Thursday, August 26, 2010

Saya, Buku dan Karya

Bismillahirrahmanirrahim...

sebahagian buku-buku yang akan naik kapal terbang bersama-sama saya ke Mesir..=)
Saya pernah ditanya bagaimana hendak menghasilkan karya yang baik. Sebenarnya saya sendiri tidak punya tips tertentu. Apatah lagi saya masih baru dalam bidang ini.
Namun apabia saya meneliti kembali karya-karya yang telah saya hasilkan, saya dapati saya melakukan satu perkara tanpa saya pernah sedari bahawa hal ini banyak membantu saya dalam berkarya. Perkara itu adalah membaca karya orang lain. Pastinya karya terbaik dari penulis terbaik.

Sewaktu di sekolah menengah, saya menganggap lambakan novel di pasaran ini tidak lebih daripada sekadar menjaja cinta-cinta murah. Namun, persepsi saya ini berubah sebaik sahaja saya membaca novel 1511 Hijrah Kombat karangan Faisal Tehrani. Baru saya tahu sebenarnya di pasaran ada novel-novel baik lagi membina. Tinggal kita sahaja perlu bijak memilihnya. Sejak itu, saya mula mengumpul karya-karya Faisal Tehrani untuk dibaca. Sekarang, boleh dikatakan saya memiliki hampir semua karya Faisal Tehrani. Saya jadi taksub dengan Faisal Tehrani.

Ada juga saya membeli karya orang lain sekadar untuk perbandingan karya saudara Faisal.
Sejak membaca novel-novel Faisal Tehrani, saya termotivasi untuk turut menulis. Saya mahu membantu memperbanyakkan bahan bacaan kreatif yang berkualiti untuk masyarakat.
Apabila membaca karya –karya orang lain ini, kita jangan sekadar baca sebaliknya kita perlu teliti bagaimana penulis berkenaan menyusun plot, dan mengadunkan ilmu tambah ke dalam jalan cerita. Kita juga perlu cakna bagaimana penulis berkenaan membangkitkan perasaan pembaca.

Saranan saya, sediakan satu buku untuk perbendaharaan kata. Bagi perkataan-perkataan yang sedikit asing di mata kita, catatkan ke dalam buku berkenaan. Insya-Allah perkataan-perkataan itu kelak berguna untuk kita berkarya.

Mengikut pengalaman Kak Khairunnasriah Abdul Salam, novel-novel dan buku koleksi cerpennya penuh bertanda dengan highlighter. Menunjukkan dia benar-benar menguliti buku-buku ini , bukan sekadar membaca sepintas lalu.

Bahkan menurut Kak Nas, kita perlu membaca karya-karya orang hebat terdahulu misalnya karya yang telah dihasilkan oleh sepuluh sasterawan negara.

Ketika menghadiri MPR ini , barulah mata saya terbuka lebih luas. Rupa-rupanya di luar ada lagi karya-karya yang sehebat karya Faisal Tehrani.
Sekarang ini, dalam benak saya timbul satu persoalan. Mengapa novel-novel dari Indonesia ini sangat mendapat sambutan bahkan selalu sahaja perkataan best seller tertera pada kulit hadapan novel mereka?

Novel-novel mereka bukan sahaja beredar di sekitar Indonesia bahkan sampai ke beberapa negara Asia Tenggara.

Saya rasa sangat enak dan nikmat saat menguliti buku-buku yang penulisnya dari Indonesia ini. Misal novel Kang Abik, Andreta Hirata, Pak Herry, Pak HAMKA, Cahyadi Tarikiawan (Pak Cah) dan M Lili Nur Aulia. Bait-bait yang tertera dalam buku-buku benar-benar menusuk sehingga ke dalam hati. Tidak banyak penulis di Malaysia yang mampu membuatkan saya tenggelam dalam perasaan berkenaan.

Sayang sekali saya baru mengenal tulisan mereka ini ketika usia sudah mencecah dua puluhan. Ketika saya ingin membeli karya mereka dalam jumlah yang banyak, duit dalam poket tidak begitu mengizinkan.

Harapnya, saya masih belum terlambat.

Timbul di dalam hati saya untuk menghasilkan karya-karya seperti mereka. Justeru, saya tahu saya perlu mengulit karya-karya agung yang pernah dihasilkan oleh penulis-penulisnya. Saya memilih untuk mendalami tulisan yang dihasilkan oleh Pramoedya Anata Toer. Saya melihat Pak Pram paling kena dengan selera dan cita-cita saya yakni menulis untuk umat.
Buat masa sekarang saya ingin meneliti tulisan Pak pram sepuas-puasnya. Baru-baru ini saya telah mendapatkan tujuh karya sasterawan dari Indonesia ini ketika berkunjung ke The Mines, Seri Kembangan.

Sewaktu menjelajah kedai buku Fajar Ilmu Baru di Jalan Masjid India, saya melirik enam lagi karya Pak Pram dengan hanya mampu menelan air liur. Duit telah banyak habis di Gramedia sebelumnya. Apatah lagi novel-novel Pak Pram di Fajar Ilmu Baru itu dijual dengan harga tiga kali ganda berbanding di Gramedia.

Insya-Allah, jika duit royalty telah masuk nanti, saya akan kirimkan sahabat-sahabat di Malaysia beli dan poskan ke Mesir untuk saya.
Saya masih punya enam tahun untuk bekarya sebelum sibuk dengan kerjaya. Cita-cita saya, sekurang-kurangnya dalam tempoh berbaki ini saya sempat menyiapkan sepuluh karya ( termasuk yang telah terbit, yang bakal terbit, yang sudah sampai ke tangan editor dan yang sedang ditulis) untuk tatapan generasi akan datang.

Harapnya, saya boleh menghasilkan karya-karya yang membina dan berkualiti untuk diluncurkan di tengah-tengah masyarakat. Mohon doa kalian…


Friday, August 20, 2010

Sebelum Berkalang Tanah : BAB 11

Bismillahirrahmanirrahim...

Kenangan…

Dengan bantuan suluhan cahaya bulan, kedua-dua beranak itu berjalan beriringan meredah kegelapan malam menuju ke masjid.

“Awal ayah bangun hari ini,” tegur Hamsyari. Biasanya Pak Cik Abdullah keluar ke Masjid ketika azan berkumandang. Hamsyari akan keluar setengah jam lebih awal. Usai solat malam, dia akan terus ke masjid. Dia suka benar mengaji al-Quran di masjid pada waktu itu. tenang katanya. Bukan tidak boleh mengaji di rumah tetapi ada bezanya.

“Sengaja ayah keluar awal. Boleh intai apa anak teruna ayah buat di masjid awal-awal waktu begini,” seloroh Pak Cik Abdullah.

Hamsyari ketawa kecil. Saling bertingkah dengan bunyi kokokan ayam di dalam reban. Dia membetulkan letak duduk kopiah putih di atas kepalanya. Sesekali dia tergigil apabila disapa oleh semilir Subuh yang menyucuk sehingga ke tulang sum sum.

Mereka berjalan meniti sebuah jambatan kecil. Di bawahnya, air jernih mengalir tenang ke muara. Sayup-sayuo kelihatan menara masjid bermandi cahaya.

