Hari ini, akhirnya rang undang-undang mengenai Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) diluluskan Dewan Rakyat kelmarin selepas melalui 61 pindaan serta dibahas sepanjang hari oleh penyokong kerajaan dan pembangkang. Antara perubahan ketara yang berkaitan dengan politik kampus ialah mahasiswa kini dibenar menyertai persatuan di luar kampus kecuali al-Qaeda. Mahasiswa dibenar menganjurkan aktiviti bersama ahli politik dan parti politik mengenai isu berkaitan pendidikan. Walau bagaimanapun mereka masih disekat untuk terlibat secara terus dengan parti politik.
Hakikatnya, pindaan AUKU ini ibarat seorang pemilik burung yang mengisyhtiharkan bahawa burung peliharaannya akan dibebaskan daripada sangkar tetapi dia tidak membuka pintu sangkar melainkan sedikit. sekadar lepas keluar sebelah sayap.
Kekangan ke atas mahasiswa untuk terlibat dalam politik luar kampus hanya menyekat dan membantutkan perkembangan intelektual mereka. Bahkan, sekatan ini akan menumpulkan budaya kritis dan analitis pelajar.
Memetik tulisan Ustaz Riduan Mohd Nor dalam bukunya Potret Perjuangan Mahasiswa Dalam Cerminan Dekad, " kampus adalah wadah latihan kepimpinan kepada pimpinan masa hadapan negara. Anak-anak muda yang sarat dengan idealisme ini perlu diberi laluan untuk terus bergulat dengan keyakinan mereka, biarkan mereka untuk bebas memilih dan mencorak gerakan mereka tanpa gertakan dan intimidasi daripada pentadbiran universiti dan kerajaan. Mengapa perlu gentar dengan kritikan anak muda ini andai mereka bersih dan telus?"
Sesetengah pihak berpendapat, sebarang kebenaran untuk mahasiswa terbabit secara aktif dalam politik, dikhuatiri akan mewujudkan suasana polarisasi kaum, ideologi dan agama. Ini sekali gus akan mewujudkan suasana persekitaran tidak kondusif kepada generasi akan datang untuk meneruskan pengajian dan pembelajaran di universiti. Pada mereka, biarlah mahasiswa memerhati perkembangan politik semasa dari dalam kampus dan apabila tamat pengajian serta memasuki dunia pekerjaan, mereka bebas berbuat demikian termasuk bertanding dalam pilihan raya umum.
Malah, saya pernah membaca surat pembaca di akhbar yang menentang keras pindaan AUKU dilakukan atas alasan pindaan AUKU ini hanya akan menyebabkan pencapaian akademik pelajar terutamanya dalam kalangan pelajar berbangsa Melayu, jatuh merudum.
Dalam tempoh 30 tahun AUKU dikuatkuasakan , mana pernah IPTA mahupun IPTS di Malaysia tersenarai dalam 100 universiti terbaik dunia berdasarkan penarafan yang dibuat oleh Times HIgher Education Supplement(THES).
Teringat perbualan ringkas saya dengan seorang sahabat ketika sibuk PRU ke -12 lalu.
“Buat apa nak terlibat dengan politik. Muda lagi. Study dulu,” kata seorang teman apabila saya membuka mulut berbicara tentang politik tanah air. Saya sekadar mengangkat kening.
“Nanti bila sudah boleh mengundi, parti mana yang awak nak undi?” Tanya saya.
“Entahlah. Tak tahu lagi. Nanti-nantilah fikir. Tak pun tanya mak je lah nak undi siapa,”
Saya percaya, ini adalah pegangan majoriti mahasisiwa hari ini. Budaya tidak cakna membawa kepada budaya ikut-ikut.
Saya tertanya-tanya, apabila mahasiswa dihalang untuk terlibat dengan politik ketika berada di bangku pengajian, adakah mereka mampu secara drastiknya mengubah mentaliti yang diimani sekelip mata sebaik sahaja meninggalkan dunia studi ?Atau mereka akan terus mengambil sikap tidak peduli biarpun setelah menjejaki alam pekerjaan? Impaknya terjadilah kes-kes ramai yang tidak mendaftar sebagai pengundi apatah lagi turun mengundi. Andai turun mengundi sekalipun, mereka bertanya mak ayah dulu siapa yang perlu mereka pangkah dek lemahnya budaya kritis dan analitis dalam diri. Tak ke haru jadinya.
Mereka yang menjadi pemerhati gelodak politik semasa di zaman kampus akan terus menjadi pemerhati yang baik apabila berada di arena masyarakat yang sebenar. Tidak mungkin jika hari ini kita tanam jagung, esok tumbuh padi.
No comments:
Post a Comment