Bismillahirrahmanirrahim...
Perkahwinan terlarang
Oleh HAFIZAHRIL HAMID
ORANG ramai yang membantah mengadakan tunjuk perasaan di Mexico City.
KHAMIS lepas sejarah tercipta di Mexico City. Igauan ngeri kebanyakan penduduk di negara itu menjadi realiti. Namun bagi segelintir rakyatnya mereka menyambutnya dengan penuh kegembiraan sebagai tanda perjuangan mereka selama ini diterima.
Pada hari itu golongan homoseksual dibenarkan untuk mendaftar lesen perkahwinan mereka. Mexico City merupakan bandar pertama di Mexico dan juga di Amerika Latin yang membenarkan perkahwinan sejenis dilangsungkan.
Dalam tempoh sekurang-kurangnya tujuh hari lagi, dunia akan menyaksikan upacara perkahwinan pertama melibatkan kumpulan tersebut di Mexico City.
Golongan gay dan lesbian dilihat beratur di bangunan kerajaan tempatan untuk menghantar dokumen perkahwinan mereka bersama dengan pasangan normal yang lain.
Pihak berkuasa Mexico City telah meluluskan undang-undang membenarkan perkahwinan sejenis yang setaraf dengan perkahwinan biasa membabitkan lelaki dan wanita pada Disember lalu. Undang-undang itu juga membenarkan pasangan sejenis mengambil anak angkat, berkongsi membuat permohonan pinjaman bank, mewarisi harta pusaka serta kebenaran untuk memasukkan pasangan mereka dalam polisi insurans. Semua hak itu telah dinafikan sejak sekian lama kerana mereka tidak diiktiraf sebagai pasangan normal.
Hakikatnya pengiktirafan perkahwinan sejenis hanya direkodkan sebagai bersejarah bagi segelintir manusia yang keliru dengan kecenderungan seksual mereka. Lebih tepat lagi hari tersebut akan lebih diingati sebagai hari musibah untuk kita semua.
Golongan gay dan lesbian menyifatkan keputusan tersebut amat menggembirakan. Yang pasti mereka akan terus memperjuangkan supaya semua 31 bandar di Mexico membenarkan perkahwinan sejenis.
Namun hakikatnya ramai yang membantah pelaksanaan undang-undang yang dilihat bakal merendahkan martabat dan kedudukan penduduk di situ yang merupakan penganut kuat Kristian Roman Katholik.
Pihak konservatif sedaya upaya memperjuangkan pembaharuan perlembagaan supaya negeri-negeri lain tidak akan mengikut langkah tersebut.
Sebelum Mexico City, pasangan gay dari Argentina pernah melangsungkan perkahwinan pada Disember lepas. Namun sehingga kini perkahwinan mereka masih belum mendapat pengesahan kerana perbezaan pemahaman sama ada undang-undang perkahwinan sejenis dibenarkan atau tidak. Perlembagaan Argentina masih belum jelas tentang isu perkahwinan sejenis kerana peraturan sebelum ini hanya tertakluk kepada perkahwinan antara lelaki dan wanita. Undang-undang mengenai perkahwinan sejenis pernah diusul pada Oktober tahun lepas namun masih tertangguh sehingga kini. Semua mata kini tertumpu kepada Mahkamah Agung Argentina yang bakal membuat keputusan mengenainya.
Bantahan
Walaupun golongan sejenis kini melonjak kegembiraan dengan keputusan ini namun penentangan keras masih lagi berterusan. Undang-undang yang dilaksanakan di Mexico City itu kini dicabar oleh kerajaan pusat melalui Mahkamah Agung berasaskan kedudukan perlembagaan. Namun ia masih tertangguh sehinggalah rayuan untuk perbicaraan tersebut didengar.
Kumpulan yang menyokong perkahwinan sejenis yakin Mahkamah Agung akan membenarkan perkahwinan sejenis. Bagi mereka ia telah menjadi trend yang diterima oleh banyak negara lain. Bagaimanapun pihak yang paling lantang menentang perkahwinan sejenis adalah pihak gereja Roman Katholik. Bagi mereka pelaksanaan undang-undang itu adalah memalukan dan bertentangan dengan kehendak serta perintah agama.
Sebagai manusia normal kehidupan kita telah dicipta berlandaskan kehendak dan perintah yang telah dianjurkan oleh Tuhan. Adalah jelas perkahwinan sejenis yang semakin diterima di kebanyakan negara salah dan bertentangan dengan hukum alam. Tindakan ini juga seolah-olah dilihat cuba untuk menafikan perintah dan larangan Tuhan dalam apa-apa agama sekalipun.
Apakah hanya kerana kemodenan semua perkara yang sebelum ini sangat bertentangan dengan lumrah kehidupan dibenarkan. Tidakkah dengan melaksanakan perkara seperti itu juga dilihat seperti mencabuli hak asasi manusia biasa yang mahu hidup seperti manusia normal. Sudah tentu ia dilihat mencabul kerana lumrahnya manusia dilahirkan untuk hidup berpasangan antara lelaki dan wanita.
Lebih malang lagi kanak-kanak yang masih terlalu kecil dalam mengenal erti hidup menjadi mangsa. Ini kerana mereka dibenarkan hidup bersama pasangan homoseksual yang jelas keliru dengan identiti sebenar mereka.
Namun pastinya kegilaan kumpulan songsang itu tidak akan terhenti. Mereka akan terus cuba untuk mengelirukan orang ramai untuk menghalalkan budaya tersebut. Hanya pegangan agama yang kuat serta pemikiran yang matangmampu menafikan seseorang itu dari terjerumus ke lembah hina.
No comments:
Post a Comment