“Ri, kamu hendak pulang ke Pattani, bukan?” soal Pak Cik Abdullah. Diam meandang sekilas kea rah Hamsyari sebelum tunduk menekur tanah.

Hamsyari menyeluruhi wajah ayahnya. Cepat benar berita itu sampai di telinga ayahnya. Rasa baru semalam dia khabarkan pada emaknya.

“Ya, ayah,” jawab Hamsyari sedikit ragu-ragu.

“Tapi…,” Hamsyari tidak jadi menyambung butir bicaranya.

“Tapi mek kamu tidak izinkan,” sambung Pak Cik Abdullah. Hamsyari, mengangkat wajah dan mengelus wajah Pak Cik Abdullah dengan mata redup.

Kedengaran Pak Cik Abdullah menghela nafas.

“Tak mengapalah, ayah. Mungkin pulang ke sana bukannya satu-satu jalan yang ada untuk membela nasib bangsa kita,” ujar Hamsyari. Semalam dia tidak dapat tidur, memikirkan hal yang satu ini.

“Kamu tahu mengapa nama kamu Hamsyari?” Pak Cik Abdullah mengubah haluan layar perbualan. Dia menatap dada langit yang masih diselubungi kegelapan. Bintang-bintang bertaburan seakan-akan membentuk satu aksara yang hanya difahami oleh Penciptanya. Bebola mata Pak Cik Abdullah bergulir mencari-cari tampang rembulan .

Sambil tersenyum Hamsyari menggeleng-gelengkan kepala.

“Saya cuma tahu maksudnya, anak jati watan,” ulas Hamsyari.

Jarang-jarang dia dapat peluang berbual dengan ayahnya seperti itu. Pak Cik Abdullah seorang yang pendiam. Sukar ditebak apa yang bergulat di dalam hatinya. Apa-apa hal, Hamsyari lebih banyak berkongsi dengan Mak Cik Fatimah berbanding ayahnya.

Pak Cik Abdullah tersengih menampakkan barisan gigi yang sudah tidak berapa ada di dalam mulut. Dia menepuk-nepuk bahu Hamsyari sebelum meletakkan kedua-dua belah tangannya di belakang punggung.

“Ayah yang berikan nama itu pada kamu, Ri,” maklum Pak CIk Abdullah. Dia tersenyum sendiri sambil memutarkan balik pita ingatan saat Hamsyari menapak di dunia dulu.

“ Ketika meninggalkan rumah kita, hati ayah ini sedih tak terkata. Hanya Allah yang tahu. Kalau ikutkan perasaan tak mahu ayah tinggalkan Patani. Biarlah hidup mati ayah di situ,” ujar Pak Cik Abdullah.

“ Ketika kamu lahir, ayah sedang diburu pihak tentera kerana disyaki terlibat dengan gerakan puak pemisah. Ayah tak ada pilihan. Jadi ayah bawa kamu dan emak kamu berpindah ke Malaysia . Sedang taat setia dan rindu dendam ayah pada tanah air kita tidak berkurang .Walau sekelumit,.” Pak Cik Abdullah dia sejeda menelan air liur. Seekor nyamuk berlegar-legar di telinganya. Berdegung bunyi sayap nyamuk itu menusuk indera dengar. Pak Cik Abdullah menggawang-gawangkan tangan menghalau makhluk Allah yang satu itu.

“Ayah namakan kamu Hamsyari. Pertamanya, agar apabila kamu dewasa kamu tetap tidak akan lupa tanah tumpah air kamu walau kamu tidak membesar di sana. Keduanya, kelak kamu dan anak cucu ayah dapat menyumbang bakti paa tanah air kita walau di mana kita berada kerana dari situlah nenek moyang kita berasal. Kamulah sandaran dan harapan ayah untuk mengembalikan keamanan dan kedamaian yang pernah menjadi milik kita dulu,” lanjut Pak Cik Abdullah. Nadanya sedikit bergetar.

“Dan ayah rasa harapan ayah itu sedang dikabulkan oleh Allah,” lanjut Pak Cik Abdullah. Dia menyapu pipinya. Air mata yang ditahan tumpah jua akhirnya.

“Ayah…,” lirih Hamsyari. Dia berhenti melangkah. Pak Cik Abdullah turut berhenti. Hamsyari mendakap tubuh ayahnya. Kejap. Pak Cik Abdullah membalas pelukan Hamsyari. Ketika itu mereka sudah hampir benar dengan pintu masjid.

“Pergilah, Ri. Ayah redha kamu pergi,” izin Pak Cik Abdullah dalam pelukan yang masih tidak mahu dilepaskan oleh Hamsyari.

“Terima kasih, ayah terima kasih!” ucap Hamsyari.

“Cuma nasihat ayah, jangan kamu pergi tanpa membawa bersama redha mek kamu. Pujuklah dia. Insya-Allah, hatinya akan lembut. Ayah percaya,” ujar Pak Cik Abdullah.

Dari menara masjid, kedengaran azan Subuh dilaungkan.

Mak Cik Fatimah terjaga. Gelap. Segera dia menoleh ke sisi. Tiada. Suaminya tiada di sebelah. Dengan mata terpisat-pisat, Mak Cik Fatimah bangun meraba-raba suis lampu dan memetiknya. Sebaik sahaja cahaya lampu kalimantang menerangi ruang bilik, Mak Cik Fatimah cepat-cepat mengelih jam di dinding. 6.15 pagi.

“Ah, lewat lagi aku bangun hari ini!” rungut Mak Cik Fatimah sendirian. Biasanya dia kan bangun sebelum suaminya terjaga. Dialah yang akan mengejutkan Pak Cik Abdullah untuk bersiap-saiap ke masjid.

Namun, pagi itu dia terlewat dan Pak Cik Abdullah terjaga dahulu sebelumnya. Mak Cik Fatimah mengutuk diri sendiri. Dia berlalu ke bilik air, berwudhuk dan menunaikan solat Subuh.
Usai solat Subuh, dia berzikir dan berdoa. Hatinya tiba-tiba tergerak untuk melihat Hamsyari di biliknya. Segera dia bangun , keluar dari bilik menuju ke kamar anak terunanya.

Pintu tertutup rapat. Mak Cik Fatimah memulas tombol dan menolak daun pintu. Gelap. Tiada bunyi desiran kipas pun. Entah mengapa dada Mak Cik Fatimah bergetar hebat.

“Ri…,” lirih Mak Cik Fatimah.

“Ri tak akan tinggalkan mak, bukan?” Mak Cik Fatimah bermonolog sendirian. Dia tersandar pada dinding dengan bibir bergetar.

“Buat apa kamu hendak balik ke sana lagi? Apa lagi yang tidak cukup dengan kehidupan kita di sini?” Mak Cik Fatimah mencerlung tajam wajah Hamsyari yang duduk bertentangan dengannya.

Ketika itu mereka sedang duduk bersantai menikmati angin petang di bawah pokok mangga. Sebuah pangkin kecil yang boleh memuatkan lebih kurang lima orang sekali duduk dibina dari kayu. Hamsyari berdua sahaja dengan Mak Cik Fatimah.

