidang 60. Sebab senang nak dekat dengan mad’u,” sambung dia.

Giliran saya pula mengangguk-anggukkan kepala.

“Pada saya tudung ini bukan penyebab mad’u mahu dekat atau sebaliknya. Saya punya banyak pengalaman berhubung hal ini. Tapi tak mustahil juga tudung ini boleh jadi penyebabnya,” akui saya.

Dalam keluarga sama ada dari sebelah ibu mahupun dari sebelah ayah tiada yang betudung bulat mahupun bidang 60.

Jadi, setiap kali pulang ke kampong saya akan mengenakan tudung bidang 60 dengan harapan supupu-sepupu dan sanak saudara tidak segan dengan saya. Tetapi hal itu tidak berlaku.
“Sikap kita sebenarnya yang menetukan sama ada mad’u mahu rapat atau tidak. Andai kita memang seorang peramah dan pandai mengambil hati orang lain, maka tidak kisahlah kita bertudung labuh ka, berniqab ka, insya-Allah kita akan mampu menarik perhatian mad’u. Tapi kita memang jenis mulut berat,tak pandai bergaul, pakailah tudung tiga segi bawal yang jarang-jarang itu sekalipin, mad’u tetap tak akan mendekat,” hujah saya.

"Betul! Betul!” sokong sahabat saya tadi.

Seorang ibu kepada kenalan saya merupakan contoh terbaik saya kira. Mak Cik ini bukan sahaja bertudung bulat bahkan berniqab lagi. Namun, sudah berapa ramai jiwa yang berjaya disentuhnya, entah berapa ramai bukan Islam tertarik kepada Islam setelah mendengar bicaranya.

Jadi tak kisahlah tudung bidang 60 ka, tudung bulat ka, tudung tiga segi ka yang penting tutup aurat dan menepati syarat-syarat yang telah digariskan oleh agama. Mungkin yang lebih utama untuk dibincangkan adalah bagaimaan hendak menarik perhatian orang tidak bertudung untuk menutup aurat. Bukan?

“Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir darinya. Dan hendaklah mereka menutup belahan leher baju mereka dengan tudung kepala mereka. (an-Nur; 31).

Monday, March 07, 2011

Saya Belum Bersedia!

Bismillahirrahmanirrahim...

“Dia ajak saya kahwin, tapi saya belum bersedia,” luah seorang sahabat. Saya setia menadah yelinga sambil sesekali mengangguk-anggukkan kepala.

Isu baitul muslim ini sering benar singgah di telinga saya biar di bumi mana pun saya berpijak kini ^_^

“Sebab itu saya selalu sibukkan diri agar tidak terlalu fikirkan tentang perkara ini. Saya takut sebenarnya bimbang saya tidak mampu membawa bebanan rumahtangga kelak andai memilih untuk berkahwin sekarang(semasa belajar),” lanjut sahabat saya ini lagi.

Saya acap kali mendengar frasa SAYA BELUM BERSEDIA ini daripada sahabat-sahabat yang mahu disunting saat mereka masih menuntut. Kadang kala terasa geli hati juga. Beberapa sahabat memilih untuk meminta nasihat tentang baitul muslim daripada saya. Sedang saya belum pun mendirikan masjid sendiri ^_^

Bagi setiap mereka yang mengucapkannya di hadapan saya, pasti saya akan lontarkan pertanyaan bila anda akan bersedia?

Dan kebanyakan mereka sukar memberikan satu jangka waktu yang tepat bila mereka akan bersedia.

Bagi saya, kita sendiri yang menentukan kita bersedia atau belum. Apabila kita selalu membisikkan kepada diri kita bahawa kita belum bersedia maka, itulah mesej yang otak kita akan terima.

“Kalau boleh saya mahu melahirkan anak-anak yang soleh dan solehah serta berjuang untuk Islam. Andai saya berkahwin sekarang saya bimbang cita-cita itu tidak akan tercapai,”

“Kamu pasti andai kamu kahwin ketika mana kamu rasa diri telah bersedia, kamu mampu melahirkan anak-anak seperti yangk amu idamkan ini?” soal saya.

“Err..,”

Perkahwinan bukan sahaja kisah penyatuan dua jiwa tetapi juga tentang jiwa-jiwa baru yang bakal dilahirkan.

