Bismillahirrahmanirrahim...
“Munirah, nama apa yang sedap dan baik maknanya untuk digandingkan dengan nama Uwais? Munirah ada cadangan?”
Satu mesej pesanan ringkas saya terima beberapa malam lepas. Tatkala mendapat mesej tersebut, saya senyum sendiri. Teringat akan cerita Ustaz Rizaudin menamakan anak saudaranya. Disangka nama yang disebut oleh abangnya Soffina Aina yang membawa maksud kesucian mata kami. Rupa-rupanya abang beliau menyebut Sorfina Aina. Jadilah maksudnya perubahan mata kami. Ustaz tersalah dengar.
Kisah ustaz membuatkan saya lebih berhati-hati.
Tanpa membuang masa saya menghubungi beberapa sahabat untuk tanyakan pendapat. Ustaz Ihsan tidak terkecuali ‘menerima’ gangguan saya malam itu. Maafkan saya ustaz. Terganggu kelasnya malam itu. =)
Nasib saya sedikit malang kerana tiada yang dapat membantu. Sedang Kak Jamilah amat mengharap. Anak lelakinya bakal lahir tidak lama lagi. Saya minta tangguh daripada Kak Jamilah untuk beberapa ketika.
Keesokan hari, saya terburu-buru ke pejabat. Sebaik sahaja melabuhkan punggung terus laptop saya hidupkan. Walaupun ada beberapa tugas menanti. Saya tangguhkan tugas-tugas lain. Sepertinya Kak Jamilah sudah melahirkan bayinya itu pula. Hmmm.
Namun saya teruja untuk mencarikan nama yang baik dan indah buat seorang lagi saudara yang bakal lahir ke dunia.
Puas meneliti nama-nama indah dalam Islam akhirnya saya keluarkan beberapa senarai.
Uwais Asyraf- Pemberian yang mulia
Uwais Anwari- pemberian cahayaku
Uwais Rajaie- pemberian harapanku
Uwais Rifaie-pemberian tertinggiku
Uwais yusri- pemberian kesenanganku
Uwais syukri- pemberian kesyukuranku
Senarai ini saya berikan kepada Kak Jamilah. Alhamdulillah, Kak Jamilah sangat gembira.
“Sedap-sedap nama cadangan munirah ini. Nanti akak bincang lain dengan Abang Zaini (suaminya). Terima kasih,” balas Kak Jamilah.
Saya tersenyum puas. Nama –nama itu bakal melalui satu lagi peringkat saringan.
Cuba lihat, agak rumit proses memilih nama ini. Hari ini saya memilih nama untuk anak Kak Jamilah. Akan tiba satu hari saya akan sibuk memilih nama untuk anak sendiri. Insya-Allah.
Senario hari ini, kita gemar memendek-mendekkan nama sama ada nama sendiri mahupun nama orang lain. Sehingga kadang-kadang lari maksudnya bahkan membawa maksud yang tidak murni pula. Jika nama mereka agak -agak macam orang lama sedikit seperti Habsah, Khadijah dan Fatimah diubah-ubah nama itu misalnya menjadi Khatty dan sebagainya. Muhammad jadinya Mat saja. Saifuddin jadinya Udin saja.
Tidak adakah orang yang baik panggilannya tetapi buruk perangainya?
Bukan tidak ada, namun apabila ibu bapa memberi nama-nama yang baik pada anak-anak mereka, mereka menyandarkan satu harapan pada nama itu. Moga-moga anak-anak mereka berperwatakan seperti nama yang diberi.
Misalnya nama Uwais ini. Uwais al-Qarni memasuk Islam pada zaman Nabi, namun beliau tidak pernah berjumpa dengan baginda. Selepas kewafatan Nabi, beliau sempat berjumpa dengan Umar Al-Khattab dan Ali bin Abi Thalib.
Beliau merupakan seorang pengembala kambing. Di ceritakan ketika terjadi perang Uhud Rasulullah SAW mendapat cedera dan giginya patah karena dilempari batu oleh musuh-musuhnya. Khabar ini akhirnya sampai ke telinga Uwais. Ia segera memukul giginya dengan batu hingga patah. Hal tersebut dilakukan sebagai bukti kecintaannya kepada beliau SAW, sekalipun ia belum pernah melihatnya.