“Bukan itu masalahnya sekarang, mek,” balas Hamsyari. Dia meletakkan semula cawan berisi teh panas di atas meja kecil di hadapannya. Dia kemudian mengubah sila. Goreng pisang di dalam pinggan dicapainya dan dikunyah.

“Habis itu kenapa kamu hendak balik ke sana? Kita sudah hidup senang di sini, Ri. Makan pakai semua cukup. Bahkan kita selamat dan aman di sini. Kedai tom yam kita pun semakin maju sekarang. Kamu juga sudah Berjaya beroleh segulung ijazah. Sudah mampu berkerjaya dan membina hidup sendiri!” leter Mak Cik Fatimah lagi.

Hamsyari bingkas bangun menyarung selipar dan berdiri berhampiran batang pokok mangga sambil melepaskan pandangan ke sawah padi yang mula menguning. Beberapa ekor burung kelihatan melayah rendah. Entah apa yang diintainya dicelah –celah padi.

“Ri tahu itu, mek. Memang kita sudah punya segala-galanya di sini, mek. Bahkan Ri sendiri membesar di sini. Negeri ini sudah menjadi seperti tanah tumpah Ri sendiri. Namun mek kita tetap orang asing di sini. Kita tetap pendatang, mek. Lbukan kita tak ada tanah air sendiri,” lirih Hamsyari.

“Pendatangkah, penumpangkah semua itu tidak penting, Ri. Yang penting sekarang kita sekeluarga selamat di sini. Ya, mek tahu, kita ada tanah air sendiri tapi cuba kamu buka mata kamu. Lihat apa yang berlaku di rumah kita sekarang? Saban hari ada sahaja bangsa kita yang mati dibunuh, ditembak, didera. Anak gadis diperkosa. Harta benda dirampas. Hidup dalam ketakutan dan kebimbangan. Buat apa lagi kita kembali ke bumi yang tidak aman itu? Buat menempah maut saja!” suara Mak Cik Fatimah semakin meninggi.

“Habis itu, mek senang hatikah duduk goyang kaki di sini, makan enak, tidur sedap sedang saudara mara kita di sana berhempas pulas, bermandi darah dan keringat mempertahankan tanah air kita. Mek tak rasa apa-apakah apabila lihat penjajah buat sewenang-wenangnya di rumah kita itu. Kalau mek sanggup, Ri tak sanggup,” tegas Hamsyari sambil menggeleng-geleng kepala kecil.

“Apa daya kita, Ri? Kita tak mampu untuk berbuat apa-apa! Kita tak akan mampu nak lawan orang Siam! Mereka punya segala kekuatan sedang bangsa kita ada apa!” luah Mak Cik Fatimah.

“Kita tidak lemah sebenarnya, mek! Kita tak lemah kerana kita ada Allah! Sejarah juga telah membuktikan dahulu kita pernah gemilang dan maju!” balas Hamsyari penuh bersemangat.

Dia melepaskan keluhan berat. Dia mengurut-urut dadanya yang kian diamuk resah.

Mak Cik Fatimah melabuhkan punggung di atas sofa di ruang tamu. Pintu rumah dibuka luas-luas. Sengaja dia pilih sofa yang menghadap pintu. Sambil tasbih berputar di jari jemarinya, matanya tidak lepas-lepas memandang keluar.

Ketika cahaya matahari mula bersatu dengan alam, sayup-sayup kelihatan kelibat Pak Cik Abdullah yang segak berbaju melayu hijau pucuk pisang dan berkopiah putih melangkah ke perkarangan rumah. Dia bersendirian.Tanpa menunggu lebih lama lagi, Mak Cik Fatimah menerpa ke arah suaminya sambil kepalanya tertinjau-tinjau batang tubuh Hamsyari.

“Mana Ri, abang? Bukankah dia pergi masjid dengan abang? Kenapaa abang seorang sahaja yang balik ini?” bertubi-tubi soalan diajukan oleh Mak Cik Fatimah.

Pak Cik Abdullah memandang sekilas wajah Mak Cik Fatimah sebelum menapak ke dalam rumah.

“Abang dengar tidak apa yang saya tanya ini?” suara Mak Cik Fatimah sedikit meninggi. Dia membuntuti suaminya.

Pak Cik Abdullah menghenyak tubuh di atas sofa. Kopiah putihnya ditanggalkan dan diletakkan di atas meja di hadapannya.

“Biarlah dia pergi, Mah,” ujar Pak Cik Abdullah antara dengar dan tidak.

“A…apa maksud abang?”tanya Mak Cik Fatimah dengan mata terbuntang.

Pak Cik Abdullah mengeluh.

“Kita tak dapat berada di san bersama-sama saudara seagama, sebangsa dengan kita. Jadi biarlah Hamsyari pulang sebagai wakil kita,” pujuk Pak Cik Abdullah lagi.

Mak Cik Fatimah menggeleng-gelengkan kepala.

“Tak, abang.! Tak!” tegas Mak Cik Fatimah.

“Mana Ri, abang! Mana Ri?” desak Mak Cik Fatimah. Tubir matanya mula bergenang air.
Pak Cik Abdullah bingkas bangun. meninggalkan Mak Cik Fatimah melayan perasaannya sendiri.

Hamsyari menarik nafas dalam-dalam dan menghembusnya perlahan. Dia memejamkan matanya sambil menikmati kesegaran udara pagi. Matahari mula naik sepenggalah tinggi di dada langit. dia tersenyum pada matahari. Pagi benar-benar ceria.

Hamsyari kembali masuk semula ke dalam restoran meluru terus ke dapur. Dia tercari-cari susu kambing yang masih berbaki di dalam peti sejuk. Sebuah botol sebesar botol mineral dikeluarkan. Kemudian dia mengambil sebuah kelas dan susu kambing tadi dituang di dalam gelas. Dia melabuhkan punggung dan meneguk susu kambing tadi usai membaca basmallah.

Setelah cawan yang digunakannya tadi dibasuh, dia kembali ke ruang hadapan restoran. Dia mencapai sebatang penyapu dan mula membersihkan lantai. Lama benar rasanya dia tidak menumpahkan khidmat di restoran tom yam milik orang tuanya.

Selepas tamat tingkatan lima, Hamsyari melanjutkan pengajian di Kolej Matrikulasi Pahang. Kemudian dia menyambung pengajian dalam bidang undang-undang di UIAM. Sebelum sempat konvokesyen lagi, dia sudah mendapat tawaran berkerja di sebuah firma guaman di ibu kota. Lebih kurang dua tahun bertugas, dia pulang ke kampung halaman di Baling. Pulang membawa satu impian dan cita-cita. Dan kerana impian serta cita-cita itu, dia meletak jawatan sebagai peguam. Walhal ketika itu dia baru ditawarkan untuk menyambung master oleh majikannya di United Kingdom.

Hamsyari menghela nafas. Dia menyapu habuk-habuk yang di bawah meja. Sesekali dia batuk kecil apabila habuk berterbangan hinggap pada indera hidunya. Sedang dia terbongkok –bongkok menyapu telinganya menangkap bunyi derap kaki.

