Friday, August 20, 2010

Sebelum Berkalang Tanah : BAB 11

Bismillahirrahmanirrahim...

Kenangan…

Dengan bantuan suluhan cahaya bulan, kedua-dua beranak itu berjalan beriringan meredah kegelapan malam menuju ke masjid.

“Awal ayah bangun hari ini,” tegur Hamsyari. Biasanya Pak Cik Abdullah keluar ke Masjid ketika azan berkumandang. Hamsyari akan keluar setengah jam lebih awal. Usai solat malam, dia akan terus ke masjid. Dia suka benar mengaji al-Quran di masjid pada waktu itu. tenang katanya. Bukan tidak boleh mengaji di rumah tetapi ada bezanya.

“Sengaja ayah keluar awal. Boleh intai apa anak teruna ayah buat di masjid awal-awal waktu begini,” seloroh Pak Cik Abdullah.

Hamsyari ketawa kecil. Saling bertingkah dengan bunyi kokokan ayam di dalam reban. Dia membetulkan letak duduk kopiah putih di atas kepalanya. Sesekali dia tergigil apabila disapa oleh semilir Subuh yang menyucuk sehingga ke tulang sum sum.

Mereka berjalan meniti sebuah jambatan kecil. Di bawahnya, air jernih mengalir tenang ke muara. Sayup-sayuo kelihatan menara masjid bermandi cahaya.

“Ri, kamu hendak pulang ke Pattani, bukan?” soal Pak Cik Abdullah. Diam meandang sekilas kea rah Hamsyari sebelum tunduk menekur tanah.

Hamsyari menyeluruhi wajah ayahnya. Cepat benar berita itu sampai di telinga ayahnya. Rasa baru semalam dia khabarkan pada emaknya.

“Ya, ayah,” jawab Hamsyari sedikit ragu-ragu.

“Tapi…,” Hamsyari tidak jadi menyambung butir bicaranya.

“Tapi mek kamu tidak izinkan,” sambung Pak Cik Abdullah. Hamsyari, mengangkat wajah dan mengelus wajah Pak Cik Abdullah dengan mata redup.

Kedengaran Pak Cik Abdullah menghela nafas.

“Tak mengapalah, ayah. Mungkin pulang ke sana bukannya satu-satu jalan yang ada untuk membela nasib bangsa kita,” ujar Hamsyari. Semalam dia tidak dapat tidur, memikirkan hal yang satu ini.

“Kamu tahu mengapa nama kamu Hamsyari?” Pak Cik Abdullah mengubah haluan layar perbualan. Dia menatap dada langit yang masih diselubungi kegelapan. Bintang-bintang bertaburan seakan-akan membentuk satu aksara yang hanya difahami oleh Penciptanya. Bebola mata Pak Cik Abdullah bergulir mencari-cari tampang rembulan .

Sambil tersenyum Hamsyari menggeleng-gelengkan kepala.

“Saya cuma tahu maksudnya, anak jati watan,” ulas Hamsyari.

Jarang-jarang dia dapat peluang berbual dengan ayahnya seperti itu. Pak Cik Abdullah seorang yang pendiam. Sukar ditebak apa yang bergulat di dalam hatinya. Apa-apa hal, Hamsyari lebih banyak berkongsi dengan Mak Cik Fatimah berbanding ayahnya.

Pak Cik Abdullah tersengih menampakkan barisan gigi yang sudah tidak berapa ada di dalam mulut. Dia menepuk-nepuk bahu Hamsyari sebelum meletakkan kedua-dua belah tangannya di belakang punggung.

“Ayah yang berikan nama itu pada kamu, Ri,” maklum Pak CIk Abdullah. Dia tersenyum sendiri sambil memutarkan balik pita ingatan saat Hamsyari menapak di dunia dulu.

