Monday, December 08, 2008

Filem dan Kontroversi

Beberapa ketika dulu, seorang sahabat menghantar mesej kepada saya menyatakan kegusarannya terhadap industry perfileman tanah air. Katanya, drama-drama kita tidak sudah-sudah menjaja persoalan cinta murahan, cinta tiga segi dan perebutan harta dan kuasa. Langsung tidak menjana budaya berfikir dalam kalangan masyarakat penonton. Saya hanya mampu mengiyakan.

Saya selak akhbar semalam, hati saya tertarik pada satu artikel tentang sebuah filem baru arahan Yasmin Ahmad iaitu Muallaf. Khabarnya filem terbaru pengarah kontroversi itu masih tersangkut di Lembaga Penapisan Filem (LPF) dan masih tidak dapat ditayangkan sehingga hari ini. Namun, filem ini mendapat sambutan hangat di Singapura pada hari pertama tayangan sehingga penonton terpaksa membuat tempahan awal bagi mengelak terlepas peluang menonton filem ini.


Tidak dinafikan, Yasmin mungkin cuba membawa tema persoalan berbeza daripada filem –filem lain. Filemnya sebelum ini memenangi filem terbaik Festival Filem Malaysia ke-19, yakni Gubra turut mengangkat tema yang sama. Yasmin cuba menunjukkan semua agama menyuruh melakukan kebaikan dan dalam erti kata lain dia cuba menyamaratakan semua agama. Namun ternyata tema itu bukan menyuburkan budaya berfikir tapi menimbulkan kekeliruan dan kekeruhan sentiviti umat Islam.

Dalam satu babak filem Muallaf ini, Brother Anthony iaitu seorang paderi memohon doa di gereja ketika Rohana diculik oleh pengawal bapanya. Sedar atau tidak babak ini seolah-olah mendokong pendapat John Hick, pelopor idea pluralisme di dunia barat. John Hick menyarankan supaya diperakukan kebenaran dalam semua agama dengan menggabungkannya menjadi satu agama baru yang dikenali sebagai pluralisme. Padanya, semua agama dapat menghantar penganutnya ke syurga dan semua agama menjamin keselamatan sejati kepada penganutnya.

Hakikatnya, Islam tidak pernah sama dengan mana-mana agama dan ini ditegaskan oleh Allah dalam Surah Al-Kafiruun.” Katakanlah (Muhammad) wahai orang-orang kafir. Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu bukan menyembah apa yang aku sembah . Aku tidak pernah menjadi pemyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak pernah menjadi penyembah apa yang aku sembah. Untukmu agamamu dan untukku agamaku.”.

Saya bukan seorang yang ahli dalam bidang perfileman. Namun, apa yang membuatkan saya terpanggil untuk memberi respon terhadap fIlem baru ini ialah kekeliruan yang bakal timbul apabila filem ini ditayangkan. Industri penyiaran merupakan medium terbesar penyebaran maklumat dunia masa kini. Manakala rancangan berbentuk hiburan seperti drama dan filem paling mendapat tempat dalam hati masyarakat. Boleh dikatakan setiap rumah sekurang-kurangnya punya satu peti televisyen. Justeru rancangan-rancangannya ditonton oleh pelbagai lapisan masyarakat tidak kira sama ada yang berlatar belakangkan pendidikan agama atau tidak.

Kelompok masyarakat beragama Islam namun realitinya masih tercari-cari apa erti merekamenganut Islam, sudah tentu terperangkap dalam pemikiran yang mengelirukan ini apabila mereka didedahkan dengan filem yang sedemikian rupa . Tambahan pula, berfikir dan mengkaji belum menjadi budaya masyarakat Malaysia ini. Sudah tentu tidak semua orang mampu mencerna dan menilai yang mana prinsip Islam yang sebenar dan yang mana tidak. Mereka menerima bulat-bulat apa yang ditonton dan menjadikannya sebagai hujah pegangan.
Impaknya, terjadilah lambakan kes murtad. Rasanya masih segar diingatan kita, kes murtad Azlina Jailani ataupun lebih dikenali sebagai Lina Joy. Begitu juga dakwaan Datuk Harussani Zakaria, Mufti Perak mengenai 100,000 orang Islam yang dilaporkan murtad.

Agama bukan suatu perkara remeh dan boleh ditafsirkan sesuka hati. Islam sendiri datang syariat dan ketetapan-ketetapan tertentu. Umpama seorang peguam disuruh membedah pesakit jantung. Andai peguam tadi tetap cuba membadah pesakit walhal dia tidak punya kemahiran tentang ilmu kedoktoran, maka natijahnya pesakit itu akan makin tenat dan berisiko tinggi meninggal dunia. Justeru peguam itu perlu dihalang oleh jururawat-jururawat di sekelilingnya yang mengetahui tentang hakikat itu atau mereka juga perlu menanggung akibatnya jika bersubahat sama.

"Apabila kamu menyerahkan urusan kepada yang bukan ahlinya, maka nantikanlah kebinasaan"

No comments: