Tuesday, July 20, 2010

Sebab Kau Jumpa Wajahnya Dulu, Bukan Hati

Bismillahirrahmanirrahim...

Tamparan dan Cubitan Tok Aki

Pertama sekali, aku ingin ceritakan pengalaman hidupku sendiri. Di bangku sekolah, hal cinta monyet itu memang biasa berlaku di mana-mana. Lebih alami, jika tidak bercinta, perasaan jatuh cinta juga lumrah dunia. Aku sendiri mengaku pernah juga ada TERminat dengan beberapa gadis tertentu.

Setiap kali ada gadis yang aku minati, pasti berlaku situasi ini. Iaitu semasa bertemu arwah Tok Aki, dia menumbuk dan mencubit pehaku dengan sakit sekali. Aku dengannya memang biasa bertepuk tampar, cuma kali ini cubitnya paling menyakitkan.

Aduhhh… Sakitlah!!! Kenapa Atok cubit?

- Sebab kau tengah angau. Bodoh kau.

Ya, usah terkejut, bahasanya dengan aku juga bagai kawan. Ada satu lagi peristiwa semasa aku duduk serumah selama dua tahun bersama Tok Aki. Pada satu sepertiga malam, arwah Tok Aki mengejutkan aku dengan menampar pehaku (peha lagi). Aku yang terkujat mencelik bangkit serta-merta.

Kau sedang minat dua orang gadis, dan kau tidak tahu mana satu patut kau pilih?

Aku terdiam, sekadar mengangguk. Tahap kehairananku usah disukat lagi, membuak-buak.

Macam mana Atok tahu?

Heh. Muka kau muka seorang pencinta.

Dan keesokan hari, sekembalinya aku dari sekolah agama petang, aku duduk berdua-duaan dengannya sambil mencicip kopi bujang dan pisang goreng. Aku cuba menyelongkar kepala si tua ini.

Macam mana, tok? Mana satu patut Ifan pilih?

Dijawabnya sambil mengunyah secubit pisang goreng.

Heh. Kasihan kau. Kau tak tahu? Kecantikan itu memang anugerah Allah, tapi kau tak tahu kecantikan juga boleh menipu?

Aku yang mentah bergetah ini masih tidak menangkap maksud Tok Aki.

Alaa.. Tok, jadi mahu pilih yang mana?

Sergah Tok Aki,

Pengor!! (bahasa jawa, ia bermaksud ‘bodoh’) Salah satu pun jangan kau pilih.

-Kenapa? Dua-dua baik apa?

Sebab kau jumpa wajahnya dulu, bukan hati.

Maka, bermulalah sebuah pemikiran baru terhadap diriku. Hasil cubitan dan sergahan kasar Tok Aki dalam mengajarku mengenal erti kecantikan dunia yang berubah 180 darjah.

Tidak hairanlah, semasa di bangku sekolah, (ya aku mengaku sejujurnya, atas niat berkongsikan ilmu ini) ada juga yang meminatiku. Apabila surat-surat ‘bawah meja’ bertandang tanpa diundang, aku sekadar memperbakulkan ia. Lalu ditanya dengan pelik oleh teman-teman rapatku,

Kau tak minat dia? Rugi… Sudahlah cun, baik pula.

Aku sekadar menjawab dengan senyuman. Tiada sepotong ayat yang boleh kuceritakan sebagai alasan, kerana tahap pemikiranku di waktu itu yang belum mencapai matang sepenuhnya. Aku cuba juga mengelak dengan menjawab ingin fokus pada studi. Sedangkan, pencapaianku di sekolah itu bukan berpunca dari keinginan studi yang tinggi, tetapi disebabkan tiada apa nak buat lagi, jadi terpaksalah studi.

Berbelas tahun berlalu, sikap itu terbawa-bawa dalam diriku sehingga kini. Peristiwa aku dan Tok Aki ini adalah antara episod tarbiyah yang tak pernah dilupakan. Aku juga mengaku, selain diriku, adik-beradikku yang lain juga sukar terpikat dengan mana-mana gadis cantik lain.

Kecantikan Adalah Alat

Kecantikan adalah kurniaan Allah yang tidak semua antara kita meraihnya. Ia bagai sebuah peralatan juga buat si penggunanya. Betul atau salah cara menggunakan ia, masih terletak pada hati manusia.

Kecantikan itu indah kerana penciptanya Maha Indah. Dan setiap kejadian yang Dia ciptakan bukan setakat cantik, malah tiada pernah sia-sia kerana di situlah kesempurnaan-Nya. Mana mungkin ada kejadian Allah yang memudaratkan, melainkan manusia sendiri yang menyalah gunakan ia.