“ Ketika meninggalkan rumah kita, hati ayah ini sedih tak terkata. Hanya Allah yang tahu. Kalau ikutkan perasaan tak mahu ayah tinggalkan Patani. Biarlah hidup mati ayah di situ,” ujar Pak Cik Abdullah.

“ Ketika kamu lahir, ayah sedang diburu pihak tentera kerana disyaki terlibat dengan gerakan puak pemisah. Ayah tak ada pilihan. Jadi ayah bawa kamu dan emak kamu berpindah ke Malaysia . Sedang taat setia dan rindu dendam ayah pada tanah air kita tidak berkurang .Walau sekelumit,.” Pak Cik Abdullah dia sejeda menelan air liur. Seekor nyamuk berlegar-legar di telinganya. Berdegung bunyi sayap nyamuk itu menusuk indera dengar. Pak Cik Abdullah menggawang-gawangkan tangan menghalau makhluk Allah yang satu itu.

“Ayah namakan kamu Hamsyari. Pertamanya, agar apabila kamu dewasa kamu tetap tidak akan lupa tanah tumpah air kamu walau kamu tidak membesar di sana. Keduanya, kelak kamu dan anak cucu ayah dapat menyumbang bakti paa tanah air kita walau di mana kita berada kerana dari situlah nenek moyang kita berasal. Kamulah sandaran dan harapan ayah untuk mengembalikan keamanan dan kedamaian yang pernah menjadi milik kita dulu,” lanjut Pak Cik Abdullah. Nadanya sedikit bergetar.

“Dan ayah rasa harapan ayah itu sedang dikabulkan oleh Allah,” lanjut Pak Cik Abdullah. Dia menyapu pipinya. Air mata yang ditahan tumpah jua akhirnya.

“Ayah…,” lirih Hamsyari. Dia berhenti melangkah. Pak Cik Abdullah turut berhenti. Hamsyari mendakap tubuh ayahnya. Kejap. Pak Cik Abdullah membalas pelukan Hamsyari. Ketika itu mereka sudah hampir benar dengan pintu masjid.

“Pergilah, Ri. Ayah redha kamu pergi,” izin Pak Cik Abdullah dalam pelukan yang masih tidak mahu dilepaskan oleh Hamsyari.

“Terima kasih, ayah terima kasih!” ucap Hamsyari.

“Cuma nasihat ayah, jangan kamu pergi tanpa membawa bersama redha mek kamu. Pujuklah dia. Insya-Allah, hatinya akan lembut. Ayah percaya,” ujar Pak Cik Abdullah.

Dari menara masjid, kedengaran azan Subuh dilaungkan.

Mak Cik Fatimah terjaga. Gelap. Segera dia menoleh ke sisi. Tiada. Suaminya tiada di sebelah. Dengan mata terpisat-pisat, Mak Cik Fatimah bangun meraba-raba suis lampu dan memetiknya. Sebaik sahaja cahaya lampu kalimantang menerangi ruang bilik, Mak Cik Fatimah cepat-cepat mengelih jam di dinding. 6.15 pagi.

“Ah, lewat lagi aku bangun hari ini!” rungut Mak Cik Fatimah sendirian. Biasanya dia kan bangun sebelum suaminya terjaga. Dialah yang akan mengejutkan Pak Cik Abdullah untuk bersiap-saiap ke masjid.

Namun, pagi itu dia terlewat dan Pak Cik Abdullah terjaga dahulu sebelumnya. Mak Cik Fatimah mengutuk diri sendiri. Dia berlalu ke bilik air, berwudhuk dan menunaikan solat Subuh.
Usai solat Subuh, dia berzikir dan berdoa. Hatinya tiba-tiba tergerak untuk melihat Hamsyari di biliknya. Segera dia bangun , keluar dari bilik menuju ke kamar anak terunanya.

Pintu tertutup rapat. Mak Cik Fatimah memulas tombol dan menolak daun pintu. Gelap. Tiada bunyi desiran kipas pun. Entah mengapa dada Mak Cik Fatimah bergetar hebat.

