Tuesday, March 30, 2010

Nikmat Sibuk

Bismillahirrahmanirrahim..



Demi masa!
Sesungguhnya manusia dalam kerugian,
Kecuali orang-orang yang percaya, dan membuat kerja-kerja kebaikan,
dan saling berwasiat pada yang benar, dan saling berwasiat untuk bersabar.
(103:1-3)


“Masa kita tidak sama,” ujar saya pada Zaharah, rakan sebilik saya ketika dia mengeluh begitu cepat masa berlalu. Zaharah menjungkitkan kening. Entah mengapa saya rasa masa begitu lambat berjalan. Agaknya inilah yang dikata orang penantian itu satu penyiksaan. Saya benar-benar tersiksa. Namun banyak pula yang saya belajar dari detik-detik yang meyiksakan ini.

“Masa harganya setinggi nilai kehidupan. . Membuang masa sesaat ibarat membazir usia dan kehidupan ,” terngiang-ngiang pula kata-kata Ustazah Rokiah.



“Kita akan diminta untuk bertanggungjawab di hadapan Allah kelak atas setiap detik saat kehidupan kita,” sambung Ustazah. Saya termenung sambil mengigit ibu jari tangan. Memikirkan hari-hari dan detik-detik waktu yang telah saya sia-siakan terutamanya sejak memulakan hidup baru di t bumi Perlis. Saya terlalu memikirkan tentang Mesir dan tempat pengajian yang baru kelak sehingga melupakan untuk menghargai detik masa yang sedang saya lalu saat itu.

Terasa ruginya mengisi waktu dengan tidur dan sembang-sembang kosong semata-mata mahu masa cepat berlalu.

Antara Semalam dan Masa Depan

Ketika tangan lincah menekan papan kekunci komputer peribadi, pandangan saya singgah lama pada sebuah artikel “Antara Semalam dan Masa Hadapan” . Sejenak kita teliti kata-kata Imam Ibn Qayyim Al Jawziyyah.

Hidupmu di saat ini adalah diantara hari hari semalam dan masa hadapan. Jadi, segala yang telah berlalu boleh ditebus dengan Taubah (taubat), nadam (penyesalan) dan istighfar (meminta keampunan dari Allah). Dan ianya tidak akan memenatkan kamu, dan tidak memerlukan kamu berhempas pulas seperti halnya jika kamu seorang buruh kasar. Malah ianya adalah perbuatan hati. Oleh itu, untuk masa hadapan, (ia boleh di perbetulkan) dengan melindungi diri dari dosa. Melindungi diri ini hanyalah dengan meninggalkan (perbuatan dosa itu) dan berasa selesa tanpanya. Ini juga bukan perbuatan tubuhmu, yg memerlukan kamu berusaha dan berhempas pulas. Malah ia adalah keteguhan pendirian dan niat di hati. Jadi untuk segala yang telah berlalu, betulkanlah dengan taubat. Dan untuk masa hadapan, betulkanlah ia dengan meneguhkan pendirian dan niat. Kedua duanya tidak mengenakan sebarang kesusahan dan keletihan pada tubuh.

Tetapi perhatian kamu harus ditumpukan kepada masa kehidupan kamu di saat ini - masa diantara dua masa. Jika kamu membazirkannya, maka kamu telah melepaskan peluang untuk menjadi dikalangan mereka yang beruntung dan diselamatkan. Jika kamu menelitinya, setelah memerhatikan kedua dua masa tadi - masa yg sebelum dan selepas saat ini, seperti yang telah kita bicarakan - maka kamu akan menjadi seorang yang berjaya dan kamu akan mencapai kerehatan, kegembiraan dan nikmat yang kekal abadi. Tetapi, menjaganya lebih susah dari apa yang telah berlalu dari nya dan yg akan datang kemudian, kerana menjaganya memerlukan kamu meletakkan hidup kamu kepada perkara yang paling layak dan bermanfaat utk ruh kamu, dan itulah yang akan membawa kamu kepada kejayaan.

Lantaran itu, saya mengambil keputusan ini. Bumi perlis saya lepaskan dengan berat hati. Saya sayang hendak tinggalkan kelas Quran dan Tafsir, Usul Fiqh, Hadis dan mustolahah, Al-Quran dan Tajwid, balaghah, Arud dan Qafiah, Adab dan Nusus, Isya’ dan Mutola’ah, Nahu dan Sorof.

Walaupun hadirnya saya di Perlis hanyalah sebagai mustami’un(pendengar) dan tidak akan menduduki peperiksaan, saya benar-benar merasakan kenikmatan mempelajari ilmu agama ini.