Bagaimana kecantikan bisa memudaratkan, hanyalah berkait dengan maksiat hati. Manakala, bagaimana maksiat hati bisa dihinggap wabak adalah berpunca daripada satu objek. Objek ini amat disukai para syaitan yang memang menunggu-nunggu, kerana memang ia ditugaskan merenjis noda goda pada manusia. Objek itu adalah cermin.

Tiada hairan mengapa Nabi kita sering mengingatkan akan doa khusus saat melihat cermin, (riwayat Ahmad, disahkan oleh Al-Albani dalam Irwaghul Ghalil)

Ya Allah, sepertimana Engkau cantikkan kejadianku, maka cantikkan juga akhlakku.

Hebatnya Nabi Muhammad SAW menyaran doa melihat wajah berkait dengan akhlak. Kerana saat kita melihat cermin, rupa yang cantik ini akan mempengaruhi gerakan hati. Hati inilah pastinya menggerakkan otot dan motor dalam tubuh yang membuahkan tindakan (akhlak).

Kecantikan wajah dan kisah dongeng

Sengaja kali ini bukan kisah tampannya Nabi Yusuf sebagai renungan, kerana kalian pasti sudah mendengarkannya. Cuma kali ini aku ingin kongsikan sebuah kisah yang diceritakan kepadaku oleh seorang pensyarah di Jepun semasa di dalam kuliah falsafah.

Ada sebuah dongeng Greek, hidup seorang budak lelaki yang cantik yang dinamakan Narcissus (yang bermaksud budak cantik). Seluruh jagat raya mengkagumi akan kecantikannya, waima Tuhan-tuhan. Bayangkan betapa cantiknya budak ini hinggakan Tuhan-tuhan sanggup bersinggah ke bumi semata-mata mahu berkawan dengannya.

Lakaran wajah Narcissus (sumber: Wikipedia)

Bayangkan betapa bongkaknya dia menolak salam persahabatan dari Tuhan-tuhan dengan mengatakan,

Ah, kalian tidak selayaknya bersahabat denganku kerana tidak setanding kecantikanku.

Tuhan-tuhannya yang murka lantas menitahkan,

Kau pasti hancur-sehancurnya atas kemegahanmu itu!

Dijadikan kisah, berjalan Narcissus ini pada satu hari sepanjang anak sungai bagi menikmati alam. Dan dia dengan pertama kalinya ternampak wajahnya yang terpantul di atas air. Dek terlalu asyiknya dia membelek kecantikan dirinya, hingga terlupa akan keperluan asasnya yang lain, makan dan minum. Maka, matilah dia dalam kelaparan.

Biarpun kisah ini sekadar dongengan, tahyul dan melanggar akidah (kerana Tuhan yang banyak), namun lihatlah akan peringatan mereka terhadap manusia-manusia yang hidup di zaman itu. Sejak di zaman itu, manusia sudah diberitakan akan bahayanya kecantikan itu. Ditambah lagi dengan turunnya Al-Quran sebagai pemberi amaran kepada kita.

Adakah kita tidak memerlukan wajah yang cantik?

Sebetulnya, perkataan yang sesuai adalah wajah yang sempurna. Ia adalah sebaik-baik wajah yang dijadikan Dia bagi mewakili tubuh manusia ini. Apatah tubuh kita pula adalah alat semata, ataupun kenderaan bagi roh kita menjelajah di alam dunia ini. Maka, sekadar sempurna sifat adalah yang terbaik. Kita boleh mengejar rupa yang cantik, tetapi biarlah prioritinya didahulukan dengan merebutkan hati yang bersih, skil komunikasi, pemikiran yang tajam, dan tindakan yang tepat.

Maka, usah khuatir, kawan-kawan. Andai tidak memiliki wajah yang cantik atau tampan namun akhlak dan imanmu juga yang menjadi penghias dirimu. Tahniah juga kepada kalian, kerana Allah tidak membiarkan kamu dengan mudah terpercik penyakit hati yang digelar ujub dan takbur pada rupamu.

Buat kawan-kawan yang punyai wajah yang cantik dan tampan, tahniah juga. Bukan saja syukur akan kecantikan itu, tetapi syukur juga kerana Dia sedang menguji kamu, dengan mengurniakan kecantikan itu pada yang selayak memikulnya. Waspadalah, syaitan tidak pernah berehat mencuit-cuit rasa kagum akan kecantikanmu itu.

Kerana,

cantikmu itu,

bisa membawa kita ke syurga,

juga ke neraka,

(diulangi, KITA).

Tulisan penuh oleh : www.sangpelangi.com

1 comment:

Dx said...

begitu rupanya kisah Narcissus (yang bermaksud budak cantik, ada dengar tapi tidak ambil kisah sangat.
memang membabitan aqidah