“Ri…,” lirih Mak Cik Fatimah.

“Ri tak akan tinggalkan mak, bukan?” Mak Cik Fatimah bermonolog sendirian. Dia tersandar pada dinding dengan bibir bergetar.

“Buat apa kamu hendak balik ke sana lagi? Apa lagi yang tidak cukup dengan kehidupan kita di sini?” Mak Cik Fatimah mencerlung tajam wajah Hamsyari yang duduk bertentangan dengannya.

Ketika itu mereka sedang duduk bersantai menikmati angin petang di bawah pokok mangga. Sebuah pangkin kecil yang boleh memuatkan lebih kurang lima orang sekali duduk dibina dari kayu. Hamsyari berdua sahaja dengan Mak Cik Fatimah.

“Bukan itu masalahnya sekarang, mek,” balas Hamsyari. Dia meletakkan semula cawan berisi teh panas di atas meja kecil di hadapannya. Dia kemudian mengubah sila. Goreng pisang di dalam pinggan dicapainya dan dikunyah.

“Habis itu kenapa kamu hendak balik ke sana? Kita sudah hidup senang di sini, Ri. Makan pakai semua cukup. Bahkan kita selamat dan aman di sini. Kedai tom yam kita pun semakin maju sekarang. Kamu juga sudah Berjaya beroleh segulung ijazah. Sudah mampu berkerjaya dan membina hidup sendiri!” leter Mak Cik Fatimah lagi.

Hamsyari bingkas bangun menyarung selipar dan berdiri berhampiran batang pokok mangga sambil melepaskan pandangan ke sawah padi yang mula menguning. Beberapa ekor burung kelihatan melayah rendah. Entah apa yang diintainya dicelah –celah padi.

“Ri tahu itu, mek. Memang kita sudah punya segala-galanya di sini, mek. Bahkan Ri sendiri membesar di sini. Negeri ini sudah menjadi seperti tanah tumpah Ri sendiri. Namun mek kita tetap orang asing di sini. Kita tetap pendatang, mek. Lbukan kita tak ada tanah air sendiri,” lirih Hamsyari.

“Pendatangkah, penumpangkah semua itu tidak penting, Ri. Yang penting sekarang kita sekeluarga selamat di sini. Ya, mek tahu, kita ada tanah air sendiri tapi cuba kamu buka mata kamu. Lihat apa yang berlaku di rumah kita sekarang? Saban hari ada sahaja bangsa kita yang mati dibunuh, ditembak, didera. Anak gadis diperkosa. Harta benda dirampas. Hidup dalam ketakutan dan kebimbangan. Buat apa lagi kita kembali ke bumi yang tidak aman itu? Buat menempah maut saja!” suara Mak Cik Fatimah semakin meninggi.

“Habis itu, mek senang hatikah duduk goyang kaki di sini, makan enak, tidur sedap sedang saudara mara kita di sana berhempas pulas, bermandi darah dan keringat mempertahankan tanah air kita. Mek tak rasa apa-apakah apabila lihat penjajah buat sewenang-wenangnya di rumah kita itu. Kalau mek sanggup, Ri tak sanggup,” tegas Hamsyari sambil menggeleng-geleng kepala kecil.

“Apa daya kita, Ri? Kita tak mampu untuk berbuat apa-apa! Kita tak akan mampu nak lawan orang Siam! Mereka punya segala kekuatan sedang bangsa kita ada apa!” luah Mak Cik Fatimah.

“Kita tidak lemah sebenarnya, mek! Kita tak lemah kerana kita ada Allah! Sejarah juga telah membuktikan dahulu kita pernah gemilang dan maju!” balas Hamsyari penuh bersemangat.

Dia melepaskan keluhan berat. Dia mengurut-urut dadanya yang kian diamuk resah.

Mak Cik Fatimah melabuhkan punggung di atas sofa di ruang tamu. Pintu rumah dibuka luas-luas. Sengaja dia pilih sofa yang menghadap pintu. Sambil tasbih berputar di jari jemarinya, matanya tidak lepas-lepas memandang keluar.

Ketika cahaya matahari mula bersatu dengan alam, sayup-sayup kelihatan kelibat Pak Cik Abdullah yang segak berbaju melayu hijau pucuk pisang dan berkopiah putih melangkah ke perkarangan rumah. Dia bersendirian.Tanpa menunggu lebih lama lagi, Mak Cik Fatimah menerpa ke arah suaminya sambil kepalanya tertinjau-tinjau batang tubuh Hamsyari.

“Mana Ri, abang? Bukankah dia pergi masjid dengan abang? Kenapaa abang seorang sahaja yang balik ini?” bertubi-tubi soalan diajukan oleh Mak Cik Fatimah.

Pak Cik Abdullah memandang sekilas wajah Mak Cik Fatimah sebelum menapak ke dalam rumah.

“Abang dengar tidak apa yang saya tanya ini?” suara Mak Cik Fatimah sedikit meninggi. Dia membuntuti suaminya.

Pak Cik Abdullah menghenyak tubuh di atas sofa. Kopiah putihnya ditanggalkan dan diletakkan di atas meja di hadapannya.

“Biarlah dia pergi, Mah,” ujar Pak Cik Abdullah antara dengar dan tidak.

“A…apa maksud abang?”tanya Mak Cik Fatimah dengan mata terbuntang.

Pak Cik Abdullah mengeluh.

“Kita tak dapat berada di san bersama-sama saudara seagama, sebangsa dengan kita. Jadi biarlah Hamsyari pulang sebagai wakil kita,” pujuk Pak Cik Abdullah lagi.

Mak Cik Fatimah menggeleng-gelengkan kepala.

“Tak, abang.! Tak!” tegas Mak Cik Fatimah.

“Mana Ri, abang! Mana Ri?” desak Mak Cik Fatimah. Tubir matanya mula bergenang air.
Pak Cik Abdullah bingkas bangun. meninggalkan Mak Cik Fatimah melayan perasaannya sendiri.

Hamsyari menarik nafas dalam-dalam dan menghembusnya perlahan. Dia memejamkan matanya sambil menikmati kesegaran udara pagi. Matahari mula naik sepenggalah tinggi di dada langit. dia tersenyum pada matahari. Pagi benar-benar ceria.

Hamsyari kembali masuk semula ke dalam restoran meluru terus ke dapur. Dia tercari-cari susu kambing yang masih berbaki di dalam peti sejuk. Sebuah botol sebesar botol mineral dikeluarkan. Kemudian dia mengambil sebuah kelas dan susu kambing tadi dituang di dalam gelas. Dia melabuhkan punggung dan meneguk susu kambing tadi usai membaca basmallah.

Setelah cawan yang digunakannya tadi dibasuh, dia kembali ke ruang hadapan restoran. Dia mencapai sebatang penyapu dan mula membersihkan lantai. Lama benar rasanya dia tidak menumpahkan khidmat di restoran tom yam milik orang tuanya.

Selepas tamat tingkatan lima, Hamsyari melanjutkan pengajian di Kolej Matrikulasi Pahang. Kemudian dia menyambung pengajian dalam bidang undang-undang di UIAM. Sebelum sempat konvokesyen lagi, dia sudah mendapat tawaran berkerja di sebuah firma guaman di ibu kota. Lebih kurang dua tahun bertugas, dia pulang ke kampung halaman di Baling. Pulang membawa satu impian dan cita-cita. Dan kerana impian serta cita-cita itu, dia meletak jawatan sebagai peguam. Walhal ketika itu dia baru ditawarkan untuk menyambung master oleh majikannya di United Kingdom.