Beliau SAW bersabda : “Suatu ketika, apabila kalian (sayyidina Ali k.w. dan sayyidina Umar r.a.) bertemu dengan dia, mintalah do’a dan istighfarnya, dia adalah penghuni langit dan bukan penghuni bumi”.
Hebat bukan Uwais ini. Biar tidak terkenal di bumi, Uwais mahsyur di langit. Begitulah harapan Kak Jamilah tatkala memutuskan untuk menamakan anaknya yang bakal lahir dengan nama Uwais.
Abul Laits Assamarqandi meriwayatkan dengan sanadnya daripada Abu Hurairah r.a. berkata Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Hak anak yang harus dilaksanakan oelh orang tua ada tiga iaitu:
Memilihkan nama yang baik ketika lahir
Mengajari kitab Allah s.w.t. (Memberi didikan agama)
Harus dikahwinkan jika telah dewasa (jangan sampai tergoda sehingga berlacur)
Terus terang saya katakan, saya sangat suka orang memanggil saya dengan nama penuh. Maksud saya sama ada Munirah atau Siti. Kalau mahu panggil saya Siti Munirah, itu jauh lebih saya sukai. Maknanya yang bersinar-sinar.
Sewaktu di sekolah menengah, guru Fizik saya Cikgu Yazee gemar sekali memanggil nama penuh kami anak-anak muridnya. Biarlah panjang mana sekalipun nama itu.
“Siti Munirah, kenapa keputusan kamu begini?”
Antara dialog-dialog Cikgu Yazee yang masih saya ingat.
Dulu, apabila ibu memanggil saya Mun, saya sangat marah.
“Tiada maksud nama itu!” rungut saya.
“Moon itu kan bulan. Cuba lihat bulan menjadi petunjuk kala pada waktu malam,” pujuk ibu. Dan sejak itu baru saya terima nama Mun itu.
Mungkin persoalan panggilan nama ini kita rasa remeh. Namun lupakah kita, nama itu merupakan satu doa.
Al-ismu addu ‘a. Nama adalah doa. Setiap kali seorang itu dipanggil dengan nama nya, maka setiap kali itu jugalah dia akan makin serasi dengan makna nama yang berada pada dirinya.
Mengenai pengaruh nama atas kepribadian anak, sebuah hadits yang diriwayatkan Imam Bukhari dari Sa'id ibnu al-Musayyab menyebut , bahawa ia berkata: Aku mendatangi Nabi Saw., lalu beliau bertanya, "Siapa namamu?"
"Hazan (keras)" jawabku.
Beliau bersabda, "Kamu adalah Sahal (mudah)."
Ia berkata, "Aku tidak akan merubah nama pemberian ayahku."
Ibnu al-Musayyab berkata, "Maka kekerasan selalu menimpa kami sesudah peristiwa itu."
Teringat pula saya akan kisah Umar tatkala seorang lelaki datang kepada Umar r.a. berkata: "Puteraku ini durhaka kepadaku."
Maka datang Umar r.a. berkata kepada anak lelaki itu: "Apakah kau tidak takut kepada Allah s.w.t? Engkau telah berbuat durhaka terhadap ayahmu, engkau tahu kewajipan anak untuk orang tuanya ......(begini dan begitu).
Lalu anak itu bertanya: "Ya Amirul mu'minin, apakah anak itu tidak berhak terhadap ayahnya?"
Jawab Umar: "Ada hak yakni harus memilihkan ibu yang bangsawan, jangan sampai tercela kerana ibunya, harus memberi nama yang baik, harus mengajari kitab Allah s.w.t."
Maka berkata anak itu: "Demi Allah, dia tidak memilihkan untukku ibuku, dia membeli budak wanita dengan harga 400 dirham dan itu ibuku, dia tidak memberi nama yang baik untukku, saya dinamai kelawar jantan dan saya tidak diajari kitab Allah s.w.t. walau satu ayat."
Maka Umar r.a. menoleh kepada ayahnya dan berkata: "Engkau telah durhaka kepada anakmu sebelum ia durhaka kepadamu. Pergilah engkau dari sini."
Itulah kuasa nama. Dalam tidak rela kita harus akuinya.
Justeru, hargailah nama yang telah diberikan oleh ibu bapa kita. Panggillah aku dengan namaku!
No comments:
Post a Comment