“Ri!” panggil Mak Cik Fatimah. Hamsyari mengangkat wajah dan menyeluruhi wajah bujur telur Mak Cik Fatimah.

“Ya, mek,” sahut Hamsyari. Dia kembali berdiri tegak.

Mak Cik Fatimah segera berlari-lari anak mendapatkan Hasmyari. Tidak semena-mena, Mak Cik Fatimah memeluk Hamsyari, Diciumnya pipi Hamsyari.

Hamsyari kaget.

“Kenapa ini, Mek?” tanya Hamsyari kebingung-bingungan. Penyapu yang dipegangnya di sandarkan pada meja makan berhampir. Pagi itu, sengaja dia datang awal ke restoran, sepatutnya restoran bukan pukul 3 petang. Tetapi usai solat duha, Hamsyari berjalan kakidatang ke restoran berkenaan yang terletak lebih kurang 10 minit perjalanan dari masjid.

“Ri, mek ingat kamu sudah pergi meninggalkan mek!” ujar Mak Cik Fatimah.

“Mek tanya pada ayah kamu sama ada dia nampak kamu atau tidak, tetapi dia tak jawab pertanyaan mek. Sakit betul hati mek. Dia boleh buat bodoh saja bila anak dia hilang!” luah Mak Cik Fatimah lagi. Dia menanti suaminya pulang dari masjid. Sebaik sahaja tampang tubuh Pak Cik Abdullah kelihatan, Mak Cik Fatimah terus menerpa mendapatkan suaminya. Apabila ditanya tentang Hamsyari, Pak Cik Abdullah tidak menjawab dan berlalu begitu sahaja.

Hamsyari menyungging senyum. Mak Cik Fatimah mengusap wajah Hamsyari.

“Saya pergi masjid dengan ayah pagi tadi. selepas solat Subuh saya tak pulang dulu sebaliknya duduk sekejap di masjid. Cari ketenangan,” ujar Hamsyari cuba meredakan kegalauan di hati Mak Cik Fatimah.

Kalau ikutkan hati memang Hamsyari hendak berpindah saat juga ke Selatan Thailand. Namun, dia tahu Mak Cik Fatimah tidak sekuat al-khansa.

Ingatannya kembali melayang kembali di era 14 Hijrah, ketika mana Khalifah Umar Ibnul Khattab menyediakan satu pasukan tempur untuk menentang Farsi. Semua umat Islam dari berbagai kabilah telah dikerahkan untuk menuju ke medan perang, maka terkumpullah seramai 41,000 orang tentera. Khansa telah mengerahkan keempat-empat puteranya agar ikut mengangkat senjata dalam perang suci itu. Khansa sendiri juga ikut ke medan perang dalam kumpulan pasukan wanita yang bertugas merawat dan menaikkan semangat pejuang tentera Islam.

Dia juga seakan-akan terdengar laungan Al-Khansa bin Amru, ummu syuhada kepada keempat-empat anaknya saat mereka bakal berangkat ke medan Qadisiyyah tersebut.

“Wahai anak-anakku! Kamu telah memilih Islam dengan rela hati. Kemudian kamu
berhijrah dengan suka rela pula. Demi Allah, yang tiada Tuhan selain Dia, sesungguhnya kamu sekalian adalah putera-putera dari seorang lelaki dan seorang wanita. Aku tidak pernah mengkhianati ayahmu, aku tidak pernah memburuk-burukkan saudara maramu, aku tidak pernah merendahkan keturunan kamu, dan aku tidak pernah mengubah perhubungan kamu. Kamu telah tahu tentang pahala yang disediakan oleh Allah kepada kaum muslimin dalam memerangi kaum kafir itu. Ketahuilah bahawasanya kampung yang kekal itu lebih baik daripada kampung yang binasa.”

Ternyata yang beruntung menemui syahid di medan Qadisiyyah itu berjumlah lebih kurang 7,000 orang dan dalam kalangan 7,000 orang syuhada itu terbaring tenang keempat –empat orang anak al- Khansa.

Air mata membasahi pipi al-Khansa.

Orang berkata, “Khansa kesedihan kerana kehilangan semua anaknya.”

Lalu dijawab oleh Al-Khansa “Diamlah kalian, sesungguhnya aku bersedih kerna aku tidak punya anak lagi untuk dihantar berjihad di jalan ALLAH”

Kebetulan pagi tadi, dalam kuliah Subuh, penceramah membincangkan tentang kewajipan meminta izin ibubapa sekalipun dalam urusan agama. Seolah-olah itu adalah teguran Allah buatnya.

Kisah yang disampaikan oleh penceramah itu terus bergentayangan dalam fikirannya.

Bahawa Abu Sa‘id al-Khudri pernah berkata: Sesungguhnya seorang lelaki dari Yaman telah berhijrah kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam (untuk berjihad) lalu baginda bertanya: “Adakah kamu mempunyai seseorang di Yaman?”

Dia menjawab: “Ibubapa aku.”

Rasulullah bertanya: “Adakah mereka memberi izin kepada engkau?”
Dia menjawab: “Tidak.”

Rasulullah bersabda: “Kembalilah kepada mereka berdua dan mintalah izin dari mereka berdua.

Jika mereka mengizinkan engkau maka berjihadlah akan tetapi (jika tidak)
maka berbuat baiklah kepada mereka berdua”

“Ri, kamu benar-benar mahu pulang ke sanakah, nak?”

“Menurut al-Syaukani, dalam hadis tentang pemuda Yaman itu, terdapat petunjuk bahawa berbuat baik kepada ibubapa adalah lebih utama daripada berjihad. Manakala dalam sabda Rasulullah SAW ,Jika mereka mengizinkan engkau maka berjihadlah terkandung dalil bahawa wajib hukumnya meminta izin ibubapa di dalam urusan berjihad dan yang sedemikian adalah pendapat jumhur ulama’.

Dan mereka memutuskan dengan keharaman berjihad jika kedua-duanya atau salah seorang daripada mereka menegah anak mereka daripada berjihad kerana sesungguhnya berbuat baik kepada ibubapa adalah fardhu ‘ain manakala jihad adalah fardhu kifayah. Akan tetapi apabila hukum jihad jatuh fardhu ‘ain maka tidak perlu meminta izin daripada mereka berdua.” Syarah penceramah jemputan itu bersimpongan kembali.

Hamsyari menghela nafas. Di bersandar pada meja makan sambil merenung wajah emaknya.

“Bagaimana saya dapat pergi sedang redha mek tidak saya bawa bersama,” lirih Hamsyari. Tubir mataMak Cik Fatimah berkaca-kaca.

“Ri…,” lirih Mak Cik Fatimah. Hamsyari sedikit tersentak. Dalam tak sedar air matanya luruh menimpa pipi.

“Ya, mek,” sahut Hamsyari.Dia berjalan dua tiga langkah ke hadapan, menarik sebuah kerusi dan melabuhkan punggung sambil berusaha menyembunyikan tangisan. Mak Cik Fatimah merapatinya dan melabuhkan punggung di ats kerusi bersebelahan dengan Hamsyari sambil matanya tidak lepas-lepas mengelus wajah anak muda itu.

