Ujian dan dugaan merupakan kayu ukur Allah untuk menguji siapakah yang paling baik amalannya di kalangan hamba-hamba-Nya. Ujian boleh datang dalam pelbagai bentuk samada kesakitan, kematian orang tersayang, kehilangan harta benda, kegagalan dalam kerjaya dan sebagainya. Kesenangan, kemewahan, kedudukan dan kebahagiaan juga merupakan ujian dari-Nya. Sebagai hamba Allah yang lemah saya tak terlepas dari ujiannya. Akademik yang kurang memberangsangkan menjadi ujian tuhan untuk saya. Sejak meninggalkan alam persekolahan, kecemerlangan dalam pelajaran turut terkubur saya rasakan. Bermula sejak dari sekolah rendah sehingga di sekolah menengah saya adalah antara bintang-bintang yang bergemerlapan dalam kecemerlangan akademik (chee wah… perasan!). Tapi kini saya bukan antara bintang-bintang itu lagi. Sedih tak dapat dinafikan.Rasa telah banyak usaha dicurahkan. Kecewa menyelubungi diri. Membaca kisah Nabi Ayyub A.S membuat saya merenung kembali membandingkan antara diri ini dan Nabi Allah itu. Sungguh Nabi Ayyub seorang yang tabah. Justeru, dalam entri ini saya nak kongsi kisah Nabi Ayyub ni.
Nabi Ayyub seorang yang kaya raya. Beliau mempunyai banyak haiwan ternakan, ladang, kebun serta hamba sahaya.Kata iblis, Nabi Ayyub sokmo beribadah, bertasbih dan melakukan amal soleh kerana beliau tidak mahu Allah menarik balik nikmat kurniaan Allah yang sekian banyak kepadanya. Lalu Allah mengizinkan Nabi Ayyub diuji untuk membuktikan besarnya keikhlasan Ayyub. Daripada seorang jutawan Nabi Ayyub jatuh miskin. Haiwan ternakannya mati manakala ladang-ladang dan kebun-kebun musnah. Nabi Ayyub berkata kepada Iblis yang ketika menyamar sebagai orang tua untuk mempengaruhinya meninggalkan ketaatan kepada Allah “ketahuilah setiap harta yang aku miliki ini adalah kepunyaan Allah. Oleh itu tidak salah kiranya Dia mahu mengambil kembali hak-Nya setelah cukup aku menikmatinya selama ini. Segala puji bagi tuhan yang telah mengurniakan harta ini kepadaku dan mengambilnya semula pada hari ini.” tambahnya lagi " Dialah yang maha kuasa memberi kekayaan dan mengambil semula daripada sesiapa yang Dia suka. Kami sebagai hamba-hambanya yang lemah perlu menerima qadak dan qadar ini walaupun kadang-kadang kami belum mengerti apa hikmah yang tersirat di sebalik ujian itu."
Tidak puas dengan itu, iblis memfitnah lagi Nabi Ayyub dengan mengatakan dia masih bertahan kerana mempunyai anak-anak yang menyokongnya. Lalu iblis meminta Allah mencabut nyawa anak-anak Nabi Ayyub. Allah membenarkan iblis merobohkan tempat tinggal anak-anak Nabi Ayyub sehingga menyebabkan mereka mati semuanya. Maka, sedihlah Nabi Ayyub mendengar perkhabaran itu. Namun dengan tenang dia berkata “ dari Allah kita dating dan kepadanyalah kita kembali. Segala puji buat Allah Yang Menghidupkan dan Mematikan.”
Alangkah kecewanya iblis dengan kegagalannya mengugat iman Nabi Ayyub. Tanpa berputus asa iblis meminta kepada Allah untuk menggannggu kesihatan Nabi Ayyub agar dengannya Nabi Ayyub tak dapat lagi beribadah kepada Allah. Lalu Nabi Ayyub ditimpa penyakit kulit yang berjangkit di samping demam dan batuk yang melarat. Semakin hari beliau semakin kurus dan tidak bermaya tetapi Nabi Ayyub tidak meninggalkan rutin ibadahnya bahkan semakin kuat beliau beribadah. Isterinya setia menemaninya dan mengubati penyakitnya sedangkan orang lain menjauhkan diri dari Nabi Ayyub takut-takut dijangkiti penyakit yang dihidapinya.
Iblis gagal lagi. Namun tanpa mengenal putus asa iblis menyamar pula menjadi manusia dan datang bertemu dengan isteri Nabi Ayyub. Iblis cuba neggunakan formula yang diaplikasikan ketika berjaya menendang nabi Adam dan Hawa dari syurga sebelum ini. Dia menghasut isteri Nabi Ayyub agar meminta Nabi Ayyub berdoa kepada Allah dikembalikan semula segala kesenangan, anak-pinak dan kebahagiaan yang pernah mereka kecapi dulu.
Berkata Nabi Ayyub “ Wahai isteri yang kusayangi, engkau mengharapkan kebahagiaan masa lalu, engkau menangisi kematian anak-anak kita, engkau minta dilepaskan dari kesusahan ini. Ingin aku bertanya kepadamu, berapa lama kita menikmati segala kemewahan dulu?”
“80 tahun” jawab isterinya
“ dan berapa lama pulak kita hidup dalam penderitaan ini?”
“ tujuh tahun”
“ Aku malu untuk meminta lagi dari tuhanku sedangkan kemewahan yang pernah kunikmati lebih lama dari penderitaanku kini..”
Nabi Ayyub mengusir isterinya kerana bimbang imannya akan semakin pudar sekiranya terus berada di sisi Nabi Ayyub. Tinggallah beliau seorang diri bermunajat dan memohon rahmat dari Allah. Allah menerima doa Nabi Ayyub lalu meminta beliau menghentakkan kaki ke tanah. Terpancutlah air dari tempat hentakan kaki beliau yang akhirnya membantu menyembuhkan penyakit yang dihidapinya.Setelah beberapa lama isteri nabi Ayyub kembali mencarinya kerana tidak sanggup meniggalkan Nabi Ayyub seorang diri menanggung kesakitan. Apabila dia bertemu Nabi Ayyub didapatinya Nabi Ayyub lebih segak dan sihat dari dulu. Isteri Nabi Ayyub memohon maaf atas kesilapannya dulu dan kembali tinggal bersama Nabi Ayyub. Allah telah mengantikan segala harta benda, kemewahan dan anak-anak kepada Nabi Ayyub atas kesabaran dan ketabahannya.
Persoalannya adakah kita boleh menjadi setabah Nabi Ayyub? Bagaimanakah kita mendepani segala ujian Allah buat kita?
Fikir-fikirkanlah…
No comments:
Post a Comment