Hamsyari menghela nafas. Dia menyapu habuk-habuk yang di bawah meja. Sesekali dia batuk kecil apabila habuk berterbangan hinggap pada indera hidunya. Sedang dia terbongkok –bongkok menyapu telinganya menangkap bunyi derap kaki.

“Ri!” panggil Mak Cik Fatimah. Hamsyari mengangkat wajah dan menyeluruhi wajah bujur telur Mak Cik Fatimah.

“Ya, mek,” sahut Hamsyari. Dia kembali berdiri tegak.

Mak Cik Fatimah segera berlari-lari anak mendapatkan Hasmyari. Tidak semena-mena, Mak Cik Fatimah memeluk Hamsyari, Diciumnya pipi Hamsyari.

Hamsyari kaget.

“Kenapa ini, Mek?” tanya Hamsyari kebingung-bingungan. Penyapu yang dipegangnya di sandarkan pada meja makan berhampir. Pagi itu, sengaja dia datang awal ke restoran, sepatutnya restoran bukan pukul 3 petang. Tetapi usai solat duha, Hamsyari berjalan kakidatang ke restoran berkenaan yang terletak lebih kurang 10 minit perjalanan dari masjid.

“Ri, mek ingat kamu sudah pergi meninggalkan mek!” ujar Mak Cik Fatimah.

“Mek tanya pada ayah kamu sama ada dia nampak kamu atau tidak, tetapi dia tak jawab pertanyaan mek. Sakit betul hati mek. Dia boleh buat bodoh saja bila anak dia hilang!” luah Mak Cik Fatimah lagi. Dia menanti suaminya pulang dari masjid. Sebaik sahaja tampang tubuh Pak Cik Abdullah kelihatan, Mak Cik Fatimah terus menerpa mendapatkan suaminya. Apabila ditanya tentang Hamsyari, Pak Cik Abdullah tidak menjawab dan berlalu begitu sahaja.

Hamsyari menyungging senyum. Mak Cik Fatimah mengusap wajah Hamsyari.

“Saya pergi masjid dengan ayah pagi tadi. selepas solat Subuh saya tak pulang dulu sebaliknya duduk sekejap di masjid. Cari ketenangan,” ujar Hamsyari cuba meredakan kegalauan di hati Mak Cik Fatimah.

Kalau ikutkan hati memang Hamsyari hendak berpindah saat juga ke Selatan Thailand. Namun, dia tahu Mak Cik Fatimah tidak sekuat al-khansa.

Ingatannya kembali melayang kembali di era 14 Hijrah, ketika mana Khalifah Umar Ibnul Khattab menyediakan satu pasukan tempur untuk menentang Farsi. Semua umat Islam dari berbagai kabilah telah dikerahkan untuk menuju ke medan perang, maka terkumpullah seramai 41,000 orang tentera. Khansa telah mengerahkan keempat-empat puteranya agar ikut mengangkat senjata dalam perang suci itu. Khansa sendiri juga ikut ke medan perang dalam kumpulan pasukan wanita yang bertugas merawat dan menaikkan semangat pejuang tentera Islam.

Dia juga seakan-akan terdengar laungan Al-Khansa bin Amru, ummu syuhada kepada keempat-empat anaknya saat mereka bakal berangkat ke medan Qadisiyyah tersebut.

“Wahai anak-anakku! Kamu telah memilih Islam dengan rela hati. Kemudian kamu
berhijrah dengan suka rela pula. Demi Allah, yang tiada Tuhan selain Dia, sesungguhnya kamu sekalian adalah putera-putera dari seorang lelaki dan seorang wanita. Aku tidak pernah mengkhianati ayahmu, aku tidak pernah memburuk-burukkan saudara maramu, aku tidak pernah merendahkan keturunan kamu, dan aku tidak pernah mengubah perhubungan kamu. Kamu telah tahu tentang pahala yang disediakan oleh Allah kepada kaum muslimin dalam memerangi kaum kafir itu. Ketahuilah bahawasanya kampung yang kekal itu lebih baik daripada kampung yang binasa.”

