12Belum surut kegamatan pengeboman di Mumbai dan penganugerahan gelaran Datuk kepada seorang aktor Bollywood, Shah Rukh Khan, negara dikejutkan pula dengan kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa. Runtuhan tanah yang berlaku melibatkan empat hektar di kawasan Bukit Antarabangsa, Hulu Kelang dengan 14 banglo di Taman Mewah dan Taman Bukit Utama menjadi korban. Setakat ini dilaporkan empat terkorban, 14 cedera dan seorang masih hilang.Takziah buat mangsa-mangsa yang terlibat. Moga-moga Allah kurniakan ketabahan dan kesabaran buat kalian untuk menghadapi ujian ini.Saya rasa terpanggil untuk memberi respon terhadap kejadian yang berlaku ini. Sekadar memberi pandangan.
Memetik kata-kata hikmat daripada seorang ahli falsafah, George Santayana, “ Those who cannot remember the past are condemned to repeat it”. Peristiwa yang berlaku menjadi bukti kebenaran kata-kata ahli falsafah ini. Kira-kira 15 tahun lalu kejadian yang sama telah berlaku. Lebih kurang 1.5 km sahaja dari tempat kejadian. Tentulah yang saya maksudkan tragedi blok Highland Towers yang tumbang ekoran tanah runtuh pada 11 Disember 1993 dengan jumlah korban seramai 48 orang. Malah menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, aliran air bawah tanah yang menjadi punca runtuhan tanah di Bukit Antarabangsa adalah serupa dengan punca tragedi tanah runtuh di pangsapuri Highland Towers. Adakah jangka masa 15 tahun itu terlalu panjang hingga membuatkan kita lupa apa-apa yang berlaku saat itu? Mengapa kita tidak mahu mengambil pelajaran dari sejarah yang berlaku? Sedang dalam Quran sendiri, berulang-ulang kali Allah menyebut ayat “ apakah kamu tidak berfikir?” apakah kamu tidak mengambil pelajaran?”
Sebagai umat Islam kita perlu melihat bencana yang berlaku bukan sahaja dari sudut lahiriah, bahkan perlu meneliti maksud tersiratnya. Memang kita menolak, dari sudut geologinya, punca utama tanah runtuh berlaku adalah kerana aliran air bawah tanah. Tambahan pula, Bukit Antarabangsa merupakan kawasan tadahan air hujan. Namun, tidak dapat tidak untuk kita mengaitkan bencana ini dengan teguran dari Allah seterusnya mengambil iktibar. Lambakan bencana alam berlaku sebelum ini bukan sahaja sekitar Asia malah di seluruh dunia. Contohnya, kejadian Tsunami di Acheh empat tahun lalu, siklon Nargis di Myanmar pertengahan tahun ini dan gempa bumi di Sichuan. Apakah semua ini bencana alam semata-mata atau punya mesej tersendiri buat kita umat manusia yang sering lupa ini?
Rugilah kita andai membiar apa yang berlaku di depan mata berlalu begitu sahaja hari ini dan meninggalkannya ditinta sebagai sejarah hitam semata. kita renung sejenak kata-kata Saidina Ali Karamallahu wajhah, “ kebaikan itu semuanya terhimpun dalam empat perkara: percakapan,diam,pandangan dan gerak. Tiap-tiap percakapan yang tidak disertai dengan mengingati Allah adalah sia-sia. Tiap-tiap diam yang tidak disertai dengan memikirkan kebesaran Allah adalah leka, tiap-tiap pandangan yang tidak disertai dengan mengambil iktibar adalah lalai. Dan tiap-tiap gerak yang tidak disertai dengan perhambaan adalah kosong. Semoga Allah merahmati hamba-Nya yang menjadikan percakapannya sebagai zikir, diamnya sebagai tafakur,pandangannya sebagai iktibar dan geraknya sebagai perhambaan dan dari lisan serta tangannyanya manusia mendapat kesejahteraan.”
Tahun 2008 hampir melabuhkan tirai. Kita tutup diari 2008 dengan tragedi hitam dan pilu. Semoga peristiwa ini tidak sekadar tinggal peristiwa menyayatkan sebaliknya mutiara hikmah dikutip buat membidakcatur keberkesanan perjalanan tahun 2009 yang bakal menjelang kelak.
No comments:
Post a Comment