Cebisan berita hari ini yang menarik perhatian saya untuk direnung bersama.
KUCHING 11 Dis. - Umat Islam di negara ini perlu memahami isi kandungan kitab al-Quran malah menjadikannya sebagai panduan dalam menjalani kehidupan seharian.
Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Jeanne Abdullah berkata, ilmu yang terkandung dalam al- Quran amat banyak malah memberi ajaran yang baik kepada umatnya untuk menjadi seorang yang sederhana, sentiasa bersyukur, bersabar dan beriman.
Menurutnya, kitab al-Quran yang kini sudah diterjemahkan dalam pelbagai bahasa akan lebih memudahkan umat Islam daripada pelbagai kaum menghayati pengertian yang disampaikan di dalam kitab berkenaan.
"Saya sendiri membaca al Quran perlahan-lahan dan cuba memahami ayat-ayat yang terkandung di dalamnya menerusi terjemahan yang ternyata begitu cantik serta tidak pernah mengajar umatnya untuk menjadi jahat.
"Jangan membaca al-Quran dengan terlalu cepat semata-mata mahu khatam awal sedangkan kita tidak memahami apa sebenarnya maksud yang disampaikan di dalam al-Quran," katanya sewaktu merasmikan Majlis Konvensyen Saudara Kita Ketiga dan Pertandingan Nasyid Saudara Kita Peringkat Negeri Sarawak 2008 di Pusat Penerangan Islam di sini hari ini.
(Utusan Malaysia, 12/12/2008)
Respon:
1. Jangan lihat kepada siapa yang berkata-kata tetapi lihat kepada apa yang diperkatakan
2. Teringat kisah yang diceritakan oleh ustazah dalam kelas baru-baru ini tentang seorang ibu yang tidak tahu membaca Al-Quran. Ibu ini berasa malu apabila anak kecilnya bertanya tentang bacaan Quran kepadanya dan mengambil inisiatif untuk belajar Quran kembali (Alhamdulillah, suatu usaha yang baik dan terpuji). Diceritakan ibu ini tahu membaca Al-Quran dulu tetapi telah lupa cara membacanya setelah ditinggalkan bacaan Quran untuk suatu jangka masa yang lama. Ini suatu fenomena yang lazim berlaku dalam masyarakat kita. Setelah khatam, Quran tidak lagi dibaca apatah lagi difahami dan diamalkan.
3. Buat apa baca, bukan saya faham pun!. Ini satulah fenomena yang berlaku terhadap sesetengah golongan masyarakat. Lupakah kita terhadap firman Allah "..dengan mengingati Allah hati-hati akan menjadi tenang.."(Ar-Ra;d:28) Al-Quran adalah sebaik-baik zikrullah.
4. peringatan yang baik buat diri yang menulis ini; sejauh mana Quran yang dihafal difahami dan dihayati serta diamalkan? atau sekadar lancar dibibir? Ya Allah ampunkan daku kerana lalai dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai hamalatul Quran..
No comments:
Post a Comment