Waktu yang benar-benar bermakna dan bermanfaat hanya sekitar masa kelas berjalan yakni 8 pagi sehingga 12.30 tengah hari. Juga apabila ada kuliah-kuliah di masjid dan pengisian di Teratak Rahmat yang kadang kala saya hadiri. Apabila kelas hampir tamat saya mula rungsing. Tidak keruan kerana saya tahu sekejap lagi saya akan mengkhianati masa itu.

Entah mengapa saya jadi beku. Hidup terasa sangat hambar. Penantian jadi begitu lama. Segala yang dibuat serba tidak kena. Momentum menulis tiba-tiba ranap.

Barangkali ini penangan masa lapang yang disia-sia. Saya tenggelam pula dalam masalah hati yang entah datang dari mana.

Mungkin inilah juga penangan penantian. Buat kata Kak Fatin, penantian tanpa melakukan apa adalah pembaziran. Saya melalui tempoh penantian dalam pembaziran itu. Akhirnya, saya sampai pada satu keputusan.

Tinggalkan bumi Perlis.



Kehidupan Baru

Hampir sebulan sudah saya bertugas di sebuah badan buka kerajaan (NGO), Sahabat Alam Malaysia. Pejabat SAM terletak di Pulau Pinang. Walau bagaimana pun pejabat agak jauh daripada rumah. Saya duduk menyewa sebuah rumah flat bersama-sama rakan sepejabat lain. Saya benar-benar menikmati kesibukan peluang bekerja buat pertama kali ini. Saya masuk ke pejabat pada pukul 9 pagi dan pulang pada pukul 5.15 petang. Bekerja dari hari Isnin sehingga Sabtu. Pada hujung minggu saya berkesempatan turun ke pelbagai program. Sedar tidak sedar, bulan Mac bakal berakhir.

Kesedihan kerana tidak lagi dapat menghadiri kelas – kelas seperti di Perlis terubat dengan pengisi hujung minggu yang pelbagai. Selepas ini, harapnya saya berkesempatan menghadiri kuliah akiqah bulanan oleh Ustaz Hafiz Nordin yang belum sempat saya jengah sepanjang ia berjalan. Menjadi harapan saya juga untuk menjejak kaki ke bumi Pattani dan sama-sama membantu sahabat-sahabat aktivis di sana.

Menyibukkan Diri

Kadang-kala aksara di menyibukkan diri ini dikaitkan dengan perkara yang tidak baik. Sehingga muncul beberapa peribahasa atau pepatah. Misalnya menjaga tepi kain orang.

Saya suka petik satu hadis Nabi s.a.w. yang mafhumnya bermaksud:

Daripada Abdullah ibn Abbas r.a. Nabi s.a.w. bersabda: " Dua nikmat yang ramai manusia sering dilupakan oleh manusia: Nikmat kesihatan dan masa lapang." (HR Bukhari)

Dalam sedar atau tidak, menyibukkan diri menjadi salah satu jalan yang dapat kita telusuri agar tidak tergolong dalam dua golongan yang disebut oleh baginda ini.
Menonton wayang dari pagi sampai ke petang.

Berjalan-jalan dan merayau-rayau di pusat membeli belah tanpa tujuan.

melayari internet tanpa memurnikan isinya.

Ini juga bentuk-bentuk menyibukkan diri. Namun bukan ini yang saya maksudkan. Sibuk yang saya maksudkan sudah tentu datang dengan syarat-syaratnya. Misalnya, sibukkan diri dengan amal islami.

"Masalh couple ini lumrah la! Tidak boleh dinafikan lagi. Sukar lagi untuk merawat barah yang satu ini," ujar seorang sahabiah.

“Apabila sudah sampai ke peringkat perlu merawat memanglah sedikit sukar. sebenarnya ada perkara yang boleh dilakukan untuk mengelak diri dari terjun dalam dunia yang penuh bergolak itu,” ujar saya dalam sesi perbincangan kecil bersama-sama beberapa rakan selepas solat Maghrib.

“Bagaimana?” tanya seorang sahabaiah penuh minat.

“Sibukkan diri dengan amal islami,” jawab saya. Menyibukkan diri dalam amal islami merupakan satu bentuk pencegahan. Bukankah mencegah itu lebih baik daripada merawat?

Dengan menyibukkan diri memikirkan bagaimana hendak menyelesaikan masalah ummah bukan sahaja membuatkan kita menjadi lebih matang bahkan mampu membentengi remaja-remaja dan belia yang sedang bergelodak jiwanya dari aktiviti-aktiviti tidak bermanfaat.

