Bismillahirahmanirrahim...
Pagi tadi sewaktu dalam bas untuk ke kuliyyah, saya terdengar berita gempa bumi yang berlaku semalam. Saya tersentak. Astaghfirullah! Bertubi-tubi kalimah istighfar mercup di tubir bibir. bercampuraduk perasaan saya. takut bersulam gerun. Sewaktu pulang bercuti sempena H1N1 dulu pun telah ada amaran gempa dikeluarkan.Belum pun surut isu H1N1 datang pula bencana ini. Apa kiamat itu sudah terlalu hampirkah? Semua ini peringatan daripada-Nya. Ya Allah ampunkan dosa-dosaku dan kelalaianku dalam mengingati-Mu...
100 korban tsunami di Samoa
APIA, Samoa Barat: Satu siri tsunami melanda negara kepulauan Pasifik Samoa Amerika dan Barat mengorbankan sehingga 100 orang, beberapa daripadanya dihanyutkan ke tengah laut, selain mencederakan beberapa ratus lagi dan meninggalkan kerosakan besar di kampung tepi laut. Presiden Amerika Syarikat Barack Obama mengisytiharkan bencana utama di Samoa dan mengarahkan bantuan persekutuan dihulurkan kepada kepulauan itu. Rakaman televisyen memaparkan rumah rosak teruk, kenderaan dihanyut ke dalam laut atau tersangkut di atas pokok dan bot nelayan tercampak ke darat akibat dipukul ombak besar yang dicetuskan oleh gempa bumi berukuran 8.0 Richter 20 minit sebelumnya, awal pagi semalam.
Perdana Menteri Australia, Kevin Rudd, berkata sekurang-kurangnya 60 orang terkorban di Samoa Barat, manakala pegawai pasukan bantuan bencana berkata jumlah kematian mungkin naik setinggi 100 orang. Sebanyak 20 kampung di pulau Upolu mengalami kerosakan teruk, termasuk Lepa iaitu kampung perdana menteri Samoa. Suasana panik dan keliru dilaporkan berlaku selepas gempa bumi kuat itu.
Remaja lelaki mengetuk tin minyak untuk memberi amaran kepada penduduk supaya lari ke kawasan tinggi. "Kami segera menaiki kenderaan untuk melarikan diri tetapi ketika itu jalan sudah pun sesak," kata pegawai pelancongan Samoa Amerika, David Vaeafe kepada Sky News dari Barat Samoa, kira-kira 100 kilometer dari wilayah Amerika Syarikat itu. Di ibu kota Samoa Amerika, Pago Pago ditenggelami air, kilang mengetin ikan juga dilanda gelombang, jalan di lapangan terbang juga teruk rosak dan bekalan elektrik terputus di sebahagian besar wilayah Amerika Syarikat itu. "Pekerja berkata mereka diberikan amaran tiga minit sebelum air deras melanda. Penduduk berkata seluruh bandar itu musnah," kata Vaeafe.
"Beberapa bot nelayan belayar jauh ke laut untuk diselamatkan tetapi ada juga bot yang dihanyutkan ke pantai. Penduduk masih lagi terkejut dengan kejadian ini." Ketika lalu lintas di Samoa dilaporkan sesak, seorang pelancong asing menyifatkan beliau terselamat dari chalet di tepi laut yang terkenal dengan hotel dan resort. Laporan menyebut seluruh kampung berkenaan dihanyutkan gelombang berkenaan. "Ombak besar datang dan kami berlari ke arah van," kata seorang wanita New Zealand kepada Sky TV.
"Kami cuba membuka pintu van tetapi dan ombak besar itu mengenai kami."
Pelancong asing lain berkata: "Kebanyakan kereta berlanggar dan remuk. Ia seperti satu bencana laut."
Ken Mariner, yang tinggal berhampiran ibu negara Barat Samoa, Apia berkata kira-kira 1,500 penduduk berhimpun di sebuah pusat perpindahan tidak jauh dari rumahnya selepas kejadian gempa bumi berkenaan.
"Ia amat teruk. Kami berdiri di bawah tangga di rumah, dan boleh mendengar rangka gambar dan barangan lain jatuh dari dinding rumah," kata Mariner kepada Perbadanan Penyiaran Australia.
"Kami mendapati dua pokok besar bergoyang seperti seseorang menggoyangkan pokok kecil. Ia amat menakutkan." Wanita lain memberitahu beliau bercakap kepada seorang saudaranya melalui telefon apabila tsunami itu datang. "Katanya, Ada tsunami datang, saya boleh lihatnya." Saya hanya boleh mendengar jeritan dan suara kanak-kanak sebelum talian terputus," kata Lisa Winterstein kepada Sky.
No comments:
Post a Comment