“Dia ajak saya kahwin, tapi saya belum bersedia,” luah seorang sahabat. Saya setia menadah yelinga sambil sesekali mengangguk-anggukkan kepala.
Isu baitul muslim ini sering benar singgah di telinga saya biar di bumi mana pun saya berpijak kini ^_^
“Sebab itu saya selalu sibukkan diri agar tidak terlalu fikirkan tentang perkara ini. Saya takut sebenarnya bimbang saya tidak mampu membawa bebanan rumahtangga kelak andai memilih untuk berkahwin sekarang(semasa belajar),” lanjut sahabat saya ini lagi.
Saya acap kali mendengar frasa SAYA BELUM BERSEDIA ini daripada sahabat-sahabat yang mahu disunting saat mereka masih menuntut. Kadang kala terasa geli hati juga. Beberapa sahabat memilih untuk meminta nasihat tentang baitul muslim daripada saya. Sedang saya belum pun mendirikan masjid sendiri ^_^
Bagi setiap mereka yang mengucapkannya di hadapan saya, pasti saya akan lontarkan pertanyaan bila anda akan bersedia?
Dan kebanyakan mereka sukar memberikan satu jangka waktu yang tepat bila mereka akan bersedia.
Bagi saya, kita sendiri yang menentukan kita bersedia atau belum. Apabila kita selalu membisikkan kepada diri kita bahawa kita belum bersedia maka, itulah mesej yang otak kita akan terima.
“Kalau boleh saya mahu melahirkan anak-anak yang soleh dan solehah serta berjuang untuk Islam. Andai saya berkahwin sekarang saya bimbang cita-cita itu tidak akan tercapai,”
“Kamu pasti andai kamu kahwin ketika mana kamu rasa diri telah bersedia, kamu mampu melahirkan anak-anak seperti yangk amu idamkan ini?” soal saya.
“Err..,”
Perkahwinan bukan sahaja kisah penyatuan dua jiwa tetapi juga tentang jiwa-jiwa baru yang bakal dilahirkan.
Saya kira ramai dalam kalangan kita mengimpikan anak-anak sehebat Sultan Muhammad al-Fateh. Mahupun anak-anak segagah Salahuddin al-Ayubbi. Sebijak Lukmanul Hakim. Anak-anak seperti Imam Al-Ghazali dan Imam Syafie.
Namun berapa ramai dalam kalangan kita yang telah merancang pendidikan yang seperti apa hendak kita berikan kepada anak-anaknya ini agar mereka menjadi seperti kita idamkan?
Berapa ramai dalam kalangan kita yang telah membaca dan mengkaji bagaimana Sultan Muhammad Al-fateh dibesarkan? Berapa ramai dalam kalangan kita yang meneliti sedalam-dalamnya bagaimana ibubapa Imam Syafie mendidik beliau sejak dalam kandungan lagi?
Pendidikan terhadap anak-anak ini jarang-jarang termasuk dalam senarai persediaan kita sebelum melangkah ke alam perkahwinan. Bahkan mungkin tak terlintas pun dalam fikiran.
Sebahagian besar dari pembaca saya kira adalah dalam lingkungan mereka yang dikatakan GENERASI Y. Anak-Anak kita kelak tidak ragu-ragu lagi sudah pasti berada dalam lingkungan generasi ini.
Generasi Y boleh diklasfikasikan kepada manusia yang lahir antara tahun 1980an dan 1990an. Mereka generasi yang unik dimana gaya hidup dan pemikiran manusia menerima ledakan teknologi maklumat yang luar biasa sehingga mentranformasi sesebuah masyarakat tradisi dan moden. Kita dikira sebagai masyarakat pasca moden.
Perentas maklumat seperti twitter, wikileaks, FB, Blog mula menyebarkan maklumat dengan pantas. Maklumat tersebar secara langsung dan ia boleh mempengaruhi massa.
Kepantasan maklumat menjadikan maklumat semakin dekat dengan kita. Maklumat ini mengandungi legasi pemikiran dan gaya hidup popular terutamanya dari Barat dan akhir menglobal ke antero alam dunia. Kebiasaannya, barat akan memenangi pengulatan perubahan pemikiran dan gaya hidup kerana mereka mempunyai modal yang besar. Modal menentukan kepopularan.
Kebanjiran maklumat telah merencamkan pemikiran generasi Y. Taboo lama yang diwarisi cuba diubahkan. Jika kita lihat, Gen Y lebih liberal dan materialitik sifatnya. Sifat ketuhanan mula longgar apabila sains dan teknologi mula bertuhan. Agama mula menjadi adat bahkan ada menganggap mitos dan dongeng. (http://mahasiswamenggugat.blogspot.com/2011/02/generasi-y.html)
Amat membimbangkan bukan?
Pernah diceritakan kepada saya beberap ketika dulu, Ada seorang ustazah berhenti dari menjadi seorang guru semata-mata hendak menjadi surirumah sepenuh masa sebaik sahaja dia melangkah ke alam perkahwinan.
Dia mahu mendidik anak-anaknya sendiri. Menurutnya, dia telah menyediakan satu kerangka untuk setiap anak-anak yang bakal lahir kelak. Misalnya, dia mahu anak sulungnya kelak menjadi doctor. Lalu dia kaji permainan dan pendidikan yang bagaimana dia harus berikan kepada anaknya ini sejak alam kandungan lagi. Begitu juga dengan anak seterusnya.
Sungguh mengagumkan! Saya yakin dan pasti ustazah berkenaan bukan baru merencana hal yang sedemikian. Sudah pasti dai mengambil masa yang tidak sedikit untuk menyiapkan kerangkanya ini. Subhanallah!
Andailah anda tidak bersedia kerana belum menyiapkan kerangka pendidikan untuk anak-anak atau belum puas meneliti pembawakan Rasulullah, para nabi, ulama dan orang soleh dalam meneraju rumahtangga maka saya kira alasan SAYA BELUM BERSEDIA kita itu sangat kukuh.
Namun, sekiranya alasan SAYA BELUM BERSEDIA kita itu hanya didasari oleh sebab kita belum puas menikmati zaman bujang, saya kira kita perlu berhati-hati.
Atau kita beralasan SAYA BELUM bERSEDIA, tetapi kita tidak membuat apa-apa usaha untuk menuju ke arah persediaan. Ini pun bahaya.
Tidak dinafikan, zaman belajar ini menuntut sepenuh perhatian dan tenaga kita untuk cemerlang dalam pengajian. Tetapi tidak bermaksud kita terus mengabaikan persediaan untuk berumahtangga.
Bimbangnya, kita terjun dalam hidup berumahtangga dalam keadaan kita sebenarnya tidak bersedia, walaupun saat itu kita menjangkakan kita telah bersedia.
“Sebaik-baiknya kamu letakkan target bila kamu hendak mengahkiri zaman bujang. Kerana pabila kamu punya target, kamu akan lebih bersungguh-sungguh dalam mebuat persediaan walaupun kamu masih belum punya calon lagi,” nasihat saya di akhir perbualan kami.
p/s: sekadar lontaran pandangan dari seorang yang masih belum melangkah gerbang perkahwinan. Pandangan dan cambahan idea daripada mereka yang telah menempuh alam ini amat dialu-alukan ^_^
No comments:
Post a Comment