Saya kira ramai dalam kalangan kita mengimpikan anak-anak sehebat Sultan Muhammad al-Fateh. Mahupun anak-anak segagah Salahuddin al-Ayubbi. Sebijak Lukmanul Hakim. Anak-anak seperti Imam Al-Ghazali dan Imam Syafie.

Namun berapa ramai dalam kalangan kita yang telah merancang pendidikan yang seperti apa hendak kita berikan kepada anak-anaknya ini agar mereka menjadi seperti kita idamkan?

Berapa ramai dalam kalangan kita yang telah membaca dan mengkaji bagaimana Sultan Muhammad Al-fateh dibesarkan? Berapa ramai dalam kalangan kita yang meneliti sedalam-dalamnya bagaimana ibubapa Imam Syafie mendidik beliau sejak dalam kandungan lagi?

Pendidikan terhadap anak-anak ini jarang-jarang termasuk dalam senarai persediaan kita sebelum melangkah ke alam perkahwinan. Bahkan mungkin tak terlintas pun dalam fikiran.

Sebahagian besar dari pembaca saya kira adalah dalam lingkungan mereka yang dikatakan GENERASI Y. Anak-Anak kita kelak tidak ragu-ragu lagi sudah pasti berada dalam lingkungan generasi ini.

Generasi Y boleh diklasfikasikan kepada manusia yang lahir antara tahun 1980an dan 1990an. Mereka generasi yang unik dimana gaya hidup dan pemikiran manusia menerima ledakan teknologi maklumat yang luar biasa sehingga mentranformasi sesebuah masyarakat tradisi dan moden. Kita dikira sebagai masyarakat pasca moden.

Perentas maklumat seperti twitter, wikileaks, FB, Blog mula menyebarkan maklumat dengan pantas. Maklumat tersebar secara langsung dan ia boleh mempengaruhi massa.

Kepantasan maklumat menjadikan maklumat semakin dekat dengan kita. Maklumat ini mengandungi legasi pemikiran dan gaya hidup popular terutamanya dari Barat dan akhir menglobal ke antero alam dunia. Kebiasaannya, barat akan memenangi pengulatan perubahan pemikiran dan gaya hidup kerana mereka mempunyai modal yang besar. Modal menentukan kepopularan.

Kebanjiran maklumat telah merencamkan pemikiran generasi Y. Taboo lama yang diwarisi cuba diubahkan. Jika kita lihat, Gen Y lebih liberal dan materialitik sifatnya. Sifat ketuhanan mula longgar apabila sains dan teknologi mula bertuhan. Agama mula menjadi adat bahkan ada menganggap mitos dan dongeng. (http://mahasiswamenggugat.blogspot.com/2011/02/generasi-y.html)

Amat membimbangkan bukan?

Pernah diceritakan kepada saya beberap ketika dulu, Ada seorang ustazah berhenti dari menjadi seorang guru semata-mata hendak menjadi surirumah sepenuh masa sebaik sahaja dia melangkah ke alam perkahwinan.

Dia mahu mendidik anak-anaknya sendiri. Menurutnya, dia telah menyediakan satu kerangka untuk setiap anak-anak yang bakal lahir kelak. Misalnya, dia mahu anak sulungnya kelak menjadi doctor. Lalu dia kaji permainan dan pendidikan yang bagaimana dia harus berikan kepada anaknya ini sejak alam kandungan lagi. Begitu juga dengan anak seterusnya.

Sungguh mengagumkan! Saya yakin dan pasti ustazah berkenaan bukan baru merencana hal yang sedemikian. Sudah pasti dai mengambil masa yang tidak sedikit untuk menyiapkan kerangkanya ini. Subhanallah!

Andailah anda tidak bersedia kerana belum menyiapkan kerangka pendidikan untuk anak-anak atau belum puas meneliti pembawakan Rasulullah, para nabi, ulama dan orang soleh dalam meneraju rumahtangga maka saya kira alasan SAYA BELUM BERSEDIA kita itu sangat kukuh.

Namun, sekiranya alasan SAYA BELUM BERSEDIA kita itu hanya didasari oleh sebab kita belum puas menikmati zaman bujang, saya kira kita perlu berhati-hati.

Atau kita beralasan SAYA BELUM bERSEDIA, tetapi kita tidak membuat apa-apa usaha untuk menuju ke arah persediaan. Ini pun bahaya.