“Mek, sekalipun keluar berjihad di jalan Allah adalah satu amalan yang amat penting kepada agama dan umat, lagi besar ganjaran kepada yang melakukannya, ia tetap tidak mengungguli amalan berbuat baik kepada ibubapa. Ri kena dapatkan restu daripada mek sekalipun tujuan Ri ini adalah tujuan agama dan jihad,” balas Hamsyari.

“Firman Allah dalam surah Lukman ayat yang antara lainnya bermaksud, Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibubapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan yakni dari awal mengandung hingga akhir menyusunya, dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; dengan yang demikian bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibubapamu; dan ingatlah, kepada Aku-lah jua tempat kembali untuk menerima balasan.” Hamsyari membacakan ayat dari surah Lukman yang memang dihafalnya sejak sekolah menengah lagi.

“Susah payah mek mengandungkan Ri, menyusukan Ri, menjagasakit deman Ri dengan penuh kasih sayang tak akan Ri lupakan. Bahkan tak mungkin terbalas oleh Ri biar mati hidup semula sekali pun. Kejamlah Ri sebagai anak andai membelakangkan mek dalam membuat sesuatu keputusan. Mek adalah permata hati Ri. Maafkan Ri berkasar dengan mek petang tempoh hari. Mungkin Ri terlalu bersemangat,mek,” pinta Hamsyari. Dia menarik tangan Mak Cik Fatimah dan mengucupnya. Mak Cik Fatimah mengusap-usap kepala Hamsyari.

“Kamu memang anak yang baik, Ri. Mek bertuah ada anak seperti kamu,” akui Mak Cik Fatimah.

“Dan Ri juga bertuah sebab ada ibu macam mek. Biarlah Ri di sini sahaja berbakti dan menggembirakan hati permata-permata Ri, ” balas Hamsyari.

“Habis sekarang ini kamu mahu buat apa? Kamu sudah berhenti daripada jadi peguam di firma guaman Kuala Lumpur itu bukan?” soal Mak Cik Fatimah.

“Tak mengapa. Ri boleh tolong mek di restoran ini. Nanti Ri fikir semula sama ada hendak jadi peguam atau jadi tukang masak,” seloroh Hamsyari.

“ Nak jadi tukang masak konon. Kamu itu bukannya pandai masak!” tukas Mak Cik Fatimah. Senyuman mula terhias di wajahnya.

“Kalau begitu Ri jadi tukang sapu sajalah di restoran ini. Tidak pun jadi tukang rasa dan tukang makan. Macam mana? Boleh?” gurau Hamsyari lagi.

Mak Cik Fatimah ketawa kecil. Dia mencubit pipi Hamsyari.

“Ri nak sambung menyapu, mek.,” ujar Hamsyari. Dia bingkas bangun.

“Biarlah. nanti mek buat,” sanggah Mak Cik Fatimah. Dia menahan Hamsyari dari bangun.

“Mana boleh begitu. Tak baik buat kerja separuh jalan bukan? Mek juga yang cakap pada Ri begitu selalu. Lagipun bolehlah Ri bersenam sikit. sudah lama rasanya Ri tak bersenam. Badan pun dah naik ini! ” tukas Hamsyari sambil menjungkit kening. Dia kemudian mencapai penyapu dan berkira-kira hendak mula menyapu lantai.

Mak Cik Fatimah memerhatikan Hamsyari dengan pandangan penuh kasih sayang. Dadanya tiba-tiba sebak. Mulutnya bergetar. Dia ingin mengucapkan sesuatu tetapi suaranya tidak keluar. Sedang bibirnya bergerak-gerak. Mak Cik Fatimah menarik nafas dan menghembusnya perlahan-lahan.

“Ri…,” panggil Mak Cik Fatimah. Hamsyari memanggungkan kepala. Dia menatap wajah Mak Cik Fatimah dengan kening terjungkit.

“ pergilah, Ri. Pergilah. Mak redha kamu pergi,” lirih Mak Cik Fatimah antara dengar dan tidak.

Saat itu terlepas penyapu dari genggaman Hamsyari.

Friday, August 13, 2010

Mencari Prameodya di Gramedia

Bismillahirrahmanirrahim...

Saya emelkan sinopsis Sebelum Berkalang Tanah kepada Kak Syahidah untuk dikomen. Selepas beberapa hari, Kak Syidah mengemelkan saya komen-komennya. Bahkan, Kak Syahidah mencadangkan sebuah novel untuk saya baca. Keluarga Gerilya oleh Prameodya Ananta Toer.

Saya mula mencari resensi terhadap novel ini. Dan Natijahnya, saya jadi pingin sekali mahu membacanya. Saya cuba membelinya secara online.

"Out Of Stock"

Aksara ini yang muncul sepanjang pencarian saya.

Sedih. Namun, saya inigin sekali membaca karya-karya Pramoedya. Jadi, saya membuat keputusan untuk memilik beberapa naskhah novelnya. Tidak kisah tajuk apa pun.

Saya cuba cari di kedai buku online. Sayang sekali, Kebanyakan kedai buku online yang menjual karya Pramoedya ini adalah syarikat Indonesia dan ada sedikit kesukaran dari aspek penghantaran jika mahu memesannya online.

Teringat Kedai Buku Gramedia di Tesco Seberang Jaya. Mengunjunginya sekali pada tahun lepas.

GRAMEDIA Bookstores, ialah gedung bagi salah sebuah syarikat penerbitan buku terbesar di Indonesia PT GRAMEDIA. Ia adalah salah satu daripada cabang empayar Gramedia Group yang diasaskan oleh Bapak Jacob Oetama.

Apa lagi, saya bersiap siap untuk ke sana dengan penuh keterujaannya.

Saya tidak pernah ke Tesco berkenaan menaiki bas. Oleh sebab itu, saya terpaksa naik turun bas rapid penang tiga kali dari rumah yang akhirnya memakan masa hampir empat jam!. Huh itu tempoh perjalanan dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur!

Sepatutnya, saya hanya perlu berganti dua biji bas sahaja untuk ke sana dari rumah yang mungkin memakan masa kurang dari dua jam.

Saya menerjah masuk ke dalam Tesco dan menuju ke premis Gramedia. Hati berbunga tidak terkata.

Sebaik sahaja tiba di hadapan pintu kedainya, saya tergamam.

Hairan kenapa pintu premis tertutup. Dinding bertampal kertas putih dan sudah tentu sahaja kedai gelap gelita.

"Sebulan lebih sudah kedai ini tutup," maklum seorang abang di kedai bertentangan.

"Tuan punya kedai ini sudah bungkus balik Indonesia," maklum Kak dari kedai bertentangan juga.

Rasa macam nak menangis masa itu. Sedihnya.

Sudah tentu tuan punya toko berkenaan menghadapi kejutan budaya. Barangkali di Indonesia, premis-premis bukunya sentiasa penuh sesak dengan pembeli tapi tidak di Malaysia ini. Huhu. Sebab itu dia bungkus dan balik Indonesia. Tak untung meniaga buku di Malaysia. Agak sayalah!

Saya benar-benar mahu dapatakan novel-novel Pramoedya.