Ternyata yang beruntung menemui syahid di medan Qadisiyyah itu berjumlah lebih kurang 7,000 orang dan dalam kalangan 7,000 orang syuhada itu terbaring tenang keempat –empat orang anak al- Khansa.

Air mata membasahi pipi al-Khansa.

Orang berkata, “Khansa kesedihan kerana kehilangan semua anaknya.”

Lalu dijawab oleh Al-Khansa “Diamlah kalian, sesungguhnya aku bersedih kerna aku tidak punya anak lagi untuk dihantar berjihad di jalan ALLAH”

Kebetulan pagi tadi, dalam kuliah Subuh, penceramah membincangkan tentang kewajipan meminta izin ibubapa sekalipun dalam urusan agama. Seolah-olah itu adalah teguran Allah buatnya.

Kisah yang disampaikan oleh penceramah itu terus bergentayangan dalam fikirannya.

Bahawa Abu Sa‘id al-Khudri pernah berkata: Sesungguhnya seorang lelaki dari Yaman telah berhijrah kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam (untuk berjihad) lalu baginda bertanya: “Adakah kamu mempunyai seseorang di Yaman?”

Dia menjawab: “Ibubapa aku.”

Rasulullah bertanya: “Adakah mereka memberi izin kepada engkau?”
Dia menjawab: “Tidak.”

Rasulullah bersabda: “Kembalilah kepada mereka berdua dan mintalah izin dari mereka berdua.

Jika mereka mengizinkan engkau maka berjihadlah akan tetapi (jika tidak)
maka berbuat baiklah kepada mereka berdua”

“Ri, kamu benar-benar mahu pulang ke sanakah, nak?”

“Menurut al-Syaukani, dalam hadis tentang pemuda Yaman itu, terdapat petunjuk bahawa berbuat baik kepada ibubapa adalah lebih utama daripada berjihad. Manakala dalam sabda Rasulullah SAW ,Jika mereka mengizinkan engkau maka berjihadlah terkandung dalil bahawa wajib hukumnya meminta izin ibubapa di dalam urusan berjihad dan yang sedemikian adalah pendapat jumhur ulama’.

Dan mereka memutuskan dengan keharaman berjihad jika kedua-duanya atau salah seorang daripada mereka menegah anak mereka daripada berjihad kerana sesungguhnya berbuat baik kepada ibubapa adalah fardhu ‘ain manakala jihad adalah fardhu kifayah. Akan tetapi apabila hukum jihad jatuh fardhu ‘ain maka tidak perlu meminta izin daripada mereka berdua.” Syarah penceramah jemputan itu bersimpongan kembali.

Hamsyari menghela nafas. Di bersandar pada meja makan sambil merenung wajah emaknya.

“Bagaimana saya dapat pergi sedang redha mek tidak saya bawa bersama,” lirih Hamsyari. Tubir mataMak Cik Fatimah berkaca-kaca.

“Ri…,” lirih Mak Cik Fatimah. Hamsyari sedikit tersentak. Dalam tak sedar air matanya luruh menimpa pipi.

“Ya, mek,” sahut Hamsyari.Dia berjalan dua tiga langkah ke hadapan, menarik sebuah kerusi dan melabuhkan punggung sambil berusaha menyembunyikan tangisan. Mak Cik Fatimah merapatinya dan melabuhkan punggung di ats kerusi bersebelahan dengan Hamsyari sambil matanya tidak lepas-lepas mengelus wajah anak muda itu.

“Mek, sekalipun keluar berjihad di jalan Allah adalah satu amalan yang amat penting kepada agama dan umat, lagi besar ganjaran kepada yang melakukannya, ia tetap tidak mengungguli amalan berbuat baik kepada ibubapa. Ri kena dapatkan restu daripada mek sekalipun tujuan Ri ini adalah tujuan agama dan jihad,” balas Hamsyari.

