Dalam peperangan Uhud sebagai contoh. Dua anak muda yakni Samurah ibn Jundub dan Rafi’ ibn Khadij, tampil mengadap junjungan mulia, Nabi Muhammad SAW, untuk memohon keizinan baginda untuk turut serta dalam peperangan Uhud. Namun, dek kerana usia mereka yang baru sahaja mencecah llima belas tahun, Rasulullah menolak permintaan mereka. Dua anak muda ini tidak berputus asa. Rafi’ ibn Khadij datang sekali lagi bertemu baginda dan menegaskan kepada Rasulullah SAW bahawa dia handal dalam melontar lembing. Lantas Rasulullah SAW mengizinkan Rafi’ untuk turun ke medan Uhud. Mendengar berita itu, Samurah tidak duduk diam. Dia pula bergegas mengunjungi Rasulullah. Dia mengaku pernah mengalahkan Rafi’ ketika mereka lawan gusti. Lalu Samurah juga turut diizinkan untuk bersama-sama baginda berperang di medan uhud. Berada di medan perang bererti menyediakan diri untuk mati. Dalam suasana perang yang tidak seimbang di mana tentera muslimin hanyalah berjumlah sekitar 700 orang manakala tentera musyrikin lebih 3000 orang berserta kelengkapan senjata yang mencukupi, tidak dapat dibayangkan bertapa beraninya dua anak muda ini menyatakan hasrat untuk turut serta berperang. Hebat sekali anak muda yang lahir daripada madrasah tarbiyyah baginda!
Anak-anak muda merupakan satu kelompok manusia yang memiliki idealisme yang tinggi, kekuatan semangat, cita-cita serta keazaman. Mereka sentiasa bersemangat untuk mencuba perkara baru serta sanggup bermati-matian mempertahankan fikrah yang diimani. Apabila diajak berjuang, merekalah yang paling awal tampil malah berdiri di saff paling hadapan. Kita ambil contoh,revolusi Iran yang berlaku pada tahun 1979. Bumi Iran berkocak apabila kaum pelajar yang sudah pastinya terdiri daripada golongan muda bangun bersama-sama Ayatollah Ruhollah Khomeini menumbangkan kerajaan Shah Iran untuk mengubah kerajaan Iran daripada sistem pemerintahan monarki kepada sistem Republik Islam.
Namun, realiti anak muda hari ini amat kontra sekali dengan sejarah yang kita pernah baca atau dengar. Golongan muda remaja acapkali dikaitkan dengan dadah,kobobrokan gejala sosial dan jenayah-jenayah. Perangkaan yang dikeluarkan oleh Pejabat Polis Bukit Aman menunjukkan 6,838 kes jenayah termasuk jenayah kekerasan, harta benda terutama kes mencuri motosikal membabitkan remaja dilaporkan pada tahun 2006 berbanding 5,543 kes pada tahun 2005. 8,113 remaja berusia antara 16 dan 18 tahun ditahan sepanjang dua tahun lepas dan daripada jumlah itu 3,545 adalah pelajar berbanding 5,997 orang termasuk 2,889 pelajar pada tahun 2005.Ia turut melibatkan para pelajar seawal umur tujuh hingga 10 tahun. Majoriti mereka yang terlibat dengan kebejatan sosial ini adalah remaja melayu. Remaja melayu yang beragama islam inilah yang banyak hanyut dalam budaya hedonisme yang kian membarah dalam masyarakat. Mereka melihat sistem kehidupan berkiblatkan Barat itu sebagai cara hidup yang up-to-date dan terkehadapan.
Tentu sahaja senario ini sedikit sebanyak mengusarkan kita. Apatah lagi apabila mengenangkan kata-kata Saidina Ali Karamallahuwajhah ‘jika kamu ingin melihat masa depan sesebuah tamadun pada masa akan datang, maka lihatlah kepada anak mudanya hari ini”. Apakah ini satu alamat bangsa melayu yang beragama Islam akan mengemis di negaranya sendiri suatu hari nanti?
Sebelum perkara ini terjadi, ayuh bangkit anak muda yang dicampakkan dalam hatinya kesedaran agama. Sahabat-sahabat kita di luar sana dahagakan bimbingan dari kalian. Adakah kita masih tegar duduk mengulit buku pelajaran dua puluh empat jam sehari tanpa ambil cakna terhadap rakan sebilik yang lewat solat subuh atau tidak solat langsung? Cukupkah kita hanya baik dan soleh seorang diri dan membiarkan sahabat-sahabat sepengajian bergelumang dengan pelbagai dosa? Patutkah kita hanya membenci maksiat dengan hati sedang kita punya kemampuan lebih dari itu untuk mencegah mungkar? Harus kita ingat, kita hidup bermasyarakat. Kepincangan yang berlaku dalam masyarakat secara tidak langsung menjadi tanggungjawab kita untuk membetulkan keadaan. Justeru, mari kita sama-sama sahut seruan Allah taala dalam Surah Ali-Imran ayat 104 “hendaklah ada dalam kalangan kamu yang menyeru kepada kebaikan, mereka melaksanakan amal maaruf dan mencegah kemungkaran dan mereka itulah yang mendapat kejayaan.”
Akhirnya, memetik kata-kata wasiat Assyahid Sayyid Qutb kepada adiknya Aminah Qutb buat renungan bersama. “Apabila kita hidup hanya untuk kita, hidupnya amatlah singkat. Bermula daripada bermulanya kita dan berakhir dengan berakhirnya umur kita yang terbatas. Tetapi jika kita hidup kerana fikrah untuk menegakkan agama Allah, sesungguhnya hidupnya panjang dan mendalam. Bermula dengan bermulanya manusia, dan berakhir dengan pupusnya manusia di atas muka bumi ini.”
No comments:
Post a Comment