Di Mesir nanti, saya mahu buat satu perpustakaan kecil di dalam bilik saya. Jadi sekarang, saya sedang mengumpul bahan bacaan yang baik untuk memenuhkan perputakaan itu kelak. Saya juga sedang membuat revolusi bahan-bahan bacaan.

Selepas menghadiri program bedah buku anjuran PPM di USM tempoh hari, entah mengapa, hati saya ini tertarik untuk mencari bahan bacaan dari seberang. (Ketika itu, saudara Arif Juhani membedah buku prof Dr. Hamka, Kesepaduan Iman dan Amal Salih).

Saya sudah mendapatkan beberapa koleksi tulisan Prof Dr. Hamka.

Sekarang saya mahu dapatkan tulisan Pramoedya pula.

Beberapa novel Arena Wati yang sudah lama dibeli tetapi belum dibaca-baca juga akan dibawa. =)

Saya tahu akan kewujudan Kedai Buku Gramedia ini di Kuala Lumpur. Satu di The Mines, Seri Kembangan. Satu lagi di Tesco Shah Alam.

Atas maklumat Kak Nadiah Yusof, saya dapat tahu satu lagi kewujudan premis buku-buku Indonesia di Masjid India yakni Syarikat Fajar Ilmu Baru. Beberap buku Pramoedya ada dijual di sana.

Semuanya di KL.

Hmm. Nampaknya, ziarah saya ke KL nanti menjadi ziarah serampang dua mata. Ziarah sahabat-sahabat sambil ziarah toko-toko buku ini.

Moga-moga saya berjumpa dengan apa yang di cari.

Err...ada sesiapa nak pesan kepada saya untuk belikan buku? =)

Tuesday, August 03, 2010

Ceritera Darah dan Air Mata

Bismillahirrahmanirrahim...

Semoga sedikit sebanyak dapat membantu pengunjung memahami isu di Selatan Thai...


“Untuk menghilangkan identitas kami, sebagai Muslim, nama kami yang berbau Islam pun harus diganti dengan nama bercirikan Siam, dan, ketika kami kecil dulu, jika kami berbicara dalam bahasa Melayu, maka kami akan dikenakan denda 5 bath per kata, bukan per kalimat, tapi per kata.” cerita Aathif.

Kisah diatas disampaikan oleh Muhamad Aathif, ketua SYWNPP (Student & Youth Network for Protecting People), sebuah organisasi pemuda Muslim Patani yang membela hak-hak masyarakat Muslim di Patani.

“Penindasan terhadap Muslim di Patani, memang tidak pernah berhenti, puncaknya adalah demonstrasi besar-besaran yang terjadi di Bangkok. Demonstrasi ini berkaitan dengan peristiwa perkosaan seorang muslimah bernama Nurhayati. Ia diperkosa secara bergantian oleh tentara Thailand, dihadapan ibunya sendiri. Kemudian, ia disiksa hingga meninggal dan jenazahnya dibungkus oleh kain dan kemudian dibakar. Inilah yang menyebabkan kami, para pemuda Patani turun ke jalan, menuntut pemerintah Thailand untuk mengusut peristiwa ini secara tuntas dan menghukum pelakunya seadil-adilnya.” cerita ketua SFST (Student Federation of Southern Thailand)

Nyawa, memang terasa begitu mudah melayang di Selatan Thailand. Beberapa peristiwa besar yang menunjukkan hal itu antara lain adalah Kejadian Kampung Krisek 28 April 2004, 106 remaja dan pemuda Muslim menjadi sasaran tembak tentara Thailand karena dituduh melakukan serangan terhadap pos-pos kemanan yang didirikan oleh tentara Thailand.

25 Oktober 2004, Tragedi Taba, hampir seribu orang meninggal akibat keganasan tentara Thailand. Ada yang tenggelam di dalam sungai Taba dan ada juga yang di bunuh dan dikubur hidup-hidup di Patani ,Nara dan Jala. Dan yang paling menyayat hati adalah, sebanyak delapan puluh lima orang meninggal karena saling bertindih-tindihan (ditumpuk) di dalam truk tentara yang membawa mereka menuju tahanan.

Kejadian ini terjadi tepat pada saat bulan suci Ramadhan.Selama ini tragedi berdarah di Patani hampir jarang terdengar.

Selain disebabkan oleh kendala bahasa (Muslim Thailand tidak bisa berbicara bahasa Melayu, karena mereka sejak kecil memang dilarang menggunakan bahasa Melayu), pemerintah Thailand juga membatasi dan menguasai semua arus informasi tentang Patani. Pemerintah Thailand memang melarang rakyatnya untuk berbicara tentang tiga hal, yaitu tentang polisi, politik dan kerajaan. Teror, seakan telah menjadi bagian dari kehidupan keseharian di Selatan Thailand. Selain berusaha menghapus ciri Muslim, pemerintah Thailand juga berusaha untuk menghancurkan pemahaman tentang Islam yang benar, melalui guru-guru agama Islam, yang disediakan oleh pemerintah Thai.

“Guru-guru agama tersebut memang disediakan oleh pemerintah, tapi mereka adalah kaki tangan pemerintah, yang ditujukan untuk merubah pemahaman tentang Islam. Mereka ini telah di brain wash oleh pemerintah.” ujar ketua SFST

“Selain itu, pemerintah Thai juga tak segan-segan untuk menghancurkan sekolah – sekolah beragama Islam yang belum berkembang. Pemerintah Thai, memang tidak berani menghancurkan sekolah Muslim yang telah berkembang besar seperti Pondok Haji Harun yang memiliki kurang lebih sepuluh ribu murid. Namun, ini pun tak luput dari penindasan pemerintah. Satu persatu guru atau ustad di bunuh. Ada yang ditembak, ada juga yang menghilang entah kemana.” lanjut ketua SFST lagi.

Ketidak adilan lainnya juga ditunjukkan oleh pemerintah Thai melalui penerapan hukum yang berat sebelah.

Ada tiga jenis hukuman yang sangat merugikan Muslim Patani, yaitu ;

1. Martial Law, pemerintah Thailand berhak menangkap orang-orang yang dicurigai akan berbuat kerusuhan ataupun mengancam keberadaan tentara Thailand. Mereka akan ditangkap tanpa ada penyelidikan sebelumnya. Dan mereka pun akan dipenjara selama tujuh hari.

2. Emergency degree, jika pemerintah Thailand masih merasa kurang dengan hukuman martial law, maka, mereka berhak menaikkan masa tahanan menjadi 30 hari, sekali lagi, penahanan ini dilakukan tanpa penyelidikan.

3. ISE, jika dirasa kedua bentuk hukukman diatas masih kurang juga, maka penahanan akan dilakukan selama 6 bulan sampai 3th / 4th. Tergantung dari kebijakan pemerintah Thailand sendiri.

“Karena saat ini pemerintah Thai mulai mendapat sorotan dari dunia luar, maka dalam memberi hukuman kepada para aktivis, mereka tidak menyentuh sang aktivis tersebut. Seperti yang saya alami, saya tidak disiksa sama sekali, tidak dipukuli sama sekali, tapi saya disuruh menyaksikan Muslim Patani disiksa, dipukuli di depan mata saya sendiri. Saya dipaksa melihat kejadian tersebut, hingga saya dipaksa menandatangani surat pernyataan yang menyatakan bahwa saya adalah seorang pemberontak dan perusuh yang membahayakan negara.” cerita ketua SYWNPP.