“Firman Allah dalam surah Lukman ayat yang antara lainnya bermaksud, Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibubapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan yakni dari awal mengandung hingga akhir menyusunya, dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; dengan yang demikian bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibubapamu; dan ingatlah, kepada Aku-lah jua tempat kembali untuk menerima balasan.” Hamsyari membacakan ayat dari surah Lukman yang memang dihafalnya sejak sekolah menengah lagi.

“Susah payah mek mengandungkan Ri, menyusukan Ri, menjagasakit deman Ri dengan penuh kasih sayang tak akan Ri lupakan. Bahkan tak mungkin terbalas oleh Ri biar mati hidup semula sekali pun. Kejamlah Ri sebagai anak andai membelakangkan mek dalam membuat sesuatu keputusan. Mek adalah permata hati Ri. Maafkan Ri berkasar dengan mek petang tempoh hari. Mungkin Ri terlalu bersemangat,mek,” pinta Hamsyari. Dia menarik tangan Mak Cik Fatimah dan mengucupnya. Mak Cik Fatimah mengusap-usap kepala Hamsyari.

“Kamu memang anak yang baik, Ri. Mek bertuah ada anak seperti kamu,” akui Mak Cik Fatimah.

“Dan Ri juga bertuah sebab ada ibu macam mek. Biarlah Ri di sini sahaja berbakti dan menggembirakan hati permata-permata Ri, ” balas Hamsyari.

“Habis sekarang ini kamu mahu buat apa? Kamu sudah berhenti daripada jadi peguam di firma guaman Kuala Lumpur itu bukan?” soal Mak Cik Fatimah.

“Tak mengapa. Ri boleh tolong mek di restoran ini. Nanti Ri fikir semula sama ada hendak jadi peguam atau jadi tukang masak,” seloroh Hamsyari.

“ Nak jadi tukang masak konon. Kamu itu bukannya pandai masak!” tukas Mak Cik Fatimah. Senyuman mula terhias di wajahnya.

“Kalau begitu Ri jadi tukang sapu sajalah di restoran ini. Tidak pun jadi tukang rasa dan tukang makan. Macam mana? Boleh?” gurau Hamsyari lagi.

Mak Cik Fatimah ketawa kecil. Dia mencubit pipi Hamsyari.

“Ri nak sambung menyapu, mek.,” ujar Hamsyari. Dia bingkas bangun.

“Biarlah. nanti mek buat,” sanggah Mak Cik Fatimah. Dia menahan Hamsyari dari bangun.

“Mana boleh begitu. Tak baik buat kerja separuh jalan bukan? Mek juga yang cakap pada Ri begitu selalu. Lagipun bolehlah Ri bersenam sikit. sudah lama rasanya Ri tak bersenam. Badan pun dah naik ini! ” tukas Hamsyari sambil menjungkit kening. Dia kemudian mencapai penyapu dan berkira-kira hendak mula menyapu lantai.

Mak Cik Fatimah memerhatikan Hamsyari dengan pandangan penuh kasih sayang. Dadanya tiba-tiba sebak. Mulutnya bergetar. Dia ingin mengucapkan sesuatu tetapi suaranya tidak keluar. Sedang bibirnya bergerak-gerak. Mak Cik Fatimah menarik nafas dan menghembusnya perlahan-lahan.

“Ri…,” panggil Mak Cik Fatimah. Hamsyari memanggungkan kepala. Dia menatap wajah Mak Cik Fatimah dengan kening terjungkit.

“ pergilah, Ri. Pergilah. Mak redha kamu pergi,” lirih Mak Cik Fatimah antara dengar dan tidak.

Saat itu terlepas penyapu dari genggaman Hamsyari.

3 comments:

jihadnonstop said...

bab2 sblm ni kt mane?

qamar_muneera said...

Bab sebelum ni memang tak post pun..hihi. kalu nak baca kena tunggu novelnya publish...=)

jihadnonstop said...

oh...ok2