Tidak dinafikan, zaman belajar ini menuntut sepenuh perhatian dan tenaga kita untuk cemerlang dalam pengajian. Tetapi tidak bermaksud kita terus mengabaikan persediaan untuk berumahtangga.

Bimbangnya, kita terjun dalam hidup berumahtangga dalam keadaan kita sebenarnya tidak bersedia, walaupun saat itu kita menjangkakan kita telah bersedia.

“Sebaik-baiknya kamu letakkan target bila kamu hendak mengahkiri zaman bujang. Kerana pabila kamu punya target, kamu akan lebih bersungguh-sungguh dalam mebuat persediaan walaupun kamu masih belum punya calon lagi,” nasihat saya di akhir perbualan kami.

p/s: sekadar lontaran pandangan dari seorang yang masih belum melangkah gerbang perkahwinan. Pandangan dan cambahan idea daripada mereka yang telah menempuh alam ini amat dialu-alukan ^_^

Sunday, March 06, 2011

Qasidah Untuk kekasih di USM, Pulau Pinang


Bismillahirrahmanirrahim...

Dijemput sahabat-sahabat semua ke majlis ilmu, bedah buku. rabu ini (9 Mac 2011) di Anjung Semarak, USM, jam 5.30ptg. Buku berjudul "Qasidah untuk Kekasih" , akan dibentang sendiri oleh penulisnya, Cik Siti Munirah Abdul Rashid.

Tajuk : Qasidah Untuk Kekasih
Pengarang : Siti Munirah A. Rashid
Penerbit : PTS Litera
ISBN : 978-967-5783-18-0
Muka Surat : 336 Halaman

Hidup manusia tidak boleh dipisahkan dengan cinta penciptaNya, Zainul Muttaqin mahu membalas cinta tulus itu. Untaian Qasidah basah di bibirnya, didendangkan saban detik dan waktu tanpa jemu. Idea Majlis Miftahul Asywaq mengapung di sana. Bersama sahabat baiknya, Amir Hamzah, mereka menelusuri jalan juang yang tidak mudah. Fitnah, sehingga konflik yang menimpa Habib Hasan dan Saif mengheret mereka untuk merungkai satu persatu masalah sehingga akhirnya, Majlis Miftahul Asywaq terlaksana walau tanpa Zainul Muttaqin hadir bersama.

Saturday, March 05, 2011

Qasidah Untuk kekasih di UPSI

Alhamdulillah. Slot saya ini berjalan dengan baik walaupun ada rasa tidak puas hati merajai nubari. Ketidakpuasan hati ini bukan padaa pihak pengajur tetapi terhadap diri saya sendiri. Alangkah tidak bersedianya saya.

Sejak bergelar penulis, saya beberapa kali telah dijemput untuk mengupas tentang novel-novel saya. Terasa besarnya nikmat kurniaan Allah. Walau masih terlalu baru dalam bidang ini, ada jua pihak yang digerakkan hatinya oleh Allah untuk menjemput saya memenuhi slot-slot yang mereka aturkan. Alhamdulillah.

Serasa, program diUPSI ini adalah program paling formal dan paling besar yang pernah saya hadiri.

Dan program ini membuatkan saya sedar bertapa perlunya saya memperbaiki pengucapan awam. Sebelum ini saya berpendapat saya tidak perlu lagi mengendahkan bidang pengucapan awam setelah memilih bidang penulisan sebagai medan dakwah baru saya. Namun perancangan Allah sebaliknya.

Semalam, ketika menghadiri Muktamar API kali pertama, saudara Nizam Mahshar ada menyebut, seharusnya seorang muslim itu meletakkan target pada setiap bulan apa yang ingin dicapainya.

Mungkin saya boleh buat target menghabiskan beberapa bacaan buku berkaitan pengucapan awam untuk bulan ini.

Mahu atau tidak mahu, kita adalah duta kepada agama kita. masyarakat menilai Islam dengan melihat kepada orang Islam. Justeru, saya merasakan amat perlu untuk kita kita menambah sebanyak mungkin kemahiran-kemahiran dalam diri agar Islam itu dilihat gah apabila manusia seluruhnya memandang kita.

Semoga hasrat murni kita ini akan diganjari oleh Allah taala, Insya-Allah..^_^

p/s : gambar2 selebihnya akan dipost setelah sahabat saya mengirim melalui emel..