“Namun, dalam menghadapi segala penindasan dan teror dari pemerintah, kami tidak tinggal diam, kami juga tetap berusaha menyelamatkan Muslim Patani. Diantaranya melalui pembentukan TADIKA, taman pendidikan anak-anak. Di TADIKA ini, semua anak Muslim menggunakan bahasa Melayu. Merekapun kami ajari dengan berbagai hal tentang Islam, juga sejarah tentang Patani. Walaupun TADIKA juga kerap di larang oleh pemerintah Thai, tapi, hingga saat ini alhamdulillah TADIKA tetap dapat berjalan. Target kami adalah, setiap tahun dapat mendirikan minimal dua buah TADIKA.” lanjutnya lagi.

Hidup di tengah kesedihan dan ketakutan di Selatan Thailand, dimana nyawa bisa melayang setiap saat, tentu bukan hal yang mudah. Namun, mereka tidak mempunyai pilihan lain. Bagaimanapun, Selatan Thailand, adalah tanah mereka sendiri yang harus dipertahankan. Susah dan sedih harus dihadapi.

Tugas kita sebagai sesama Muslim adalah, meringankan beban mereka, salah satu caranya adalah dengan memberikan informasi sebanyak-banyaknya pada dunia luar, tentang apa sebenarnya yang tengah dihadapi Muslim Patani.

Karena semua Muslim adalah bersaudara, seperti yang disampaikan Rasulullah saw dalam sebuah hadist “Orang-orang mukmin itu bagaikan satu orang. Jika matanya sakit, maka seluruh tubuhnya ikut merasa sakit. Jika kepalanya sakit, maka seluruh tubuhnya ikut sakit.” (diriwayatkan Muslim).

oleh : Suci Ummi Adam
Sumber dari:http://www.sabili.co.id/

Monday, August 02, 2010

Be Somebody

Bismillahirrahmanirrahim...

Lebih kurang dua minggu terperuk di rumah, hari ini (Ahad) saya keluar berjalan jauh sedikit yakni pergi walimah seorang sahabat di Perlis. Saya pergi dengan keluarga.

Van Tiket
Sepanjang perjalanan, beberapa kali juga kereta kami berpampasan dengan van tikeit. Van yang selalunya kami krew AMANI naik untuk ke Selatan Thailand.Perasaan rindu kembali menyergap hati.huhu
Sebut fasal van tiket, teringat satu perbualan ringkas krew kami dengan Abang Nizam dalam misi ziarah paling kontroversi baru-baru ini. hihi.

Ketika melintasi satu kawasan di Kedah, terpampang stu kain rentang dengan tulisan kata-kata mogok daripada pemandu –pemandu teksi Malaysia. Mereka marahkan kerajaan kerana membenarkan van tiket dari Thailand itu masuk keluar sesuka hati di kawasan Malaysia sehingga menyekat periuk nasi mereka. Mereka mahu pihak kerajaan tarik semula lessen kebenaran van tiket dari Thailand itu.
“Kumpulan pemandu van tiket ini berikrar, andai lessen kebenaran itu ditarik, mereka akan sekat setiap kereta dari Malaysia yang masuk ke Thailand!” maklum Abang Nizam.
Meremang bulu roma saya.

“Pihak kerajaan Thailand atau persatuan pemandu-pemandu itu?” saya bertanya ingin dapatkan kepastian.

“Kumpulan pemandu-pemandu itu sendiri. Bukan kerajaan Thailand,” jawab Abang Nizam.

Saya mengangguk-angguk kecil. Pada saya rakyat Thailand ini berani. Mungkin salah satu sebabnya negera mereka membenarkan demonstrasi dan tunjuk perasaan didadakan sebagai tanda protes. Gerun juga sesekali mengingatkan keadaan rusuhan yang selalu berlaku di Thailand terjadi di sempadan.

Kesian kerajaan Malaysia. Tersepit. Ditelan mati emak diluah mati anak.
Sahabat-sahabat IPTIPs
Keduri Kak Da menjadi tempat pertemuan saya dengan sahabat-sahabat IPTIPs terutamanya rakan-rakan yang mengambil STAM. Gembira benar saya kerana dapat lagi bersua muka denganMira, Zaharah Mizan, Nadia, Tikah, Kak Ngah, Iskandar, Ron Arofin dan sahabat-sahabat STAM lain. (Ramai sahabat-sahabat lelaki dari Kemboja yang nama mereka agak sukar untuk diingati.huhu)

Sempat juga jumpa Ustaz Ehsan.

“Munirah habis belajar nanti mai cari ustaz na!” pesan Ustaz Ehsan. Saya membalas dengan senyuman.

Dalam bergembira dengan walimah Kak Da, kami turut berduka dengan pemergian seorang guru STAM yakni Ustazah Hasni. Al-fatihah untuknya…

Ziarah Hospital
Dalam perjalanan pulang, kami singgah di Hospital Sultanah Bahiyyah. Melawat suami kepada kawan ibu yang sakit.

Rasanya hospital itu adalah hospital tercantik yang pernah saya pergi. Sangat eksklusif. Teringat hospital di Yala. Bagai langit dengan bumi bezanya.
Wajah bening Kak Hani, kawan ibu yang sedang sarat mengandung menerjah kornea mata saya. Pandangan saya singgah pula pada sosok tubuh suami Kak Hani yang terlantar sakit.

Kadang kala, sebagai orang bujang, kita melihat gerbang perkahwinan itu indah belaka. Namun, hakikatnya, ini adalah antara ujian berkeluarga yang perlu dihadapi oleh pasangan suami isteri. Andai ditakdirkan suami Kak Hani tak dapat sembuh seperti sedia kala, kak Hani perlu mengambil alih sepenuhnya tanggungjawab menyara keluarga dan menjaga kebajikan suaminya.
Apa pun didoakan, suami Kak Hani segera sembuh dan sihat.

Thank You dan Doktor

Masa sedang ziarah suami Kak Hani, saya ternampak sekumpulan doktor-doktor sedang mendengar penerangan dari seorang doktor pakar. Kata ibu, itu kumpulan doktor yang sedang sambung master. Salah seorang daripada mereka ibu kenal.

Saya lihat ramai lelaki dalam kumpulan itu dan mereka berbangsa Cina. ada dua gadis melayu.

“Eh, kenal tak yang pakai baju biru itu?” kak Hani mencuit lengan ibu saya. Seorang lagi kawan mereka turut memandang pada arah yang sama.
“Kenal sangat!” jawab ibu.
“Buat-buat tak nampak kita pula!” sambut Kak Hani. Mereka bertiga ketawa kecil.

Kata ibu, masa awal-awal posting, doktor-doktor yang segar datang dari ladang ini tidak dapat tidak mesti mendapatkan bantuan jururawat yang lebih senior di hospital tempat dia bertugas.