Saya kira di luar sana banyak pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dan berfikrah Islam yang memerlukan tenaga penggerak yang tidak sedikit. Isu-isu seperti masalah sosial dalam kalangan remaja, serangan pemikiran, isu pergolakan di Selatan Thai, isu alam sekitar serta isu kepenggunaan adalah antara lapangan-lapangan yang mendambakan tenaga penggerak untuk membantu usaha-usaha yang telah dicetuskan.

Jika tidak selesa dengan idea-idea perjuangan yang ada, bawa dan kembangkanlah idea perjuangan sendiri. Misalnya, kalian rasa perlunya satu kumpulan yang bergerak untuk mengatasi masalah-masalah yang melanda kaum wanita contohnya tuntutan faskh yang tertunggak. Ibu-ibu tunggal tidak dapat pembelaan dibela. Sekurang-kurangnya tindakan kalian dapat menyekat keliberalan Sister In Islam yang banyak menggunakan isu-isu seperti ini untuk mengetengahkan idea-idea liberal mereka.

Masalah ummah ini banyak. Tinggal kita sahaja memilih untuk membantu menyelesaikannya atau sebaliknya.

Tidak keterlaluan untuk saya katakan, menyibukkan diri ini adalah salah satu tanda syukur kita pada Allah. Apabila kita sibuk, tiada ruang untuk kita membazir masa. Tidak sempat kita berbicara yang lagho-lagho. Tidak terlintas di fikiran kita untuk bermaksiat padaNya. Tidak sampai niat kita untuk kita mengumpat dan menzalimi sesiapa.

Namun sibuk itu mestilah yang bersyarat. Sibuk yang melorong kita menggapai redhaNya. Sibuk yang membawa kita menyentuh kasih sayangnya. Sibuk yang di dalamnya terisi penuh dengan program-program yang membuka hati kita betapa luas sifat pengampunanNya. Bukan sibuk yang tambah memlalai dan menjauhkan kita dariNya. Itu sudah semestinya.

Nikmat Sibuk

Buat masa ini, kesibukan yang sedang saya kecap benar-benar saya nikmati.

Kata bijak pandai,

“Hanya orang yang sibuk punya masa.”

Berilah kerja kepada orang yang sibuk, necaya dia akan mampu laksanakannya. Seseorang yang sibuk akan lebih peka terhadap masa. Terasa sia-sia menonton televisyen yang rancangannya hiburan semata-mata. Terasa rugi membiarkan lima belas minit masa untuk menunggu bas tidak diisi dengan aktiviti membaca atau berzikir sekurang-kurangnya. Terasa berdosa andai isi percakapannya yang lagho-lagho sahaja. Terasa menyesal andai menyambung tidur selepas Subuh. Menyusun kerja sudah tentu menjadi rutinnya agar setiap tugas yang dibebankan di pundakknya mampu diselesaikan dengan saksama.

Saya mahu menjadi orang sibuk seperti ini.



Nikmat sibuk ini kembali menggerakkan momentum menulis yang kemarau untuk beberapa ketika. Manuskrip ketiga yang terbengkalai kembali mendapat sentuhan. Bahkan saya sedang merencana jalan cerita pelajar universiti yang gila-gila tetapi Islamik seperti yang dipinta oleh Kak Mas dari PTS. (Namun, proposal Kasih Sehijau Bakau yang saya panjangkan pada Encik Zakaria di Galeri Ilmu masih belum berkembang. Perancangan baru akan disusun untuk kelak, Insya-Allah =)) Di samping menyiapkan artikel-artikel untuk dimuatkan dalam buku siri cerita rakyat SAM. Dalam kerancakan mengetip papan kekunci, timbul idea menulis buku motivasi. Kerjasama dengan sahabat baik. Insya-Allah, doakan idea dan usaha-usaha yang bertalu-talu ini tidak sekadar hangat-hangat tahi ayam.

Nikmat sibuk atau lebih tepat menyibukkan diri ini membuatkan masa berlalu tidak terasa. Alih-alih Bulan Mac 2010 bakal menutup tirainya. Penantian saya semakin bermakna. Lambaian pintu gerbang Universiti Al-Azhar kian tampak di mata.

Justeru, rungsinglah hati andai tidak berbuat apa-apa dengan nikmat masa lapang. Sebaliknya syukuri dan nikmatilah peluang sibuk yang Allah berikan buat kita. Andai tidak sibuk, menyibuklah anda dengan kesibukan bersyarat.

2 comments:

Ariff Hafizi said...

ariff suka artikel ni. sgt bermakna.

qamar_muneera said...

Semoga ada manfaatnya buat Ariff =)