“Masa tak reti apa dulu, lembut bukan main tanya kita itu dan ini. Bila dah cekap, pandang kita sebelah mata pun tidak!” tokok ibu yang berpengalaman lebih 25 tahun bertugas sebagai jururawat.

Doktor Melayu vs Doktor Cina
“Apa perbezaan sikap antara doktor Melayu dan doktor Cina,ibu?” tanya saya pada ibu dalam kereta ketika kami dalam perjalanan pulang ke rumah.

“Doktor Cina ni biasanya mereka bersungguh-sungguh dalam apa pun yang mereka buat. Bila specialist beri apa-apa maklumat, biasa mereka akan balik buat research sendiri pula di bilik. Lagi satu, mereka ini selalu ke hadapan dan semua benda mereka nak buat. Doktor melayu pula biasa duduk di belakang. Tak begitu proaktif,” jawab ibu.

Terfikir-fikir mengapa perkara ini boleh terjadi. Bukan sahaja kepada doktor-doktor, bahkan dalam bidang – bidang lain juga.

Sepatutnya sebagai seorang muslim yang mempercayai adanya kehidupan selepas mati, kita sepatutnya lebih agresif dan proaktif berbanding penganut agama-agama lain.

Tulisan Ustaz Pahrol Mohd Juoi yang bertajuk merancang mati untuk hidup kembali bergentayangan di ingatan.

Orang yang benar-benar ingat mati akan hidup bersungguh-sungguhdi atas muka bumi ini.
Tidak hairanlah andai Nabi bersabda orang yang paling bijak adalah orang yang paling banyak mengingati mati dan paling bersedia untuk menghadapinya.
Macam mana dengan saya kelak?

Be Somebody
“berapa gaji doktor ibu?” tanya adik saya Saiful Azim.
“Tengoklah dia doktor yang macam mana. Kalau pakar lag itinggi gajinya,” balas ibu.

Selepas itu, bermula sesi ceramah dan kaunseling untuk adik saya yang sedikit anti dan elergi belajar ini.

“Be somebody!” ujar ayah saya pada adik saya ini.

“Kamu kena menjadi seseorang. Misalnya doktor ka, engineer ka,” sambung ayah.
“jadi ustaz pun boleh!” sampuk ibu pula.

Adik saya hanya tersengih.

Bila ayah sebut tentang be somebody ini, saya terfikir, menjadi seorang doktor, gah menyarung kot putih dan duduk di bilik berhawa dingin masih belum sepenuhnya menyahut seruan be somebody ayah ini.

Pada saya doktor –doktor yang benar-benar memenuhi criteria be somebody adalah seperti Dr Abdul Aziz Rantisi, pembawa obor jihad di Palestin, atau sekurang-kurangnya menjadi seperti Ernesto Guevara de la Serna yang biasanya dikenali sebagai Che Guevara atau el Che.

Teringat satu kisah yang saya baca dalam buku Cinta Di Langit Gaza oleh Ustaz Riduan Mohamad Nor. Seorang remaja lelaki memakai baju dengan wajahh Che Guevara ini menghiasi muka depan t-shirtnya.

“Gambar siapa itu?”

“Arits rock, ustaz!” jawabnya.

Kata Ustaz Riduan, inilah natijahnya apabila remaja kita hari ini dibelenggu budaya malas mengkaji. Terasa benar saya dengan pernyataan ustaz ini.
Saya pernah mendengar abang Amir menyebut tentangtokoh ini beberapa bulan lalu dan hanya tergerak hati untuk bertanya pada Ustaz Google selepas disindir secara tidak langsung oleh Ustaz Riduan dalam bukunya itu.

Saya muatkan sedikit tentang latar belakang doktor dari Argentina ini. diambil dari wikipedia.

Sebagai seorang pemuda yang sedang belajar perubatan, pengembaraan Guevara ke seluruh Amerika Latin menolong beliau memahami secara langsung kemiskinan yang melanda kebanyakan rakyat. Menerusi pengalaman ini, beliau menjadi semakin yakin bahawa hanya pemberontakan dapat menjadi penawar kepada ketidakseimbangan ekonomi di kawasan-kawasan yang berkenaan dan oleh itu, membawa beliau untuk mempelajari Marxisme dan terlibat dalam revolusi sosial Guatemala di bawah Presiden Jacobo Arbenz Guzmán.

Tidak lama kemudian, Guevara menjadi ahli separa tentera Fidel Castro yang merampas kuasa di Cuba pada tahun 1959. Selepas memegang pelbagai jawatan kementerian yang penting dalam kerajaan baru, termasuklah sebagai ketua penjara politik Castro, dan selepas menulis beberapa rencana dan buku mengenai teori dan amalan perang gerila, Guevara meninggalkan Cuba pada tahun 1965. Beliau berhasrat membangkitkan revolusi di Congo-Kinshasa (kemudian dinamai Republik Demokratik Congo) dan kemudian di Bolivia. Di Bolivia, beliau ditangkap dalam satu operasi ketenteraan terancang Agensi Perisikan Pusat . Guevara dihukum mati terus oleh Tentera Bolivia di La Higuera berhampiran Vallegrande pada 9 Oktober 1967 ketika berumur 39 tahun.

Selepas kematiannya, Guevara menjadi ikon pergerakan pemberontakan sosialis di seluruh dunia. Gambarnya oleh Alberto Korda (di atas) telah disebar luas. Kolej Seni Institut Maryland menggelar gambar ini sebagai "gambar foto termasyhur di dunia dan simbol abad ke-20"
The most important is we must be somebody that alway fight for Mardhotillah! That’s the most precious to be somebody! (Eh betul ke ni? Hihi)

Belajar Menghargai
Aksara yang memiliki dua patah perkataan ini nampak mudah disebut tapi berat benar hendak diucapkan. Benarlah apabila Allah menegaskan dengan banyaknya dalam ayat-ayat Al-Quran bahawa manusia ini sedikit benar yang bersyukur.
Sabda Nabi yang diriwayatkan oleh Ahad dan at-Tirmizi yang bermaksud “Barangsiapa yang tidak berterima kasih kepada manusia, dia tidak mensyukuri Allah” segera mengetuk hati saya menggerakkan dua ulas bibir ini agar lebih kerap mengucapkan aksara keramat itu. Apa lagi kalau bukan “TERIMA KASIH”

“Terima kasih ibu teman Kak pergi Perlis tadi,” ucap saya pada ibu ketika kami tiba di rumah dari Perlis.
Saya sedang belajar mengucapkan terima kasih atas setiap kebaikan orang terhadap saya.
For be somebody, first and foremost we must learn how to say thank you!
Right?

Mengembara dan Memerhati
Hobi ini baru saya perolehi apabila saya giat menulis. Padanlah Allah menyarankan hamba-hambaNya mengembara ke seluruh pelosok dunia dan memerhati alam sebagai tanda kebesarannya.

Perjalanan sesingkat ke Perlis itu pun sedemikian banyak menyimpan ibrah untuk saya kutip. Syukur Alhamdulillah.
Semoga ibrah –ibrah ini tidak sekadar menjadi kenangan yang indah untuk dikenang tetapi diambil dan diadunkan sesuai dengan kehidupan seharian.
Insya-Allah…